Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Isnin, 5 November 2012

Perhimpunan Basikal Klasik Terbesar (MBR 2012) bukti basikal tua masih bernilai


MELAKA 19 Sept. - Usaha segelintir peminat basikal tua di negara ini yang sanggup menghabiskan wang beribu ringgit demi hobi menyimpan barangan lapuk yang wujud sejak tahun 1890-an membuktikan ia mempunyai nilai tersendiri.

Basikal tua atau basikal klasik yang mampu mengembalikan nostalgia kepada 'orang lama' ini kini semakin diminati bukan sahaja di kalangan orang tua malah golongan muda dan remaja untuk memilikinya. Kegilaan para peminat dan pengumpul basikal klasik tua itu bukan sahaja kepada basikalnya tetapi barangan aksesori seperti lampu dinamo, loceng, beg buatan England dan aksesori lain yang semakin sukar ditemui. Memiliki basikal tua yang masih berfungsi dengan baik dan lengkap dengan pelbagai aksesori itu menjadi kebanggaan bagi pemiliknya kerana barangan klasik tersebut mempunyai pelbagai cerita menarik di sebaliknya.

Antaranya, ia pernah digunakan pemilik generasi terdahulu semasa zaman penjajahan Jepun dan Inggeris serta menjadi kenderaan utama kakitangan kerajaan pada zaman sebelum merdeka seperti polis, guru, tentera dan posmen dalam urusan kerja harian mereka. Usaha meneruskan legasi itu semakin berkembang dengan adanya pelbagai aktiviti yang dijalankan kelab-kelab basikal tua di seluruh negara untuk memperkenalkannya kepada orang ramai serta generasi masa kini yang mungkin tidak pernah melihat basikal tua.

Peminat basikal tua pelbagai kelab dari seluruh negara sering berkumpul untuk mengadakan aktiviti berbasikal serta pameran di kawasan-kawasan yang menjadi tarikan pelancong pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Jumlah peminatnya yang semakin ramai menjadikan hobi tersebut tambah menarik dan sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang berpeluang melihatnya dengan lebih dekat. Buktinya, baru-baru ini, seramai 460 peminat basikal tersebut telah berjaya dikumpulkan dalam Perhimpunan dan Perarakan Basikal Klasik Terbesar di negara ini.

Perhimpunan terbesar itu diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh dan mendapat pengiktirafan dalam dalam Malaysia Book of Records (MBR). Perhimpunan anjuran Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) dengan kerjasama pasar raya Mydin MITC itu berjaya mengumpulkan 20 buah kelab basikal tua dari seluruh negara. Lebih meriah, perhimpunan itu turut disertai seramai 25 peserta jemputan dari Pekan Baru, Riau, Indonesia.

Antara kelab yang terlibat termasuklah KBTBB; Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis; Kelab Basikal Klasik Kg. Kundang; Kelab Sepeda Tua Felda Chemplak; Kelab Sepeda Klasik Kinta dan Kelab Sepeda Tua Johor Bahru. Turut serta, Port Swettenham Classic Bicycle; Kelab Sepeda Tua Kota Tinggi; Kelab Basikal Tua Muar; Kelab Basikal Champion Melaka; Kelab Basikal Klasik Pulau Pinang; Kelab Basikal Adtec Batu Pahat dan Pemilik Basikal Klasik Muar.

Kebanyakan basikal tua yang berjaya dikumpulkan pada perhimpunan itu adalah buatan England sekitar tahun 1920-an hingga 1970-an daripada jenama terkenal seperti Raleigh, Hercules, Robinhood, Phillips, British Small Arms (BSA), Sunbeam, Triumph, New Hudson, Rudge dan sebagainya. Lebih menarik, para peserta perhimpunan hadir dengan penuh semangat dan memakai pakaian klasik bertemakan 'Perjuangan Kemerdekaan' serta menghiasi basikal mereka dengan Jalur Gemilang selain pelbagai aksesori mengikut kreativiti tersendiri.

Program itu turut dimeriahkan dengan pertandingan Basikal Beragam Terbaik, Pakaian Terbaik, Pengurusan Kelab Terbaik serta penghargaan kepada Peserta Paling Veteran dan Peserta Paling Muda. Program itu diadakan dalam usaha untuk menghargai para peminat basikal tua yang memperjuangkan nostalgia serta warisan klasik tersebut.

Acara bersejarah itu juga secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada semua peserta bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman menarik mengenai hobi tersebut.
Orang ramai dan masyarakat juga berpeluang mengenal dan melihat dengan lebih dekat koleksi basikal klasik pelbagai jenama yang pernah wujud di negara ini pada era sebelum dan selepas merdeka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20120920/ws_03/Perhimpunan-klasik-basikal-tua#ixzz2BJfdP5oH 

Untuk melihat liputan media yang lebih menyeluruh sila layari http://basikalmalaya.wordpress.com - ikhsan dari blog Basikal Malaya.

Rabu, 25 Julai 2012

Perhimpunan dan Perarakan Basikal Tua Terbesar untuk dicatat di dalam The Malaysia Book of Record (MBR) pada 16 September 2012


Belum pun sebulan Acara NOBAT berakhir KBTBB telah diberi kepercayaan oleh Pasaraya Terbesar MYDIN untuk menghimpunkan peminat-peminat dan pejuang-pejuang BASIKAL TUA seluruh Malaysia dalam satu acara yang TERBESAR yang bakal dicatat di dalam The Malaysia Book of Record (MBR) pada Ahad, 16 September 2012 bersempena sambutan HARI MALAYSIA di MYDIN Mall MITC, Ayer Keroh, Melaka. Untuk itu KBTBB akan menghantar jemputan khas kepada 19 kelab basikal tua yang telah menghadirkan diri pada Acara NOBAT yang lalu untuk bersama-sama menjayakan acara ini.

Kepada yang sesiapa yang berminat untuk menyertai acara yang penuh prestij ini anda bolehlah mendaftarkan diri anda SEKARANG! Tarikh TUTUP pendaftaran adalah pada Khamis, 30 Ogos 2012.

Sila klik di pautan di bawah untuk mendaftar secara online.
http://fs12.formsite.com/ikhwanizam76/form1/index.html

Pengenalan
Acara Perhimpunan dan Perarakan Basikal Tua Terbesar untuk dicatat di dalam The Malaysia Book of Record atau singkatannya “Acara MBR 2012” merupakan acara basikal tua yang terbesar di peringkat nasional yang dirancang khusus untuk menghimpunkan pencinta dan pejuang basikal tua seluruh Malaysia bersempena Sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September setiap tahun. Acara kali ini merupakan acara yang paling bersejarah dan merupakan satu penghormatan tertinggi buat seluruh pejuang dan pencinta basikal tua tanahair kerana kesudian Pasaraya Terbesar MYDIN (MITC Melaka) menjadi penaja & penganjur utama.

Penganjuran Acara MBR 2012 adalah bertujuan untuk membuktikan kepada Malaysia bahawa basikal tua juga mampu untuk membuktikan sesuatu yang membanggakan untuk bangsa dan negara disamping dapat mempereratkan persahabatan/ persaudaraan, menyatukan komuniti basikal tua, dan bersama melestarikan nostalgia warisan silam untuk generasi akan datang. Inilah masa yang paling sesuai untuk seluruh pejuang dan pencinta basikal tua tanahair untuk membuktikan perjuangan dan sumbangan mereka melestarikan basikal tua di mata dunia dengan menyertai acara yang penuh prestij dan diiktiraf ini.

Peserta Acara MBR 2012
Pihak penganjur mengsasarkan kehadiran seramai 350-400 orang peserta berdaftar dari seluruh Malaysia untuk menjayakan Acara MBR 2012 yang diiktiraf  The Malaysia Book of Record ini.

Tema Acara MBR 2012
“Perjuangan Kemerdekaan bersama Basikal Tua di Tanah Melayu”
Peserta-peserta yang hadir digalakkan memakai pakaian bertemakan “Perjuangan Kemerdekaan” dan menghias basikal tua mengikut ekspresi dan kreativiti diri masing-masing mengikut tema pilihan di atas. Hadiah-hadiah menarik akan diberikan kepada peserta yang hadir mengikut tema.

Tarikh / Tempat / Masa
Acara bersejarah ini akan berlangsung pada hari Ahad, 16 September 2012 bertempat di MYDIN Mall, MITC Ayer Keroh, Melaka. Peserta yang berdaftar dikehendaki berada di lokasi selewat-lewatnya jam 2:00 petang kerana acara perlepasan (perarakan) peserta dijangkakan akan dilakukan pada jam 3:30 petang.

Dirasmikan oleh
Acara ini akan dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka dan dihadiri tetamu kenamaan iaitu Datuk Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Berhad, dan Datuk Danny Ooi, Pengarah Urusan The Malaysia Book of Record.

Inisiatif, Anjuran & Tajaan
MYDIN, Wholesale Hypermarket, MITC Melaka

Pendaftaran adalah PERCUMA!*
Peserta yang berdaftar akan menerima barangan eksklusif Acara MBR 2012 seperti berikut (*terhad kepada 400 peserta terawal berdaftar sahaja) :-
1. T-Shirt MBR 2012*
2. Pin MBR 2012*
3. Makan & Minum
4. Sijil Penyertaan MBR 2012
5. Hadiah Cabutan Bertuah dan Pelbagai Hadiah
6. Peserta juga berpeluang memenangi wang tunai RM300 x 3 cabutan sebagai hadiah cabutan bertuah utama (Grand Prize)

Acara Utama Acara MBR 2012
Pihak penganjur telah merancang beberapa Acara Utama bagi memeriahkan Acara MBR 2012 khas untuk peserta-peserta yang hadir. Antaranya ialah seperti berikut:
1. Perhimpuanan & Perarakan Basikal Tua TERBESAR di Malaysia
2. Persembahan Pentas/Kebudayaan
3. Majlis Penyampaian Sijil Acara MBR 2012
4. Majlis Penyampaian Anugerah Khas Acara MBR 2012
5. Gerai Jualan Cenderahati
6. Cabutan Bertuah

Anugerah Khas Acara MBR 2012
Pihak penganjur akan memberi anugerah khas bagi kategori di bawah untuk peserta yang berdaftar. Antaranya ialah seperti berikut:
1. Basikal Beragam Terbaik
2. Busana/Pakaian Terbaik (bertemakan “Perjuangan Kemerdekaan” - beruniform, busana klasik, dan orang kampung)
3. Pengurusan Kelab Terbaik
4. Peserta Paling Veteran
5. Peserta Paling Muda

Jarak Kayuhan
Jarak kayuhan dianggarkan sejauh 4-6 km (laluan mendatar) mengelilingi MITC – Ayer Keroh, Melaka

Tentatif Program Acara MBR 2012
***Akan dimaklumkan kelak***

Admin KBTBB

Isnin, 2 Julai 2012

Acara NOBAT Melaka 2012 mendapat sambutan luar biasa dan terbukti sebagai perhimpunan TERBESAR basikal tua di Malaysia

Ahad 1 Julai 2012 terpahat sebagai satu tarikh paling bersejarah apabila KBTBB berjaya menghimpunkan hampir 450 orang peminat dan pencinta basikal tua seluruh negara dalam Acara NOBAT Melaka 2012. Tidak kurang 1000 orang pengunjung termasuk peserta dan ahli keluarga hadir memenuhi Dataran Taming Sari untuk menyaksikan acara basikal tua yang TERAMAI dan TERBESAR di Malaysia. Sebanyak 20 kelab/kumpulan basikal tua dari seluruh Malaysia termasuk Komunitas Sepeda Tua Indonesia telah hadir untuk menjayakan acara yang berlangsung bermula jam 7:30 pagi sehingga 2:00 petang.

Hampir 450 peserta menyertai acara kayuhan NOBAT Melaka 2012 mengelilingi Bandaraya Warisan Dunia  Melaka yang bermula seawal 7:30 pagi
KBTBB selaku penganjur utama telah menerima kedatangan dan kehadiran peserta NOBAT sejak hari Jumaat 29hb Jun iaitu 2 hari sebelum bermulanya acara sehinggalah hari berlangsungnya acara tersebut. Ternyata sokongan dan sambutan yang diterima oleh KBTBB sangat-sangat luar biasa dan diluar jangkaan. Walaupun sasaran awal hanyalah untuk menghimpunkan seramai 300 peserta namun jumlah sasaran itu semakin bertambah dan melepasi angka 350 setelah tamatnya tarikh tutup pada 15 Jun 2012 yang lalu.

Acara kayuhan pasti berseri dengan adanya peserta wanita yang menjadi penyeri acara...

Peserta yang patriotik pasti akan memilih busana uniform/seragam zaman dahulu kala...

Peserta dari luar negara juga hadir memberi sokongan kepada Acara NOBAT 2012 


Rabu, 27 Jun 2012

Maklumat Terkini Acara NOBAT - Tentatif Program dan Informasi Laluan Perjalanan


Untuk makluman semua peserta Acara NOBAT Melaka 2012. Sekretariat NOBAT yang menguruskan acara ini akan berpengkalan (based) di Hang Tuah Hotel Melaka yang terletak di Jalan Melaka Raya berhampiran Mahkota Parade dan Mahkota Medical Center. Kepada mana-mana kumpulan yang datang awal silalah hubungi mana-mana Sekretariat NOBAT sekiranya ada sebarang kesulitan dan bantuan yang diperlukan. Kaunter Sekretariat NOBAT akan mula beroperasi pada hari Sabtu, 30 Jun 2012 jam 4:30 petang  - 7:30 malam di Lobi Utama, Hang Tuah Hotel Melaka. Bagi yang hadir pada hari Ahad 1 Julai 2012 Kaunter Sekretariat NOBAT akan dibuka seawal jam 6:00 pagi di Dataran Menara Taming Sari bagi urusan pendaftaran dan pemberian barangan NOBAT kepada peserta berdaftar......
Berikut adalah maklumat dan tentatif program Acara NOBAT yang akan berlangsung pada 30 Jun - 1 Julai 2012. Sila maklumkan kepada semua peserta yang terlibat.


TENTATIF PROGRAM
SABTU - 30 Jun 2012
4:30 Petang
Kaunter Pendaftaran Peserta NOBAT akan di buka yang terletak di aras Lobi Utama di Hang Tuah Hotel Melaka 
6:00 Petang
Sesi minum petang bersama perwakilan Malaysia & Indonesia di Hang Tuah Hotel Melaka
7:30 Malam
Makan Malam (atas tanggungan kelab/sendiri) & Solat Maghrib
9:00 Malam
Night Ride & Mengeteh (Teh tarik + Roti canai) - (atas tanggungan kelab/sendiri)
...

AHAD - 1 Julai 2012
6:00 Pagi
Pendaftaran peserta NOBAT bermula/dibuka
7:00 Pagi
Berkumpul di Menara Taming Sari
Sesi Taklimat peserta & informasi laluan
7:15 Pagi
Perasmian oleh YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam,
Ketua Menteri Melaka
7:30 Pagi
Flag-off / Pelepasan peserta NOBAT mengelilingi Bandaraya Warisan Dunia Melaka
8:45 Pagi
Berehat di check-point kayuhan
10:30 Pagi
Tiba di check-point terakhir (kembali semula ke Menara Taming Sari)
10:45 Pagi
Acara Sukaneka Beroda
11:45 Pagi
Penyampaian Anugerah Khas NOBAT
12:30 Tengahari
Cabutan Bertuah
1:00 Petang
Majlis Pertukaran Cenderahati antara peserta/kelab
1:30 Petang
Penyampaian Sijil / Majlis Penutup
2:00 Petang
Acara bebas - Pameran / Jualan / Bersurai

Informasi Laluan Night Ride
(Sabtu, 30 Jun 2012) Jarak kayuhan 5-8km


Peta Laluan/Perjalanan Night Ride sejauh 5 - 8km
Jalan Melaka Raya 6
Semua peserta berkumpul  di Hang Tuah Hotel Melaka - Belok kiri keluar dari Hotel - Belok kiri menuju ke arah Jalan Merdeka
Jalan Merdeka 
Ke kanan Menuju terus ke EQ Hotel
Jalan Parameswara
Tiba di stesen minyak shell - Belok ke kiri menuju Jalan Tamby Abdullah
Jalan Tamby Abdullah
Melalui rumah awam Bandar Hilir - Tiba dipersimpangan belok kiri menuju Jalan Laksamana Cheng Ho
Jalan Laksamana Cheng Ho
Meneruskan perjalanan ke Jalan Munshi Abdullah
Jalan Munshi Abdullah
Melalui Hotel Palace, Hotel Emperorm - Tiba di persimpangan MBA belok ke kiri menuju ke Jalan Bendahara
Jalan Bendahara
Melalui Little India.
Jalan Laksamana
Melalui hadapan Menara Jam Besar, Bangunan Stadthuys, Restoran Quayside, Muzium Kapal TLDM
Jalan Merdeka Melalui Menara Taming Sari, Dataran Pahlawan Megamall,
Belok ke kanan melaui Hatem Square menuju Jalan Syed Abdul Aziz
Jalan Syed Abdul Aziz
Tamat di Hang Tuah Hotel Melaka 

Informasi Laluan Utama Acara NOBAT 
(Ahad, 1 Julai 2012) 
Jarak kayuhan 8-10km
Peta Laluan/Perjalanan Utama Acara NOBAT sejauh 8 - 10km
Jalan Merdeka 
Semua peserta berkumpul di depan Menara Taming Sari - Mula kayuhan basikal tua melalui Dataran Pahlawan Megamall - Belok kiri ke arah EQ Hotel
Jalan Parameswara
Belok ke kiri menuju Memorial Pegisytiharan Kemerdekaan, A`Famosa - IPD Melaka Tengah
Jalan Kota
Belok kanan Menuju Ke Bulatan Menara Jam Besar, Bangunan Stadthuys (Menyonsang arus jalan)
Ikut Jambatan - Jalan Kota Laksamana
Belok kiri menuju Jalan Kota Laksamana
Jalan Kota Laksamana 1
Terus Sehingga Jalan Kota Laksamana 1
Jalan Syed Abdul Aziz
Belok kiri kemudian terus ke bekas tapak Eyes On Malaysia - Berhenti rehat (Check Point 1) Eyes On Malaysia - U- turn - Ikut Jalan Syed Abdul Aziz semula sehingga persimpangan Jalan Tengkera
Jalan Tengkera
Belok kanan sehingga Sek. Jenis Keb (Cina) Pay Fong 1 - Belok kiri menuju Jalan Kubu - Melalui Jabatan Bomba & Penyelamat  terus sehingga ke shell - Belok kiri menuju ke Maybank
Jalan Hang Tuah
Sampai Maybank belok kanan sehingga Jalan Tun Ali
Jalan Tun Ali
Belok kanan menuju tapak Bekas Courth Mammoth - Belok kiri menuju terus masuk ke pintu gerbang Kg. Morten - Seterusnya peserta kayuhan keluar melalui Lorong Tun Mamat 4
Jalan Tun Chay Yen
Belok kanan menuju Jalan Tun Mutahir - Melalui Jambatan Hang Jebat - Berhenti rehat di Taman Rempah (Check Point 2) 
Jalan Tun Sri Lanang
Belok kanan menuju terus ke Jalan Bendahara
Jalan Bendahara
Melalui Little India.
Jalan Laksamana
Melalui hadapan Menara Jam Besar, Bangunan Stadthuys, Restoran Quayside, Muzium Kapal TLDM 
Jalan Merdeka
Tamat di Menara Taming Sari


Isnin, 25 Jun 2012

NOBAT bakal jadi perhimpunan TERBESAR: Lebih 350 peserta sudah mendaftar ke Acara Nostalgia Basikal Tua (NOBAT) Melaka 2012

Acara NOBAT Melaka 2012 yang bakal berlangsung beberapa hari lagi akan menghimpunkan lebih 350 peserta basikal tua seluruh Malaysia. Sehingga hari ini pihak Sekretariat NOBAT telah menerima lebih 350 peserta yang mendaftar untuk menghadiri perhimpunan basikal tua TERBESAR peringkat nasional di Melaka pada Sabtu dan Ahad ini. Alhamdulillah sokongan yang diperolehi KBTBB meliputi seluruh peminat dan pejuang basikal tua dari seluruh pelusuk tanahair bermula dari Selatan sehingga ke Utara. Paling menarik acara ini akan dihadiri perwakilan dari Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI) yang menghantar wakil mereka seramai 30 peserta.
Semuanya telah bersiap sedia - KBTBB bersama Jabatan Kerajaan, PBT dan Polis dalam Mesyuarat Penyelarasan NOBAT yang telah berlangsung di Hang Tuah City Hotel baru-baru ini
Ini membuktikan sokongan padu peminat-peminat dan pejuang-pejuang basikal tua yang "dahaga"kan acara/event yang besar untuk mereka bebas berhimpun dan mengekspresi koleksi basikal serta busana masing-masing. Acara NOBAT pastinya acara yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak setelah sekian lama komuniti basikal tua di Malaysia tidak menganjurkan apa-apa acara yang TERBESAR untuk peminat dan pejuangnya. Walau pun pada awalnya ada pihak-pihak yang cuma "mentertawakan" perancangan awal Acara NOBAT ini namun sokongan yang kami perolehi melebihi dan menjangkaui sasaran (350 peserta) sepertimana yang telah ditetapkan oleh Ketua Projek NOBAT iaitu Sdr Ikhwan Ibrahim.

Teringat kisah Nabi Noh di mana kaumnya pernah "mentertawakan" baginda sewaktu membina kapal besar kerana tidak tahu dan menyangka apa yang akan terjadi kepada mereka di masa hadapan. Akhirnya mereka tahu mengapa Nabi Noh membina kapal tersebut.
...
T-Shirt Eksklusif NOBAT sebagai cenderahati untuk dijadikan memorabilia 
Penganjuran Acara NOBAT ini pula bertujuan untuk membuktikan semangat dan warisan basikal tua di Malaysia masih MEMBARA dan terus diWARISI serta diMINATI. Paling signifikan acara TERBESAR ini tidak lagi dinaungi dan ditaja oleh mana-mana pihak (sponsor) Acara NOBAT adalah acara yang ditanggung sendiri oleh peserta-peserta yang hadir dan KBTBB hanya mengeluarkan dana simpanan untuk menambah kekurangan yang tidak mencukupi bagi menampung kos penganjuran Acara. Inilah perjuangan yang paling bermakna buat KBTBB iaitu kami telah membuktikan dengan TIADAnya sponsor kami boleh menganjurkan acara TERBESAR di Malaysia.
...
Justeru itu kepada semua peminat dan pejuang basikal tua yang membaca entry ini...ayuh kita siapkan diri dan basikal tua masing-masing untuk hadir bersama-sama memeriahkan Acara NOBAT 2012 di Melaka pada Sabtu dan Ahad (30 Jun - 1 Julai) ini nanti. Bagi yang sudi untuk hadir pihak Sekretariat NOBAT mengalu-alukan kehadiran semua tanpa apa-apa bayaran untuk bersama-sama berkayuh mengelilingi Bandaraya Warisan Dunia Melaka. Untuk makluman pihak penganjur ada menjual t-shirt, lencana dan bendera NOBAT untuk dijadikan cenderahati kepada sesiapa yang hadir pada hari tersebut. Maklumat terkini dan jadual/program NOBAT akan diumumkan kelak - Admin KBTBB

Jumaat, 18 Mei 2012

Jemputan khas menyertai Acara NOBAT 2012 - Perhimpunan TERBESAR untuk pencinta & pejuang basikal tua Malaysia

KBTBB dengan sukacitanya ingin menjemput seluruh peminat, pencinta dan pejuang basikal tua untuk hadir menyertai Acara Nostalgia Basikal Tua atau NOBAT 2012. Acara ini merupakan acara kayuhan TERBESAR yang dirancang oleh KBTBB khas buat komuniti basikal tua Malaysia untuk menghimpunkan seluruh peminat, pencinta dan pejuang basikal tua dalam 1 acara bersempena sambutan Ulangtahun 750 Tahun Melaka. Langkah proaktif ini dilaksanakan kerana tiadanya acara besar basikal tua yang dirancang oleh mana-mana pihak setelah hampir setengah tahun berlalu. Mungkin sudah ramai yang ternanti-nanti apakah acara yang akan berlangsung pada tahun 2012?. Jawapannya - Inilah acaranya - NOBAT 2012!
Acara kemuncak yang akan berlangsung pada Ahad, 1 Julai 2012 jam 7:30 pagi bertempat di Menara Taming Sari ini bukan sahaja memfokuskan pada acara kayuhan semata-mata tetapi NOBAT 2012 akan diwarnai dengan pelbagai acara yang menarik. Antaranya adalah pameran basikal tua, gerai jualan, sukaneka, cabutan bertuah, dan pelbagai anugerah khas NOBAT 2012 untuk peserta yang berdaftar. Pada acara kali ini KBTBB tidak lagi mengharapkan penajaan dari mana-mana pihak sebaliknya segala kos perbelanjaan akan ditanggung dan dikongsi bersama peserta yang ingin turut serta dengan bayaran pendaftaran RM35.00
Peserta NOBAT 2012 akan menerima sehelai t-shirt ekslusif, pin edisi terhad, makan dan minuman, sijil penghargaan dan peluang memenangi pelbagai hadiah dan cabutan bertuah. Siapa tahu mungkin ada merupakan salah seorang peserta paling bertuah yang bakal memenangi wang tunai RM500! Pihak penganjur ingin menasihatkan kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai Acara NOBAT 2012 untuk mendaftar dengan kadar yang segera. Peserta dikehendaki mengisi Borang Pendaftaran rasmi untuk menyertai NOBAT 2012 sebagai peserta berdaftar dan mencatat nama masing-masing dalam Buku NOBAT 2012 yang akan diterbitkan selepas acara berakhir.

