Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Rabu, 9 Disember 2009

Acara Kayuhan Melaka - Jakarta membuka lebaran baru silaturahim 2 negara

Melaka - 6hb Disember 2009. Di bumi bertuah ini terpahat 1 lagi sejarah buat KBTBB apabila Sdr. Ichwan Alex Setiawan pengurus dari KOSTI (Komunitas Sepeda Tua Indonesia) dan juga pengurus KOBA (Komunitas Ontel Batavia) sudi hadir memeriahkan acara kayuhan pada pagi Ahad lalu sebagai tanda persahabatan antara Melaka dan Jakarta. Sdr. Alex yang diundang menjadi tetamu istimewa bagi Sdr. Sanim (NBT), Sdr. Ikhwan (BM) dan KBTBB telah disambut oleh Ketua Projek KBTBB iaitu Sdr. Ikhwan dan isterinya (Puan Azwa) di LCCT pada Jumaat yang lalu dan di bawa menginap di sebuah resort di Port Dickson. Kehadiran Sdr. Alex di Batu Berendam secara tidak langsung telah menyuntik semangat KBTBB untuk terus aktif mempromosi dan memertabatkan basikal tua di Melaka. Beliau yang tampil berpakaian tradisional Bali ini sebenarnya seorang yang sarat dengan idea dan pengalaman serta berpengetahuan luas mengenai basikal tua di negaranya.


Sehari sebelumnya Sdr. Alex yang ditemani isterinya (Puan Yuli) dan anaknya (Rea) diiringi Sdr. Ikhwan dan isteri (Puan Azwa) sempat menghadiri Majlis Perkahwinan Sdr. Sanim di Semabok, Melaka. Sdr. Alex yang pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia kelihatan tidak kekok dan canggung bertemu sahabat-sahabat basikal tua di sini. Sesiapa yang bertemu beliau pasti akan tertawan dengan sikap dan rasa hormatnya kepada sesiapa sahaja. Justeru sesiapa yang mendekati beliau pasti merasa seolah-olah telah lama mengenali beliau kerana sifat hormat dan rendah dirinya itu. KBTBB berasa amat bertuah dengan kehadiran Sdr. Alex telah memberikan keyakinan dan semangat berganda untuk KBTBB terus mara ke hadapan.

Selesai sarapan pagi, satu sessi taklimat mengenai acara telah disampaikan oleh Sdr. Ikhwan (BM) diikuti dengan bacaan doa selamat daripada Chegu Shaari. Tepat jam 8:45 pagi rombongan KBTBB bertolak ke Bandaraya Melaka bersama Sdr. Alex dan rombongan. Paling manis kayuhan pada pagi Ahad lalu telah disertai lebih 30 peserta termasuk Mr. GB yang sanggup datang dari Batu Gajah, Perak dan Abg. Hamdan sekeluarga dari Labis, Johor. Kayuhan pada kali ini disertai 4 peserta wanita dan selebihnya peserta lelaki. Sepanjang perjalanan Sdr. Alex ditemani Sdr. Ikhwan dan Wawa sebagai jurupandu arah dan pemberi maklumat.

Rombongan KBTBB menuju ke Melaka melusuri Jalan Batu Berendam menuju ke pusat Bandaraya membawa tetamu dari Jakarta.

Sdr. Ikhwan (Basikal Malaya) sentiasa mengiringi Sdr. Alex disepanjang kayuhan dan memberikan banyak info dan maklumat kepada beliau.

Rombongan KBTBB sentiasa memastikan keselamatan ahli-ahlinya berada di tahap maksimum dan sentiasa berdisiplin serta berhati-hati sepanjang perjalanan.

Lampu merah. Berhenti sambil memastikan keaadaan basikal tua masing-masing berada di dalam keadaan baik dan tiada sebarang kerosakkan.

KBTBB tiba di Bangunan Merah iaitu di hadapan menara Jam Merah dan bersebelahannya terletak bangunan
Stadthuys yang telah di bina oleh orang Belanda sekitar 1650an.

Deretan basikal tua yang diletakkan di siar kaki di dataran Bangunan Merah menarik perhatian pelancong yang lalu lalang di situ.

