Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Isnin, 12 September 2011

Majlis Perasmian Bilik Gerakan KBTBB pada 09.09.2011 (Jumaat, 11 Syawal 1432H) oleh YAB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka

Tanggal 09.09.2011 yang jatuh pada hari Jumaat bersamaan 11 Syawal 1432H pastinya akan terpahat sebagai kenangan paling bermakna dan penuh bersejarah bagi seluruh ahli-ahli dan warga KBTBB. Disaksikan oleh 1000 tetamu jemputan Bilik Gerakan KBTBB telah selamat dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka tepat jam 4:30 petang bersempena lawatan beliau ke Batu Berendam baru-baru ini. Projek dan idea asal pembinaan Bilik Gerakan ini telah dicetuskan sendiri oleh Penaung KBTBB iaitu En. Zulkifli Osman yang begitu enthusias (bersemangat tinggi) kerana ingin melihat KBTBB mempunyai sendiri tapak/tempat untuk terus melebarkan sayapnya.

Dua buah kabin terpakai yang disumbangkan oleh Syntax Valley Sdn. Bhd. telah dibangunkan dan diubah-suai sendiri oleh ahli-ahli KBTBB dengan menggunakan keringat, kudrat, pengorbanan masa dan wang simpanan kelab. Semua ini dilakukan semata-mata mahu melihat kelab (KBTBB) yang dicintai terus maju dan jaya. Itulah pengorbanan sebenar ahli-ahli KBTBB untuk kelabnya. Terletak di tengah-tengah Kampung Batu Berendam, Bilik Gerakan ini bakal menjadi pusat sehenti (one-stop-centre) bagi menguruskan pelbagai aktiviti basikal tua di Melaka. Bilik Gerakan ini juga akan menjadi pusat pentadbiran yang menempatkan ruang pejabat dan galeri serta tempat simpanan basikal tua dan aset milik kelab.

Semasa sessi lawatan singkatnya di Bilik Gerakan KBTBB, beliau tidak putus-putus memuji KBTBB kerana telah berjaya melakukan banyak aktiviti sepanjang tahun - bermula dari tahun 2008 sehingga sekarang (2011) setelah melihat sendiri paparan foto-foto menarik dan keratan-keratan akhbar yang dipamerkan. Sebelum berpisah beliau juga berharap budaya berbasikal ini akan dapat diteruskan bukan sahaja dikalangan ahli-ahli KBTBB tetapi dikalangan penduduk dan masyarakat di Batu Berendam dan di Melaka setiap hari. Dengan mengamalkan budaya berbasikal rakyat akan menjadi sihat dan secara tidak langsung akan dapat mengurangkan pemanasan global, pesan beliau sebelum berpisah - Admin KBTBB.

YAB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka mengayuh basikal menuju ke Bilik Gerakan KBTBB untuk menyempurnakan Majlis Perasmian diiringi ahli-ahli KBTBB.

Pemimpin berjiwa rakyat...menyukai apa yang rakyatnya suka...keunggulan kepimpinan YAB Ketua Menteri Melaka sentiasa menjadi contoh kepada rakyat Negeri Melaka.

Sebahagian ahli-ahli KBTBB mengiringi Ketua Menteri Melaka mengayuh basikal tua...lengkap berpakaian baju melayu dan bersampin songket.

Bilik Gerakan KBTBB yang telah disumbangkan oleh Syntex Valley Sdn. Bhd. yang telah diubah-suai menjadi pejabat pentadbiran dan galeri serta tempat simpanan basikal tua KBTBB.

YAB Ketua Menteri Melaka sempat meluangkan masa menghayati dan melawat Bilik Gerakan KBTBB yang mempamerkan koleksi foto-foto menarik dan keratan-keratan akhbar mengenai KBTBB dan basikal tua.

Sebahagian koleksi dan cenderahati yang dipamerkan di dalam Bilik Gerakan KBTBB...

Untuk makluman pembaca, Projek Bilik Gerakan KBTBB ini yang telah dimulakan pada pertengahan bulan Julai 2011 yang lalu telah diketuai oleh Pengerusi KBTBB iaitu Abg Alias Omar bersama Sdr. Kalib, Sdr. Jebat, Tok Penghulu dan barisan AJK KBTBB serta dibantu oleh ahli-ahli KBTBB.

Pemandangan awal sewaktu kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh ahli-ahli KBTBB...

