Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Selasa, 16 Februari 2010

Acara Kayuhan Putrajaya Ke-2 (AKP2) berlangsung meriah dengan kehadiran 84 pencinta basikal tua

Pada Ahad, 14 Februari 2010 yang lalu tercipta 1 lagi sejarah manis buat KBTBB apabila seramai 84 peserta dari Melaka (KBTBB), Johor (PECHAL & KSTJB), Selangor (Rock7 & Port Klang) & Perak (Mr. GB) hadir untuk merealisasikan impian mereka untuk turun berkayuh di Putrajaya. Walaupun tarikh tersebut jatuh pada Hari Tahun Baru Cina & Hari Valentine namun kerana semangat cintakan basikal tua 84 peserta bersatu untuk Acara Kayuhan Putrajaya Ke-2 (AKP2) yang berlangsung penuh meriah dan ceria dalam suasana paling harmoni dan penuh ceria. Acara yang telah dirancang awal oleh AJK KBTBB akhirnya berjaya diadakan khas buat ahli-ahli KBTBB dan sahabat-sahabat basikal tua dan sama sekali tidak menyangka sambutan yang diperolehi diluar jangkaan dan mendapat liputan meluas media massa.

"Foto Caption" yang menghiasi ruangan utama akhbar Kosmo pada keluaran hari Isnin 15hb Februari 2010 yang boleh dilihat seluruh negara di muka surat 3. Terima kasih khas buat En. Hanafi (Photographer dari Kosmo/Utusan Malaysia) yang sudi merakamkan foto di atas.

Konvoi basikal tua yang menyertai AKP2 menjadi tarikan lensa kamera pihak Media yang hadir untuk dimuatkan sebagai bahan berita. Utusan Malaysia mengeluarkan cerita mengenai AKP2 pada keluaran Edisi Tengahnya yang bertarikh 16 Februari 2010 (Isnin) di muka surat 23 di ruangan Utusan Kota. Terima kasih kepada wartawan Utusan iaitu En. Nazmil kerana sudi hadir membuat liputan.

Akhbar Berita Harian juga tidak ketinggalan menyiarkan liputan mengenai AKP2 pada keluaran akhbarnya bertarikh 17hb Februari 2010 (hari ini - Rabu) di ruangan Sentral di muka surat 2. terima kasih kepada wartawan Berita Harian yang sudi hadir pada acara tersebut.
...

Acara yang mendapat kebenaran dari Perbadanan Putrajaya ini merupakan acara ke-2 yang pernah diadakan oleh KBTBB. Setahun yang lalu KBTBB turun bersama 30 orang peserta dan Alhamdulillah pada tahun 2010 menyaksikan pertambahan hampir 2 1/2 kali ganda penyertaan pada AKP2. Acara AKP2 telah bermula seawal 6:50 pagi apabila Sdr. Fahmi dari Rock7 bersama 3 lagi rakannya iaitu Sdr. Huzairi, Sdr. Saugi dan Sdr. Iwan berkayuh dari Sijangkang menuju ke Putrajaya sejauh 52km semata-mata mahu menyertai kayuhan di Putrajaya bersama KBTBB. Akhirnya mereka berempat selamat sampai tiba di Putrajaya setelah hampir 3 jam berkayuh dan disambut oleh 14 orang rakan-rakan mereka yang lain yang sudah menunggu mereka di sana bersama keluarga.

Manakala rakan-rakan dari Johor pula dikhabarkan bertolak lebih awal dari itu menaiki kenderaan masing-masing. Sdr. Karu (KSTJB) telah memulakan perjalanannya ke Kuala Lumpur seawal 4:30 pagi dan geng-geng PECHAL seawal 5:00 pagi. Manakala rombongan KBTBB pula bertolak dari Batu Berendam selepas acara rumah terbuka di rumah Along tepat jam 11:00 pagi. Di lokasi perjumpaan iaitu di Dataran Putra, Sdr. Ikhwan dan Wawa sudah berada di sana jam 12:30 tengahari untuk menguruskan pelbagai hal termasuk urusan Media dan logistik serta pendaftaran para peserta. Mungkin tidak ramai yang sedar dan ambil peduli bahawa telah banyak kerja-kerja dilakukan untuk persiapan dan mesyuarat penyelarasan telah diadakan sebelum acara AKP2 berlangsung di antara KBTBB, BM, Rock 7, PECHAL, PSCB, dan lain-lain pihak dan individu terbabit.

Tepat jam 2:30 petang Sdr. Ikhwan (Basikal Malaya) telah memberikan sessi taklimat kepada peserta dan pihak Media mengenai aturcara yang bakal berlangsung pada hari tersebut. Wakil-wakil peserta dari setiap negeri dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada semua peserta yang hadir. Ternyata kehadiran peserta basikal tua di Dataran Putra menarik perhatian pengunjung yang hadir untuk mendengar ucapan dari wakil-wakil basikal tua yang hadir. Selesai taklimat dan ucapan, acara kayuhan pun dimulakan tepat jam 2:45 petang di hadapan Pejabat Perdana Menteri untuk menuju ke lokasi-lokasi yang telah ditetapkan. Acara kayuhan disertai oleh peserta termuda yang berusia 9 tahun dan paling tua pula berusia 61 tahun. Ikuti paparan ke-2 untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai AKP2 yang telah berlangsung.

Gambar bersama semua 84 peserta yang sempat dirakam oleh Jurufoto Profesional iaitu En. ShaifulR berlatarbelakangkan Pejabat Perdana Menteri sebelum acara kayuhan dimulakan.

..
Seperti yang dijanjikan Admin KBTBB - Sila klik ALBUM AKP2 untuk melihat foto-foto terpilih sewaktu berlangsungnya acara tersebut pada Ahad 14 Februari yang lalu! Terima kasih kerana setia menunggu - Admin KBTBB

Selasa, 9 Februari 2010

Jemputan ke Acara Kayuhan Putrajaya 2 - KBTBB melestari basikal tua di Bandaraya Pintar dalam Taman pada Ahad, 14.02.2010

KBTBB amat berbesar hati untuk menjemput semua pembaca dan peminat basikal tua/klasik seluruh Malaysia untuk turun ke Putrajaya pada hari Ahad ini iaitu bersamaan 14hb Februari 2010 untuk mempromosi dan melestarikan basikal tua di Putrajaya yang terkenal sebagai sebuah Bandaraya Pintar dalam Taman (The Intelligent Garden City). KBTBB yang akan turun bersama 50 ahli dan sahabat-sahabat dari Melaka akan berkayuh sejauh 15km untuk melawat tempat-tempat menarik sekitar Putrajaya dengan mengayuh basikal tua kesayangan masing-masing. Kayuhan dan aktiviti KBTBB kali ini telah dirancang khusus mengikut kehendak, selera dan cadangan daripada ahli-ahlinya yang sentiasa dahagakan aktiviti dan acara kayuhan.

Pejabat Perdana Menteri Malaysia (JPM) yang menjadi simbolik senibina
berunsurkan Islamic Modern Art

Masjid Putra yang terletak di Dataran Putra yang menjadi tumpuan pelancong luar negara yang datang ke Putrajaya

Keunikan Putrajaya atau nama rasminya Wilayah Persekutuan Putrajaya merupakan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia bagi menggantikan Kuala Lumpur. Putrajaya, bandaraya pintar dalam taman terletak 25 kilometer di selatan Kuala Lumpur merupakan sebuah bandaraya futuristik yang menempatkan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan negara Malaysia. Mula dibina pada 16 April 1995, Putrajaya telah mengaplikasikan teknologi maklumat (IT) dan moden untuk penduduknya. Dengan terbinanya Putrajaya, dijangkakan gabungan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menjadi Bandar Gergasi standing dengan Tokyo dan Yokohama di Jepun yang termoden.

Seni bina Jambatan Seri Saujana yang futuristik

Jambatan Seri Wawasan yang sering menjadi ikon dan landmark futuristik terkenal di seluruh dunia dengan berlatar-belakangkan pemandangan Putrajaya

Walaupun Putrajaya merupakan bandaraya yang moden namun sejarah warisan dan budaya silam sewajarnya dipertahankan. Rasionalnya KBTBB hadir ke Putrajaya untuk membawa mesej penting iaitu "Basikal Tua....Warisan generasi Muda" dan meneruskan penjuangan melestarikan basikal tua di Malaysia. Sememangnya kita tidak menolak kemajuan dan kemodenan tetapi nilai-nilai murni dan warisan bangsa juga tidak seharusnya terus dilupakan. Ke manakah arah dan akhirnya hobi basikal tua ini? Hanya kita dan Allah S.W.T sahaja yang tahu...tepuk dada, tanyalah diri sendiri. Tiada kejayaan tanpa usaha dan pengorbanan.

Maklumat lanjut acara kayuhan seperti berikut :-

Tarikh
Ahad, 14hb Februari 2010

Masa
2:30 petang – 6:30 petang

Tempat Mula
Dataran Putra / Masjid Putra

Laluan / Lokasi
Dataran Putra – Kementerian Kewangan – Mahkamah Keadilan – Perbadanan Putrajaya - Monumen Alaf Baru – Jambatan Seri Wawasan – Jambatan Seri Saujana – Masjid Putrajaya

Tempat Rehat
Jambatan Seri Wawasan

Tempat Berakhir
Dataran Putra / Masjid Putra

Sila berkumpul di Dataran Putra berhampiran Masjid Putra untuk sesi taklimat dan silaturahim pada jam 1:30 tengahari.