Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Sabtu, 23 April 2011

Kayuhan Terowong Masa (KTM) ke Pontian dan Misi K2N II ke Bandung & Jakarta, Indonesia

Untuk pengesahan - KBTBB bersama rombongannya akan ke Pontian, Johor pada Sabtu 30 April 2011 untuk menyokong Acara Kayuhan Terowong Masa (KTM2011) anjuran Kelab Basikal Tua Johor a.k.a. KSTJB. Walaupun hanya tinggal beberapa hari sebelum acara tersebut KBTBB masih membuka dan menerima penyertaan dari mana-mana pihak yang ingin menyertai acara tersebut dari negeri Melaka dan sekitarnya. Acara KTM2011 ini dijangka akan disertai lebih 200 peserta dari seluruh Malaysia berdasarkan maklumat dan risikan yang diperolehi oleh KBTBB. Bayangkanlah kemeriahannya... dan kerugian besar yang teramat bagi mereka yang gagal dan tidak dapat hadir. Fikirkanlah sendiri.

Justeru itu marilah kita beramai-ramai menyokong acara kayuhan KTM 2011 ini, tanpa inisiatif dan penganjuran acara/event hobi basikal tua seperti ini pasti hobi ini akan sepi dan sejuk bagi sesetengah kawasan dan negeri. Persoalannya - bagaimana nak ada "peminat baru" dan jadi "panas" kalau kelab yang adapun tidak mampu melakukan aktiviti untuk ahli-ahlinya apatah lagi nak menganjurkan acara besar seperti ini...maka jadilah ia hanya sebagai hobi "syok sendiri" dan "collect and see"... yang hancur bertambah hancur dan yang sepi bertambah sepi...renung-renungkanlah sahabat-sahabat basikal tua Malaysia sekalian. Apa-pun jumpa kami di sana dan kita kasi "gegar" Pontian dengan ekpresikan pakaian dan basikal tua masing-masing.

Bagi KBTBB misi seterusnya ialah untuk membawa ahli-ahlinya ke Bandung dan Jakarta, Indonesia untuk menjayakan Acara Kayuhan 2 Negara Kali Ke 2 (K2N II) anjuran KBTBB dan KOSTI. KBTBB yang secara rasmi dijemput oleh KOSTI ingin memanjangkan jemputan Acara K2N II ini kepada seluruh peminat basikal tua/klasik seluruh Malaysia dengan bayaran yang paling minimum. Acara yang akan berlangsung di Bandung pada 3-6 Jun 2011 ini akan disertai lebih 1,000 peserta dengan pelbagai acara menarik yang telah dirancang untuk meraikan peserta-peserta K2N I (alumni) dan K2N II.

Kepada sesiapa yang berminat hanya perlu memberikan nama penuh dan IC number untuk tujuan pendaftaran tiket kapal terbang ke Indonesia bersama bayaran deposit RM500. Inilah peluang seumur hidup yang tidak seharusnya dilepaskan oleh mana-mana individu yang cintakan basikal tua dan menimba pengalaman berharga berkayuh bersama 1,000 ontelis di Bandung. Peserta juga berpeluang melawat tempat-tempat menarik disamping membeli-belah terutamanya barang-barang basikal. Jadilah kumpulan PERTAMA mengukir sejarah untuk MALAYSIA dan bersama kita buktikan bahawa kita bukanlah hanya "jaguh kampung" Sekiranya ada yang berminat silalah hubungi terus Sdr. Ikhwan di talian 019 606 5575. Tempat adalah terhad. Maklumat terperinci mengenai K2N II akan disiarkan kelak - Admin KBTBB

Isnin, 18 April 2011

Mesyuarat Agung KBTBB Kali Ke 2 berjaya memperkukuh dan memperkasa kelab dan ahli-ahlinya

