
Demi meneruskan perjuangan basikal tua dan melebarkan sayapnya ke peringkat Internasional, KBTBB pada tahun ini telah mengambil beberapa langkah yang progresif dan inisiatif sendiri di dalam melaksanakan program-program yang memberikan impak yang lebih besar. Apalah ertinya sebuah pertubuhan dan kelab yang berdaftar sekiranya tidak mampu untuk membawa ahli-ahlinya keluar dari kepompong dan masih dibelenggu dengan "cara pemikiran lama" iaitu "collect and see" serta menjadi pengkaji basikal tua seumur hidup. Pengalaman yang ditimba dan dilalui sendiri itu lebih mahal harganya jika hendak dibandingkan dengan harga sebuah basikal. Nilai persahabatan dan persaudaraan serumpun pula dilihat jauh lebih bernilai dari segalanya.
Tidak ramai dikalangan peminat dan pencinta basikal tua yang berpeluang menikmati hobi ini sehingga ke peringkat ini. Jadi memang terbuktilah tidak rugi menjadi ahli KBTBB kerana kelab ini diasaskan pada landasan yang betul. Diharapkan dengan adanya lawatan seumpama ini akan membuka paradigma dan "cara pemikiran baharu" di kalangan ahli-ahli KBTBB untuk terus memacu kelab ini untuk lebih maju dan berjaya. Sasaran untuk menjadikan KBTBB sebagai sebuah kelab bertaraf Internasional bukanlah sesuatu yang mustahil.
Ini jelas terbukti apabila KBTBB berjaya melaksanakannya misinya seawal suku pertama tahun 2012. Persahabatan di antara Malaysia dan Indonesia yang terjalin selama ini memberikan kesan yang meluas kepada komuniti basikal tua di Nusantara. Malahan ada kumpulan tertentu kini mendapat manfaat dan tempias kebaikan hasil dari jalinan persahabatan serumpun ini dan tanpa rasa malu bermegah dengan usaha yang telah dicetuskan oleh KBTBB bersama sahabat-sahabat basikal tua di Malaysia dan Indonesia. Paling penting sekarang ialah persahabatan di antara KBTBB dan KOSTI akan terus kukuh dan kekal selamanya atas semangat setiakawan dan persaudaraan serumpun yang tulin dan sejati.
p/s - KBTBB sudah ke peringkat Internasional... anda pula bagaimana? Kami akan ke Pekanbaru...anda pula akan ke mana?




...