Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Isnin, 25 Januari 2010

KBTBB terus aktif berkayuh dan mempromosi basikal tua


Pada Ahad pagi, 17 Januari 2010 yang lalu KBTBB bersama 20 orang ahlinya meneruskan aktiviti kayuhan dengan lengkap memakai T-Shirt rasmi KBTBB mengelilingi Bandaraya Melaka bermula jam 9.00 dari Batu Berendam. Kayuhan ini merupakan acara pertama yang dirancang dan dilaksanakan AJK KBTBB khas buat ahli-ahli KBTBB untuk beriadah sambil mempromosikan basikal tua kepada masyarakat. Rombongan KBTBB sempat singgah ke Pasar Karat mencari barang-barang basikal dan barang antik untuk koleksi masing-masing. Bagi menarik perhatian pengunjung, rombongan KBTBB menyusun basikal tua masing-masing dan dipamerkan di laluan Pasar Karat untuk dilihat dengan lebih dekat oleh pengunjung yang berada di situ.

Ternyata memang ramai yang masih meminati basikal tua. Kedengaran juga beberapa pengunjung sempat bercerita dan memberitahu bahawa dahulunya mereka pernah melihat dan mempunyai basikal tua. Ada juga yang menyangka deretan basikal tua milik ahli-ahli KBTBB itu adalah basikal untuk dijual. Tetapi setelah diterangkan barulah mereka mengetahui bahawa basikal tua tersebut adalah milik ahli-ahli KBTBB yang di bawa berkayuh untuk tujuan riadah dan mempromosikan basikal tua untuk generasi muda. Selain daripada itu, Sdr. Jebat sempat memberitahu pengunjung bahawa dengan berbasikal juga kita dapat mengurangkan kesesakan lalulintas dan mengurangkan pencemaran udara.

Setelah hampir 2 jam di Pasar Karat, rombongan KBTBB menuju ke Bangunan Merah untuk berehat untuk menikmati keindahan dan kedamaian Sungai Melaka sambil minum/makan cendol. Sepertimana rutinnya, tidak "sah" kalau rombongan KBTBB tidak singgah di situ kerana tempat tersebut sememangnya sudah sinonim dengan kehadiran KBTBB. Manakala Pengerusi KBTBB, Sdr. Alias sempat mendapatkan khidmat urutan refleksiologi di situ. Dari Bangunan Merah, rombongan KBTBB terus ke Menara Taming Sari. - bersambung.

Ahli-ahli KBTBB tidak melepaskan peluang mencari spare-part dan melihat barang-barang lama/antik yang dijual di Pasar Karat.

Pengunjung yang hadir sempat melihat dengan lebih dekat basikal tua milik ahli-ahli KBTBB yang aktif mempromosikan basikal tua di Melaka.

Nantikan foto-foto seterusnya.

Tiada ulasan: