Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Khamis, 17 Mei 2012

Al-Fatihah khas buat Adik Nani - Bintang Kecil KBTBB yang telah pergi buat selamanya

KBTBB ingin menyampai ucapan TAKZIAH khas buat Keluarga Abg Samingan Surip di atas pemergian puteri tercinta beliau iaitu Nurainahanani atau lebih dikenali dengan panggilan Adik Nani. Beliau disahkan meninggal dunia pada Sabtu, 12 Mei 2012 jam 11:00 pagi yang lalu akibat serangan Asma. Berita duka yang sangat mengejutkan ini sememangnya tidak boleh diterima oleh kebanyakan ahli-ahli KBTBB namun sebagai insan yang kerdil kita seharusnya menerima takdir dan ketentuan dariNya. Ternyata Allah lebih menyayangi beliau.

Walaupun baru menyertai KBTBB pada awal tahun ini - dalam usianya yang masih muda si bintang kecil ini telah berjaya menambat hati ahli-ahli KBTBB kerana sering tampil dalam acara kayuhan yang dianjurkan.Watak manja dan ceria si kecil ini sentiasa menjadi tumpuan orang-orang sekelilingnya dan pasti sesiapa yang mengenalinya akan berasa senang hati dengan kehadirannya. Pemergian Adik Nani yang dikasihi ini bolehlah dibarat sebagai suatu kehilangan yang besar bagi seluruh ahli keluarga KBTBB dan pastinya kepada keluarga beliau. Biarpun masih kecil namum memiliki semangat yang besar untuk bersama-sama melestarikan hobi yang dicintainya.

Untuk itu marilah kita bersama-sama sedekahkan bacaan Al-Fatihah khas buat Adik Nani yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga rohnya di tempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan dikasihi Allah - Amin Ya Robillalamin.


p/s :- Bersama-sama ini dipaparkan beberapa foto yang diambil oleh Sdr. Ikhwan yang didedikasikan buat Adik Nani (kebanyakkan foto yang diambil ini ada tidak sempat dilihat oleh beliau)...

Allahyarhamah Adik Nani bersama ahli keluarganya sewaktu menyertai acara kayuhan LTDL di Bandaraya Melaka.

Wajah ceria yang sempat dirakam...

Gembira mendapat basikal baru yang dihadiahkan oleh bapanya sewaktu Acara Kayuhan bersama Kelab Sepeda Tua Chempelak, Johor...

Walaupun kecil Allahyarham memiliki semangat yang besar untuk bersama-sama melestarikan warisan basikal tua untuk generasi muda...

Kelibat si kecil yang hadir mewarnai dan menceriakan acara kayuhan KBTBB di Melaka...

Selamat jalan Adik Nani...Semoga adik tenang dan sejahtera di sisiNya...Amin - Al-Fatihah....

Selasa, 6 Mac 2012

Lawatan Muhibah KBTBB ke Pekanbaru, Indonesia pada 10-12 Mac 2012 memperkukuh persahabatan serumpun

Tahun ini KBTBB sekali lagi akan terbang ke bumi Indonesia bersempena lawatan muhibah ke Pekanbaru untuk bersama-sama sahabat-sahabat dari KOSTI Provensi Riau untuk menjayakan satu acara kayuhan basikal tua dan lawatan bermula 10-12hb Mac 2012 ini. Idea asal dan perlaksanaan lawatan muhibah ini telah direncana dengan rapi dan kemas oleh Sdr. Jebat iaitu Naib Pengerusi KBTBB bersama Bapak Fajar Daulay iaitu Ketua KOSTI Provensi, Riau untuk membawa ahli-ahli KBTBB merasai pengalaman menyertai acara di luar negara bersama Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI). Rombongan KBTBB yang akan disertai seramai 30 orang ahli hadir bersama VVIP (tetamu kehormat) dijangkakan akan tiba di Pekanbaru dari Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam pada pagi Sabtu, 10hb Mac 2012.

