Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Isnin, 13 Disember 2010

Sertai KBTBB dalam Acara Kayuhan 1 Citra,1 Jiwa,1 Ekspresi bersempena 1.1.2011

Menjelang 1.1.2011 KBTBB ingin menjemput seluruh komuniti basikal tua sama ada kelab ataupun individu untuk bersama-sama memeriahkan 1 Acara Kayuhan basikal tua yang bertemakan 1 Citra, 1 Jiwa & 1 Ekspresi pada hari Sabtu (1.1.2011) yang akan bermula pada pukul 8:45 pagi di Pengkalan KBTBB (Bt. Berendam, Melaka) menuju ke Bandaraya Melaka bertujuan mempamerkan keunikan hobi & koleksi basikal tua sambil berlibur. Pastinya kehadiran basikal tua bersama pemiliknya akan menjadi tumpuan dan perhatian pelancong dalam dan luar negara terutamanya pada sambutan tahun baru 2011. Kayuhan yang akan diketuai oleh KBTBB akan mengelilingi Melaka dan berhenti di tempat-tempat tumpuan pelancong seperti Jonker Street, Bangunan Merah, A Famosa, Dataran Taming Sari, Kg. Morten dan sebagainya sejauh 25km.
...
Bersempena tahun 2011 marilah kita bersama-sama berusaha untuk terus melestarikan nostalgia basikal tua agar ianya terus kekal menjadi tatapan dan warisan untuk generasi yang akan datang. Walaupun masa dan tahun beredar dengan berhadapan arus kemodenan dan pembangunan yang pesat namun sejarah dan jasa basikal tua membangunkan negara seharusnya dikenang dan terus dipelihara. Hobi basikal tua telah berjaya menyatukan bangsa, mempereratkan persahabatan, memartabatkan warisan, dan kini terbukti ianya mesra alam, mengurangkan pemanasan global, menyihatkan, praktikal dan ekonomikal.
...
Berdepan tahun 2011, KBTBB akan berusaha dengan lebih gigih untuk merancang beberapa aktiviti-aktiviti yang menarik dan lebih berimpak/berkesan untuk semua peminat basikal tua tanahair. Bertepatan dengan tema yang di bawa KBTBB iaitu 1 Citra, 1 Jiwa dan 1 Ekspresi, kami ingin menyeru kepada semua peminat dan pengumpul basikal tua untuk bersama-sama tanpa mengira kaum, agama, idealogi, dan taraf/status untuk kita terus membakar semangat berjuang dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk memartabatkan basikal tua. KBTBB telah membuktikan bahawa dengan adanya penganjuran aktiviti dan kayuhan, hobi basikal tua terus relevan, bernyawa dan terus diminati. Jom sertai kami...bersama kita ekspresikan diri! - Admin KBTBB.
...
Rasional Tema Kayuhan
1 Citra merujuk kepada suatu imej yang beridentitikan budaya dan bangsa setempat. 1 Jiwa merujuk kepada penyatuan dan kekuatan kolaboratif (kerjasama) serta sehaluan. 1 Ekspresi merujuk kepada kebebasan meluahkan perasaan emosi dan jasmani dengan cara yang unik dan sihat.
...

Jumaat, 22 Oktober 2010

Kayuhan Melaka Maju 2010 berjaya mencatat rekod konvoi basikal terpanjang di dalam Malaysia Book of Records (MBR)

Pada Ahad 17 Oktober 2010 yang lalu KBTBB bersama lebih 40 ahli-ahlinya turun padang menyertai Kayuhan Melaka Maju 2010 yang telah diadakan di Sungai Rambai, Melaka. Walaupun majoriti peserta yang hadir adalah dari "geng-geng baju ketat" dan "geng-geng basikal moden" namun kehadiran basikal tua tetap unik dan hadir sebagai "penyeri" pada program hari tersebut. Pada dasarnya program Kayuhan Melaka Maju 2010 ini adalah satu program kerajaan negeri Melaka untuk melestarikan budaya berbasikal sebagai satu budaya yang sihat dan mengurangkan polusi serta mengeratkan silaturahim.

Melalui program seumpama ini KBTBB melihatnya sebagai satu bentuk sokongan padu yang kolektif daripada pelbagai kelab-kelab basikal di negeri ini untuk merealisasikan satu program komuniti yang sihat disamping mencatat sejarah di dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai konvoi basikal terpanjang di Malaysia disertai 2,270 peserta sejauh 20.10km. Pastinya impian melihat usaha berbasikal seumpama ini tercatat di dalam Malaysia Book of Records (MBR) bukan lagi satu angan-angan "Mat Jenin" kerana KBTBB telah turut serta bersama-sama merealisasikannya :) dan ianya bukanlah suatu perkara yang mudah dan "enteng" serta bukan sekadar cakap-cakap kosong.

Tahun 2010 merupakan tahun yang amat bertuah bagi negeri Melaka kerana ia telah diiktiraf sebagai sebuah negeri yang maju melalui 5 aspek penting yang meliputi 32 indikator yang tidak melebihi sasaran terendah ditetapkan oleh OECD. Antaranya ialah berkaitan kadar inflasi, kadar pengangguran, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jangka hayat, kadar kematian dan kadar jenayah. Melaka dikira sebagai negeri maju selepas memenuhi lima aspek penting meliputi ekonomi, sosial, infrastruktur, alam sekitar dan pentadbiran.

Pengistiharan Melaka Maju 2010 telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi sidang video di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dibuat secara langsung terus ke Stadium Hang Jebat disaksikan kira-kira 50,000 orang termasuk Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Perisytiharan itu dibuat tepat pada jam 8.10 malam ini atau jam 2010, pada tarikh 20.10.2010.

Dengan pengiktirafan ini KBTBB akan sentiasa bersama-sama Kerajaan Negeri Melaka akan berusaha dan bekerja dengan lebih keras untuk memastikan Melaka terus maju dan masyhur melalui pelbagai kegiatan dan aktiviti berbasikal yang akan dirancang kelak. KBTBB juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur acara Kayuhan Melaka Maju 2010 semoga usaha-usaha berbasikal di negeri Melaka akan dapat diteruskan secara konsisten di masa hadapan. Pastinya KBTBB telah banyak mengutip pengalaman berharga dan berasa amat bertuah bernaung di bumi Melaka yang tercinta ini. - Admin KBTBB.

Rabu, 15 September 2010

Salam Aidilfitri - Maaf Zahir & Batin dan Selamat Menyambut Hari Malaysia

KBTBB dan seluruh ahli-ahlinya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Menyambut Hari Malaysia kepada seluruh sahabat-sahabat basikal tua tanahair. Sambil kita bergembira bersempena Syawal bersama sanak saudara marilah kita bangkit menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini sebagai simbolik taat setia dan cintakan Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing dan di mana sahaja. Sebagai sebuah negara yang Merdeka dan berdaulat kita seharusnya bersatu-padu, bersemangat, beradab, hormat-menghormati dan berusaha keras membangunkan negara ini ke arah yang lebih maju.

Dikesempatan ini KBTBB ingin menyampaikan Salam Aidilfitri daripada seluruh ahli-ahlinya kepada semua pembaca blog ini. Insyaallah KBTBB akan kembali aktif dengan pelbagai aktiviti basikal tua selepas menyambut lebaran ini. Justeru itu kami ingin memohon ampun dan maaf seandainya terdapat salah dan silap selama ini. Semoga kemeriahan Aidilfitri ini dimanfaatkan sepenuhnya tanpa melupakan hari yang paling bermakna bagi kita warga Malaysia iaitu Hari Malaysia 16 September - Admin KBTBB

...

Khamis, 2 September 2010

KBTBB tetap bersemangat menyambut Kemerdekaan Negara yang ke 53 di Melaka

Tepat detik 12:00 malam 31 Ogos 2010 yang lalu Melaka telah menyaksikan 30 jiwa patriotik yang kental hadir melaungkan "Medeka! Medeka! Merdeka!" di hadapan Jam Besar / Bangunan Merah, Bandar Hilir, Melaka. Walaupun tiada acara rasmi yang dianjurkan Kerajaan Negeri Melaka, namun atas prinsip dan semangat cintakan Malaysia KBTBB hadir mengayuh basikal tua masing-masing mengelilingi Negeri Melaka bersama Jalur Gemilang untuk menceriakan suasana diambang Merdeka pada malam 30 Ogos 2010 yang lalu.

Kemerdekaan Negara ke 53 yang bertemakan "1Malaysia Menjana Transformasi" dilihat sebagai tema yang sangat bertepatan dengan inspirasi dan halatuju KBTBB selama ini. Dalam tempoh kurang 3 tahun KBTBB telah berusaha dan akan meneruskan "Transformasi" untuk kekal relevan memperjuangkan basikal tua di Malaysia dan Nusantara. Perkembangan hobi basikal tua di Malaysia juga kini sudah menampakkan kemajuan yang sangat positif dan sihat. Kehadiran generasi muda yang tampil dengan idea-idea kreatif yang baru dan segar telah menyuntik dan membakar semangat pencinta-pencinta basikal tua di seluruh tanahair.

Sdr. Jebat bangga bergambar bersama basikal tua yang dihiasi Jalur Gemilang bersama ahli-ahli KBTBB sebelum memulakan acara kayuhan di malam Merdeka baru-baru ini.

Dari kanan Sdr. Alias Omar, Tok Penghulu, Sdr. Fadhil dan Sdr. Jebat tetap bersemangat melaungkan "Merdeka!" sebagai tanda patriotik kepada perjuangan tokoh-tokoh Kemerdekaan Negara.

...

Rabu, 1 September 2010

Program Salam Ramadhan KBTBB kini memasuki tahun ke 2

28hb Ogos 2010 bersamaan 18 Ramadhan 1431H - KBTBB sekali lagi telah berjaya menganjurkan Program Salam Ramadhan buat 2 tahun berturut-turut dengan mengedarkan bubur lambuk di sekitar Kampung Batu Berendam, Melaka. Walaupun program pada tahun ini berlangsung sederhana namun jumlah bubur lambuk yang diagihkan meningkat daripada 180 bungkus tahun lepas kepada 250 bungkus tahun ini. Dengan sumber kewangan kelab yang semakin kukuh, KBTBB bersyukur kerana dapat meneruskan program amal ini untuk ahli-ahlinya dan penduduk setempat.

Program memasak bubur lambuk ini telah bermula seawal jam 10:30 pagi oleh pakar-pakar tukang masak bubur lambuk yang telah bersedia dengan ramuan istimewa unik yang lain daripada bubur lambuk yang biasa. Sdr. Jebat selaku Ketua Program Salam Ramadhan telah mengetuai program ini dengan dibantu oleh ahli-ahli dan orang-orang kuat KBTBB. Tepat jam 3:00 petang bubur lambuk yang dimasak KBTBB telah tersedia untuk diedarkan.

Sebagai simbolik nostalgia lama, bubur lambuk dengan pelekat bermesej mula diedarkan dengan menggunakan 2 buah basikal tua disekeliling kampung. Walaupun cuaca terik dan panas sehingga ke petang namun berkat kesungguhan serta niat untuk beramal KBTBB telah berjaya mengedarkan kesemua bubur lambuk yang telah dimasak dan dibungkus. Kira-kira jam 5:30 petang KBTBB selesai dan berjaya menamatkan program yang telah dirancang. Salam Ramadhan buat semua pembaca blog KBTBB - Admin

Abang Joe sedang mengisi bubur lambuk di dalam bakul sebelum diedarkan menaiki basikal tua.


Ini dia pakar masak bubur lambuk yang mengacau dengan cara "blues"...slow and steady brader.


Along (berbaju merah) membantu mengisi bubur lambuk di dalam bungkusan yang sebelum diedarkan dibantu oleh Sdr. Razak (baju biru)


Abg. Yusop juga menyumbangkan tenaganya membantu menjayakan Program Salam Ramadhan untuk KBTBB walaupun beliau baru menyertai KBTBB.


Stiker bermesej "Salam Ramadhan - Semoga Silaturahim Terus Berkekalan" ditampalkan pada bungkusan bubur lambuk sebagai tanda Silaturahim.


Tok Penghulu (Abg Midi) menyampaikan bubur lambuk pertama kepada Pengerusi KBTBB iaitu Sdr. Alias Omar sebelum mengedarkannya seluruh kampung.


2 buah basikal tua digunakan untuk mengedarkan bubur lambuk pada tahun ini. Sdr. Jebat (baju belang) mengetuai Program Salam Ramadhan tahun ini.


Prihatin - Sdr. Khalib menyampaikan bubur lambuk KBTBB kepada Warga Emas di Kampung Batu Berendam.


Inilah jasa basikal tua kepada bangsanya... biar dihambat kemodenan dan kemajuan basikal tua terus berjasa kepada bangsanya. KBTBB akan tetap memperjuangkan basikal tua untuk generasinya.
...

Isnin, 9 Ogos 2010

Majlis Doa Selamat KBTBB sempena menyambut ketibaan Ramadan

Disebalik kegiatan dan aktiviti berbasikal KBTBB sentiasa bersyukur dan mensyukuri rahmat serta limpahan rezeki yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada kelab yang dicintai ini. Menjelangnya bulan Ramadan iaitu bulan yang penuh keberkatan, KBTBB sempat mengadakan satu Majlis Doa Selamat dan jamuan khas buat ahli-ahli dan keluarga mereka. Bertempat di Kampung Batu Berendam, Melaka seramai lebih 50 tetamu telah hadir memeriahkan Majlis yang penuh dengan suasana kekeluargaan dan silaturahim.

Alhamdulillah, majlis ini telahpun disempurnakan dengan bacaan doa daripada Tuan Imam, Kampung Batu Berendam, Melaka sendiri. Turut meluangkan masa dan hadir ialah En. Ghafar iaitu Pengerusi JKKK Kampung Batu Berendam dan sahabat-sahabat daripada Basikal Klasik Melaka (Sdr. Zaidi) serta Kelab Basikal Klasik Muar (Sdr. Karim dan 2 sahabatnya). Di Majlis yang ringkas ini, Sdr. Ikhwan sempat menyampaikan amanat yang di bawa khas dari Indonesia bersempena Kongres Sepeda Indonesia (KSI 2010). Beliau yang hadir mewakili KBTBB dan Malaysia selaku pemerhati di kongres tersebut menyatakan hasrat dan kesediaan untuk membawa rombongan dari Malaysia untuk menjayakan acara Kayuhan 2 Negara (K2N ke 2 -2011) yang bakal diadakan di Jakarta pada tahun hadapan.

Antara lain beliau menyatakan bahawa acara K2N (Kayuhan 2 Negara - Malaysia & Indonesia) yang telah berlangsung baru-baru ini diiktiraf sebagai acara Nasional dan telah mendapat perhatian daripada pemerintah Indonesia terutamanya Bpk. Wali Kota Jakarta (Datuk Bandar) iaitu Bpk. Syahrul Effendi seorang yang sangat berpengaruh di sana. Sdr. Ikhwan juga sempat berkongsikan sedikit pengalamannya sewaktu menghadiri kongres dan acara yang telah berlangsung di Indonesia kepada ahli-ahli KBTBB.

Majlis diakhiri dengan acara cabutan bertuah dan kesemua yang ahli-ahli yang hadir pada malam tersebut mendapat hadiah termasuk t-shirt eksklusif Kongres Sepeda Indonesia dan lencana "wing" yang di bawa khas oleh Sdr. Ikhwan dari Jakarta. Dukacita dimaklumkan pada malam itu kayuhan yang akan diadakan pada keesokkan harinya 8hb Ogos 2010 terpaksa dibatalkan untuk menghormati kematian /pemergian ibu kepada salah seorang ahli KBTBB iaitu ibu Sdr. Yusof yang telah meninggal dunia pada malam itu. Salam takziah buat Sdr. Yusof sekeluarga - Al-Fatihah - Admin KBTBB

Selain pandai membangunkan basikal tua...ahli-ahli KBTBB juga mempunyai kebolehan dan kepakaran membakar ikan, ayam dan kambing...lihat saja foto ini...

Ini dia pakar bakar-membakar...lepas nie dia plan nak buka gerai di Bazar Ramadan kat depan simpang Kampung Batu Berendam...

Kaum ibu dan ahli-ahli keluarga ahli-ahli KBTBB juga turut hadir memeriahkan Majlis yang diadakan pada malam tersebut.

Majlis Doa Selamat sebagai tanda mensyukuri nikmat dan rezeki yang dikurniakan Illahi kepada KBTBB selama ini.

Pengerusi KBTBB Sdr. Alias Omar (dua dari hujung) bersama barisan AJK sentiasa bekerja keras dan berusaha untuk mengeratkan hubungan sesama ahli KBTBB dan ahli keluarga.

Sdr. Ghafar selaku Pengerusi JKKK, Kampung Batu Berendam hadir meluangkan masa meninjau aktiviti dan kegiatan yang telah dirancang KBTBB sebagai tanda sokongan.

