Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Khamis, 26 Januari 2012

Liputan Mesyuarat Agong KBTBB Kali Ke-3 - KBTBB mampu ke peringkat INTERNASIONAL

Sebagai sebuah Kelab / Persatuan yang sah berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), KBTBB telahpun berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Kali Ke-3 dengan lancar dan teratur pada Sabtu, 21hb Januari 2012 bertempat di Hang Tuah City Hotel, Melaka Raya yang telah bermula jam 9:30 malam dan berakhir jam 11:00 malam. Mesyuarat yang dihadiri 90% kedatangan ahli-ahli melebihi 2/3 telah memutuskan untuk mengekalkan kesemua Jawatan yang telah disandang oleh barisan Ahli Jawatan Kuasa yang sedia ada dan hanya 1 jawatan yang beralih kepimpinan iaitu Jawatan Setiausaha II yang menampilkan Puan Rokiah sebagai muka baru.

Mesyuarat Agong KBTBB Kali Ke-3 ini telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka yang diiringi Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka iaitu Datuk Wira Othman Muhamad, YAB Senator Datuk Saat Abu dan tetamu kenamaan. KBTBB sangat bertuah kerana Mesyuarat kali ini dihadiri oleh ramai pemimpin kerajaan yang sudi menceriakan Majlis Perasmian Mesyuarat oleh YAB Ketua Menteri Melaka. Dalam ucapan pembukaannya Datuk Seri Ali Mohd Rustam sempat menyampaikan serangkap pantun yang berjaya mencuit hati tetamu yang hadir... "Kalau tidak kerana bulan, tidaklah pungguk duduk menanti, kalau tidak kerana tuan (basikal tua Batu Berendam), tidaklah saya datang ke mari".




Khamis, 5 Januari 2012

KBTBB diundang ceriakan Program Jelajah Basikal Melaka 2012 sempena sambutan ulang tahun ke-750 Melaka

Tanggal 1.1.2012 hari pertama di tahun baru 2012 KBTBB muncul bergaya apabila dijemput untuk mengiringi VVIP iaitu Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dalam Program Jelajah Basikal Melaka 2012 sempena sambutan ulang tahun ke-750 Melaka. Acara pembuka tirai tahun 2012 ini telah bermula seawal jam 8:00 pagi di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah menyaksikan penyertaan hampir 2,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur serta pelbagai jenis basikal bagi menjayakan acara dan program tersebut.


KBTBB diketuai oleh orang kuat Ketua Menteri Melaka iaitu En. Roslan Mat Nong bersama Pengerusi KBTBB iaitu Sdr. Alias Omar dan ahli-ahli KBTBB

Menurut penganjur acara, Program dua hari acara kayuhan sejauh 242 kilometer ini merentasi kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka telah disertai 7,000 peserta secara keseluruhannya. Datuk Seri Mohd. Ali Rustam ketika berucap sebelum permulaan program itu berkata objektif berbasikal itu selain membudayakan aktiviti sukan berbasikal juga sebagai program turun padang oleh pemimpin masyarakat bertemu rakyat di seluruh pelusuk negeri ini. KBTBB dalam acara tersebut telah diberikan penghormatan apabila diminta bersama-sama mengiringi kumpulan pertama yang disertai TYT, Ketua Menteri Melaka, Exco-exco Kerajaan Negeri, Wakil Rakyat, Ketua-ketua Jabatan dan VVIP.

KBTBB berada dibarisan belakang VVIP untuk mengiringi kumpulan pertama peserta yang disertai oleh orang-orang kenamaan dan VVIP termasuk TYT dan Ketua Menteri Melaka

Hari Pertama (1.1.2012), para peserta telah berkayuh sejauh 112 kilometer dan antara laluan ialah Perigi Hang Li Poh, Telok Mas, Pengkalan Renggam, Semabok, Serkam, Sungai Rambai, Merlimau, Simpang Kerayong, Kesang, Bukit Sedanan, Durian Tunggal, Gangsa, Batu Berendam dan berakhir di tempat permulaan pada kira-kira pukul 9 malam. Manakala pada Hari Kedua, para peserta telah berbasikal sejauh 130 kilometer menuju ke Bachang, Pokok Mangga, Klebang, Pantai Kundur, Sungai Udang, Masjid Tanah, Tanjung Bidara, Kuala Sungai Baru, Ramuan China, Ayer Kuning, Brisu, Simpang Ampat, Gadek, Alor Gajah, Paya Rumput, Stadium Hang Jebat, Sungai Putat, Bukit Beruang dan Dataran MBMB sebagai destinasi terakhir.