Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Isnin, 28 Februari 2011

Saksikan Kemunculan KBTBB "LIVE" di TV9 dalam rancangan "Nasi Lemak Kopi O" pada Sabtu 5.3.2011, 8:00 - 10:00 pagi

Saksikan kemunculan KBTBB secara "LIVE" di TV9 dalam Rancangan Nasi Lemak Kopi O pada pagi Sabtu 5hb Mac 2011 bermula pukul 8:00 pagi sehingga 10:00 pagi dalam Segmen "Nostalgia". Pada minggu ini KBTBB dijemput oleh Primeworks Studios dan TV9 untuk menjayakan Segmen "Nostalgia" yang bertemakan “SUDIRMAN DALAM KENANGAN”. KBTBB dijemput kerana suatu masa dahulu Allahyarham Sudirman Hj. Arshad pernah mempopularkan lagu "Basikal Tua" di sekitar tahun 80an yang masih dikenang sehingga ke hari ini. Penyanyi No. 1 Asia ini telah memberi banyak inspirasi dengan lagu-lagu unik dan patriotiknya sehinggakan warisan "basikal tua" masih bertahan sehingga hari ini.

Rancangan yang dikemudi pengacara jelita Syarifah Nur Syed Ali bakal bersiaran secara langsung di Perkarangan Sri Pentas akan memaparkan slot "basikal tua" untuk memenuhi 2 jam siarannya. Justeru itu kami ingin menjemput sahabat-sahabat basikal tua yang berada di sekitar Lembah Klang untuk bersama-sama hadir ke Perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama untuk hadir memeriahkan rancangan tersebut. Sekiranya ada yang berminat silalah hadir dengan basikal dan pakaian klasik masing-masing sebelum jam 7:30 pagi. Sebarang pertanyaan sila hubungi kami di talian yang dipaparkan di blog ini. Sekian untuk makluman bersama - Admin KBTBB.

Isnin, 7 Februari 2011

KBTBB redah hujan sokong LTDL 2011 di Bandaraya Melaka

Melaka, 31 Januari 2011 – KBTBB bersama 30 ahlinya sanggup meredah hujan untuk memeriahkan acara perlepasan acara Le Tour De Langkawi (LTDL) 2011 peringkat ke 9, Melaka - Nilai, di hadapan Hang Tuah Mall. Lengkap berpakaian klasik dan unik mereka mengayuh basikal tua dari Batu Berendam seawal jam 7:00 pagi menuju ke Bandaraya Melaka untuk bersama-sama menyokong acara tersebut. Kehadiran KBTBB pada acara ini ialah sebagai simbolik mengibau nostalgia silam dan kewujudan basikal tua di Malaysia sebagai salah satu kenderaan tertua dan popular satu masa dahulu.

Kebanyakan ahli-ahli KBTBB mengenakan busana atau pakaian yang bersesuaian dengan zaman basikal tua itu digunakan untuk menghidupkan kembali warisan silam. KBTBB yang sering hadir menyokong setiap aktiviti dan acara kerajaan negeri Melaka membuktikan kelab ini serius dan bersungguh-sungguh untuk membantu merancakkan sektor pelancongan dan mempertahankan Bandaraya Melaka sebagai tapak warisan dunia yang diiktiraf UNESCO.

Walaupun ahli-ahli KBTBB basah kerana hujan yang turun tidak berhenti namun itu tidak pernah mematahkan semangat ahli-ahlinya untuk terus setia berada di hadapan Hang Tuah Mall untuk memastikan acara yang dirancang berjayanya. Menurut Pengerusi KBTBB, En. Alias Omar “Walaupun kami kelab basikal tua namun kebanyakkan ahli-ahli KBTBB adalah dari golongan muda. Golongan muda inilah yang memberikan nafas baru kepada kelab basikal tua untuk terus aktif dan diminati. Istimewanya hari ini kayuhan disertai oleh Adik Ayu Izzati dari Kuala Lumpur yang berumur 9 tahun dan En. Rahman dari Seremban sanggup hadir semata-mata mahu berkayuh bersama-sama kami (KBTBB)”.

Ringkasnya kehadiran basikal tua pada acara LTDL 2011 ini menjadi sejarah penting bahawa warisan silam tidak seharusnya dipinggirkan sebaliknya dihargai agar ianya seimbang dengan kemajuan dan kemodenan. KBTBB juga hadir untuk memberikan sokongan padu pada penganjuran LTDL 2011 yang secara tidak langsung mempromosikan pelancongan negeri Melaka dan Malaysia dan berharap pihak penganjur LTDL 2011 meneruskan acara ini setiap tahun dan kembali singgah ke Melaka - Admin KBTBB


Sila layari laman web rasmi Le Tour De Langkawi 2011 untuk melihat foto-foto menarik
http://ltdl.com.my/2011/photogallery/stage9/index.asp#