Demi meneruskan perjuangan basikal tua dan melebarkan sayapnya ke peringkat Internasional, KBTBB pada tahun ini telah mengambil beberapa langkah yang progresif dan inisiatif sendiri di dalam melaksanakan program-program yang memberikan impak yang lebih besar. Apalah ertinya sebuah pertubuhan dan kelab yang berdaftar sekiranya tidak mampu untuk membawa ahli-ahlinya keluar dari kepompong dan masih dibelenggu dengan "cara pemikiran lama" iaitu "collect and see" serta menjadi pengkaji basikal tua seumur hidup. Pengalaman yang ditimba dan dilalui sendiri itu lebih mahal harganya jika hendak dibandingkan dengan harga sebuah basikal. Nilai persahabatan dan persaudaraan serumpun pula dilihat jauh lebih bernilai dari segalanya.


Tidak ramai dikalangan peminat dan pencinta basikal tua yang berpeluang menikmati hobi ini sehingga ke peringkat ini. Jadi memang terbuktilah tidak rugi menjadi ahli KBTBB kerana kelab ini diasaskan pada landasan yang betul. Diharapkan dengan adanya lawatan seumpama ini akan membuka paradigma dan "cara pemikiran baharu" di kalangan ahli-ahli KBTBB untuk terus memacu kelab ini untuk lebih maju dan berjaya. Sasaran untuk menjadikan KBTBB sebagai sebuah kelab bertaraf Internasional bukanlah sesuatu yang mustahil.

Ini jelas terbukti apabila KBTBB berjaya melaksanakannya misinya seawal suku pertama tahun 2012. Persahabatan di antara Malaysia dan Indonesia yang terjalin selama ini memberikan kesan yang meluas kepada komuniti basikal tua di Nusantara. Malahan ada kumpulan tertentu kini mendapat manfaat dan tempias kebaikan hasil dari jalinan persahabatan serumpun ini dan tanpa rasa malu bermegah dengan usaha yang telah dicetuskan oleh KBTBB bersama sahabat-sahabat basikal tua di Malaysia dan Indonesia. Paling penting sekarang ialah persahabatan di antara KBTBB dan KOSTI akan terus kukuh dan kekal selamanya atas semangat setiakawan dan persaudaraan serumpun yang tulin dan sejati.

p/s - KBTBB sudah ke peringkat Internasional... anda pula bagaimana? Kami akan ke Pekanbaru...anda pula akan ke mana?

Pemandangan di bandar/kota Pekanbaru yang bakal dilawati dan dilalui oleh rombongan KBTBB nanti
KBTBB bakal disertai ratusan dan mungkin ribuan ontelis dari sekitar daerah Riau yang akan bersama-sama berkayuh di Pekanbaru...bayangkan berapa ramai yang akan datang pula nanti pada acara yang bakal dianjurkan... * foto ini diambil sewaktu lawatan KBTBB di Bandung tahun lalu

Mesjid Agung An-Nur Riau yang terletak di tengah kota Pekanbaru yang memiliki seni bina Islam yang unik dan mengkagumkan
Pastinya peluang mengembara di negara seberang tidak lengkap kalau tidak membawa pulang beberapa barang-barang basikal tua/koleksi berharga untuk dijadikan buah tangan * Membeli belah di klithikan sesuatu perkara wajib yang tidak harusnya dilepaskan...Rombongan KBTBB dijangkakan akan melawat Candi Muara Takus sekiranya masa mengizinkan. Candi ini dianggap telah wujud pada zaman keemasan Sriwijaya, sehingga beberapa sejarahwan menganggap kawasan ini merupakan salah satu pusat pemerintahan dari kerajaan Sriwijaya. Pada tahun 2009 Candi Muara Takus telah dicalonkan untuk menjadi salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO.
...