Maklumat lanjut mengenai acara boleh didapati melalui wakil-wakil kelab yang telah dilantik pihak penganjur atau boleh menghubungi talian Sekretariat NOBAT 2012 seperti di bawah. Tema Acara NOBAT 2012 pada tahun ini adalah "LESTARIKAN NOSTALGIA WARISAN SILAM" - datanglah beramai-ramai dengan pakaian / busana yang paling klasik dan kreatif.
Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 15 Jun 2012 


Khamis, 17 Mei 2012

Al-Fatihah khas buat Adik Nani - Bintang Kecil KBTBB yang telah pergi buat selamanya

KBTBB ingin menyampai ucapan TAKZIAH khas buat Keluarga Abg Samingan Surip di atas pemergian puteri tercinta beliau iaitu Nurainahanani atau lebih dikenali dengan panggilan Adik Nani. Beliau disahkan meninggal dunia pada Sabtu, 12 Mei 2012 jam 11:00 pagi yang lalu akibat serangan Asma. Berita duka yang sangat mengejutkan ini sememangnya tidak boleh diterima oleh kebanyakan ahli-ahli KBTBB namun sebagai insan yang kerdil kita seharusnya menerima takdir dan ketentuan dariNya. Ternyata Allah lebih menyayangi beliau.

Walaupun baru menyertai KBTBB pada awal tahun ini - dalam usianya yang masih muda si bintang kecil ini telah berjaya menambat hati ahli-ahli KBTBB kerana sering tampil dalam acara kayuhan yang dianjurkan.Watak manja dan ceria si kecil ini sentiasa menjadi tumpuan orang-orang sekelilingnya dan pasti sesiapa yang mengenalinya akan berasa senang hati dengan kehadirannya. Pemergian Adik Nani yang dikasihi ini bolehlah dibarat sebagai suatu kehilangan yang besar bagi seluruh ahli keluarga KBTBB dan pastinya kepada keluarga beliau. Biarpun masih kecil namum memiliki semangat yang besar untuk bersama-sama melestarikan hobi yang dicintainya.

Untuk itu marilah kita bersama-sama sedekahkan bacaan Al-Fatihah khas buat Adik Nani yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga rohnya di tempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan dikasihi Allah - Amin Ya Robillalamin.


p/s :- Bersama-sama ini dipaparkan beberapa foto yang diambil oleh Sdr. Ikhwan yang didedikasikan buat Adik Nani (kebanyakkan foto yang diambil ini ada tidak sempat dilihat oleh beliau)...

Allahyarhamah Adik Nani bersama ahli keluarganya sewaktu menyertai acara kayuhan LTDL di Bandaraya Melaka.

Wajah ceria yang sempat dirakam...

Gembira mendapat basikal baru yang dihadiahkan oleh bapanya sewaktu Acara Kayuhan bersama Kelab Sepeda Tua Chempelak, Johor...

Walaupun kecil Allahyarham memiliki semangat yang besar untuk bersama-sama melestarikan warisan basikal tua untuk generasi muda...

Kelibat si kecil yang hadir mewarnai dan menceriakan acara kayuhan KBTBB di Melaka...

Selamat jalan Adik Nani...Semoga adik tenang dan sejahtera di sisiNya...Amin - Al-Fatihah....

Selasa, 6 Mac 2012

Lawatan Muhibah KBTBB ke Pekanbaru, Indonesia pada 10-12 Mac 2012 memperkukuh persahabatan serumpun

Tahun ini KBTBB sekali lagi akan terbang ke bumi Indonesia bersempena lawatan muhibah ke Pekanbaru untuk bersama-sama sahabat-sahabat dari KOSTI Provensi Riau untuk menjayakan satu acara kayuhan basikal tua dan lawatan bermula 10-12hb Mac 2012 ini. Idea asal dan perlaksanaan lawatan muhibah ini telah direncana dengan rapi dan kemas oleh Sdr. Jebat iaitu Naib Pengerusi KBTBB bersama Bapak Fajar Daulay iaitu Ketua KOSTI Provensi, Riau untuk membawa ahli-ahli KBTBB merasai pengalaman menyertai acara di luar negara bersama Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI). Rombongan KBTBB yang akan disertai seramai 30 orang ahli hadir bersama VVIP (tetamu kehormat) dijangkakan akan tiba di Pekanbaru dari Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam pada pagi Sabtu, 10hb Mac 2012.