Masa untuk menjamu selera dengan hidangan Nasi Lemak dan juadah ikan, ayam dan kambing bakar serta kuih-muih yang lazat.

Bersama berkongsi rezeki dan limpahan rahmat bersama ahli-ahli keluarga masing-masing...itulah nikmat sebenar sebuah perkongsian.

Puan Wawa hadir memeriahkan Majlis dan memberikan isyarat "bagus" untuk hidangan yang ikan bakar yang disediakan AJK.

Sdr. Karim memberikan isyarat 1Malaysia yang bermaksud 1Hati...beliau yang hadir bersama 2 sahabatnya dari kiri (baju kuning dan biru) kerana silaturahim dan semangat persahabatan basikal tua yang mendalam.

Tetamu yang hadir menjamu selera di dalam khemah khas yang telah disediakan oleh AJK KBTBB.

Penghargaan khas kepada Penaung KBTBB iaitu Sdr. Zulkifli Osman disampaikan kepada wakil beliau iaitu kepada Sdr. Rabani. Sdr. Zul tidak dapat hadir kerana urusan penting di luar negeri (Melaka).

Sdr. Ikhwan yang hadir menyampaikan amanat khas dari Kongres Sepeda Indonesia dan AJK Kayuhan 2 Negara (Malaysia - Indonesia).

Hadiah cabutan bertuah untuk semua ahli-ahli dan AJK yang hadir menjayakan Majlis yang telah dirancang KBTBB.

Puan Wawa antara penerima cabutan bertuah di malam tersebut, hadiah disampaikan oleh Pengerusi KBTBB iaitu Sdr. Alias Omar.

Ahli baru KBTBB iaitu Sdr. Azrin juga menerima hadiah cabutan bertuah pada malam tersebut.

Sdr. Adik menerima hadiah "misteri" iaitu sehelai t-shirt eksklusif Kongres Sepeda Indonesia (KSI 2010) yang disumbangkan oleh Sdr. Ikhwan untuk cabutan bertuah pada malam itu.
...

Selasa, 20 Julai 2010

Malaysia harap sepeda eratkan jalinan persahabatan dengan Indonesia - Tribunnews.com

TRIBUNNEWS.COM, JAKARTA - Hadir dalam acara Konggres Sepeda Indonesia 2010, adalah suatu pengalaman berharga dan tidak terlupakan bagi Ikhwan Ibrahim, Ketua Projek, Kelab Basikal Tua Batu Berendam, Melaka, Malaysia. Dia berharap gelaran ini bisa dijadikan alat silaturahmi antara negaranya dan Indonesia. Datang sebagai wakil peninjau negeri jiran, Ikhwan mengakui bersepeda kali ini memunculkan kesan mendalam. "Kesan, sebenarnya persahabatan yang terjalin ini bukan baru. Saya sudah pun banyak mengikuti even-even di Indonesia, atas undangan sahabat-sahabat di Jakarta, di Bandung, Bali, dan saya lihat basikal ini sudah menjadi alat media yang menghubungkan Malaysia dan Indonesia," harapnya, saat ditemui Tribunnews.com, di Senayan, Jakarta, Minggu (18/7/2010).

Dia juga menyatakan kedepannya persahabatan ini akan dilanjutkan dalam pertemuan serupa di Malaysia. "Target saya, Insyaallah pada tahun depan kita akan adakan satu lagi acara kayuhan 2 negara, dengan Indonesia. Dan mereka sudah memantau wakil seramai 64 orang, dan untuk beramai-ramai berkayuh basikal tua di negeri Melaka," ujarnya. Seperti ditandaskannya, tahun depan dirinya bersama teman komunitas sepeda Malaysia hendak mengikat terus tali persahatan Indonesia dan Malaysia. "Pada tahun depan lagi kita merancangkan satu lagi acara yang melibatkan 2 negara ataupun lebih di Malaysia, insyaallah," tambahnya.

Laporan Wartawan Tribunnews.com, Andri Malau
http://www.tribunnews.com/2010/07/18/malaysia-harap-sepeda-eratkan-jalinan-persahabatan-dengan-indonesia

Jumaat, 9 Julai 2010

Tuan Yang Terutama (TYT) dan Ketua Menteri Melaka kayuh basikal tua bersempena Ulang Tahun ke-2 Melaka Bandaraya Warisan Dunia (UNESCO)

Basikal Tua yang diperjuangkan oleh KBTBB terus mendapat perhatian dan pengiktirafan pemerintah tertinggi Melaka. KBTBB sekali lagi telah diberi peluang oleh Kerajaan Negeri untuk bersama-sama memeriahkan Ulang Tahun Ke-2 sambutan pengiktirafan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia dari UNESCO pada 7hb Julai 2010 yang lalu. Tuan Yang Terutama (TYT) Yang DiPertua Negeri Melaka iaitu Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob diiringi Ketua Menteri Melaka iaitu YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan bersama 30 pembesar negeri yang terdiri dari wakil rakyat dan ketua jabatan telah mengayuh basikal di sekitar Bandaraya Melaka menemui rakyat dan komuniti Melayu, Cina, dan India. Admin akan mendapatkan lebih banyak cerita-cerita dan laporan akhbar mengenai acara yang telah berlangsung dengan penuh nostalgia dan klasik. Lihat sahaja pakaian yang dipakai oleh pembesar-pembesar negeri pada malam itu....

KBTBB kini memiliki koleksi basikal tua dari tahun 1930 ukuran frame 26" jenis Hercules milik Sdr. Ikhwan yang di bawa khas untuk acara malam tersebut bersama TYT di Melaka. Semua ahli pada malam itu berpakaian zaman-zaman 30an dan era Munsyi Abdullah.

Tuan Yang Terutama (TYT) Yang DiPertua Negeri Melaka iaitu Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob mengayuh basikal tua Raleigh Sport ukuran tayar 26 milik Puan Wawa kerana ringan dan selesa.


Ahli-ahli KBTBB segak berpakaian zaman dulu-dulu berbasikal beramai-ramai memeriahkan acara bersama 30 VVIP yang terdiri daripada Ketua Jabatan dan Wakil Rakyat

Yang Berhormat - Datuk-datuk (VVIP) bergaya bersama basikal tua masing-masing. Basikal tua kini telah mendapat tempat yang tinggi dan dinaiki pembesar negeri dalam acara yang unik ini.

Pemimpin berjiwa rakyat...Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengetuai rombongan berbasikal menuju Memorial Kemerdekaan untuk acara pelancaran dan perasmian diiringi ahli-ahli KBTBB dan YB-YB.

Liputan akhbar yang terkini dari China Press yang merupakan akhbar terpantas menyiarkan bahan cerita sambutan Ulang Tahun ke-2 Melaka Bandaraya Warisan Dunia.

Liputan akhbar The Star semalam 8hb Julai 2010
...

