Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Selasa, 27 April 2010

KBTBB menyumbangkan 16 buah basikal untuk dipamerkan di Muzium Pengangkutan Melaka

Bersempena Ulang Tahun ke 7 Melaka Bandaraya Bersejarah pada 15hb April 2010 yang lalu, KBTBB tidak ketinggalan memberikan sumbangannya di dalam menjayakan projek Muzium Pengangkutan yang telah diilhamkan oleh Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Ali Rustam untuk tatapan orang ramai yang melancong ke Melaka. Muzium Pengangkutan yang terletak berhampiran MITC ini telah dibuka secara rasminya oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) iaitu Datuk Abdul Aziz Abdul Ghani pada 15hb April yang lalu.

Pembukaan Muzium Pengangkutan mendapat liputan pihak Media seperti Metro, Berita Harian, China Press, Guan Ming dan Melaka Hari Ini.

Turut hadir pada Majlis Pembukaan tersebut ialah Pengurus Besar Perzim iaitu Tuan Haji Khamis Abas. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran semua pemilik-pemilik kenderaan dari Persatuan Motor Klasik Melaka, Persatuan Volkswagon Melaka, Kelab Basikal Tua Batu Berendam, Kelab Lambretta Melaka dan Persatuan Kereta Antik Melaka. Menurut Tuan Haji Khamis, pihaknya akan bekerjasama dengan persatuan yang terbabit untuk mengadakan aktiviti bulanan bagi memeriahkan lagi muzium tersebut dan mensasarkan lebih 5,000 pelawat sebulan.

Sijil Penghargaan yang diterima KBTBB adalah sebagai tanda pengiktirafan tidak ternilai terhadap warisan basikal tua di Negeri Melaka.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Abdul Aziz Abdul Ghani bersama VVIP diapit dari kiri oleh Sdr. Jebat (Naib Pengerusi KBTBB) dan kanan Abg Alias Omar (Pengerusi KBTBB).

Majlis Pembukaan dihadiri ramai pemilik kenderaan yang memberikan sumbangan kenderaan masing-masing untuk dipamerkan di Muzium Pengangkutan.

Untuk makluman semua, harga tiket bagi dewasa ialah RM10 seorang dan RM5 bagi kanak-kanak dan pelajar. Paling menarik ialah setiap keuntungan dari jualan tiket tersebut akan diagih-agihkan bersama persatuan-persatuan yang terbabit. Insyaallah KBTBB akan mempunyai sedikit sumber kewangan bulanan untuk menampung pelbagai kegiatan dan aktiviti untuk ahli-ahlinya di masa hadapan. Justeru itu kami menyeru agar sahabat-sahabat basikal tua dapat memberikan sokongan dan meluangkan masa untuk melawat dan melihat koleksi-koleksi kenderaan dan basikal tua yang dipamerkan.

...

1 ulasan:

Sepeda Tua Johor Bahru berkata...

Sekalung Tahniah dari kami di KSTJB khas buat KBTBB. Sumbangan yang cukup besar kepada Negeri Melaka dan Muzium Pengangkutan Khasnya.

Semuga KBTBB terus mengungguli didalam merealisasikan Khazanah Lama dimata generasi muda.Tahniah sekali lagi dari kami di KSTJB.

Terus lestarikan Basikal Tua. InsyaAllah jika ada kesempatan kami pasti meluangkan masa untuk melawat Muzium berkenaan.