Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Isnin, 3 Januari 2011

KBTBB meraikan kedatangan 1.1.11 bersama 60 peserta mengelilingi Bandaraya Melaka

Batu Berendam – Kedatangan tahun baru 2011 dan tarikh 1.1.11 (Sabtu yg lalu) telah disambut dengan meriah oleh kira-kira 60 peserta-peserta dan pemilik-pemilik basikal tua dari negeri Melaka, Johor, dan Perak yang berkayuh bermula dari Batu Berendam mengelilingi Bandaraya Melaka sejauh 25km. Acara kayuhan basikal tua yang telah dianjurkan oleh Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB), Melaka telah disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat iaitu Melayu dan Cina serta pelbagai peringkat umur bermula dari umur 7 tahun sehingga 65 tahun. Mereka hadir memeriahkan acara demi cintakan warisan dan mempromosikan hobi basikal tua sebagai hobi yang unik dan sihat.

Siaran Akhbar mengenai Acara 1Citra, 1Jiwa, 1Ekspresi yang disiarkan oleh Akhbar Rasmi Melaka Hari Ini (MHI) pada 4 Januari 2011.

Bermula seawal 8:45 pagi peserta telah dilepaskan (flag-off) dengan rasminya oleh Pengerusi JKKK Batu Berendam iaitu En. Ghafar bin Othman bersama Penaung Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) iaitu En. Zulkifli bin Osman bertempat di hadapan pengkalan utama KBTBB. Peserta-peserta telah dibawa berkayuh mengelilingi Bandaraya Melaka oleh KBTBB dan berkesempatan mempamerkan koleksi basikal tua sebanyak 60 buah dari jenama Raleigh, BSA, Hercules, Norman, Phillips, Robinhood dan sebagainya dari tahun 1930an – 1960an di hadapan Stadhuys (Bangunan Merah). Kehadiran peserta-peserta basikal tua di situ telah menjadi tumpuan dan perhatian pelancong yang datang dari luar dan dalam negara.

Acara kayuhan yang bertemakan 1 Citra, 1 Jiwa dan 1 Ekspresi telah berlangsung dengan jayanya apabila peserta yang hadir memakai pakaian klasik dan unik bersama basikal tua masing-masing mengikut era dan zaman basikal tua itu dikeluarkan. Kehadiran puluhan basikal tua di Bandaraya Melaka pada hari Sabtu lalu bersempena tahun baru 2011 secara tidak langsung mengambarkan keunikan Bandaraya Melaka sebagai bandaraya berstatus Warisan Dunia yang diiktiraf UNESCO. Basikal tua menjadi bukti bahawa Melaka masih mengekalkan warisan dan budaya masyarakat setempatnya untuk tatapan pelancong yang datang.

Peserta berkesempatan bergambar di hadapan Memorial Kemerdekaan di Banda Hilir Melaka bersama basikal tua masing-masing.

Menurut En. Ghafar bin Othman iaitu Pengerusi JKKK Batu Berendam “Kelab Basikal Tua Batu Berendam telah berjaya mengharumkan nama negeri Melaka dan nama Batu Berendam dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang sepanjang tahun lalu (2010). Batu Berendam kini lebih dikenali kerana wujudnya KBTBB dengan aktiviti-aktivit basikal tua yang bukan sahaja melibatkan acara di peringkat negeri malah di peringkat negara”. Beliau yang hadir menyokong usaha KBTBB sempat menyampaikan amanat dan azam beliau untuk terus membantu KBTBB merancang acara yang lebih besar pada tahun baru ini.
...
“Pada tahun 2011 ini KBTBB sedang merancang untuk membawa ahli-ahlinya ke Bandung, Indonesia untuk meneruskan kempen dan lawatan balas Kayuhan 2 Negara (K2N) Malaysia – Indonesia pada April 2011 nanti…Insyallah”. Menurut En. Zulkifli Osman, Penanung KBTBB. Tambah beliau lagi “Dengan adanya sokongan dari semua pihak, kami yakin KBTBB akan melangkah lebih jauh lagi untuk mempromosikan Melaka dan hobi basikal tua ini ke peringkat ASEAN”. Menurut Zulkifli lagi acara yang bermula seawal hari pertama tahun baru 2011 mengambarkan semangat dan iltizam KBTBB untuk terus memperjuangkan warisan basikal tua di peringkat nasional dan antarabangsa.
...
Acara kayuhan yang tamat di pengkalan KBTBB telah diraikan dengan majlis penyampaian sijil dan makan tengahari yang ringkas. Dikesempatan ini KBTBB ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua peserta-peserta yang terlibat menjayakan acara kayuhan pada 1.1.11 yang lalu. Terutamanya terima kasih buat pemilik basikal tua yang datang dari Muar, Johor dan pemilik basikal tua dari negeri Melaka. Tidak lupa buat Sdr. Sanim dari PECHAL dan Sdr. GB dari Batu Gajah, Perak.
...
Ringkas kata Bak kata pepatah...tidak ada gading yang tak retak dan janganlah dijadikan perkara-perkara yang remeh sebagai kempen memburukkan KBTBB. Sebarang komentar itu biarlah konstruktif dan bukanlah sebaliknya. Kami berharap dengan kehadiran 2011 ini akan menjadi tahun yang terus cemerlang dan gemilang untuk kita bersama-sama menyambung perjuangan basikal tua ini ke peringkat yang lebih tinggi. Sebarang ketidak-puasan hati...KBTBB bersedia mendengarnya dengan hati yang terbuka. - Selamat Tahun Baru 2011 buat semua! - Admin KBTBB.
...