Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Isnin, 3 Oktober 2011

KBTBB kelab basikal tua pertama dipaparkan dalam iBH (Berita Harian online dalam aplikasi iPad) berformat HD & dimensi digital

Ahad 2 Oktober 2011 - iBH untuk aplikasi iPad dari Berita Harian Online melalui wakilnya En. Saufi dan En. Ridza (Jurukamera video HD) dengan dibantu En. Naz (jurufoto Berita Harian) telah sudi memberikan ruang dan peluang kepada KBTBB untuk menjadi Kelab Basikal Tua/Klasik yang PERTAMA di Malaysia tampil memenuhi ruang dan paparan di iBH. Sebagai sebuah kelab basikal yang aktif dan progresif KBTBB ingin membawa hobi ini lebih maju dengan mendekati generasi muda dan golongan sofistikated mengenali basikal tua di alam siber yang serba canggih dan moden. Peluang keemasan seumpama ini seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh KBTBB untuk mempersembahkan kandungan-kandungan berinformasi kepada penggunanya mengenai basikal tua.

Di ketuai oleh Sdr. Ikhwan Ibrahim selaku Ketua Projek / Media & Publisiti KBTBB team iBH dan KBTBB telah bekerjasama menghasilkan "content" terbaik dengan memaparkan aktiviti basikal tua/klasik untuk dijadi sajian pembaca dan pengguna iPad di Malaysia dan mungkin juga boleh dilihat di seluruh dunia. Walaupun teknologi seumpama ini masih baru di Malaysia namun KBTBB harus optimistik dengan mengikut peredaran masa dan zaman agar terus relevan di masa hadapan. Bermula jam 10:00 pagi - pengambaran di mulakan di sekitar Bandaraya Melaka dan berakhir di Pengakalan KBTBB di Batu Berendam kira-kira jam 3:30 petang. Banyak perspektif menarik telah diajukan oleh Sdr. Ikhwan kepada En. Saufi iaitu Penolong Editor yang hadir membuat liputan bersama team iBH di Melaka.

Untuk makluman, iBH memaparkan kandungan maklumat mencakupi pelbagai aspek gaya hidup anda dalam bentuk multimedia interaktif yang ringkas tetapi menarik. Informasi dipersembahkan menerusi penulisan mudah digabung jalinkan dengan paparan foto, video, audio, grafik dan animasi menarik. Kandungan maklumat yang kita peroleh daripada iBH kekal dan boleh dirujuk pada bila-bila masa saja dengan hanya ‘sentuhan jari’. Pembaca bukan sekadar membaca, melihat dan menonton, malah mampu membina arkib informasi multimedia peribadi. Begitulah canggihnya aplikasi iBH ini seperti yang diterangkan oleh En. Saufi kepada ahli-ahli KBTBB.

Kayuhan penuh tenaga dan gaya...seolah-olah Bandaraya Melaka kembali ke zaman silam...

Pengerusi KBTBB, Abg Alias Omar sedang ditemu-bual oleh Berita Harian Online

Sdr. Ikhwan memberikan penerangan lanjut mengenai objektif dan tujuan KBTBB melestarikan basikal tua di Melaka

Generasi muda dan pelapis KBTBB yang terdiri dari anak-anak kampung yang berminat mengayuh dan menyintai basikal tua...lihat sahaja gaya dan gelagat mereka...happy dan ceria!

Bersama ahli-ahli KBTBB yang hadir menjayakan pengambaran basikal tua untuk iBH di Banda Hilir, Melaka pada hari Ahad lalu

Puan Rokiah yang tampil klasik dan ceria bersama pakaian ala-ala Che' Saloma...kelainan yang tidak ada pada kelab-kelab basikal klasik/tua yang lain...itulah uniknya KBTBB :)

Antara ahli yang mendapat perhatian jurugambar dan pelancong-pelancong yang hadir sewaktu pengambaran... KBTBB antara perintis kelab basikal tua/klasik yang memperkenalkan konsep "basikal dengan citra"

Deretan basikal tua yang menjadi tumpuan dan subjek utama pengambaran... hobi yang tak kira umur, pangkat, bangsa, agama dan keturunan...semuanya SAMA yang penting aktif dan satu hati

Penuh gaya klasik... tak guna ada basikal hebat-hebat tapi takde sumbangan pada masyarakat. Ada basikal kita kayuh bukan buat stock syok sendiri... kalau 100% England pun simpan dalam "kandang" nak buat apa...sekali sekala bawa lah bertarung beee...paling takpun dikayuh....***Basikal Bt. 3 pun takpe...janji "glamour youuu" jangan ler jelesss beee....
...

