Melaka, 31 Januari 2011 – KBTBB bersama 30 ahlinya sanggup meredah hujan untuk memeriahkan acara perlepasan acara Le Tour De Langkawi (LTDL) 2011 peringkat ke 9, Melaka - Nilai, di hadapan Hang Tuah Mall. Lengkap berpakaian klasik dan unik mereka mengayuh basikal tua dari Batu Berendam seawal jam 7:00 pagi menuju ke Bandaraya Melaka untuk bersama-sama menyokong acara tersebut. Kehadiran KBTBB pada acara ini ialah sebagai simbolik mengibau nostalgia silam dan kewujudan basikal tua di Malaysia sebagai salah satu kenderaan tertua dan popular satu masa dahulu.
Kebanyakan ahli-ahli KBTBB mengenakan busana atau pakaian yang bersesuaian dengan zaman basikal tua itu digunakan untuk menghidupkan kembali warisan silam. KBTBB yang sering hadir menyokong setiap aktiviti dan acara kerajaan negeri Melaka membuktikan kelab ini serius dan bersungguh-sungguh untuk membantu merancakkan sektor pelancongan dan mempertahankan Bandaraya Melaka sebagai tapak warisan dunia yang diiktiraf UNESCO.
Walaupun ahli-ahli KBTBB basah kerana hujan yang turun tidak berhenti namun itu tidak pernah mematahkan semangat ahli-ahlinya untuk terus setia berada di hadapan Hang Tuah Mall untuk memastikan acara yang dirancang berjayanya. Menurut Pengerusi KBTBB, En. Alias Omar “Walaupun kami kelab basikal tua namun kebanyakkan ahli-ahli KBTBB adalah dari golongan muda. Golongan muda inilah yang memberikan nafas baru kepada kelab basikal tua untuk terus aktif dan diminati. Istimewanya hari ini kayuhan disertai oleh Adik Ayu Izzati dari Kuala Lumpur yang berumur 9 tahun dan En. Rahman dari Seremban sanggup hadir semata-mata mahu berkayuh bersama-sama kami (KBTBB)”.
Ringkasnya kehadiran basikal tua pada acara LTDL 2011 ini menjadi sejarah penting bahawa warisan silam tidak seharusnya dipinggirkan sebaliknya dihargai agar ianya seimbang dengan kemajuan dan kemodenan. KBTBB juga hadir untuk memberikan sokongan padu pada penganjuran LTDL 2011 yang secara tidak langsung mempromosikan pelancongan negeri Melaka dan Malaysia dan berharap pihak penganjur LTDL 2011 meneruskan acara ini setiap tahun dan kembali singgah ke Melaka - Admin KBTBB
http://ltdl.com.my/2011/photogallery/stage9/index.asp#