Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Isnin, 5 November 2012

Perhimpunan Basikal Klasik Terbesar (MBR 2012) bukti basikal tua masih bernilai


MELAKA 19 Sept. - Usaha segelintir peminat basikal tua di negara ini yang sanggup menghabiskan wang beribu ringgit demi hobi menyimpan barangan lapuk yang wujud sejak tahun 1890-an membuktikan ia mempunyai nilai tersendiri.

Basikal tua atau basikal klasik yang mampu mengembalikan nostalgia kepada 'orang lama' ini kini semakin diminati bukan sahaja di kalangan orang tua malah golongan muda dan remaja untuk memilikinya. Kegilaan para peminat dan pengumpul basikal klasik tua itu bukan sahaja kepada basikalnya tetapi barangan aksesori seperti lampu dinamo, loceng, beg buatan England dan aksesori lain yang semakin sukar ditemui. Memiliki basikal tua yang masih berfungsi dengan baik dan lengkap dengan pelbagai aksesori itu menjadi kebanggaan bagi pemiliknya kerana barangan klasik tersebut mempunyai pelbagai cerita menarik di sebaliknya.

Antaranya, ia pernah digunakan pemilik generasi terdahulu semasa zaman penjajahan Jepun dan Inggeris serta menjadi kenderaan utama kakitangan kerajaan pada zaman sebelum merdeka seperti polis, guru, tentera dan posmen dalam urusan kerja harian mereka. Usaha meneruskan legasi itu semakin berkembang dengan adanya pelbagai aktiviti yang dijalankan kelab-kelab basikal tua di seluruh negara untuk memperkenalkannya kepada orang ramai serta generasi masa kini yang mungkin tidak pernah melihat basikal tua.

Peminat basikal tua pelbagai kelab dari seluruh negara sering berkumpul untuk mengadakan aktiviti berbasikal serta pameran di kawasan-kawasan yang menjadi tarikan pelancong pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Jumlah peminatnya yang semakin ramai menjadikan hobi tersebut tambah menarik dan sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang berpeluang melihatnya dengan lebih dekat. Buktinya, baru-baru ini, seramai 460 peminat basikal tersebut telah berjaya dikumpulkan dalam Perhimpunan dan Perarakan Basikal Klasik Terbesar di negara ini.

Perhimpunan terbesar itu diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh dan mendapat pengiktirafan dalam dalam Malaysia Book of Records (MBR). Perhimpunan anjuran Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) dengan kerjasama pasar raya Mydin MITC itu berjaya mengumpulkan 20 buah kelab basikal tua dari seluruh negara. Lebih meriah, perhimpunan itu turut disertai seramai 25 peserta jemputan dari Pekan Baru, Riau, Indonesia.

Antara kelab yang terlibat termasuklah KBTBB; Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis; Kelab Basikal Klasik Kg. Kundang; Kelab Sepeda Tua Felda Chemplak; Kelab Sepeda Klasik Kinta dan Kelab Sepeda Tua Johor Bahru. Turut serta, Port Swettenham Classic Bicycle; Kelab Sepeda Tua Kota Tinggi; Kelab Basikal Tua Muar; Kelab Basikal Champion Melaka; Kelab Basikal Klasik Pulau Pinang; Kelab Basikal Adtec Batu Pahat dan Pemilik Basikal Klasik Muar.

Kebanyakan basikal tua yang berjaya dikumpulkan pada perhimpunan itu adalah buatan England sekitar tahun 1920-an hingga 1970-an daripada jenama terkenal seperti Raleigh, Hercules, Robinhood, Phillips, British Small Arms (BSA), Sunbeam, Triumph, New Hudson, Rudge dan sebagainya. Lebih menarik, para peserta perhimpunan hadir dengan penuh semangat dan memakai pakaian klasik bertemakan 'Perjuangan Kemerdekaan' serta menghiasi basikal mereka dengan Jalur Gemilang selain pelbagai aksesori mengikut kreativiti tersendiri.

Program itu turut dimeriahkan dengan pertandingan Basikal Beragam Terbaik, Pakaian Terbaik, Pengurusan Kelab Terbaik serta penghargaan kepada Peserta Paling Veteran dan Peserta Paling Muda. Program itu diadakan dalam usaha untuk menghargai para peminat basikal tua yang memperjuangkan nostalgia serta warisan klasik tersebut.

Acara bersejarah itu juga secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada semua peserta bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman menarik mengenai hobi tersebut.
Orang ramai dan masyarakat juga berpeluang mengenal dan melihat dengan lebih dekat koleksi basikal klasik pelbagai jenama yang pernah wujud di negara ini pada era sebelum dan selepas merdeka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20120920/ws_03/Perhimpunan-klasik-basikal-tua#ixzz2BJfdP5oH 

Untuk melihat liputan media yang lebih menyeluruh sila layari http://basikalmalaya.wordpress.com - ikhsan dari blog Basikal Malaya.

Tiada ulasan: