

Acara berbasikal mengelilingi Melaka setiap hujung minggu yang dianjurkan KBTBB membuktikan negeri Melaka kini merupakan lokasi paling strategik untuk acara berbasikal sambil berlibur. Memulakan kayuhan mereka dari Batu Berendam, acara pelepasan peserta flag-off telah disempurnakan oleh En. Gafar Othman selaku Pengerusi JKKK Batu Berendam tepat jam 8:00 pagi. Turut memeriahkan acara berbasikal pada hari tersebut ialah En. Roslan Mat Nong iaitu Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Ketua Menteri Melaka bersama En. Zulkifli Othman selaku Penaung KBTBB, mereka hadir bersama-sama mengayuh basikal tua mengiringi tetamu dari PECHAL, Johor mengililingi Bandaraya Melaka sejauh 16km.
PECHAL dan KBTBB sempat singgah di Kota A Famosa untuk mempamerkan koleksi basikal tua masing-masing kepada pengunjung yang hadir di situ. Ternyata deretan basikal tua yang dihias dengan aksesori seperti lampu antik, loceng, hiasan bendera dan sebagainya menarik perhatian pengunjung untuk bergambar. Ramai juga yang tertarik dengan pakaian dan busana yang dipakai oleh ahli-ahli KBTBB, gelagat peserta telah berjaya mencuit hati dan perasaan qurious (ingin tahu) lebih lanjut mengenai warisan basikal tua di Melaka. Turut hadir memberi sokongan pada acara kayuhan ini ialah Yang Berhormat Datuk Latiff bin Tamby Chik, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Melaka.
Peserta sempat singgah melawat Kampung Morten yang terletak di tepi Sungai Melaka untuk melihat keunikkan kampung warisan sebelum pulang menuju ke Batu berendam untuk Majlis Penutup acara.