Sdr. Alex begitu ramah dan mudah mesra dan sempat berkongsi ilmu bersama Adik Amira memberi tunjuk ajar mengenai basikal tua.

Haziq bersama adiknya Hazim datang dari Labis, Johor sanggup datang kerana minat kepada basikal tua dan telah merealisasikan hajat mereka untuk berkayuh bersama KBTBB di Melaka. Kayuhan pada kali ini mereka merupakan peserta termuda di kalangan ahli-ahli yang lain.

Group foto bersama Sdr. Alex sebagai kenang-kenangan yang bersejarah.

Sdr. Alex bersama orang-orang penting KBTBB - dari kiri Chegu Shaari, Hafiz, Ikhwan, Alex dan Abg Lias.

Sahabat baik - Sdr. Alex dan Sdr. Jebat bertukar budaya. Sdr. Jebat memakai tanjak milik Sdr. Alex sebagi simbolik mengenali budaya negara Indonesia.

Semua ahli rombongan mengangkat tangan sebagai tanda bersatu dan berjaya tiba di Bandaraya Melaka dengan selamat. Lokasi seterusnya di A Famosa...tungguuuuu...

Nantikan foto-foto seterusnya...Admin akan mengemaskini blog ini dengan foto-foto terbaharu. Sila kunjungi blog Wira-wiri Naik Sepeda untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai acara yang telah berlangsung sila klik di SINI.

Khamis, 19 November 2009

Jemputan Acara Kayuhan Silaturahim Melaka-Jakarta, 6hb Disember '09

KBTBB dengan sukacitanya ingin menjemput seluruh pencinta basikal tua tanahair untuk turut bersama-sama menjayakan satu Acara Kayuhan Silaturahim (persahabatan) bersama Sdr. Alex dari Jakarta (Indonesia) pada hari Ahad, 6hb Disember 2009, jam 8:30 pagi. Marilah kita bersama-sama membuka lembaran baru persahabatan di antara kedua negara yang berjiran agar hubungan yang baik dapat diteruskan dan dikekalkan bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan di rantau Nusantara. Sebagai rakan dan sahabat basikal tua/sepeda yang berpengkalan di tengah-tengah Semenanjung Malaysia, KBTBB ingin menjadi sahabat dan rakan strategik kepada semua pihak/kelab/individu/NGO untuk melestarikan basikal tua/sepeda ke peringkat antarabangsa.

Untuk makluman, Sdr. Alex merupakan seorang anak muda yang berjuang melestari dan menyebarkan "virus" basikal tua di negaranya. Beliau juga merupakan salah seorang yang bertanggungjawab mewujudkan blog basikal tua yang terkenal dan popular iaitu Wira-wiri Naik Sepeda (Wiwinaked) http://sepeda.wordpress.com . Bagi kebanyakkan blogger nama beliau tidak perlu diperkenalkan lagi kerana beliau sentiasa memberikan komentar dan menyokong komuniti basikal tua yang ada di Nusantara terutamanya Indonesia dan Malaysia. Kehadiran Sdr. Alex ke Malaysia adalah diatas undangan Sdr. Sanim (Nostalgia Basikal Tua) dan Sdr. Ikhwan (Basikal Malaya) untuk menghadiri Majlis Perkahwinan Sdr. Sanim yang akan berlangsung pada hari Sabtu, 5hb Disember 2009 di Melaka dan berlibur (melancong) ke Malaysia.

Peluang berkayuh dan berjumpa dengan beliau sememangnya tidak seharusnya dilepaskan oleh semua pihak untuk bersama-sama bertukar pendapat dan pengalaman serta pengetahuan mengenai basikal tua. KBTBB amat-amat berbesar hati untuk menerima kehadiran Sdr. Alex ke Batu Berendam, Melaka dan sudah tidak sabar untuk berkayuh bersama-sama dengan beliau. Maklumat dan aturcara kayuhan seperti di bawah. Sebarang pertanyaan silalah hubungi wakil KBTBB seperti yang tertera di blog ini.

Aturcara Acara Kayuhan pada
Ahad, 6hb Disember 2009:-


7:45 pagi
Persediaan (last check-up) dan sarapan pagi sponsored by KBTBB & Basikal Malaya
8:00 pagi
Berkumpul di Batu Berendam (pengkalan operasi KBTBB), Melaka untuk sessi taklimat perjalanan dan keselamatan.

8:30 pagi
Bertolak ke Bandaraya Warisan Dunia - Melaka.
9:15 pagi
Sarapan pagi dan berehat di Restoran (to be confirm)
9:15 pagi - 11:00 pagi
Melawat tempat-tempat bersejarah sekitar Bandaraya menaiki basikal masing-masing.

11:00 pagi - 12:00 t/hari
Singgah bershopping di Pasar Karat berhampiran Jonker Street.
12:00 t/hari
Kembali pulang ke Batu Berendam (pengkalan operasi KBTBB)
....


Sekian Untuk Makluman.

Basikal Tua...Warisan Generasi Muda
Admin KBTBB

Isnin, 9 November 2009

KBTBB menerima 15 keahlian baru dan mengsasarkan 50 keahlian berdaftar menjelang 2010

Batu Berendam - Ahad, 8hb November 2009 terpahat 1 lagi catatan sejarah manis buat KBTBB apabila menerima penyertaan ahli-ahli baru seramai 15 orang dari Batu Berendam. Penyerahan borang keahlian baru disampaikan oleh Sdr. Khalid dan Sdr. Najif (kiri) kepada Pengerusi KBTBB iaitu Sdr. Alias dan Sdr. Jebat (kanan) sambil disaksikan oleh Penaung KBTBB (Sdr. Zul). Upacara penyerahan yang diadakan secara ringkas ini dihadiri oleh barisan AJK KBTBB dan ahli-ahlinya serta ahli-ahli baru. 1 majlis suai-kenal untuk meraikan kemasukkan ahli-ahli baru ini telah diadakan oleh KBTBB sebagai 1 usaha mengukuh dan merapatkan silaturahim dikalangan ahli-ahlinya. Menurut Pengerusi KBTBB, kelab basikal tua yang berpengkalan di Batu Berendam ini meletakkan sasaran untuk mengumpulkan seramai 50 ahli berdaftar menjelang 2010.

Terkini keahlian KBTBB dimaklumkan telah berjumlah 42 orang dan hanya memerlukan 8 keahlian baru untuk mengenapkan angka 50. Menurut orang kuat KBTBB iaitu Sdr. Jebat, KBTBB sangat-sangat optimis dan yakin bahawa angka 50 itu bakal dicapai menjelang 2010. Manakala Penaung KBTBB iaitu Sdr. Zul pula berpendapat dengan adanya pertambahan ahli dari masa ke semasa akan memudahkan KBTBB untuk bergerak lebih progresif untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang akan dirancang dan dilaksanakan di masa hadapan. Beliau selaku Penaung KBTBB juga berjanji akan sentiasa membantu KBTBB dari semua sudut termasuk darisegi ekonomi/kewangan dan nasihat serta pandangan ke arah memajukan kelab basikal tua ini.

Bagi Sdr. Ikhwan (BM) pula beliau berpendapat bahawa sudah tiba masanya KBTBB berubah ke arah yang lebih progresif dan positif. Kemasukkan ahli-ahli baru yang menyertai KBTBB perlu diterima dengan sepenuh hati dan niat yang ikhlas. Beliau juga menegaskan bahawa KBTBB adalah sebuah kelab yang dinamik dan sentiasa mengutamakan kebajikan dan kepentingan semua ahli-ahlinya. Kunci utama kemajuan dan kestabilan KBTBB mengukuhkan kelab ini adalah kerana ahli-ahlinya yang bersatu-hati dan mempunyai minda yang matang dan terbuka. Beliau juga amat-amat berbesar hati dengan kemasukkan ahli-ahli baru yang sebenarnya mereka adalah kawan-kawan lama basikal tua yang tidak bergerak sebagai Kelab Basikal tetapi sebagai kumpulan sederhana dari Batu Berendam, Melaka.

Sebagai penutup Pengerusi KBTBB iaitu Sdr. Alias meminta ahli-ahlinya menjaga kepentingan dan nama baik KBTBB serta meminta mana-mana ahli yang mempunyai permasalahan menyelesaikan sebarang masalah di meja rundingan. Bagi beliau KBTBB mempunyai peraturan dan perlembagaan kelab yang perlu dipatuhi oleh semua ahli-ahlinya. Sdr. Alias juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan pandangan dan idea yang bernas sepanjang mesyuarat dan majlis ini berlangsung. Majlis disempurnakan dengan penerimaan borang kemasukkan ahli-ahli baru dan majlis jamuan makan malam yang telah ditaja oleh En. Zul iaitu Penaung KBTBB.

Sdr. Jebat mempengerusikan Mesyuarat khas KBTBB untuk memberikan penerangan dan menyelesaikan isu-isu berbangkit.

Penaung KBTBB iaitu Sdr. Zul menyampaikan ucapan dan pandangan beliau mengenai kemasukkan ahli-ahli baru ke KBTBB.

Kehadiran ahli-ahli baru untuk Majlis Penyerahan Borang dan sessi suai kenal disambut dengan penuh gembira oleh ahli-ahli KBTBB yang lain.

Sdr. Jebat kini diberi tanggungjawab yang lebih berat setelah mempamerkan prestasi dan komitmen yang tinggi membantu mentadbir dan memajukkan KBTBB. Beliau kini membantu Pengerusi setelah dilantik oleh ahli-ahli KBTBB menjadi Naib Pengerusi setelah jawatan itu dikosongkan baru-baru ini.

Sdr. Ikhwan (BM) tidak pernah jemu dan penat bersama KBTBB. Beliau sentiasa bersemangat memberikan nasihat dan pandangan serta bertindak mengetuai banyak projek-projek dan aktiviti-aktiviti untuk KBTBB. Terkini beliau akan merancang 1 lagi projek khas untuk KBTBB.

Seperti kelaziman setiap majlis KBTBB akan sentiasa ada jamuan makan. Alhamdulillah KBTBB dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah dan sentiasa mendapat tajaan dan sponsor. Untuk majlis kali ini jamuan makan ditaja oleh Sdr. Zul (Penaung KBTBB). Terima Kasih Daun Keladi...En. Zul.

Basikal Tua...Warisan Generasi Muda
Admin KBTBB

Ahad, 25 Oktober 2009

Kayuhan "pemanas badan" KBTBB berjaya menambat dan menawan hati generasi muda

Basikal Tua...Warisan Generasi Muda! Itulah tagline (cogan-kata) yang menjadi misi utama KBTBB untuk melihat basikal tua terus lestari dan diwarisi generasi muda... kini telah mula menampakkan hasilnya. Kayuhan "pemanas-badan" yang diadakan bersempena Majlis Rumah Terbuka dan Sambutan Aidilfitri KBTBB pada 17hb Oktober yang lalu telah disertai 22 orang peserta dari Negeri Perak dan Selangor. Paling menarik kayuhan kali ini disertai oleh peserta termuda sekali ialah Adik Ayu Izzati (anak buah Sdr. Ikhwan/BM) yang berumur 7 tahun. Antara yang turut serta berkayuh ialah Sdr. GB, Sdr. Fadhil, Sdr. Fazil dan Sdr. Roy dari Perak manakala Sdr. Along diiringi oleh adik lelaki, anak lelaki dan anak perempuannya serta Mr. Ong hadir bersama beberapa sahabatnya dari Klang, Selangor.

Dengan semangat 1Malaysia yang tinggi dan paling penting ialah dengan semangat 1Hati, seramai 22 peserta diiringi oleh Otai Chemek bersiap sedia memulakan acara kayuhan. Setelah diberi taklimat oleh Sdr. Jebat yang bertindak sebagai ketua rombongan dan bertanggungjawab mengkordinasi laluan trafik rombongan mula berkayuh tepat jam 6:30 petang menuju ke Bandar Melaka seperti yang dirancang.

Ahli-ahli KBTBB bersama-sama tetamu berkayuh meninggalkan Batu Berendam menuju ke Bandar Melaka dengan penuh semangat setia kawan.

Sdr. Along Klang bersama basikal Hopper kesayangannya...turut menemani ialah anak lelakinya yang berbaju putih sambil diekori oleh geng-geng dari Perak bersama ahli-ahli KBTBB.

Adik Ayu Izzati merupakan peserta paling muda pernah mengikuti acara kayuhan anjuran KBTBB. Walaupun basikalnya kecil tetapi semangat dan kemampuannya setanding peserta dewasa. Pergerakkan adik Ayu sentiasa dikawal dan dipantau oleh ahli-ahli KBTBB yang lain demi menjaga keselamatannya.

Pak Hassan Tukang dan Wawa tiba awal di hadapan Bangunan Merah kira-kira jam 7:00 malam. Alhamdulillah rombongan KBTBB selamat tiba tanpa ada sebarang halangan dan kerosakkan.

Setibanya di hadapan Bangunan Merah basikal tua yang disusun menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Ternyata kehadiran basikal tua di lokasi ini memberi peluang kepada peminat basikal tua bertanya dan berkongsi pengalaman dengan sesiapa sahaja termasuk pelancong sambil mengilangkan rasa penat berkayuh.

Walaupun sudah gelap namun masih ramai pelancong yang lalu lalang meluangkan masa untuk menatap koleksi basikal tua yang dimiliki oleh ahli-ahli dan sahabat KBTBB.

4 sekawan (dari kiri Sdr. Fadhil, Sdr. Fazil, Mr. GB dan Sdr. Roy) dari Perak. 4 anak muda ini sememangnya bukan calang-calang orangnya. Walaupun muda mereka mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas serta sanggup memandu lebih 400km ke Melaka. Koleksi basikal yang dimiliki mereka juga tidak kurang hebatnya...sewajarnya kita patut berbangga dengan koleksi basikal masing-masing. Perasaan "bangga" itu perlu...sama seperti kita "bangga" menjadi anak Malaysia apatah lagi mempertahan dan melestarikan basikal tua untuk warisan bangsa.

Bandar Melaka bermandikan cahaya...dan cuaca dingin diwaktu malam tenyata menyegarkan semua peserta yang mengikuti rombongan KBTBB pada kayuhan kali ini. Sewajarnya kita harus menghargai keindahan dan kecantikkan yang di miliki oleh negara kita (Melaka) yang bertaraf dunia setanding dengan lokasi berprestig pelanconganan luar negara. KBTBB kini dalam usaha mempromosikan negeri Melaka akan menggandakan usaha bekerjasama dengan pelbagai agensi di masa hadapan.

Isnin, 19 Oktober 2009

Majlis Rumah Terbuka & Jamuan Aidilfitri KBTBB 1430H berlangsung penuh CERIA & MERIAH

Batu Berendam - Seramai 150 orang tetamu telah menghadiri Majlis Rumah Terbuka & Jamuan Aidilfitri yang diadakan pada 17hb Oktober, 2009 yang lalu. Majlis yang berlangsung penuh ceria dan meriah ini dihadiri oleh ramai sahabat-sahabat basikal tua dari seluruh pelusuk tanahair. Antaranya kehadiran sahabat-sahabat dari Negeri Perak, N. Sembilan, Selangor dan Johor. Majlis juga diserikan dengan kehadiran Penaung KBTBB En. Zul bersama sahabatnya Tuan Hj. Khalil (Pegawai Khas - Perhubungan UMNO) dari Pontian, Johor serta Sdr. Ismail (Ketua Pemuda UMNO Batu Berendam). Paling penting bagi KBTBB Majlis ini diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara ahli-ahli keluarga KBTBB, penduduk kampung Batu Berendam, dan sahabat-sahabat sambil beramah-mesra dan bermaaf-maafan.

Para hadirin yang hadir khusyuk mendengar taklimat dan ucapan alu-aluan dari Pengerusi Majlis, Sdr. Fadhil sewaktu melaksanakan acara pembukaan Majlis.

Tuan Imam membacakan doa selamat untuk acara Majlis sebagai tanda kesyukuran dan selamat di atas segala acara KBTBB yang telah dan bakal dianjurkan. Kelihatan Sdr. Alias, Sdr. Sidek, Tok Penghulu dan Dr. Norman mengaminkan doa.

Sahabat sejati KBTBB iaitu Sdr. GB dan Fadhil hadir bersama 2 rakan mereka dari Kampar, Perak iaitu Sdr. Fazil dan Sdr. Roy (BSA) antara tetamu yang awal tiba di Batu Berendam.

