Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia buat semua pembaca blog rasmi KBTBB. Tarikh 4 -5 Jun 2011 merupakan tarikh keramat yang akan terpahat sebagai satu sejarah penting buat seluruh pencinta dan pejuang basikal tua di Malaysia. KBTBB yang telah ditubuhkan lebih 3 tahun lalu bakal mengukir sejarah buat negara kerana menjadi kelab basikal tua pertama dari Malaysia berjaya membawa ahli-ahlinya ke luar negara mengikuti acara basikal tua bertaraf antarabangsa.
Setelah mengecapi kejayaan pada penganjuran K2N pertama di Melaka Bandaraya Warisan Dunia tahun lalu, KBTBB terus cekal dan berani memacu kemudi meneruskan acara K2N II yang akan berlangsung di Bandung beberapa hari sahaja lagi. Hampir setahun KBTBB mengumpulkan dana dan mengerah tenaga serta keringatnya demi merealisasikan impiannya. Hari ini marilah kita bersama-sama berdoa dan bersyukur kerana semua yang diimpikan selama ini hampir menjadi kenyataan.
Sebahagian peserta K2N II dari Malaysia (KBTBB) yang akan terbang ke Indonesia memeriahkan acara K2N II di Bandung.
Pada hari Jumaat, 3 Jun ini KBTBB akan terbang ke Indonesia mengotakan janjinya untuk bersama-sama sahabat-sahabat K2N I (Indonesia) untuk mencetuskan 1 lagi fenomena yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh 40 ahlinya dan ribuan peserta Indonesia yang akan membanjiri Kota Bandung. Bertemakan "Basikal Tua Memperkukuh Persahabatan Serumpun" KBTBB akan membuktikan dengan "basikal tua" persahabatan serumpun bagi kedua-dua negara akan terus kukuh dan erat pada masa hadapan melalui penganjuran acara sebegini.
Kehadiran KBTBB di Bandung pastinya akan memberikan pengalaman baru dengan atmosfera berbeza buat 40 ahli-ahlinya. Diharapkan dengan pengalaman yang dikutip di Indonesia nanti akan dibawa pulang untuk dikongsi bersama dengan pencinta dan pejuang basikal tua tanahair. Kepada sahabat-sahabat di Indonesia kami datang dengan harapan dan ingin pulang membawa kejayaan. Kepada seluruh pencinta dan pejuang basikal tua Malaysia pula doakan pemergian kami demi melestarikan hobi yang kita cintai ini.
Di kesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Penaung KBTBB iaitu En. Zulkifli Othman, Pengerusi JKKK Bt. Berendam iaitu En. Ghafar Othman, barisan AJK KBTBB, ahli-ahli KBTBB, Kelab Basikal Klasik Johor, Kelab Basikal Antik Benut, Kelab Basikal Klasik Pulau Pinang, Kelab Basikal Klasik Muar, Port Swettenham Classic Bicycle dan seluruh pencinta dan pejuang basikal tua Malaysia yang menyokong acara K2N II ini. Semoga kita akan bertemu pada acara kayuhan basikal tua yang lebih besar dan berprestij di masa hadapan. Teruskan sokongan anda!
Sekian. Terima Kasih.
"Basikal Tua Warisan Generasi Muda"
Alias Omar
Pengerusi
Kelab Basikal Tua Batu Berendam
Melaka Bandaraya Warisan Dunia
M A L A Y S I A
...