Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Isnin, 1 Mac 2010

Basikal Tua menghiasi ruangan Horizon di akhbar Kosmo keluaran 27hb Februari 2010 (Sabtu)

Hati siapa yang tidak "berbunga-bunga" apabila melihat wajah masing-masing terpampang di dada akhbar Kosmo di ruangan Horizon yang ditulis dan diolah dengan jujur oleh Sdr. Ammar Jazlan Mad Lela pada keluaran Sabtu, 27hb Februari yang lalu. Impaknya, KBTBB menerima banyak ucapan SMS (Tahniah) dari sahabat-sahabat seluruh Malaysia kerana sekali lagi telah berjaya memaparkan basikal tua untuk hidangan pembaca dan peminat basikal tua tanahair. Penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga buat Sdr. Ammar (penulis) dan akhbar Kosmo yang sanggup membuat liputan dan menulis mengenai Acara Kayuhan Putrajaya Ke 2 (AKP2) di ruangan Horizon.

Paparan tersebut sekaligus telah mengangkat martabat dan melestarikan basikal tua untuk tatapan jutaan pembacanya serta peminat basikal tua.
Kepada yang tidak berpeluang mendapatkan akhbar tersebut, KBTBB ingin berkongsikan penulisan Sdr. Ammar mengenai pandangan dan perspektifnya mengenai basikal tua.

HORIZON
Memori zaman bercinta


Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my

KEPADA yang pernah mendengar lagu dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Hidup Sederhana (Basikal Tua) yang sering berputar di corong-corong radio sekitar tahun 80-an, lagu itu mengembalikan ingatan para peminatnya terhadap basikal tua. Basikal cukup penting sebagai pengangkutan utama masyarakat di kampung-kampung dan desa.

Ketika itu, mereka yang memiliki basikal jenama Raleigh, New Hudson, Birmingham Small Arms (BSA), Hercules, Robinhood sudah dianggap mewah dan tergolong dalam kelompok orang berada. Seiring perubahan zaman dan perkembangan ekonomi, peranan basikal semakin terhakis dengan kemunculan pengangkutan moden yang lebih pantas dan selesa seperti kereta dan motosikal.

Kehadiran basikal-basikal moden di pasaran menyebabkan basikal dianggap sebagai ketinggalan zaman, tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang mewah dan bernilai. Di sebalik sentimen tersebut, basikal tua sebenarnya mempunyai kelompok peminatnya tersendiri. Kesukaran mendapatkan basikal-basikal yang dikeluarkan sekitar tahun 40-an hingga 70-an menyebabkan ia dianggap hobi yang mewah kerana harganya boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit.

Pada masa yang sama, alat-alat gantinya juga sukar diperoleh di negara ini dan adakalanya terpaksa diimport. Bagaimanapun, minat mendalam dan nilai estetikanya membuatkan peminat basikal itu sanggup mengeluarkan belanja besar bagi tujuan itu.

Bermula dengan koleksi peribadi individu, minat itu mula dikongsi dalam jaringan yang lebih besar melalui penubuhan beberapa kelab basikal tua di seluruh negara. Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) di Melaka, Kelab Rock 7, Anjung Sepeda Klasik dan Port Swettenham Classic Bicycle (PSCB), Port Klang, Pemilik Basikal Tua Chaah-Labis (PECHAL) dan Kelab Sepeda Tua Johor Bahru (KSTJB) di Johor adalah antara kelab yang popular.

Penyatuan minat itu antara lain menjadi objektif penganjuran Acara Kayuhan Putrajaya kedua (AKP2) oleh KBTBB di sekitar Putrajaya baru-baru ini. Program kali kedua yang dianjurkan itu berjaya menghimpunkan seramai 84 peserta seawal usia sembilan tahun sehingga 61 tahun melibatkan beberapa kelab basikal tua di negara ini. Menariknya, setiap peserta yang memakai pakaian bertemakan tahun 50-an dan 60-an itu berjaya menarik perhatian pengunjung termasuk pelancong asing.