Bersama mengerah tenaga dan keringat untuk membina Bilik Gerakan KBTBB demi kelab yang dicintai...

Jangan tanya apa yang kelab boleh buat untuk anda...tanya pada diri sendiri apa yang anda boleh lakukan untuk kelab...tak guna belajar tinggi melangit dan berjawatan tinggi kalau tak berkhidmat untuk bangsa sendiri...

Di sinilah bakal tersimpannya banyak koleksi berharga dan khazanah negara yang paling bernilai... inilah buktinya...
...

Program Salam Ramadhan 1432H KBTBB berjaya diadakan 3 tahun berturut-turut (2009-2011)

Bulat air kerana pembetong, bulat manusia kerana muafakat. Program Salam Ramadhan yang diperkenalkan sejak 2009, kini terus dikekal dan dilaksanakan sehingga 2011 buat 3 tahun berturut-turut, ini membuktikan semangat bersatu hati dan kerjasama yang kental serta kukuh dikalangan ahli-ahli KBTBB. Pada hari Ahad 14hb Ogos 2011 bersamaan 14 Ramadhan 1432 yang lalu, KBTBB sekali lagi membuktikan bahawa kelab basikal tua yang berpengkalan di Batu Berendam ini masih konsisten menjalankan kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat.

Acara memasak yang bermula jam 10:30 pagi ini berjaya mengumpulkan sejumlah 30 orang ahli-ahli KBTBB bergotong-royong untuk melaksanakan tugas-tugas memasak, membungkus dan mengedarkan sejumlah 300 bungkusan bubur lambuk pada tahun ini. Berbanding 2 tahun sebelum ini peningkatan jumlah bubur lambuk melebihi 50 bungkus menjadi 300 bungkus berbanding 250 bungkus pada tahun lepas 2010 dan 180 bungkus pada tahun 2009. Alhamdulillah dari tahun ke tahun KBTBB diberi rezeki dan sumber kewangan yang mencukupi untuk terus aktif dan progresif.

Menurut Sdr. Jebat kesemua bubur lambuk yang telah dimasak ini telah diedarkan ke seluruh penduduk kampung berhampiran termasuk ke rumah Ketua Menteri Melaka, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, dan Balai Polis Batu Berendam. "Objektif utama untuk memupuk semangat kerjasama dan bersatu hati ternyata sudah tertanam sejak penubuhan kelab ini pada tahun 2008, itulah kunci dan rahsia KBTBB kekal sebagai kelab basikal tua yang sentiasa aktif dan dapat memenuhi kehendak ahli-ahlinya" tambah Sdr. Jebat lagi.

Manakala bagi Pengerusi KBTBB iaitu Abg. Alias Omar "Program seumpama ini seharusnya kita teruskan setiap tahun. Kelab ini wujud bukan sekadar suka-suka, kita telah buktikan kita juga mampu mengada dan menganjurkan banyak aktiviti sepanjang tahun selain hanya hadir memenuhi undangan berkayuh...Insyaallah dengan limpahan rezeki dan rahmat dari Allah s.w.t. kita akan teruskan usaha menjadikan KBTBB kelab yang berjaya bukan sahaja dalam hal-hal keduniaan tetapi juga akhirat". Program Salam Ramadhan 1432H berakhir dengan semua ahli-ahli yang hadir bergotong-royong membersihkan periuk dan tempat memasak. - Admin KBTBB

Sdr. Hafiz membantu mengisi bubur lambuk di dalam bekas untuk diedarkan kepada penduduk di sekitar kampung Batu Berendam.

Ini dia "pengerak-utama" Program Salam Ramadhan KBTBB tak lain tak bukan Sdr. Jebat yang sentiasa memastikan KBTBB sentiasa seimbang menjalankan aktiviti selari dengan tuntutan dunia dan akhirat.

Menyampaikan sumbangan ikhlas khas buat penduduk di sekitar Batu Berendam terutamanya Warga Emas...Sdr. Jebat (NAib Pengerusi KBTBB) membuktikan keprihatinan KBTBB melalui program ini.

Setiausaha Kerja KBTBB iaitu Sr. Radzwan juga sempat meluangkan masanya menyumbangkan masa dan tenaga menjayakan Program Salam Ramadhan pada tahun ini.


KBTBB melalui Pengerusinya iaitu Abg Alias Omar sempat menyampaikan sumbangan bubur kepada Abg Rahman yang sanggup turun dari Senawang, Negeri Sembilan.
...