Pak Hassan sempat mengusik Sdr. Samsir sambil menjamu selera.

Tok Penghulu dan Chegu Shaari hadir bersama ahli keluarga masing-masing menceriakan suasana sambil menjamu selera.

Anne Acasia (Wawa) ceria berbaju hijau menikmati hidangan keseorangan kerana Sdr. Ikhwan sibuk melayan tetamu yang datang.

Dari Kiri Sdr. Alias, Sdr. Kamrudin, Sdr. Radzwan, Sdr. Taufik & Sdr. Ikhwan (BM) sempat bergambar walaupun sibuk melayan para tetamu.

Sempat beraksi bersama koleksi basikal yang dipamerkan sambil bertukar-tukar pendapat dan pengalaman masing-masing.

Sdr. Zul (Penaung KBTBB) bersama sahabatnya Tuan Haji Khalil (berbaju belang-belang) turut serta menjamu selera.

Sdr. Ikhwan serius berbincang dan berbual mengenai rancangan di masa hadapan bersama Pengerusi Kelab Basikal Klasik Muar iaitu Cikgu Kadir dan sahabat-sahabat dari Muar, Johor.

Sdr. Along Klang hadir bersama ahli keluarganya (adik, anak lelaki & anak perempuannya). turut hadir Mr. Ong dan rakan-rakannya dari Klang, Selangor.

Sdr. Hamdan dari Labis, Johor hadir sekeluarga turut serta menceriakan sambutan Aidilfitri KBTBB walaupun sibuk berniaga.

Sdr. Alias (Pengerusi KBTBB) menerima sumbangan dari Sdr. Ismail (Ketua Pemuda UMNO, Batu Berendam).

Tuan Haji Khalil dari Pontian, Johor juga turut sama menghulurkan sumbangan untuk KBTBB dan amat bangga melihat aktiviti-aktiviti dan majlis yang dianjurkan.

Cik Tia (UiTM) juga sempat meluangkan masa walaupun sibuk dengan projek akhir pengajiannya. Sdr. Alias dan Sdr. Jebat sempat bersembang bersama.

KBTBB juga amat berbesar hati dengan kesudian dan kehadiran anggota-anggota Polis dari Balai Polis Batu Berendam yang telah dijemput. Hubungan baik di antara KBTBB dengan pihak berkuasa tempatan penting demi menjaga keharmonian dan keselamatan serta kepentingan semua pihak di Batu Berendam.

Tuan Haji Khalil memperkatakan sesuatu kepada Sdr. Ikhwan untuk membantu merancang "1 program besar" anjuran bersama di antara KBTBB dengan Kelab-kelab Basikal di Johor terutamanya di Daerah Pontian. Berita terkini KBTBB telahpun dihubungi oleh rakan-rakan basikal dari Pontian menyatakan kesediaan untuk turut sama menyertai program yang akan dirancang kelak.

Ke mana kuah....kalau tidak tumpah ke nasi...begitulah hasrat Sdr. Jebat untuk mewarisi basikal tua kepada anak-anaknya walaupun si kecil (Adik Asri) baru berusia 1 tahun 2 bulan. Ternyata kehadiran basikal kepunyaan Adik Ayu Izzaty di Batu Berendam menjadi tumpuan dan inspirasi kepada kanak-kanak kecil yang tertawan melihatnya.

Kesudian Otai Chemek menghadirkan diri ke Batu Berendam merupakan satu penghormatan kepada KBTBB. Tiada yang lama maka tiadalah yang baru. Sdr. Ikhwan yang mewakili "generasi muda" membuktikan beliau amat-amat menghormati dan menghargai pengalaman dan pengetahuan otai-otai yang terdahulu mempelopori hobi basikal tua di Melaka. Terima kasih kepada Otai Chemek kerana sudi mengiringi kayuhan KBTBB dari mula sehingga akhir. Terima kasih juga kepada Otai Izan yang turut hadir dan telah banyak menurunkan ilmu basikalnya kepada ahli-ahli KBTBB.

Akhir kata...KBTBB amat-amat berbesar hati dan terharu dengan sokongan dan kehadiran semua pihak yang sudi hadir meluangkan masa dan tenaga untuk menjayakan dan memeriahkan Majlis Rumah Terbuka dan Sambutan Aidilfitri pada tahun ini. Insyallah di tahun hadapan KBTBB akan mengadakan Majlis seperti ini lagi sebagai acara tahunan di dalam kalendar aktiviti/acara KBTBB. Dikesempatan ini KBTBB ingin memohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan dan kesilapan yang berlaku sepanjang Majlis tersebut berlangsung.

TERIMA KASIH DAUN KELADI...TAHUN DEPAN DATANG LAGI.


Jangan lupa saksikan paparan acara kayuhan "pemanas badan" KBTBB bersama sahabat-sahabat dari Perak dan Selangor yang diserikan dengan penampilan istimewa adik Ayu Izatty bersama basikal kecilnya pada PAPARAN AKAN DATANG...TUNGGGUUUU

Basikal Tua...Warisan Generasi Muda
Admin KBTBB
.


Jumaat, 2 Oktober 2009

Jemputan Khas ke Rumah Terbuka dan Jamuan Aidilfitri KBTBB - 1430H

KBTBB dengan sukacitanya ingin menjemput semua sahabat basikal tua seluruh Malaysia ke Majlis Rumah Terbuka & Jamuan Aidlifitri KBTBB yang akan diadakan pada Sabtu, 17hb Oktober 2009, bermula dari jam 3:30 petang sehingga 6:30 petang bertempat di Batu Berendam, Melaka. Bersempena Aidilfitri yang masih lagi disambut di seluruh negara, KBTBB juga tidak mahu ketinggalan melepaskan peluang meraikannya bersama-sama ahli-ahlinya dan bertemu sahabat handai atau sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, fahaman politik, ideologi, perjuangan dan sebagainya.

Di hari yang mulia ini marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan mengharungi ujian selama sebulan di bulan Ramadhan. Marilah kita bersama-sama meleburkan keegoan, sifat-sifat yang dikeji, dendam kesumat, dan iri-hati dengan bermaaf-maafan. Kami seluruh ahli KBTBB mengalu-alukan kedatangan anda ke Batu Berendam. Pelbagai juadah istimewa dan menarik dari Batu Berendam akan disediakan dan dihidangkan oleh KBTBB pada majlis tersebut.

Untuk menambahkan keceriaan dan kemeriahan para tetamu diminta untuk memakai pakaian "Hari Raya" - KBTBB bercadang untuk menjemput pihak media untuk membuat sedikit liputan mengenai Majlis tersebut. Semoga basikal tua terus lestari dan berkembang maju untuk tatapan generasi muda dan dialaf mendatang.
....
B E R I T A / M A K L U M A N T E R K I N I !
Atas desakkan dan permintaan bertali arus dari ramai sahabat dan tetamu. 1Kayuhan ke Bandar Melaka akan diadakan sejurus selesai acara Majlis Rumah Terbuka. Kayuhan akan bermula jam 6:45 petang dan akan berakhir jam 9:00 malam. Kepada yang berminat untuk berkayuh sila bawa lampu "reflector" belakang yang menggunakan kuasa bateri untuk keselamatan kayuhan di waktu malam dan pastikan lampu basikal berfungsi baik. Bagi yang tiada basikal tetapi ingin berkayuh sila hubungi mana-mana ahli KBTBB bagi mendapatkan basikal. Sekian. TK.
....

Kami memohon jasa baik teman-teman blogger dan sesiapa sahaja yang terbaca mengenai paparan ini untuk disampaikan dan dipanjangkan "jemputan khas" ini kepada seluruh peminat dan pemilik basikal tua seluruh Malaysia (bermula dari JB sehingga ke Perlis - termasuk Sabah & Sarawak).

Basikal Tua...Warisan Generasi Muda.
Admin KBTBB
...
Alamat KBTBB
Bengkel & Galeri KBTBB
2743, Jalan Solok Pantai, Bt. 4, Batu Berendam 75350 MELAKA.

Sebarang pertanyaan sila hubungi
Sdr. Jebat 017-639 7119
Sdr. Ikhwan 012-934 3953

...