Biarpun dalam keadaan panas terik, namun setiap peserta begitu bersemangat melaksanakan kayuhan sejauh 15 kilometer (km) yang bermula dari Dataran Putra, Putrajaya. Antara lokasi menarik yang dilalui adalah seperti Istana Kehakiman, Monumen Alaf Baru, Jambatan Sri Wawasan, Jambatan Seri Saujana sebelum kembali semula ke Masjid Putrajaya.

Pengarah projek, Ikhwanizam Ibrahim berkata, program itu diadakan sebagai kesinambungan Acara Kayuhan Putrajaya 1 yang diadakan pada 26 Januari tahun lalu. "Tahun lalu kami berjaya mengumpulkan seramai 30 peserta iaitu meningkat hampir tiga kali ganda. "Ini membuktikan basikal tua mempunyai peminatnya yang tersendiri tanpa mengira usia," katanya yang merupakan salah seorang ahli yang aktif merancang pelbagai program untuk KBTBB.

Ikhwanizam yang ditemani isterinya, Azwa Md. Sarif, 34, berkata, program itu bertujuan menghidup dan melestarikan nostalgia lama basikal tua di kalangan masyarakat seperti juga motosikal dan kereta klasik.

Nostalgia silam
"Aktiviti itu bukan sekadar hobi pada masa lapang semata-mata, sebaliknya mendedahkan mereka kepada kegiatan riadah yang sihat dan sewajarnya diamalkan. "Pada masa yang sama ia dapat menjaga alam sekitar dan jika dilaksanakan secara meluas sudah tentu dapat mengurangkan pemanasan global," ujarnya yang berasal dari Lubok China, Melaka. Ikhwanizam menjelaskan, pemilihan Putrajaya adalah sebagai simbolik antara pertembungan sejarah silam dan arus pemodenan sejajar dengan slogan KBTBB iaitu Basikal Tua...Warisan Generasi Muda.

Bagi Shahruni Subari, 55, aktiviti yang diadakan itu sedikit sebanyak mengembalikan nostalgia silam yang pernah dilalui satu ketika dahulu. Memiliki basikal Raleigh (ukuran tayar 26) keluaran tahun 40-an atau lebih dikenali sebagai basikal posmen, Shahruni berkata, dia berbangga kerana dapat mempertahankan tradisi berkenaan sehingga hari ini. "Sejak kecil, basikal sudah sebati dalam hidup saya, malah itulah antara pengangkutan utama masyarakat khususnya di kampung saya di Sijangkang, Banting, Selangor satu ketika dahulu. "Dulu bukan semua orang berduit hendak beli kereta atau motosikal, maklumlah rata-ratanya hanya kerja kampung. "Jadi apabila hendak ke mana-mana selalunya dengan berbasikal sahaja," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Shahruni memberitahu, dia juga pernah berulang-alik sejauh 20 km dari rumahnya ke tempat kerja di Pelabuhan Klang dengan basikal. "Selama empat tahun bekerja di situ, itulah rutin saya setiap hari lagi pun ketika itu umur baru awal 20-an, masih muda dan bertenaga lagi. "Selepas itu barulah saya mengumpul duit dan membeli motosikal untuk ke tempat kerja, kalau rasa nak kayuh basikal saya akan pusing di sekitar kampung sahaja, bagaimanapun lama-kelamaan minat itu hilang begitu sahaja," katanya yang kesal kerana tidak menyimpan basikal itu satu ketika dahulu.

Shahruni memberitahu, antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan ketika itu ialah jatuh cinta pandang pertama dengan isterinya, Siti Hamrah Ghazali, 54, sekitar penghujung tahun 70-an. "Masa itu saya sedang berkayuh basikal di kawasan kampung sebelum terserempak dengannya. Dari situ kami mula berkenalan dan akhirnya menjadi rapat sebelum memutuskan untuk berkahwin," katanya mengimbau kenangan silam.

Kata Shahruni, minatnya mula bercambah terhadap basikal tua selepas menganggotai Kelab Rock 7 yang ditubuhkan di kawasan itu beberapa tahun lalu. "Saya beli basikal ini pada harga RM100. Ketika itu keadaannya agak menyedihkan hanya tinggal rangka dan berkarat di sana sini. "Disebabkan minat mendalam, saya membelanjakan RM800 untuk membaik pulihnya semula, kebanyakan alat-alat gantinya diperoleh di sekitar bandar Klang, walaupun terdapat alat ganti yang tidak sama seperti yang reka bentuk asal, namun bagi saya ia sudah memadai," ujarnya.

Sanggup berhabis wang
Penglibatannya dalam kelab itu kata Shahruni memberinya peluang bertemu dan bertukar-tukar pandangan dengan peminat-peminat basikal tua di samping menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan. "Selain AKP2 ini, saya juga pernah berkayuh bersama ahli kelab ke Morib membabitkan perjalanan sejauh 40 km, selepas ini kami bercadang untuk berkayuh ke Bagan Lalang yang jaraknya jauh 100 km," katanya.

Bagi N. Karuppiah, 42, beliau kini memiliki koleksi 12 basikal tua daripada jenama terkenal seperti Raleigh, Hercules, Raleigh (ukuran tayar 26), Hercules (perempuan) dan Columbia. Lelaki yang menetap di Johor Bahru itu berkata, beliau sememangnya meminati barangan antik termasuk basikal tua sejak kecil, namun tidak berpeluang melakukannya kerana komitmen terhadap tugas dan keluarga.

Kata Karuppiah, minatnya untuk memiliki basikal tua timbul selepas melihat seorang warga emas berusia 72 tahun mengayuh basikal terbabit ketika bekerja sebagai penyelia di pasar raya di Bukit Batok, Singapura pada 2003. "Hati saya begitu tertarik melihatnya mengayuh basikal jenis Hercules sebelum memberanikan diri untuk bertanyakan harganya. "Tanpa diduga beliau bersetuju menjualnya pada harga 60 dolar Singapura (RM144), disebabkan terlalu teruja saya mengayuh basikal itu sejauh 20 km sehingga ke pusat pemeriksaan kastam di Tambak Johor," kata Karuppiah.

Ujarnya, sejak itu beliau semakin bersemangat dan mula menjelajah ke seluruh negara sehingga ke kawasan-kawasan kampung bagi mendapatkan koleksi basikal tua yang diidam-idamkan. "Apa yang pasti kebanyakan basikal yang ditemui sudah terlalu uzur dan terpaksa dibaik pulih untuk kembali seperti asal, malah sehingga kini saya sudah membelanjakan hampir RM16,000 untuk kerja baik pulih dan membeli alat ganti.

"Bayangkan tempat duduk kulit jenama Brook mungkin mencecah RM300 hingga RM500 di pasaran itu belum termasuk lampu seperti lampu karbaid, lampu minyak tanah dan sebagainya yang adakalanya mencecah sehingga RM700 sebuah. "Tidak hairanlah hobi ini agak mahal, namun ia tetap berbaloi kerana bukan mudah untuk mendapatinya pada zaman ini," jelasnya yang aktif menyertai aktiviti kayuhan bersama ahli-ahli Kelab Speda Tua Johor Bahru sebelum ini.

Bagi Amirul Afiq Ezafel Rafique Hassan, 16, minat terhadap basikal tua bermula selepas melihat ayah dan pak ciknya terlibat di dalam beberapa siri konvoi berbasikal sebelum ini. Dia yang kini memiliki basikal Raleigh Sport 1960 mengakui bahawa dirinya lebih teruja mengayuh basikal tua berbanding basikal-basikal moden lain kerana nilai sejarahnya yang tersendiri.

"Selain saya dan adik-beradik yang lain, Amirah Aqilah, 14 dan Amir Uzair Afiq, 9, juga menunjukkan minat yang sama. Jika berkesempatan kami semua akan berkonvoi bersama-sama ayah dan menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan di seluruh negara," katanya.