Isnin, 5 Mac 2012

Basikal tua dan beca jadi tarikan di LTDL peringkat ke 5 (Melaka - Pandan Indah)

Pada acara perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTDL) 2012 yang berlangsung baru-baru ini membuktikan bahawa warisan basikal tua semakin mendapat perhatian dan pengiktirafan dalam memeriahkan acara basikal di peringkat antarabangsa. KBTBB yang muncul dengan pelbagai ragam pakaian dan basikal tua di acara perlepasan perlumbaan LTDL peringkat ke 5 di Ayer Keroh, Melaka pada hari Selasa, 28 Februari 2012 hadir seramai 40 orang ahlinya atas jemputan pihak penganjur LTDL 2012. Siapa sangka basikal tua yang dahulunya berkarat dan dibiarkan tersadai kini dikayuh seiring dengan basikal lumba yang berharga puluhan ribu ringgit dalam acara yang penuh gemilang. Basikal tua bukan hanya sekadar koleksi perhiasan dan syok sendiri tetapi kini diiktiraf menjadi produk pelancongan utama di negeri Melaka setanding dan setaraf beca berhias Melaka.

Deretan barisan beca berhias negeri Melaka yang mengetuai rombongan perarakan bersempena Majlis Perlepasan LTDL Peringkat ke 5 di Ayer Keroh, Melaka

Kehadiran ahli-ahli KBTBB dengan pelbagai ragam pakaian menampilkan keunikan dan elemen sejarah negeri Melaka

Ini dia gaya unik Abg Rahman yang mendapat tumpuan peminat dari luar negara sewaktu acara Perlepasan peserta LTDL baru-baru ini....

KBTBB dan basikal tua kini menjadi sebahagian dari produk pelacongan Negeri Melaka yang unik....jangan maraaahh haaaaa.... kalau tak kayuh siapa mau iktiraf?
....

Khamis, 1 Mac 2012

KBTBB meriahkan "LTDL Cyclefest 2012" di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka

Pada tahun ini (2012) KBTBB sekali lagi telah diundang oleh pihak penganjur "Le Tour de Langkawi" (LTDL) dan Kerajaan Negeri Melaka untuk memeriahkan acara perlumbaan basikal bertaraf dunia untuk Peringkat ke 2 (Stage 2) yang telah berlangsung pada Sabtu, 25hb Februari yang lalu. Seramai 40 orang ahli-ahli KBTBB lengkap berpakaian klasik dan tradisional hadir di Dataran Pahlawan untuk memeriahkan acara "LTDL Cyclefest 2012" yang telah berjaya mengumpulkan hampir 1,000 peserta berbasikal dari pelbagai peringkat umur. Acara yang bermula seawal 8:00 pagi itu tenyata memperlihatkan banyak acara yang telah dirancang oleh pihak penganjur termasuklah acara basikal lasak, live band, pameran ekspo dan kemuncaknya "prade" basikal yang disertai hampir 1,000 peserta.

Saudagar Import-Export Orang Kaya Jebat mengetuai acara kayuhan menuju ke Dataran Pahlawan...

Abg Songkok Tinggi yang pakai kot tuu memiliki banyak koleksi-koleksi basikal tua yang "pedas-pedas"... tak lam lagi dia bakal jadi otai busat tauu...tunggu masa jer...

Gaya si cilik... Adik Nani bersama gajet PC tabletnya yang canggih... mana best kalau ada basikal kalau tak kayuh pakcik... ini barulah gerekerssss... bukan solokersss a.k.a lone rangesss.... seat biaq terbelah dua... kayuh tetap kayuh...

Prade (perarakan) basikal yang bermula di hadapan A Famosa menyaksikan ragam dan gelagat peserta yang berkayuh melintasi pentas utama untuk menyambut ketibaan para peserta LTDL. Peserta perlumbaan LTDL yang telah memulakan perlumbaan mereka dari Putrajaya menuju ke Melaka sejauh 151km akhirnya tiba di garisan penamat sekitar jam 1:00 petang di hadapan Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka. Kehadiran KBTBB di dataran tersebut ternyata telah menarik minat orang ramai untuk mendekati "basikal tua" termasuk golongan remaja dan profesional. Basikal tua yang dijaga rapi dan tampil "berkilat" seperti asal tenyata masih mempunyai pesona malahan ada beberapa individu yang hadir di situ menyatakan hasrat untuk membeli basikal tua dengan harga yang "lumayan".

