Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Jumaat, 5 September 2014

Di sini lahirnya sebuah cinta... Basikal Melaka meriahkan sambutan Kemerdekaan Ke-57 di Selangor


Pada 30 Ogos yang lalu Basikal Melaka bersama ahli-ahlinya telah dijemput untuk menyertai Perarakan Sambutan Kemerdekaan Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Diketuai oleh Sdr. Ikhwanizam Ibrahim (Ketua Projek Basikal Melaka) yang juga bertindak sebagai Ketua Kontinjen Gabungan Basikal Tua Malaysia (GBTM) kontinjen kali ini disertai oleh kelab-kelab dan pemilik-pemilik basikal tua dari Negeri Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Perak. 

Disertai seramai 57 peserta basikal tua/klasik  adalah sebagai simbolik kepada 57 tahun Kemerdekaan Negara - dengan tema Nostalgia Citrawarna Malaysia peserta kontijen hadir mengayuh basikal tua dari era sebelum dan selepas merdeka dari tahun 1930an – 1970an. Basikal tua/klasik yang dikayuh peserta kebanyakkannya adalah dari buatan England seperti jenama Raleigh, Hercules, Robin Hood, Humber, New Hudson, BSA dan sebagainya dengan dihiasi Jalur Gemilang.

Kehadiran peserta-peserta kontijen yang memakai pakaian tradisional, klasik dan pakaian uniform lama seperti polis tanah Melayu, tentera British, tentera Jepun dan sebagainya telah berjaya memukau para tetamu dan orang ramai yang menyaksikan perarakan tersebut. Paling menarik kontinjen GBTM telah mendapat tepukan dan sorakan gemuruh daripada hadirin yang berada di sepanjang jalan Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Ternyata Tema Kemerdekaan yang berbunyi "Di sini lahirnya sebuah cinta" dapat dihayati apabila kebanyakan peserta yang datang hadir berkayuh kerana mereka sangat-sangat mencintai hobi ini. Semoga Basikal Melaka dan GBTM akan mendapat jemputan lagi di tahun hadapan.