Demi meneruskan perjuangan basikal tua dan melebarkan sayapnya ke peringkat Internasional, KBTBB pada tahun ini telah mengambil beberapa langkah yang progresif dan inisiatif sendiri di dalam melaksanakan program-program yang memberikan impak yang lebih besar. Apalah ertinya sebuah pertubuhan dan kelab yang berdaftar sekiranya tidak mampu untuk membawa ahli-ahlinya keluar dari kepompong dan masih dibelenggu dengan "cara pemikiran lama" iaitu "collect and see" serta menjadi pengkaji basikal tua seumur hidup. Pengalaman yang ditimba dan dilalui sendiri itu lebih mahal harganya jika hendak dibandingkan dengan harga sebuah basikal. Nilai persahabatan dan persaudaraan serumpun pula dilihat jauh lebih bernilai dari segalanya.


Tidak ramai dikalangan peminat dan pencinta basikal tua yang berpeluang menikmati hobi ini sehingga ke peringkat ini. Jadi memang terbuktilah tidak rugi menjadi ahli KBTBB kerana kelab ini diasaskan pada landasan yang betul. Diharapkan dengan adanya lawatan seumpama ini akan membuka paradigma dan "cara pemikiran baharu" di kalangan ahli-ahli KBTBB untuk terus memacu kelab ini untuk lebih maju dan berjaya. Sasaran untuk menjadikan KBTBB sebagai sebuah kelab bertaraf Internasional bukanlah sesuatu yang mustahil.

Ini jelas terbukti apabila KBTBB berjaya melaksanakannya misinya seawal suku pertama tahun 2012. Persahabatan di antara Malaysia dan Indonesia yang terjalin selama ini memberikan kesan yang meluas kepada komuniti basikal tua di Nusantara. Malahan ada kumpulan tertentu kini mendapat manfaat dan tempias kebaikan hasil dari jalinan persahabatan serumpun ini dan tanpa rasa malu bermegah dengan usaha yang telah dicetuskan oleh KBTBB bersama sahabat-sahabat basikal tua di Malaysia dan Indonesia. Paling penting sekarang ialah persahabatan di antara KBTBB dan KOSTI akan terus kukuh dan kekal selamanya atas semangat setiakawan dan persaudaraan serumpun yang tulin dan sejati.

p/s - KBTBB sudah ke peringkat Internasional... anda pula bagaimana? Kami akan ke Pekanbaru...anda pula akan ke mana?

Pemandangan di bandar/kota Pekanbaru yang bakal dilawati dan dilalui oleh rombongan KBTBB nanti
KBTBB bakal disertai ratusan dan mungkin ribuan ontelis dari sekitar daerah Riau yang akan bersama-sama berkayuh di Pekanbaru...bayangkan berapa ramai yang akan datang pula nanti pada acara yang bakal dianjurkan... * foto ini diambil sewaktu lawatan KBTBB di Bandung tahun lalu

Mesjid Agung An-Nur Riau yang terletak di tengah kota Pekanbaru yang memiliki seni bina Islam yang unik dan mengkagumkan
Pastinya peluang mengembara di negara seberang tidak lengkap kalau tidak membawa pulang beberapa barang-barang basikal tua/koleksi berharga untuk dijadikan buah tangan * Membeli belah di klithikan sesuatu perkara wajib yang tidak harusnya dilepaskan...Rombongan KBTBB dijangkakan akan melawat Candi Muara Takus sekiranya masa mengizinkan. Candi ini dianggap telah wujud pada zaman keemasan Sriwijaya, sehingga beberapa sejarahwan menganggap kawasan ini merupakan salah satu pusat pemerintahan dari kerajaan Sriwijaya. Pada tahun 2009 Candi Muara Takus telah dicalonkan untuk menjadi salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO.
...

Isnin, 5 Mac 2012

Basikal tua dan beca jadi tarikan di LTDL peringkat ke 5 (Melaka - Pandan Indah)

Pada acara perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTDL) 2012 yang berlangsung baru-baru ini membuktikan bahawa warisan basikal tua semakin mendapat perhatian dan pengiktirafan dalam memeriahkan acara basikal di peringkat antarabangsa. KBTBB yang muncul dengan pelbagai ragam pakaian dan basikal tua di acara perlepasan perlumbaan LTDL peringkat ke 5 di Ayer Keroh, Melaka pada hari Selasa, 28 Februari 2012 hadir seramai 40 orang ahlinya atas jemputan pihak penganjur LTDL 2012. Siapa sangka basikal tua yang dahulunya berkarat dan dibiarkan tersadai kini dikayuh seiring dengan basikal lumba yang berharga puluhan ribu ringgit dalam acara yang penuh gemilang. Basikal tua bukan hanya sekadar koleksi perhiasan dan syok sendiri tetapi kini diiktiraf menjadi produk pelancongan utama di negeri Melaka setanding dan setaraf beca berhias Melaka.

Deretan barisan beca berhias negeri Melaka yang mengetuai rombongan perarakan bersempena Majlis Perlepasan LTDL Peringkat ke 5 di Ayer Keroh, Melaka

Kehadiran ahli-ahli KBTBB dengan pelbagai ragam pakaian menampilkan keunikan dan elemen sejarah negeri Melaka

Ini dia gaya unik Abg Rahman yang mendapat tumpuan peminat dari luar negara sewaktu acara Perlepasan peserta LTDL baru-baru ini....

KBTBB dan basikal tua kini menjadi sebahagian dari produk pelacongan Negeri Melaka yang unik....jangan maraaahh haaaaa.... kalau tak kayuh siapa mau iktiraf?
....

Khamis, 1 Mac 2012

KBTBB meriahkan "LTDL Cyclefest 2012" di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka

Pada tahun ini (2012) KBTBB sekali lagi telah diundang oleh pihak penganjur "Le Tour de Langkawi" (LTDL) dan Kerajaan Negeri Melaka untuk memeriahkan acara perlumbaan basikal bertaraf dunia untuk Peringkat ke 2 (Stage 2) yang telah berlangsung pada Sabtu, 25hb Februari yang lalu. Seramai 40 orang ahli-ahli KBTBB lengkap berpakaian klasik dan tradisional hadir di Dataran Pahlawan untuk memeriahkan acara "LTDL Cyclefest 2012" yang telah berjaya mengumpulkan hampir 1,000 peserta berbasikal dari pelbagai peringkat umur. Acara yang bermula seawal 8:00 pagi itu tenyata memperlihatkan banyak acara yang telah dirancang oleh pihak penganjur termasuklah acara basikal lasak, live band, pameran ekspo dan kemuncaknya "prade" basikal yang disertai hampir 1,000 peserta.

Saudagar Import-Export Orang Kaya Jebat mengetuai acara kayuhan menuju ke Dataran Pahlawan...

Abg Songkok Tinggi yang pakai kot tuu memiliki banyak koleksi-koleksi basikal tua yang "pedas-pedas"... tak lam lagi dia bakal jadi otai busat tauu...tunggu masa jer...

Gaya si cilik... Adik Nani bersama gajet PC tabletnya yang canggih... mana best kalau ada basikal kalau tak kayuh pakcik... ini barulah gerekerssss... bukan solokersss a.k.a lone rangesss.... seat biaq terbelah dua... kayuh tetap kayuh...

Prade (perarakan) basikal yang bermula di hadapan A Famosa menyaksikan ragam dan gelagat peserta yang berkayuh melintasi pentas utama untuk menyambut ketibaan para peserta LTDL. Peserta perlumbaan LTDL yang telah memulakan perlumbaan mereka dari Putrajaya menuju ke Melaka sejauh 151km akhirnya tiba di garisan penamat sekitar jam 1:00 petang di hadapan Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka. Kehadiran KBTBB di dataran tersebut ternyata telah menarik minat orang ramai untuk mendekati "basikal tua" termasuk golongan remaja dan profesional. Basikal tua yang dijaga rapi dan tampil "berkilat" seperti asal tenyata masih mempunyai pesona malahan ada beberapa individu yang hadir di situ menyatakan hasrat untuk membeli basikal tua dengan harga yang "lumayan".

Sebahagian peserta basikal yang telah mula berkumpul untuk menyertai acara prade (perarakan) untuk menyambut ketibaan peserta-peserta perlumbaan LTDL di Melaka

Penampilan istimewa... ahli wanita terbaharu KBTBB iaitu isteri kepada Abg Samingan yang tampil berani dengan kostum kebudayaan India dengan mengenakan sari pada acara kali ini...

Untuk mengembalikan nostalgia dan sejarah... pakaian-pakaian uniform berkonsepkan military sememangnya mencuri tumpuan orang ramai... nie kalau org kata gila pun... gila bertempat lahhh...

1Malaysia.... macam-macam ada..... korang ada?....heheheee...

Pada prade (perarakan) basikal bersempena "LTDL Cyclefest 2012 kali ini, KBTBB telah dinobatkan sebagai "Kategori kumpulan basikal terbaik" oleh pihak penganjur acara. KBTBB telah menerima sebuah basikal modern MTB sebagai hadiah bagi kategori tersebut. Apa yang penting pada acara kali ini adalah kerjasama dan komitmen ahli-ahli KBTBB ternyata semakin mantap dan kukuh. Hobi basikal tua di Melaka bukan sekadar hobi yang bermusim mengikut keadaan cuaca dan acara-acara tertenu sahaja. Aktiviti yang dirancang dan disertai sentiasa membuatkan kelab ini semakin dikenali, dihormati dan diiktiraf kerana begitu komited membantu industri pelancongan negeri Melaka dan tidak hairanlah KBTBB yang memperjuangkan warisan basikal tua diiktiraf sebagai produk pelancongan negeri - Admin KBTBB