Isnin, 12 September 2011

Majlis Perasmian Bilik Gerakan KBTBB pada 09.09.2011 (Jumaat, 11 Syawal 1432H) oleh YAB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka

Tanggal 09.09.2011 yang jatuh pada hari Jumaat bersamaan 11 Syawal 1432H pastinya akan terpahat sebagai kenangan paling bermakna dan penuh bersejarah bagi seluruh ahli-ahli dan warga KBTBB. Disaksikan oleh 1000 tetamu jemputan Bilik Gerakan KBTBB telah selamat dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka tepat jam 4:30 petang bersempena lawatan beliau ke Batu Berendam baru-baru ini. Projek dan idea asal pembinaan Bilik Gerakan ini telah dicetuskan sendiri oleh Penaung KBTBB iaitu En. Zulkifli Osman yang begitu enthusias (bersemangat tinggi) kerana ingin melihat KBTBB mempunyai sendiri tapak/tempat untuk terus melebarkan sayapnya.

Dua buah kabin terpakai yang disumbangkan oleh Syntax Valley Sdn. Bhd. telah dibangunkan dan diubah-suai sendiri oleh ahli-ahli KBTBB dengan menggunakan keringat, kudrat, pengorbanan masa dan wang simpanan kelab. Semua ini dilakukan semata-mata mahu melihat kelab (KBTBB) yang dicintai terus maju dan jaya. Itulah pengorbanan sebenar ahli-ahli KBTBB untuk kelabnya. Terletak di tengah-tengah Kampung Batu Berendam, Bilik Gerakan ini bakal menjadi pusat sehenti (one-stop-centre) bagi menguruskan pelbagai aktiviti basikal tua di Melaka. Bilik Gerakan ini juga akan menjadi pusat pentadbiran yang menempatkan ruang pejabat dan galeri serta tempat simpanan basikal tua dan aset milik kelab.

Semasa sessi lawatan singkatnya di Bilik Gerakan KBTBB, beliau tidak putus-putus memuji KBTBB kerana telah berjaya melakukan banyak aktiviti sepanjang tahun - bermula dari tahun 2008 sehingga sekarang (2011) setelah melihat sendiri paparan foto-foto menarik dan keratan-keratan akhbar yang dipamerkan. Sebelum berpisah beliau juga berharap budaya berbasikal ini akan dapat diteruskan bukan sahaja dikalangan ahli-ahli KBTBB tetapi dikalangan penduduk dan masyarakat di Batu Berendam dan di Melaka setiap hari. Dengan mengamalkan budaya berbasikal rakyat akan menjadi sihat dan secara tidak langsung akan dapat mengurangkan pemanasan global, pesan beliau sebelum berpisah - Admin KBTBB.

YAB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka mengayuh basikal menuju ke Bilik Gerakan KBTBB untuk menyempurnakan Majlis Perasmian diiringi ahli-ahli KBTBB.

Pemimpin berjiwa rakyat...menyukai apa yang rakyatnya suka...keunggulan kepimpinan YAB Ketua Menteri Melaka sentiasa menjadi contoh kepada rakyat Negeri Melaka.

Sebahagian ahli-ahli KBTBB mengiringi Ketua Menteri Melaka mengayuh basikal tua...lengkap berpakaian baju melayu dan bersampin songket.

Bilik Gerakan KBTBB yang telah disumbangkan oleh Syntex Valley Sdn. Bhd. yang telah diubah-suai menjadi pejabat pentadbiran dan galeri serta tempat simpanan basikal tua KBTBB.

YAB Ketua Menteri Melaka sempat meluangkan masa menghayati dan melawat Bilik Gerakan KBTBB yang mempamerkan koleksi foto-foto menarik dan keratan-keratan akhbar mengenai KBTBB dan basikal tua.

