Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Rabu, 2 September 2009

Sambutan Kemerdekaan ke-52 : KBTBB bersama Ketua Menteri Melaka - Datuk Ali Rustam (DAR)

Salam Kemerdekaan ke-52 buat semua.
Siapa sangka KM (Ketua Menteri Melaka) Datuk Ali Rustam (DAR) sudi hadir berkayuh bersama KBTBB pada malam sambutan Merdeka ke-52 yang lalu. Kami memang tidak menyangka bahawa beliau (DAR) sanggup datang bersama-sama exconya menyokong kayuhan Merdeka KBTBB pada malam itu. Walaupun pada mulanya kami anggapkan ianya sebagai gurauan ternyata ianya adalah benar. "Tunggu saya di sana (Menara Taming Sari) malam nie. Saya akan datang" kata DAR kepada Sdr. Fadhil melalui panggilan telefon. Untuk makluman semua ini adalah kali ke-2 DAR hadir menyokong dan berkayuh bersama KBTBB, kali pertama sewaktu Larian 1 Malaysia di Melaka pada Mac yang lalu.

Tepat jam 12:30 malam Datuk Ali Rustam (DAR) tiba diperkarangan Taming Sari dengan menaiki kereta rasminya. Kami masing-masing tersenyum simpul dan dalam hati berbunga-bunga menyambut ketibaannya. Dari riak wajah beliau terpancar rasa bangganya melihat usaha anak Negeri Melaka yang sanggup berkayuh basikal dari Batu Berendam mengelilingi Bandar Melaka semata-mata mahu menunjukkan semangat Kemerdekaan kepada masyarakat walaupun secara rasminya tiada acara sambutan pada malam itu.
--
Datuk Ali Rustam yang lengkap berpakaian baju melayu sempat bertanyakan mengenai aktiviti dan perancangan KBTBB di masa hadapan kepada ahli-ahli. Kelihatan Pak Hassan Tukang tersenyum bangga dapat berjumpa dengan DAR sambil diperhatikan oleh ahli-ahli yang lain.

DAR bergambar bersama basikal tua Raleigh 28" milik salah seorang ahli KBTBB setelah mencuba mengayuh basikal tersebut. Secara peribadi beliau lebih gemar mengayuh basikal 28" berbanding 26" dan nampaknya beliau lebih selesa menggunakan basikal 28". Lepas nie nampak gayanya terpaksalah KBTBB carikan sebuah basikal 28" untuk DAR.

KBTBB bersama DAR melaungkan "Merdeka!" dengan penuh semangat diperkarangan Menara Taming Sari sambil diperhatikan oleh orang ramai yang berada di situ.

DAR bersama pengunjung dan orang ramai - bangga bergambar dengan menaiki basikal Raleigh 28"

KBTBB meneruskan perjalanan dan kayuhan di sekitar Bandar Hilir Melaka. Cuaca di Melaka malam itu sungguh baik dan dingin.

Basikal tua masing-masing dihiasi bendera Malaysia dan Negeri Melaka. Walau pun ramai yang tidak dapat turut serta namun acara kayuhan masih tetap diadakan.

DAR bersama KBTBB minum teh sambil berbual-bual di Restoran Zubaidah (port wajib KBTBB). Khabarnya tuan punya restoran pun macam tak percaya..kenapa tak percaya ka?

DAR memberikan kata-kata semangat dan berjanji akan menyokong usaha KBTBB memertabatkan basikal tua. Banyak juga permintaan DAR kepada KBTBB salah satunya untuk meminta KBTBB merakamkan acara kayuhan dan dipancarkan pada layar gergasi di sekitar Bandar Melaka sebagai 1 produk pelancongan - itu Sdr. Ikhwan punya portfolio.

Menurut DAR lepas ini apa-apa aktiviti dan acara yang akan dirancang boleh terus berjumpa beliau. Lepas ini akan lebih banyaklah kerja yang perlu dilakukan oleh KBTBB selepas Aidilfitri nanti. Bagi KBTBB ini merupakan penghargaan dan penghormatan yang tertinggi pernah diterima daripada Pemimpin Kerajaan terutamanya apabila usaha kami mendapat restu dan "Green Light" dari pemimpin No. 1 di Melaka.
...
Semoga kegemilangan sejarah silam akan berulang kembali. Kepada yang terlupa, menurut catatan sejarah, Tuanku Abdul Rahman telah tiba jam 11.00 pagi pada 21 Februari 1956 di Lapangan Terbang Batu Berendam dengan membawa berita paling gembira iaitu Kemerdekaan negara kita. Di MELAKA lah buat pertama kalinya laungan MERDEKA! dilaungkan dihadapan 100,000 rakyat jelata. Di sinilah (MELAKA) bumi paling bertuah untuk kita melestarikan usaha murni ini - Salam Kemerdekaan buat semua.
...
Basikal TUA...Warisan Generasi MUDA
Admin KBTBB

1 ulasan:

Sepeda Tua Johor Bahru berkata...

Setinggi-tinggi tahniah buat KBTBB dari KSTJB. Satu penghormatan yang cukup bermakna dari KM (DAR).

Sekarang basikal tua mula mendapat perhatian penuh bukan saja dari masyarakat biasa tetapi pemimpin negeri. Mudah ler kali ini KBTBB merancang dan menjalankan aktiviti kerana telah mendapat Green Light dari DAR.

Pastinya segala keperluan logistik dan segalanya dapat dipermudahkan lagi. TAHNIAH sekali lagi.