Rabu, 9 Jun 2010

Kejayaan Acara K2N hadiah buat semua pencinta basikal tua Nusantara

Tidak terungkap dengan kata-kata betapa indah dan manisnya apabila berjaya melaksanakan misi dan cabaran menganjurkan Acara K2N yang telah berlangsung 4-6 Jun 2010 yang lalu. Alhamdulillah dan sujud syukur kami kepada Allah S.W.T. kerana selama 6 bulan membuat persiapan akhirnya usaha dan lelah ini dibalas dengan kejayaan dan kemeriahan acara yang telah dihadiri lebih 250 peserta dari Indonesia dan seluruh Malaysia ke Melaka demi K2N. Alhamdulillah, segala aturcara dan program yang dirancang telah mengikut jadual dan tidak ada satupun yang tidak dilaksanakan. Tahniah dan syabas buat Ahli Jawatan Kuasa Acara K2N kerana memastikan semuanya mengikut apa yang telah dirancang terutamanya Sdr. Zulkifli Osman (Penaung), Sdr. Alias Omar (Pengerusi), Sdr. Jebat (Naib Pengerusi), Sdr. Radzwan, Chegu Shaari, Puan Wawa, Sdr. Khalib, Sdr. Baba, Tok Penghulu (Midi), Sdr. Najif, Sdr. Johari, Along Pomen, Rehan, Razak, Adik, Amran, Hafiz, Halimah, Mr. GB dan semua yang berada di barisan hadapan.
..
Sejuta PENGHARGAAN khas buat semua peserta yang telah hadir terutamanya sahabat-sahabat basikal tua dari Komunitas Sepeda Tua Indonesia. Tidak lupa buat seluruh tanahair dari utara sehingga ke selatan iaitu dari GETUAS, Basikal Klasik Pulau Pinang, Pemilik-pemilik basikal dari Negeri Perak (Taiping, Ipoh & Batu Gajah), Rock 7 & Anjung Sepeda Klasik dari Sijangkang, Port Swettenham Classic Bicycle (PSCB), Pemilik basikal dari Negeri Sembilan, Kelab Basikal Klasik Melaka, Pemilik-pemilik basikal dari Negeri Melaka, Kelab Basikal Klasik Muar, Pemilik Basikal Tua Chaah, Labis, Segamat (PECHAL), Kelab Sepeda Tua Johor Baharu, Pemilik-pemilik basikal dari Negeri Johor dan semua pemilik-pemilik basikal tua seluruh negara dan Indonesia.
..
Ucapan TERIMA KASIH ini juga ditujukan khas buat YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka kerana sudi hadir merasmikan Acara K2N. Terima kasih buat Bapak Widyarka Ryananta Wakil Kedutaan Indonesia di Malaysia, Mr. Tee dari APM Builder (yang menaja Makan Malam K2N), Sdr. Ghafar, Pengerusi JKKK Batu Berendam , Pak Dimas, Wakil Ketua Umum KOSTI, dan semua pihak Media yang hadir membuat liputan selama 3 hari acara ini berlangsung terutamanya Wartawan dari Melaka Hari Ini dan Utusan Malaysia. Tidak lupa buat Otai Ameng Semaggol yang datang sebagai perunding teknikal, Sahabat-sahabat KOSTI yang sentiasa membantu iaitu Sdr. Alex, Sdr. Fahmi, Sdr. Iwan Hatta, Bang Chandra, Ibu Sas, Mbak Nurul, Mega dan ramai lagi yang membantu melancarkan K2N.
..
Semuanya ini juga tidak akan sempura tanpa penglibatan dan bantuan daripada Menara Taming Sari Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Pelancongan Negeri Melaka, Polis DiRaja Malaysia - Cawangan Trafik dan semua pihak swasta (penaja-penaja) serta agensi kerajaan yang telah terlibat. Anggaplah kejayaan penganjuran ini adalah hadiah buat kita semua iaitu pencinta basikal tua Nusantara. Acara K2N ternyata telah berjaya "membakar" semangat anak-anak muda dan mempereratkan persahabatan 2 negara di Melaka. Pastinya, Acara K2N yang telah berlansung ini akan terpahat sebagai catatan memori dan sejarah terindah buat semua peserta-pesertanya.
....
"Tidak ada gading yang tak retak"... justeru itu kami ingin memohon ampun dan maaf sekiranya ada yang terkurang dan tersilap selama Acara K2N ini berlansung. Semoga persahabatan yang telah terjalin ini akan terus berkekalan dan bersama-samalah kita berdoa semoga bertemu lagi di acara yang seterusnya. Sesungguhnya Acara K2N ini bukanlah acara yang terakhir dan Insyaallah ianya merupakan langkah pertama untuk kita terus melestarikan hobi ini ke peringkat seterusnya. Insyaallah Admin KBTBB akan menyiarkan paparan Acara K2N yang berlangsung selama 3 hari itu tidak lama lagi. Sekian - TERIMA KASIH.
...

Isnin, 31 Mei 2010

Maklumat Penting Acara Kayuhan 2 Negara pada Ahad 6hb Jun 2010

Acara K2N akan berlangsung hanya beberapa hari sahaja lagi, segala persiapan terakhir telah dan sedang giat dilakukan oleh Sekretariat K2N di Melaka. Semua yang dirancang setakat ini masih mengikut jadual seperti mana yang telah dirancang. YAB Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan hadir merasmi dan menyempurnakan "flag-off" peserta K2N seperti yang telah diumumkan penganjur. Berikut adalah maklumat-maklumat penting untuk makluman dan perhatian kepada peserta-peserta dan tetamu khas K2N. Peserta-peserta dan tetamu diminta hadir lebih awal ke tempat acara untuk mengelakkan sebarang kesulitan dan keciciran mengikuti acara K2N.

Maklumat Acara Kayuhan 2 Negara pada Ahad, 6hb Jun 2010

Tempat mula dan berakhir : Menara Taming Sari, Melaka (berhampiran Kapal Portugis)
Pendaftaran Peserta : Bermula 7:00 pagi - 7:30 pagi
Flag off (pelepasan) : 8:30 pagi oleh YAB Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam

Laluan :
Bermula dari Menara Taming Sari menuju - Jalan Merdeka, Jalan Parameswara, Jalan Kota, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Hang Jebat, Jonker Street,Lorong Hang Jebat, Jalan Kg. Kuli, Jalan Hang Kasturi, Jalan Tukang Emas, Jalan Lekiu, Jalan Kg. Pantai, Jalan Bunga Raya, Jalan Kg. Jawa, Jalan Kee Ann, Jalan Baru, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Hang Tuah, Jalan Tun Ali, Jalan Kg. Morten, Lorong Tun mamat 4, Jalan Tan Chay Yan, Jalan Tun Mutahir,Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Bendahara, Jalan Laksamana, Jalan Merdeka (Quayside) - Tamat di Menara Taming Sari.

Jarak Kayuhan : 12km

Ambil Perhatian : Peserta-peserta akan diiringi Polis Trafik dan Marshall K2N sepanjang perjalanan dan sessi lawatan serta peserta diminta mengikuti segala arahan dari pihak Sekretariat K2N.

Tempat Rehat :
Kampung Morten - peserta akan diberikan minuman air mineral

Tempat-tempat yang akan dilalui :
Stadthuys, Christ Church, St. Francis Xavier's Church, St. Paul's Church, A'Famosa, Malacca Sultanate Palace, Dutch Graveyard, Independece Memorial, Jonker Street, Nyona & Baba Heritage, Hang Kasturi Mausoleum, Kampung Hulu Mosque, Cheng Hoon Teng Temple, Kampung Kling Mosque, Sri Poyatha Temple, Hang Jebat Mausoleum, St. Peter's Church

Acara Penamat & Penuntup :
Peserta-peserta yang berjaya menamatkan kayuhan diminta berkumpul di hadapan Menara Taming Sari untuk majlis penyampaian Sijil Penghargaan dan Majlis Penutup. Sila ambil perhatian kepada semua bahawa Sijil Penghargaan hanya akan diberikan kepada peserta yang mendaftarkan diri kepada Sekretariat K2N sebelum acara bermula. Sekretariat K2N tidak akan melayan mana-mana pihak yang tidak mendaftarkan diri untuk mendapatkan sijil tersebut.
...

Isnin, 24 Mei 2010

Larian Baton SUKMA XIII - DUN Bukit Baru diceriakan dengan kehadiran KBTBB

KBTBB sekali lagi mengotakan janjinya dengan membawa ahli-ahlinya untuk bersama-sama menyokong Larian Baton Sukan Malaysia (Sukma) XIII pada Ahad, 23hb Mei yang lalu yang bermula di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Larian baton yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Mohd. Ali Rustam telah dihadiri 1000 masyarakat berbilang kaum dengan jarak larian sejauh 23 kilometer bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru. Justeru, KBTBB telah dijemput oleh penganjur untuk bersama-sama turut serta menjayakan acara larian tersebut.

Tepat jam 9:30 pagi acara Larian Baton dimulakan di hadapan MBMB. KBTBB yang turun bersama hampir 40 orang ahli-ahlinya telah diberi penghormatan untuk berada di barisan hadapan konvoi untuk mengiringi peserta-peserta dan atlit larian baton pada hari tersebut. Walaupun cuaca hari itu agak panas namun sebagai sokongan terhadap Sukan Malaysia (Sukma) XIII, KBTBB telah berjaya menamatkan konvoi mengiringi Larian Baton tepat jam 1:00 tengahari di Ayer Keroh, Melaka. KBTBB berasa amat berbangga kerana telah diberi peluang dan kesempatan untuk bersama-sama memeriahkan acara tersebut serta berasa sangat bertuah kerana tidak selalu peluang sebegini diberikan kepada pemilik/kelab basikal tua di negeri-negeri lain.

Bagi KBTBB ini adalah satu penghormatan dan penghargaan terhadap komuniti basikal tua di Melaka khasnya dan Malaysia amnya kerana telah diberikan ruang dan peluang untuk membuktikan kemampuan dan sumbangan basikal tua kepada bangsa dan negara. Basikal tua kini melangkah setapak lagi ke hadapan dengan gemblengan dan sumbangan anak-anak muda bergandingan dengan orang-orang lama di dalam KBTBB demi memartabatkan basikal tua di bumi Hang Tuah. Itulah kunci sebenar kejayaan KBTBB hari ini. Basikal Tua...Warisan Generasi Muda.