Sabtu 16 April 2011 - Mesyuarat Agung Kali Ke 2 KBTBB telah berlangsung dengan lancar dan berkesan di Balai Raya, Batu Berendam dengan dihadiri lebih 70% (melebihi 2/3) oleh ahli-ahli berdaftarnya. Perasmian Mesyuarat Agung tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi JKKK Batu Berendam iaitu En. Ghafar bin Othman. Turut hadir bersama-sama ialah Penaung KBTBB iaitu En. Zulkifli bin Othman yang sanggup bergegas meninggalkan Bandung (Indonesia) untuk turut serta dalam Mesyuarat tersebut. Sekalung TAHNIAH dan SYABAS khas buat semua Ahli Jawatankuasa KBTBB yang sentiasa berusaha dan bekerja keras untuk memastikan Mesyuarat Agung kali ini berjalan lancar seperti mana dirancang.

Tepat jam 9:15 malam Mesyuarat Agung Kali Ke 2 KBTBB dimulakan dengan bacaan doa oleh Tok Sidang dan Ucapan Pembukaan oleh Sdr. Jebat, Naib Pengerusi KBTBB yang mewakili Pengerusi KBTBB iaitu Sdr. Alias Omar yang tidak dapat hadir atas sebab urusan penting yang tidak dapat dielakkan. Dalam ucapannya beliau menyeru agar ahli-ahli kelab terus komited dan bersatu hati untuk membangunkan kelab ini agar terus aktif dan progresif. Banyak aktiviti yang bakal dirancang di masa hadapan memerlukan komitmen yang tinggi dikalangan ahli-ahli KBTBB. Selain daripada itu beliau meminta agar ahli-ahli terus memberikan sumbangan dan terus mempertahankan kelab ini untuk generasi muda yang akan datang.

Ahli-ahli KBTBB begitu fokus mendengar ucapan yang disampaikan pada Mesyuarat Agung Kali Ke 2 KBTBB.

Kiri - Sdr. Jebat mewakili Pengerusi KBTBB, Tengah - En. Zulkifli Othman (Penaung KBTBB), Kanan - En. Ghafar Othman (Pengerusi JKKK Batu Berendam)

Penaung KBTBB iaitu En. Zulkifli Othman dalam ucapannya pula meminta ahli-ahli untuk terus memperkasakan kelab ini agar terus dinamik dan maju ke hadapan. Beliau memuji barisan AJK KBTBB yang telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Kali Ke 2 ini dengan penyediaan dokumentasi dan risalah yang teliti dan lengkap. Beliau juga menyatakan bahawa pengurusan dan pentadbiran KBTBB adalah yang terbaik pernah ditemuinya selama beliau berkecimpung dan menerajui pelbagai persatuan dan kelab di Negeri Melaka. Menurut beliau lagi, KBTBB mempunyai cara pengurusan dan pentadbiran yang tersusun kerana dianggotai oleh AJK yang mampu menyahut cabaran dan sanggup berkorban masa dan tenaga. Beliau berjanji untuk memastikan KBTBB akan terus mendapat sokongan dari segi kewangan dan perhatian dari Kerajaan Negeri Melaka. Sebelum mengakhiri ucapannya beliau mencadangkan kepada Pengerusi JKKK iaitu En. Ghafar Othman agar mencalonkan 2 ahli KBTBB untuk menerima darjah/pingat dari TYT kerana sumbangan mereka terhadap basikal tua di Negeri Melaka.

Bagi menyempurnakan majlis En. Ghafar Othman dalam Ucapan Perasmiannya melahirkan rasa bangganya dengan pencapaian KBTBB kerana telah menaikkan nama dan imej Batu Berendam dan Negeri Melaka. Beliau melalui Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) akan memastikan KBTBB akan dibantu dan disokong agar terus maju di masa hadapan. Beliau juga berharap agar cadangan aktiviti K2N (Kayuhan 2 Negara) KBTBB ke Bandung dapat dilaksanakan dengan jaya dan berjanji akan membantu mendapatkan sumber kewangan untuk menampung kos aktiviti tersebut. Sebelum mengakhiri ucapannya beliau meminta agar KBTBB dapat melebarkan sayapnya dengan menarik penyertaan golongan muda untuk menyertai kelab ini.

Mesyuarat KBTBB dihadiri oleh "orang penting" Batu Berendam iaitu En. Zulkifli Othman (Penaung) dan En. Ghafar Othman (Pengerusi JKKK). Turut berada dibarisan hadapan ialah Sdr. Jebat yang mewakili KBTBB dan Pengerusinya.

En. Zulkifli Othman menerima cenderahati daripada KBTBB kerana kesudian beliau hadir memberikan sokongan dan khidmat nasihat berguna kepada kelab dan ahli-ahli.

En. Ghafar Othman yang sentiasa hadir menyokong KBTBB menerima cenderahati daripada KBTBB yang diwakili oleh Sdr. Jebat.

Apa-apa pun kita minum dulu... Walaupun sedang berehat untuk minum barisan AJK KBTBB masih berkesempatan mengadakan perbincangan untuk aktiviti yang akan datang bersama Penaung dan Pengerusi JKKK.

RINGKASAN MESYUARAT AGUNG KALI KE 2
Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB)
Sabtu 16 April 2011

Secara ringkasnya Mesyuarat Agung Kali Ke 2, KBTBB telahpun sebulat suara meluluskan usul-usul terdahulu dan usul-usul yang telah dibentangkan pada malam 16 April 2011 yang lalu. Sdr. Razwan (Setiausaha) telah dilantik oleh AJK KBTBB untuk bertindak sebagai Pengerusi Majlis untuk mempengerusikan perjalanan mesyuarat, usul-usul dan pembentangan penyata kewangan serta perbelanjaan. Ringkasannya adalah seperti berikut :-

Pembentangan Kewangan KBTBB
Sebagai kelab yang berdaftar KBTBB diwajibkan menghantar laporan kewangannya ke ROS sebagai memenuhi syarat-syarat persatuan/kelab yang berdaftar. Bendahari KBTBB iaitu Sdr. Jidi telah berjaya menjalankan tugasnya dengan cemerlang kerana mengurus dan mentadbir kewangan KBTBB dengan cara yang sistematik, berintegiriti, amanah, teliti dan berhemah. Sumber kewangan KBTBB kini semakin mengukuh dan stabil kini mampu untuk menampung aktiviti yang bakal dijalankan untuk ahli-ahlinya. Sepanjang tahun 2010 KBTBB telah berjaya menguruskan sejumlah RM28,000 untuk menjalan dan menjayakan aktiviti-aktiviti/acara-acara di peringkat negeri dan nasional untuk ahli-ahlinya. Di akhir pembentangan, ahli-ahli sebulat suara menerima dan meluluskan penyata kewangan KBTBB yang berakhir pada Disember 2010 yang lalu.

Usul Pindaan Keahlian - Ahli Biasa dan Status Ahli Muda/Ahli Bersekutu
Pada Mesyuarat Agung kali ini, Puan Rokiah telah mencadangkan agar Syarat-syarat Keahlian iaitu Ahli Biasa dipinda. Tujuan pindaan ini ialah untuk membolehkan lebih ramai penyertaan anak-anak Negeri Melaka menyertai KBTBB. Untuk Ahli Biasa beliau mencadangkan agar keahlian ini dilonggarkan dan diperluaskan untuk seluruh mukim dan penduduk yang menetap di dalam negeri Melaka. Mereka yang berminat boleh memohon menjadi ahli KBTBB dan berhak untuk mengundi dan bersuara. Sebelum ini keahlian KBTBB hanya di buka kepada penduduk yang tinggal di Mukim Batu Berendam sahaja manakala Status Ahli Muda/Bersekutu masih kekal tanpa sebarang pindaan. Ahli-ahli KBTBB sebulat suara menerima dan meluluskan pindaan ini untuk diajukan kepada ROS.

Kiri - Sdr. Razwan mempengerusikan Mesyuarat Agung KBTBB, Tengah - Sdr. Jidi membentangkan penyata kewangan KBTBB 2010 dengan teliti, Kanan - Sdr. Ikhwan membakar semangat ahli-ahli dengan usul K2N ke Indonesia

Usul Misi Kayuhan 2 Negara (Malaysia & Indonesia) Bandung-Jakarta pada 3-6 Jun 2011

Pembentangan usul Misi Kayuhan 2 Negara (K2N) telah dilaksanakan oleh Sdr. Ikhwan yang bertindak selaku Ketua Projek K2N. Beliau menyatakan bahawa misi K2N ini sangat penting bagi KBTBB yang kini bukan sahaja kelab basikal tua yang mewakili Negeri Melaka tetapi mewakili negara (Malaysia). Ahli-ahli dirayu untuk turut serta menyertai acara yang akan berlangsung di Bandung pada 3-6 Jun dengan memberikan nama dan no kad pengenalan serta passport bagi tujuan pendaftaran peserta. Beliau berhasrat untuk membawa kesemua ahli-ahli KBTBB ke Indonesia sebagai menghargai usaha dan kerja keras mereka membantu menjayakan K2N pertama pada tahun lalu (2010). Ahli-ahli KBTBB bersetuju sekiranya ada kekosongan penyertaan ini bolehlah dibuka kepada sesiapa yang berminat dengan syarat ahli-ahli KBTBB haruslah didahulukan. Bagi peserta luar (bukan ahli) mereka dikehendaki membayar seluruh kos dan perbelanjaan ke Bandung. Ahli-ahli KBTBB sebulat suara menerima dan meluluskan usul ini.

PENUTUP
Sdr. Jebat mewakili Pengerusi KBTBB memohon sekali lagi kepada ahli-ahli supaya terus menyokong dan mempertahankan kelab ini. Beliau meminta mana-mana pihak atau individu yang sentiasa mencari kelemahan dan kesalahan KBTBB supaya berani tampil dan berdepan dengan mana-mana AJK KBTBB. Beliau juga meminta agar "sikitul-sikitul" (pengkhianat) yang sering membuat fitnah dan cerita-cerita rekaan supaya menghentikan perbuatan mereka kerana KBTBB bukanlah sebuah kelab "main-main" dan "olok-olok". KBTBB telah membuktikan kemampuan dan kejayaannya membangunkan kelab ini untuk ahli-ahlinya. Sebelum mengakhiri mesyuarat, beliau meminta ahli-ahli terus menyokong dan meyakini barisan AJK KBTBB untuk terus memimpin dan bersama-sama terus maju serta mencipta lebih banyak kejayaan yang besar di masa hadapan.

Selasa, 5 April 2011

Jemputan Mesyuarat Agung KBTBB Kali Ke-2 pada 16 April 2011

PEMBERITAHUAN PENTING - Perhatian kepada semua ahli-ahli berdaftar KBTBB. Satu Mesyuarat Agung KBTBB Kali Ke-2 akan diadakan pada hari Sabtu, 16 April 2011 pada pukul 9:00 - 11:00 malam bertempat di Balai Raya, Kg. Batu Berendam, Melaka. Justeru itu semua ahli-ahli KBTBB yang berdaftar dijemput dan menghadirkan diri pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan untuk kita bersama-sama menjayakan Mesyuarat Agung kali ke-2 ini. Agenda Mesyuarat Agung akan diedarkan melalui surat jemputan yang akan diedarkan tidak lama lagi.

Sebarang cadangan dan penambah-baikkan terhadap Kelab dapatlah disampaikan semasa Mesyuarat Agung yang bakal berlangsung nanti. Pada Mesyuarat Agung kali ini AJK 2010 yang telah dilantik akan membentangkan aktiviti yang telah dijalankan bersama penyata kewangan dan perbelanjaan selama setahun (tahun lalu). Sebagai sebuah Kelab yang berdaftar marilah kita bersama-sama terus menyokong dan mempertahankan KBTBB yang kita cintai ini agar menjadi contoh kepada kelab-kelab yang lain - Sekian, harap maklum - Admin KBTBB