Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Jumaat, 22 Oktober 2010

Kayuhan Melaka Maju 2010 berjaya mencatat rekod konvoi basikal terpanjang di dalam Malaysia Book of Records (MBR)

Pada Ahad 17 Oktober 2010 yang lalu KBTBB bersama lebih 40 ahli-ahlinya turun padang menyertai Kayuhan Melaka Maju 2010 yang telah diadakan di Sungai Rambai, Melaka. Walaupun majoriti peserta yang hadir adalah dari "geng-geng baju ketat" dan "geng-geng basikal moden" namun kehadiran basikal tua tetap unik dan hadir sebagai "penyeri" pada program hari tersebut. Pada dasarnya program Kayuhan Melaka Maju 2010 ini adalah satu program kerajaan negeri Melaka untuk melestarikan budaya berbasikal sebagai satu budaya yang sihat dan mengurangkan polusi serta mengeratkan silaturahim.

Melalui program seumpama ini KBTBB melihatnya sebagai satu bentuk sokongan padu yang kolektif daripada pelbagai kelab-kelab basikal di negeri ini untuk merealisasikan satu program komuniti yang sihat disamping mencatat sejarah di dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai konvoi basikal terpanjang di Malaysia disertai 2,270 peserta sejauh 20.10km. Pastinya impian melihat usaha berbasikal seumpama ini tercatat di dalam Malaysia Book of Records (MBR) bukan lagi satu angan-angan "Mat Jenin" kerana KBTBB telah turut serta bersama-sama merealisasikannya :) dan ianya bukanlah suatu perkara yang mudah dan "enteng" serta bukan sekadar cakap-cakap kosong.

Tahun 2010 merupakan tahun yang amat bertuah bagi negeri Melaka kerana ia telah diiktiraf sebagai sebuah negeri yang maju melalui 5 aspek penting yang meliputi 32 indikator yang tidak melebihi sasaran terendah ditetapkan oleh OECD. Antaranya ialah berkaitan kadar inflasi, kadar pengangguran, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jangka hayat, kadar kematian dan kadar jenayah. Melaka dikira sebagai negeri maju selepas memenuhi lima aspek penting meliputi ekonomi, sosial, infrastruktur, alam sekitar dan pentadbiran.

Pengistiharan Melaka Maju 2010 telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi sidang video di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dibuat secara langsung terus ke Stadium Hang Jebat disaksikan kira-kira 50,000 orang termasuk Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Perisytiharan itu dibuat tepat pada jam 8.10 malam ini atau jam 2010, pada tarikh 20.10.2010.

Dengan pengiktirafan ini KBTBB akan sentiasa bersama-sama Kerajaan Negeri Melaka akan berusaha dan bekerja dengan lebih keras untuk memastikan Melaka terus maju dan masyhur melalui pelbagai kegiatan dan aktiviti berbasikal yang akan dirancang kelak. KBTBB juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur acara Kayuhan Melaka Maju 2010 semoga usaha-usaha berbasikal di negeri Melaka akan dapat diteruskan secara konsisten di masa hadapan. Pastinya KBTBB telah banyak mengutip pengalaman berharga dan berasa amat bertuah bernaung di bumi Melaka yang tercinta ini. - Admin KBTBB.