Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Selasa, 9 Februari 2010

Jemputan ke Acara Kayuhan Putrajaya 2 - KBTBB melestari basikal tua di Bandaraya Pintar dalam Taman pada Ahad, 14.02.2010

KBTBB amat berbesar hati untuk menjemput semua pembaca dan peminat basikal tua/klasik seluruh Malaysia untuk turun ke Putrajaya pada hari Ahad ini iaitu bersamaan 14hb Februari 2010 untuk mempromosi dan melestarikan basikal tua di Putrajaya yang terkenal sebagai sebuah Bandaraya Pintar dalam Taman (The Intelligent Garden City). KBTBB yang akan turun bersama 50 ahli dan sahabat-sahabat dari Melaka akan berkayuh sejauh 15km untuk melawat tempat-tempat menarik sekitar Putrajaya dengan mengayuh basikal tua kesayangan masing-masing. Kayuhan dan aktiviti KBTBB kali ini telah dirancang khusus mengikut kehendak, selera dan cadangan daripada ahli-ahlinya yang sentiasa dahagakan aktiviti dan acara kayuhan.

Pejabat Perdana Menteri Malaysia (JPM) yang menjadi simbolik senibina
berunsurkan Islamic Modern Art

Masjid Putra yang terletak di Dataran Putra yang menjadi tumpuan pelancong luar negara yang datang ke Putrajaya

Keunikan Putrajaya atau nama rasminya Wilayah Persekutuan Putrajaya merupakan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia bagi menggantikan Kuala Lumpur. Putrajaya, bandaraya pintar dalam taman terletak 25 kilometer di selatan Kuala Lumpur merupakan sebuah bandaraya futuristik yang menempatkan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan negara Malaysia. Mula dibina pada 16 April 1995, Putrajaya telah mengaplikasikan teknologi maklumat (IT) dan moden untuk penduduknya. Dengan terbinanya Putrajaya, dijangkakan gabungan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menjadi Bandar Gergasi standing dengan Tokyo dan Yokohama di Jepun yang termoden.

Seni bina Jambatan Seri Saujana yang futuristik

Jambatan Seri Wawasan yang sering menjadi ikon dan landmark futuristik terkenal di seluruh dunia dengan berlatar-belakangkan pemandangan Putrajaya

Walaupun Putrajaya merupakan bandaraya yang moden namun sejarah warisan dan budaya silam sewajarnya dipertahankan. Rasionalnya KBTBB hadir ke Putrajaya untuk membawa mesej penting iaitu "Basikal Tua....Warisan generasi Muda" dan meneruskan penjuangan melestarikan basikal tua di Malaysia. Sememangnya kita tidak menolak kemajuan dan kemodenan tetapi nilai-nilai murni dan warisan bangsa juga tidak seharusnya terus dilupakan. Ke manakah arah dan akhirnya hobi basikal tua ini? Hanya kita dan Allah S.W.T sahaja yang tahu...tepuk dada, tanyalah diri sendiri. Tiada kejayaan tanpa usaha dan pengorbanan.

Maklumat lanjut acara kayuhan seperti berikut :-

Tarikh
Ahad, 14hb Februari 2010

Masa
2:30 petang – 6:30 petang

Tempat Mula
Dataran Putra / Masjid Putra

Laluan / Lokasi
Dataran Putra – Kementerian Kewangan – Mahkamah Keadilan – Perbadanan Putrajaya - Monumen Alaf Baru – Jambatan Seri Wawasan – Jambatan Seri Saujana – Masjid Putrajaya

Tempat Rehat
Jambatan Seri Wawasan

Tempat Berakhir
Dataran Putra / Masjid Putra

Sila berkumpul di Dataran Putra berhampiran Masjid Putra untuk sesi taklimat dan silaturahim pada jam 1:30 tengahari.