KBTBB bersama lebih 40 ahlinya dijangkakan akan terbang ke Indonesia untuk menjayakan Acara Kayuhan 2 Negara Kali Ke 2 di Bandung pada 3-6 Jun 2011 yang akan datang. KBTBB yang dijemput khas oleh Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI) melalui wakilnya Sdr. Ichwan Alex Setiawan akan bersama-sama buat kali ke 2 menjayakan acara ini. Pada tahun lalu seramai 65 peserta dari KOSTI hadir memeriahkan Acara Kayuhan 2 Negara yang pertama di Bandaraya Melaka dengan disertai lebih 200 peserta dari Malaysia. Acara K2N yang pertama telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka tercatat sebagai acara basikal tua yang PERTAMA pernah diadakan oleh kedua-dua negara (Malaysia dan Indonesia).
Dijangkakan lebih 1,000 ontelis dari Indonesia akan turut hadir menjayakan Acara Kayuhan 2 Negara di Kota Kembang (Bandung)...(Gambar ketika Acara Bandung Lautan Ontel 2010)
Pada Acara K2N II pada tahun ini KBTBB sekali lagi akan mencatat namanya sebagai Kelab PERTAMA dari Malaysia menjadi penganjur dan peserta menjayakan acara tersebut di Indonesia. Bagi KOSTI undangan ini adalah simbol kesinambungan dan persahabatan yang kukuh antara komuniti basikal tua di Malaysia dan Indonesia. Bertemakan "Warisan Basikal Tua Memperkukuh Persahabatan Serumpun" lawatan balas dari Malaysia pastinya akan membuka lembaran baru dan ikatan persahabatan yang berkekalan antara dua komuniti ini. Acara K2N II akan disertai lebih 1,000 peserta dari Indonesia dan akan disertai oleh Alumni K2N I dari Indonesia.
KBTBB melalui Ketua Projek K2N II iaitu Sdr. Ikhwan Ibrahim telahpun menjemput beberapa kelab basikal tua yang aktif di Malaysia untuk mengikuti acara yang akan berlangsung selama 4 hari 3 malam di Indonesia. Justeru itu kami ingin memohon agar peserta-peserta yang berminat dapat menghubungi Ketua Projek K2N II dengan SEGERA bagi urusan pendaftaran dan penyertaan kerana tempat adalah TERHAD. Acara K2N II ini akan dirasmikan oleh Wali Kota Bandung dan akan dihadiri oleh Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia. Acara yang bakal mendapat liputan meluas pihak media ini pasti akan memberikan impak dan kesan mendalam kepada seluruh peserta yang hadir ke Bandung. Justeru itu, kami sekali lagi menjemput semua yang berminat untuk menyertai KBTBB dalam acara yang penuh bersejarah ini.
Melalui Acara K2N II, KBTBB secara tidak langsung akan bertindak menjadi duta kecil Melaka/Malaysia di Indonesia untuk mempromosikan negeri dan negara kepada seluruh peserta yang hadir di sana nanti. Setelah berjaya menganjurkan banyak acara di peringkat negeri dan nasional kini tibalah masanya untuk KBTBB mengembangkan sayapnya ke peringkat yang lebih tinggi. Diharapkan usaha keras dan semangat "berani mati" ini akan menjadi contoh kepada semua kelab-kelab basikal tua yang ada di Malaysia. Kita jangan hanya jadi "jaguh kampung" tapi harus jadi "jagung ke peringkat dunia". Bak kata pepatah...kalau kail panjang sejengkal...jangan di duga lautan dalam - Admin KBTBB.
Kertas Kerja Acara K2N II yang telah dihasilkan oleh Ketua Projek KBTBB untuk mempromosikan acara K2N II di Bandung, Indonesia.
p/s : Pastinya acara bertukar-tukar pin dan cenderahati akan mengeratkan persahabatan serumpun. Sesungguhnya rugilah bagi mereka yang berhajat nak pergi...tapi tak pergi itu.