Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Rabu, 15 September 2010

Salam Aidilfitri - Maaf Zahir & Batin dan Selamat Menyambut Hari Malaysia

KBTBB dan seluruh ahli-ahlinya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Menyambut Hari Malaysia kepada seluruh sahabat-sahabat basikal tua tanahair. Sambil kita bergembira bersempena Syawal bersama sanak saudara marilah kita bangkit menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini sebagai simbolik taat setia dan cintakan Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing dan di mana sahaja. Sebagai sebuah negara yang Merdeka dan berdaulat kita seharusnya bersatu-padu, bersemangat, beradab, hormat-menghormati dan berusaha keras membangunkan negara ini ke arah yang lebih maju.

Dikesempatan ini KBTBB ingin menyampaikan Salam Aidilfitri daripada seluruh ahli-ahlinya kepada semua pembaca blog ini. Insyaallah KBTBB akan kembali aktif dengan pelbagai aktiviti basikal tua selepas menyambut lebaran ini. Justeru itu kami ingin memohon ampun dan maaf seandainya terdapat salah dan silap selama ini. Semoga kemeriahan Aidilfitri ini dimanfaatkan sepenuhnya tanpa melupakan hari yang paling bermakna bagi kita warga Malaysia iaitu Hari Malaysia 16 September - Admin KBTBB

...

Khamis, 2 September 2010

KBTBB tetap bersemangat menyambut Kemerdekaan Negara yang ke 53 di Melaka

Tepat detik 12:00 malam 31 Ogos 2010 yang lalu Melaka telah menyaksikan 30 jiwa patriotik yang kental hadir melaungkan "Medeka! Medeka! Merdeka!" di hadapan Jam Besar / Bangunan Merah, Bandar Hilir, Melaka. Walaupun tiada acara rasmi yang dianjurkan Kerajaan Negeri Melaka, namun atas prinsip dan semangat cintakan Malaysia KBTBB hadir mengayuh basikal tua masing-masing mengelilingi Negeri Melaka bersama Jalur Gemilang untuk menceriakan suasana diambang Merdeka pada malam 30 Ogos 2010 yang lalu.

Kemerdekaan Negara ke 53 yang bertemakan "1Malaysia Menjana Transformasi" dilihat sebagai tema yang sangat bertepatan dengan inspirasi dan halatuju KBTBB selama ini. Dalam tempoh kurang 3 tahun KBTBB telah berusaha dan akan meneruskan "Transformasi" untuk kekal relevan memperjuangkan basikal tua di Malaysia dan Nusantara. Perkembangan hobi basikal tua di Malaysia juga kini sudah menampakkan kemajuan yang sangat positif dan sihat. Kehadiran generasi muda yang tampil dengan idea-idea kreatif yang baru dan segar telah menyuntik dan membakar semangat pencinta-pencinta basikal tua di seluruh tanahair.

Sdr. Jebat bangga bergambar bersama basikal tua yang dihiasi Jalur Gemilang bersama ahli-ahli KBTBB sebelum memulakan acara kayuhan di malam Merdeka baru-baru ini.

Dari kanan Sdr. Alias Omar, Tok Penghulu, Sdr. Fadhil dan Sdr. Jebat tetap bersemangat melaungkan "Merdeka!" sebagai tanda patriotik kepada perjuangan tokoh-tokoh Kemerdekaan Negara.

...

Rabu, 1 September 2010

Program Salam Ramadhan KBTBB kini memasuki tahun ke 2

28hb Ogos 2010 bersamaan 18 Ramadhan 1431H - KBTBB sekali lagi telah berjaya menganjurkan Program Salam Ramadhan buat 2 tahun berturut-turut dengan mengedarkan bubur lambuk di sekitar Kampung Batu Berendam, Melaka. Walaupun program pada tahun ini berlangsung sederhana namun jumlah bubur lambuk yang diagihkan meningkat daripada 180 bungkus tahun lepas kepada 250 bungkus tahun ini. Dengan sumber kewangan kelab yang semakin kukuh, KBTBB bersyukur kerana dapat meneruskan program amal ini untuk ahli-ahlinya dan penduduk setempat.

Program memasak bubur lambuk ini telah bermula seawal jam 10:30 pagi oleh pakar-pakar tukang masak bubur lambuk yang telah bersedia dengan ramuan istimewa unik yang lain daripada bubur lambuk yang biasa. Sdr. Jebat selaku Ketua Program Salam Ramadhan telah mengetuai program ini dengan dibantu oleh ahli-ahli dan orang-orang kuat KBTBB. Tepat jam 3:00 petang bubur lambuk yang dimasak KBTBB telah tersedia untuk diedarkan.

Sebagai simbolik nostalgia lama, bubur lambuk dengan pelekat bermesej mula diedarkan dengan menggunakan 2 buah basikal tua disekeliling kampung. Walaupun cuaca terik dan panas sehingga ke petang namun berkat kesungguhan serta niat untuk beramal KBTBB telah berjaya mengedarkan kesemua bubur lambuk yang telah dimasak dan dibungkus. Kira-kira jam 5:30 petang KBTBB selesai dan berjaya menamatkan program yang telah dirancang. Salam Ramadhan buat semua pembaca blog KBTBB - Admin

Abang Joe sedang mengisi bubur lambuk di dalam bakul sebelum diedarkan menaiki basikal tua.


Ini dia pakar masak bubur lambuk yang mengacau dengan cara "blues"...slow and steady brader.


Along (berbaju merah) membantu mengisi bubur lambuk di dalam bungkusan yang sebelum diedarkan dibantu oleh Sdr. Razak (baju biru)


Abg. Yusop juga menyumbangkan tenaganya membantu menjayakan Program Salam Ramadhan untuk KBTBB walaupun beliau baru menyertai KBTBB.


Stiker bermesej "Salam Ramadhan - Semoga Silaturahim Terus Berkekalan" ditampalkan pada bungkusan bubur lambuk sebagai tanda Silaturahim.


Tok Penghulu (Abg Midi) menyampaikan bubur lambuk pertama kepada Pengerusi KBTBB iaitu Sdr. Alias Omar sebelum mengedarkannya seluruh kampung.


2 buah basikal tua digunakan untuk mengedarkan bubur lambuk pada tahun ini. Sdr. Jebat (baju belang) mengetuai Program Salam Ramadhan tahun ini.


Prihatin - Sdr. Khalib menyampaikan bubur lambuk KBTBB kepada Warga Emas di Kampung Batu Berendam.


Inilah jasa basikal tua kepada bangsanya... biar dihambat kemodenan dan kemajuan basikal tua terus berjasa kepada bangsanya. KBTBB akan tetap memperjuangkan basikal tua untuk generasinya.
...