Antara kelab dan pemilik basikal tua yang hadir ialah , Kelab Basikal Klasik Muar, Kelab Basikal Klasik Batu Pahat, Kelab Basikal Antik Benut, Kelab Basikal Klasik Kota Tinggi, PECHAL , Kelab Sepeda Tua Sijangkang, Kelab Basikal Klasik Pulau Pinang, Kelab Basikal Klasik Ipoh, Pemilik Basikal Klasik Kluang, Pemilik Basikal Klasik Segamat, Pemilik Basikal Klasik Pontian disamping Kelab Basikal Klasik Johor sendiri.
KBTBB yang hadir dengan busana klasik era Munsyi Abdullah, Kolonial Inggeris dan Portugis telah berjaya mencuit hati pengunjung-pengunjung dan peserta-peserta yang hadir di Dataran Pontian, Johor. Kebanyakkan peserta yang hadir turut mengenakan busana klasik dari era 60an, pakaian uniform seperti tentera, polis, bomba, tentera jepun dan pakaian tradisional. Peserta yang hadir pula terdiri dari golongan muda dan veteran dari pelbagai lapisan masyarakat seperti Melayu, Cina dan India telah berjaya memeriahkan acara.
Menurut Naib Pengerusi KBTBB iaitu En. Jebat Ramli kehadiran KBTBB sebagai kelab basikal tua/klasik pada acara seperti ini ialah bertujuan untuk mempromosikan keunikan dan kelainan yang ada di negeri Melaka yang kaya dengan nostalgia warisan silamnya. ”Kita hadir bukan sahaja untuk mengayuh basikal tua tetapi memperkenalkan budaya dan keunikan negeri Melaka dengan memakai pakaian klasik mengikut tema, kelainan ini membezakan KBTBB dengan kelab-kelab yang lain” tambah beliau lagi.
Acara yang bermula di Dataran Pontian telah membawa rombongan besar peserta menyusuri Jalan Taib, Parit Mesjid, Jalan Sekolah Arab dan berhenti berehat di tepi pantai berhampiran Pusat Perdagangan Pontian sebelum berakhir di tempat permulaan sejauh 12km. Acara Kayuhan Terowong Masa yang bertujuan untuk mengimbau sejarah dan melestarikan warisan basikal tua ini telah berjaya menarik penyertaan golongan generasi muda untuk menjadi generasi penyambung kepada warisan bernilai dan berharga ini.
Majlis penutup acara ini telah disempurnakan oleh Yang Mulia Tunku Datuk Hassan Ibni Almarhum Tunku Mohd Archibald dengan penyampaian cenderahati dan sijil penyertaan kepada semua peserta. KBTBB bersama AJK dan ahli-ahlinya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kelab Basikal Klasik Johor dan Kelab Basikal Antik Benut kerana telah berjaya menguruskan peserta dan acara kayuhan pada kali ini. Tahniah dan syabas buat semua yang terlibat. - Admin KBTBB