




Prade (perarakan) basikal yang bermula di hadapan A Famosa menyaksikan ragam dan gelagat peserta yang berkayuh melintasi pentas utama untuk menyambut ketibaan para peserta LTDL. Peserta perlumbaan LTDL yang telah memulakan perlumbaan mereka dari Putrajaya menuju ke Melaka sejauh 151km akhirnya tiba di garisan penamat sekitar jam 1:00 petang di hadapan Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka. Kehadiran KBTBB di dataran tersebut ternyata telah menarik minat orang ramai untuk mendekati "basikal tua" termasuk golongan remaja dan profesional. Basikal tua yang dijaga rapi dan tampil "berkilat" seperti asal tenyata masih mempunyai pesona malahan ada beberapa individu yang hadir di situ menyatakan hasrat untuk membeli basikal tua dengan harga yang "lumayan".




Pada prade (perarakan) basikal bersempena "LTDL Cyclefest 2012 kali ini, KBTBB telah dinobatkan sebagai "Kategori kumpulan basikal terbaik" oleh pihak penganjur acara. KBTBB telah menerima sebuah basikal modern MTB sebagai hadiah bagi kategori tersebut. Apa yang penting pada acara kali ini adalah kerjasama dan komitmen ahli-ahli KBTBB ternyata semakin mantap dan kukuh. Hobi basikal tua di Melaka bukan sekadar hobi yang bermusim mengikut keadaan cuaca dan acara-acara tertenu sahaja. Aktiviti yang dirancang dan disertai sentiasa membuatkan kelab ini semakin dikenali, dihormati dan diiktiraf kerana begitu komited membantu industri pelancongan negeri Melaka dan tidak hairanlah KBTBB yang memperjuangkan warisan basikal tua diiktiraf sebagai produk pelancongan negeri - Admin KBTBB