Sebahagian peserta basikal yang telah mula berkumpul untuk menyertai acara prade (perarakan) untuk menyambut ketibaan peserta-peserta perlumbaan LTDL di Melaka

Penampilan istimewa... ahli wanita terbaharu KBTBB iaitu isteri kepada Abg Samingan yang tampil berani dengan kostum kebudayaan India dengan mengenakan sari pada acara kali ini...

Untuk mengembalikan nostalgia dan sejarah... pakaian-pakaian uniform berkonsepkan military sememangnya mencuri tumpuan orang ramai... nie kalau org kata gila pun... gila bertempat lahhh...

1Malaysia.... macam-macam ada..... korang ada?....heheheee...

Pada prade (perarakan) basikal bersempena "LTDL Cyclefest 2012 kali ini, KBTBB telah dinobatkan sebagai "Kategori kumpulan basikal terbaik" oleh pihak penganjur acara. KBTBB telah menerima sebuah basikal modern MTB sebagai hadiah bagi kategori tersebut. Apa yang penting pada acara kali ini adalah kerjasama dan komitmen ahli-ahli KBTBB ternyata semakin mantap dan kukuh. Hobi basikal tua di Melaka bukan sekadar hobi yang bermusim mengikut keadaan cuaca dan acara-acara tertenu sahaja. Aktiviti yang dirancang dan disertai sentiasa membuatkan kelab ini semakin dikenali, dihormati dan diiktiraf kerana begitu komited membantu industri pelancongan negeri Melaka dan tidak hairanlah KBTBB yang memperjuangkan warisan basikal tua diiktiraf sebagai produk pelancongan negeri - Admin KBTBB

Rabu, 29 Februari 2012

Mengamit Kenangan Basikal Tua dalam rancangan "In Trend" di TV2

Pada Sabtu, 18 Februari 2012 yang lalu KBTBB telah pun bekerjasama dengan TV2 (RTM) dalam pengambaran untuk program/rancangan "In Trend" yang merupakan sebuah rancangan TV yang memfokuskan kepada aktiviti remaja. Rancangan yang disiarkan setiap Sabtu pada jam 1:00 - 1:30 petang selama 30 minit ini memaparkan pelbagai slot dan aktiviti remaja masa kini. Pada pengambaran kali ini Sdr. Dazrin Kamarudin telah ditugaskan untuk mengacara dan mendekati "basikal tua" dalam misinya untuk mengamit kenangan basikal tua untuk dipersembahkan kepada penonton. KBTBB juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penerbit "In Trend" Cik Saliza kerana sudi ke Batu Berendam, Melaka untuk menjayakan pengambaran tersebut.

Gaya klasik penuh nostalgia... Sdr. Daz beraksi penuh energatic ....

Walaupun rancangan ini memfokuskan kepada aktiviti remaja, KBTBB sangat berbangga kerana adanya anak-anak muda dikalangan ahli-ahli KBTBB yang diketuai Sdr. Hafiz dan rakan-rakannya untuk berkongsikan pengalaman dan aktiviti berbasikal mereka bagi tujuan rakaman dan perkongsian bersama crew-crew "In Trend". Ternyata hobi basikal tua bukan sekadar hobi bagi golongan otai-otai (veteran) tetapi meliputi golongan muda dan remaja. KBTBB ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam menjayakan rakaman pengambaran "In Trend" tersebut. Nantikan kemunculan "basikal tua" di kaca TV plasma anda dalam rancangan "In Trend" di TV2 - Admin KBTBB

Khamis, 26 Januari 2012

Liputan Mesyuarat Agong KBTBB Kali Ke-3 - KBTBB mampu ke peringkat INTERNASIONAL

Sebagai sebuah Kelab / Persatuan yang sah berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), KBTBB telahpun berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Kali Ke-3 dengan lancar dan teratur pada Sabtu, 21hb Januari 2012 bertempat di Hang Tuah City Hotel, Melaka Raya yang telah bermula jam 9:30 malam dan berakhir jam 11:00 malam. Mesyuarat yang dihadiri 90% kedatangan ahli-ahli melebihi 2/3 telah memutuskan untuk mengekalkan kesemua Jawatan yang telah disandang oleh barisan Ahli Jawatan Kuasa yang sedia ada dan hanya 1 jawatan yang beralih kepimpinan iaitu Jawatan Setiausaha II yang menampilkan Puan Rokiah sebagai muka baru.

