BACHANG, MELAKA - Kelab Sepeda Tua Melaka (KSTM) dengan
kerjasama Gabungan NGO Melaka Bebas Asap Rokok (GaNMBAR) telah berjaya
menganjurkan Acara Kayuhan Gabungan 5 Negeri (KG5) bersempena mempromosikan
Melaka Bebas Asap Rokok di sekitar Bangunan Merah dan Banda Hilir yang telah
diiktiraf UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Acara kayuhan yang bermula di Taman
Bachang Baru menuju ke Bandaraya Melaka itu disertai seramai 265 peserta yang
terdiri daripada 17 kelab basikal tua dari 5 Negeri iaitu Melaka, Negeri
Sembilan, Johor, Selangor dan Perak.
Acara ini diadakan bertujuan untuk menghimpunkan
peminat-peminat basikal tua/klasik dari 5 negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan,
Johor, Selangor dan Perak untuk bersama-sama mempromosikan gaya hidup sihat dengan
mengayuh basikal dan membantu NGO dan kerajaan negeri untuk mempromosikan Melaka
Bebas Asap Rokok sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan negeri
ini sebagai Bandaraya Teknologi Hijau.
Acara kayuhan yang pertama kali dianjurkan oleh
KSTM ini dimulakan dengan Program Ceramah Melaka Bebas Asap Rokok yang
disampaikan oleh Dr. Norman Mohd Norawai, Naib Pengerusi (GaNMBAR) sebelum majlis
perlepasan untuk memberi maklumat dan informasi yang jelas kepada semua
peserta. Antara kelab-kelab basikal tua/klasik yang turut hadir ialah Pertubuhan
Kebajikan Ibnu Sina (PERKIS), Basikal Melaka, Kelab Basikal Klasik Pulau
Kelapa, Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan, Kelab Basikal Klasik Muar, Pemilik
Basikal Klasik Muar, Kelab Sepeda Tua Johor Baharu, Kelab Sepeda Tua Kota
Tinggi, PECHAL, Kelab Sepeda Tua Felda Chemplak, Kelab Basikal Klasik Kampung
Kundang, Kelab Basikal Klasik Northport, Port Swettenham Bicycle Club, Kelab
Basikal Klasik Jalan Khamis, Kelab Basikal Tua Bukit Badong, Kelab Basikal
Klasik Kinta dan Kelab Basikal Klasik Manjung.
Sementara itu, Ketua Projek Acara KG5, Ikhwanizam
Ibrahim, 37, berkata “Sambutan peserta yang hadir untuk acara kayuhan kali ini
sangat mengalakkan. Peserta yang hadir bukan sahaja dari kalangan veteran
tetapi juga ada dari kalangan remaja dan kanak-kanak. Peserta termuda yang
hadir berumur 7 tahun dan yang paling tua pula berumur 72 tahun, ini
membuktikan kesedaran di kalangan masyarakat kita tentang gaya hidup sihat kian
meningkat.”
Manakala Pengerusi KSTM, Andrew Tan Abdullah, 32,
pula berpendapat “Walaupun rata-rata peserta yang hadir mengayuh basikal
tua/klasik namun semangat yang ditunjukkan oleh semua peserta sangat
mengkagumkan saya. Jarak perjalanan 16km dengan tempo kayuhan santai telah
berjaya ditamatkan oleh semua peserta yang hadir. Kami berhasrat untuk
menganjurkan acara seperti ini pada tahun hadapan dengan menjemput semua negeri
di Semenanjung Malaysia dengan program yang lebih menarik.”
Rombongan peserta konvoi sempat berhenti
mengedarkan risalah kepada orang ramai dan pelancong di sekitar Bangunan Merah
berdekatan Jam Besar sebelum berhenti berehat di Kota A-Famosa dan kembali
semula berkayuh ke Taman Bachang Baru sejauh 16km. Acara KG5 diakhiri dengan majlis
penyampaian sijil penghargaan dan hadiah kepada semua pihak yang terlibat oleh
YB Senator Datuk Saad Abu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan
Dewan Undangan Negeri (Jeperun) Bachang. Acara turut diceriakan dengan anugerah
busana klasik terbaik, basikal klasik terbaik, penyertaan teramai, peserta
paling muda, peserta paling veteran, peserta hadir paling jauh, peserta paling
ceria dan cabutan hadiah bertuah.
Tarikh Acara : Ahad, 13.10.2013
Anjuran : Kelab Sepeda Tua Melaka (KSTM)
Ketua Projek : Ikhwanizam Ibrahim (Basikal Melaka)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan