Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Isnin, 31 Mei 2010

Maklumat Penting Acara Kayuhan 2 Negara pada Ahad 6hb Jun 2010

Acara K2N akan berlangsung hanya beberapa hari sahaja lagi, segala persiapan terakhir telah dan sedang giat dilakukan oleh Sekretariat K2N di Melaka. Semua yang dirancang setakat ini masih mengikut jadual seperti mana yang telah dirancang. YAB Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan hadir merasmi dan menyempurnakan "flag-off" peserta K2N seperti yang telah diumumkan penganjur. Berikut adalah maklumat-maklumat penting untuk makluman dan perhatian kepada peserta-peserta dan tetamu khas K2N. Peserta-peserta dan tetamu diminta hadir lebih awal ke tempat acara untuk mengelakkan sebarang kesulitan dan keciciran mengikuti acara K2N.

Maklumat Acara Kayuhan 2 Negara pada Ahad, 6hb Jun 2010

Tempat mula dan berakhir : Menara Taming Sari, Melaka (berhampiran Kapal Portugis)
Pendaftaran Peserta : Bermula 7:00 pagi - 7:30 pagi
Flag off (pelepasan) : 8:30 pagi oleh YAB Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam

Laluan :
Bermula dari Menara Taming Sari menuju - Jalan Merdeka, Jalan Parameswara, Jalan Kota, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Hang Jebat, Jonker Street,Lorong Hang Jebat, Jalan Kg. Kuli, Jalan Hang Kasturi, Jalan Tukang Emas, Jalan Lekiu, Jalan Kg. Pantai, Jalan Bunga Raya, Jalan Kg. Jawa, Jalan Kee Ann, Jalan Baru, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Hang Tuah, Jalan Tun Ali, Jalan Kg. Morten, Lorong Tun mamat 4, Jalan Tan Chay Yan, Jalan Tun Mutahir,Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Bendahara, Jalan Laksamana, Jalan Merdeka (Quayside) - Tamat di Menara Taming Sari.

Jarak Kayuhan : 12km

Ambil Perhatian : Peserta-peserta akan diiringi Polis Trafik dan Marshall K2N sepanjang perjalanan dan sessi lawatan serta peserta diminta mengikuti segala arahan dari pihak Sekretariat K2N.

Tempat Rehat :
Kampung Morten - peserta akan diberikan minuman air mineral

Tempat-tempat yang akan dilalui :
Stadthuys, Christ Church, St. Francis Xavier's Church, St. Paul's Church, A'Famosa, Malacca Sultanate Palace, Dutch Graveyard, Independece Memorial, Jonker Street, Nyona & Baba Heritage, Hang Kasturi Mausoleum, Kampung Hulu Mosque, Cheng Hoon Teng Temple, Kampung Kling Mosque, Sri Poyatha Temple, Hang Jebat Mausoleum, St. Peter's Church

Acara Penamat & Penuntup :
Peserta-peserta yang berjaya menamatkan kayuhan diminta berkumpul di hadapan Menara Taming Sari untuk majlis penyampaian Sijil Penghargaan dan Majlis Penutup. Sila ambil perhatian kepada semua bahawa Sijil Penghargaan hanya akan diberikan kepada peserta yang mendaftarkan diri kepada Sekretariat K2N sebelum acara bermula. Sekretariat K2N tidak akan melayan mana-mana pihak yang tidak mendaftarkan diri untuk mendapatkan sijil tersebut.
...

Isnin, 24 Mei 2010

Larian Baton SUKMA XIII - DUN Bukit Baru diceriakan dengan kehadiran KBTBB

KBTBB sekali lagi mengotakan janjinya dengan membawa ahli-ahlinya untuk bersama-sama menyokong Larian Baton Sukan Malaysia (Sukma) XIII pada Ahad, 23hb Mei yang lalu yang bermula di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Larian baton yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Mohd. Ali Rustam telah dihadiri 1000 masyarakat berbilang kaum dengan jarak larian sejauh 23 kilometer bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru. Justeru, KBTBB telah dijemput oleh penganjur untuk bersama-sama turut serta menjayakan acara larian tersebut.

Tepat jam 9:30 pagi acara Larian Baton dimulakan di hadapan MBMB. KBTBB yang turun bersama hampir 40 orang ahli-ahlinya telah diberi penghormatan untuk berada di barisan hadapan konvoi untuk mengiringi peserta-peserta dan atlit larian baton pada hari tersebut. Walaupun cuaca hari itu agak panas namun sebagai sokongan terhadap Sukan Malaysia (Sukma) XIII, KBTBB telah berjaya menamatkan konvoi mengiringi Larian Baton tepat jam 1:00 tengahari di Ayer Keroh, Melaka. KBTBB berasa amat berbangga kerana telah diberi peluang dan kesempatan untuk bersama-sama memeriahkan acara tersebut serta berasa sangat bertuah kerana tidak selalu peluang sebegini diberikan kepada pemilik/kelab basikal tua di negeri-negeri lain.

Bagi KBTBB ini adalah satu penghormatan dan penghargaan terhadap komuniti basikal tua di Melaka khasnya dan Malaysia amnya kerana telah diberikan ruang dan peluang untuk membuktikan kemampuan dan sumbangan basikal tua kepada bangsa dan negara. Basikal tua kini melangkah setapak lagi ke hadapan dengan gemblengan dan sumbangan anak-anak muda bergandingan dengan orang-orang lama di dalam KBTBB demi memartabatkan basikal tua di bumi Hang Tuah. Itulah kunci sebenar kejayaan KBTBB hari ini. Basikal Tua...Warisan Generasi Muda.










KBTBB menerima tajaan & sumbangan untuk menjayakan K2N

Melaka, 20hb Mei 2010 - KBTBB amat-amat berbesar hati dan bertuah kerana menerima tajaan dan sumbangan penaja-penaja dari sektor korporat bersempena Mesyuarat Penyelarasan K2N di MITC Ancasa Hotel Melaka bersama agensi-agensi kerajaan negeri (seperti Perbadanan Hang Tuah Jaya, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Pelancongan Negeri Melaka, Wakil Ahli Parlimen, Pegawai Khas Ketua Menteri dan sebagainya). KBTBB yang diwakili Ketua Projek K2N, Sdr. Ikhwanizam Ibrahim hadir bersama AJK K2N iaitu Sdr. Jebat (Naib Pengerusi), Sdr. Radzwan (Setiausaha 1), Dr. Norman & Sdr. Khalib (AJK) untuk menerima sumbangan tersebut. KBTBB ingin merakamkan sejuta penghargaan khas kepada Penaung KBTBB iaitu En. Zulkifli Osman kerana berjaya mendapatkan penaja-penaja dalam masa yang singkat.

KBTBB ingin merakamkan penghargaan khas buat penaja-penaja K2N terutamanya Syntax Valley Sdn Bhd, APM Builder (M) Sdn Bhd, Maysign Network Sdn Bhd, Lekas Bina Enterprise Sdn Bhd, dan Yayasan Melaka kerana talah sudi menghulurkan sumbangan untuk menjayakan K2N. Diharapkan usaha dan sokongan berterusan daripada syarikat dan sektor swasta akan dapat mempertahankan warisan basikal tua untuk tatapan generasi muda dengan adanya penganjuran pelbagai aktiviti di masa hadapan. TERIMA KASIH khas buat semua yang membantu & menyokong K2N - Admin KBTBB





...