Mesyuarat Agong KBTBB Kali Ke-3 ini telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka yang diiringi Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka iaitu Datuk Wira Othman Muhamad, YAB Senator Datuk Saat Abu dan tetamu kenamaan. KBTBB sangat bertuah kerana Mesyuarat kali ini dihadiri oleh ramai pemimpin kerajaan yang sudi menceriakan Majlis Perasmian Mesyuarat oleh YAB Ketua Menteri Melaka. Dalam ucapan pembukaannya Datuk Seri Ali Mohd Rustam sempat menyampaikan serangkap pantun yang berjaya mencuit hati tetamu yang hadir... "Kalau tidak kerana bulan, tidaklah pungguk duduk menanti, kalau tidak kerana tuan (basikal tua Batu Berendam), tidaklah saya datang ke mari".




Khamis, 5 Januari 2012

KBTBB diundang ceriakan Program Jelajah Basikal Melaka 2012 sempena sambutan ulang tahun ke-750 Melaka

Tanggal 1.1.2012 hari pertama di tahun baru 2012 KBTBB muncul bergaya apabila dijemput untuk mengiringi VVIP iaitu Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dalam Program Jelajah Basikal Melaka 2012 sempena sambutan ulang tahun ke-750 Melaka. Acara pembuka tirai tahun 2012 ini telah bermula seawal jam 8:00 pagi di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah menyaksikan penyertaan hampir 2,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur serta pelbagai jenis basikal bagi menjayakan acara dan program tersebut.


KBTBB diketuai oleh orang kuat Ketua Menteri Melaka iaitu En. Roslan Mat Nong bersama Pengerusi KBTBB iaitu Sdr. Alias Omar dan ahli-ahli KBTBB

Menurut penganjur acara, Program dua hari acara kayuhan sejauh 242 kilometer ini merentasi kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka telah disertai 7,000 peserta secara keseluruhannya. Datuk Seri Mohd. Ali Rustam ketika berucap sebelum permulaan program itu berkata objektif berbasikal itu selain membudayakan aktiviti sukan berbasikal juga sebagai program turun padang oleh pemimpin masyarakat bertemu rakyat di seluruh pelusuk negeri ini. KBTBB dalam acara tersebut telah diberikan penghormatan apabila diminta bersama-sama mengiringi kumpulan pertama yang disertai TYT, Ketua Menteri Melaka, Exco-exco Kerajaan Negeri, Wakil Rakyat, Ketua-ketua Jabatan dan VVIP.

KBTBB berada dibarisan belakang VVIP untuk mengiringi kumpulan pertama peserta yang disertai oleh orang-orang kenamaan dan VVIP termasuk TYT dan Ketua Menteri Melaka

Hari Pertama (1.1.2012), para peserta telah berkayuh sejauh 112 kilometer dan antara laluan ialah Perigi Hang Li Poh, Telok Mas, Pengkalan Renggam, Semabok, Serkam, Sungai Rambai, Merlimau, Simpang Kerayong, Kesang, Bukit Sedanan, Durian Tunggal, Gangsa, Batu Berendam dan berakhir di tempat permulaan pada kira-kira pukul 9 malam. Manakala pada Hari Kedua, para peserta telah berbasikal sejauh 130 kilometer menuju ke Bachang, Pokok Mangga, Klebang, Pantai Kundur, Sungai Udang, Masjid Tanah, Tanjung Bidara, Kuala Sungai Baru, Ramuan China, Ayer Kuning, Brisu, Simpang Ampat, Gadek, Alor Gajah, Paya Rumput, Stadium Hang Jebat, Sungai Putat, Bukit Beruang dan Dataran MBMB sebagai destinasi terakhir.