Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Selasa, 31 Disember 2013

Basikal Tua dari 5 Negeri Promosi Melaka Bebas Asap Rokok 2013

BACHANG, MELAKA - Kelab Sepeda Tua Melaka (KSTM) dengan kerjasama Gabungan NGO Melaka Bebas Asap Rokok (GaNMBAR) telah berjaya menganjurkan Acara Kayuhan Gabungan 5 Negeri (KG5) bersempena mempromosikan Melaka Bebas Asap Rokok di sekitar Bangunan Merah dan Banda Hilir yang telah diiktiraf UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Acara kayuhan yang bermula di Taman Bachang Baru menuju ke Bandaraya Melaka itu disertai seramai 265 peserta yang terdiri daripada 17 kelab basikal tua dari 5 Negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Perak. 





Acara ini diadakan bertujuan untuk menghimpunkan peminat-peminat basikal tua/klasik dari 5 negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Perak untuk bersama-sama mempromosikan gaya hidup sihat dengan mengayuh basikal dan membantu NGO dan kerajaan negeri untuk mempromosikan Melaka Bebas Asap Rokok sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan negeri ini sebagai Bandaraya Teknologi Hijau.




Acara kayuhan yang pertama kali dianjurkan oleh KSTM ini dimulakan dengan Program Ceramah Melaka Bebas Asap Rokok yang disampaikan oleh Dr. Norman Mohd Norawai, Naib Pengerusi (GaNMBAR) sebelum majlis perlepasan untuk memberi maklumat dan informasi yang jelas kepada semua peserta. Antara kelab-kelab basikal tua/klasik yang turut hadir ialah Pertubuhan Kebajikan Ibnu Sina (PERKIS), Basikal Melaka, Kelab Basikal Klasik Pulau Kelapa, Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan, Kelab Basikal Klasik Muar, Pemilik Basikal Klasik Muar, Kelab Sepeda Tua Johor Baharu, Kelab Sepeda Tua Kota Tinggi, PECHAL, Kelab Sepeda Tua Felda Chemplak, Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang, Kelab Basikal Klasik Northport, Port Swettenham Bicycle Club, Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis, Kelab Basikal Tua Bukit Badong, Kelab Basikal Klasik Kinta dan Kelab Basikal Klasik Manjung.






Sementara itu, Ketua Projek Acara KG5, Ikhwanizam Ibrahim, 37, berkata “Sambutan peserta yang hadir untuk acara kayuhan kali ini sangat mengalakkan. Peserta yang hadir bukan sahaja dari kalangan veteran tetapi juga ada dari kalangan remaja dan kanak-kanak. Peserta termuda yang hadir berumur 7 tahun dan yang paling tua pula berumur 72 tahun, ini membuktikan kesedaran di kalangan masyarakat kita tentang gaya hidup sihat kian meningkat.”











Manakala Pengerusi KSTM, Andrew Tan Abdullah, 32, pula berpendapat “Walaupun rata-rata peserta yang hadir mengayuh basikal tua/klasik namun semangat yang ditunjukkan oleh semua peserta sangat mengkagumkan saya. Jarak perjalanan 16km dengan tempo kayuhan santai telah berjaya ditamatkan oleh semua peserta yang hadir. Kami berhasrat untuk menganjurkan acara seperti ini pada tahun hadapan dengan menjemput semua negeri di Semenanjung Malaysia dengan program yang lebih menarik.”




Rombongan peserta konvoi sempat berhenti mengedarkan risalah kepada orang ramai dan pelancong di sekitar Bangunan Merah berdekatan Jam Besar sebelum berhenti berehat di Kota A-Famosa dan kembali semula berkayuh ke Taman Bachang Baru sejauh 16km. Acara KG5 diakhiri dengan majlis penyampaian sijil penghargaan dan hadiah kepada semua pihak yang terlibat oleh YB Senator Datuk Saad Abu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Jeperun) Bachang. Acara turut diceriakan dengan anugerah busana klasik terbaik, basikal klasik terbaik, penyertaan teramai, peserta paling muda, peserta paling veteran, peserta hadir paling jauh, peserta paling ceria dan cabutan hadiah bertuah.






Tarikh Acara : Ahad, 13.10.2013
Anjuran : Kelab Sepeda Tua Melaka (KSTM)
Ketua Projek : Ikhwanizam Ibrahim (Basikal Melaka)