Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Sabtu, 5 Mac 2011

KBTBB muncul secara langsung (LIVE) menjayakan Nasi Lemak Kopi O di TV9 - "Sudirman Dalam Kenangan" di Sri Pentas

5 Mac 2011 - Siapa sangka "basikal tua" muncul secara langsung (LIVE) di TV9 dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O (NLKO) tepat pukul 8:00 pagi tadi (Sabtu, 5 Mac 2011). Berlatar belakangkan dendangan lagu Hidup Sederhana (Basikal Tua) yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad, KBTBB hadir bersama PSCB (P0rt Klang) dan Mr. Karu (KSTJB) serta Mr. GB (Batu Gajah, Perak) memeriahkan program NLKO yang dikendalikan oleh 2 gandingan pengacara popular iaitu Sdr. Abu Talib dan Syarifah Nur di Sri Pentas, Bandar Utama.

Seawal jam 4:30 pagi KBTBB bersama rombongannya bertolak dari Batu Berendam, Melaka menuju ke Sri Pentas, Bandar Utama manakala PSCB pula bertolak dari Klang sekitar jam 6:00 pagi. Paling menarik kehadiran Mr. GB dari Batu Gajah, Perak yang sanggup mengayuh basikal sejauh hampir 200km semata-mata mahu turut serta memeriahkan rancangan NLKO. Difahamkan Mr. GB telah memulakan kayuhan solonya pada hari Rabu 2 Mac 2011 dan tiba di Kuala Lumpur setelah 2 hari perjalanan berkayuh. Mr. Karu (KSTJB) pula hadir dengan pakaian tradisional India sebagai peserta jemputan bersama KBTBB.

Ternyata kedatangan "basikal tua" di Sri Pentas benar-benar menceria dan memeriahkan siaran langsung NLKO dengan keunikan basikal dan pakaian masing-masing. Bagi kesemua peserta yang hadir ianya sudah pasti memberikan satu pengalaman baru dan exposure kepada dunia penyiaran. Secara keseluruhannya peserta-peserta "basikal tua" yang hadir pada hari ini merasa begitu teruja dan bangga kerana "basikal tua" masih mendapat perhatian dan sanjungan dari semua pihak. KBTBB ingin merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua krew dan pihak pengurusan NLKO kerana sudi menjemput kami ke Sri Pentas.

Tidak keterlaluan kami katakan bahawa KBTBB dan PSCB serta sahabahat-sahabat "basikal tua" yang hadir merupakan kumpulan PERTAMA "basikal tua" yang pernah bersiaran secara langsung di kaca televisyen di Malaysia. Basikal tua yang diperjuangkan KBTBB kini mencatat satu lagi lakaran sejarah untuk semua peminat dan pencintanya sepertimana Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad yang berani memperjuangkan nostalgia dan warisan silam untuk bangsanya. Semoga NLKO terus diminati... Terima Kasih NLKO - TV9! - Admin KBTBB

...
Peserta termuda Adik Ayu Izzati (9 tahun) hadir menyokong "basikal tua" bersama-sama Adik Amir (10 tahun) dari PSCB dan Adik Syahirah (11 Tahun) dari KBTBB.

Sdr. Abu Talib (kiri) dan Syarifah Nur (Kanan) beraksi dengan basikal tua masing-masing diiringi oleh peserta-peserta basikal tua yang hadir.

Pengacara jelita NLKO Syarifah Nur sedang bersiap sedia dengan basikal tua kecil milik Adik Ayu Izzati untuk acara pembukaan siaran pada pagi tersebut.

Sdr. Ikhwan (Basikal Malaya) yang juga merupakan Ketua Projek / Media / Publisiti KBTBB sentiasa memastikan "basikal tua" terus aktif dan progresif di Malaysia.

Peserta memulakan acara kayuhan dengan diiring dengan muzik LIVE yang mendendangkan lagu yang pernah dinyanyikan Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad iaitu lagu Hidup Sederhana (Basikal Tua).

Temubual secara langsung mengenai "basikal tua" bersama pengacara NLKO. Sdr. Ikhwan mewakili KBTBB dan PSCB menjawab soalan-soalan yang diajukan.

Deretan basikal tua memenuhi ruang Sri Pentas dan kelihatan semua peserta memberikan fokus tumpuan pada sessi temubual.

Sdr. Karu menjuari acara basikal lambat mengalahkan Sdr. Amran (KBTBB) dan Sdr. Along (PSCB) dalam segmen pertandingan basikal lambat.

Kesemua peserta ditemuramah oleh Sdr. Talib setelah selesai acara pertandingan basikal lambat.

Penyanyi terkenal Syafinaz juga hadir sebagai tetamu jemputan yang bercerita tentang Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad dan membawa Koir Kebangsaan menyanyikan lagu-lagu Allahyarham.

Chegu Sanim KOTR (Nostalgia Basikal Tua), Azrin, Sdr. Talib, dan ibu kepada Azrin dengan pakaian yang klasik (jadul) hadir menyokong NLKO.

Inilah dia generasi penyambung warisan basikal tua di Malaysia....Adik Amir dan Adik Ayu Izzati yang bangga dengan basikal tua milik mereka.