Sebahagian koleksi dan cenderahati yang dipamerkan di dalam Bilik Gerakan KBTBB...

Untuk makluman pembaca, Projek Bilik Gerakan KBTBB ini yang telah dimulakan pada pertengahan bulan Julai 2011 yang lalu telah diketuai oleh Pengerusi KBTBB iaitu Abg Alias Omar bersama Sdr. Kalib, Sdr. Jebat, Tok Penghulu dan barisan AJK KBTBB serta dibantu oleh ahli-ahli KBTBB.

Pemandangan awal sewaktu kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh ahli-ahli KBTBB...

Bersama mengerah tenaga dan keringat untuk membina Bilik Gerakan KBTBB demi kelab yang dicintai...

Jangan tanya apa yang kelab boleh buat untuk anda...tanya pada diri sendiri apa yang anda boleh lakukan untuk kelab...tak guna belajar tinggi melangit dan berjawatan tinggi kalau tak berkhidmat untuk bangsa sendiri...

Di sinilah bakal tersimpannya banyak koleksi berharga dan khazanah negara yang paling bernilai... inilah buktinya...
...

Program Salam Ramadhan 1432H KBTBB berjaya diadakan 3 tahun berturut-turut (2009-2011)

Bulat air kerana pembetong, bulat manusia kerana muafakat. Program Salam Ramadhan yang diperkenalkan sejak 2009, kini terus dikekal dan dilaksanakan sehingga 2011 buat 3 tahun berturut-turut, ini membuktikan semangat bersatu hati dan kerjasama yang kental serta kukuh dikalangan ahli-ahli KBTBB. Pada hari Ahad 14hb Ogos 2011 bersamaan 14 Ramadhan 1432 yang lalu, KBTBB sekali lagi membuktikan bahawa kelab basikal tua yang berpengkalan di Batu Berendam ini masih konsisten menjalankan kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat.

Acara memasak yang bermula jam 10:30 pagi ini berjaya mengumpulkan sejumlah 30 orang ahli-ahli KBTBB bergotong-royong untuk melaksanakan tugas-tugas memasak, membungkus dan mengedarkan sejumlah 300 bungkusan bubur lambuk pada tahun ini. Berbanding 2 tahun sebelum ini peningkatan jumlah bubur lambuk melebihi 50 bungkus menjadi 300 bungkus berbanding 250 bungkus pada tahun lepas 2010 dan 180 bungkus pada tahun 2009. Alhamdulillah dari tahun ke tahun KBTBB diberi rezeki dan sumber kewangan yang mencukupi untuk terus aktif dan progresif.

Menurut Sdr. Jebat kesemua bubur lambuk yang telah dimasak ini telah diedarkan ke seluruh penduduk kampung berhampiran termasuk ke rumah Ketua Menteri Melaka, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, dan Balai Polis Batu Berendam. "Objektif utama untuk memupuk semangat kerjasama dan bersatu hati ternyata sudah tertanam sejak penubuhan kelab ini pada tahun 2008, itulah kunci dan rahsia KBTBB kekal sebagai kelab basikal tua yang sentiasa aktif dan dapat memenuhi kehendak ahli-ahlinya" tambah Sdr. Jebat lagi.

Manakala bagi Pengerusi KBTBB iaitu Abg. Alias Omar "Program seumpama ini seharusnya kita teruskan setiap tahun. Kelab ini wujud bukan sekadar suka-suka, kita telah buktikan kita juga mampu mengada dan menganjurkan banyak aktiviti sepanjang tahun selain hanya hadir memenuhi undangan berkayuh...Insyaallah dengan limpahan rezeki dan rahmat dari Allah s.w.t. kita akan teruskan usaha menjadikan KBTBB kelab yang berjaya bukan sahaja dalam hal-hal keduniaan tetapi juga akhirat". Program Salam Ramadhan 1432H berakhir dengan semua ahli-ahli yang hadir bergotong-royong membersihkan periuk dan tempat memasak. - Admin KBTBB

Sdr. Hafiz membantu mengisi bubur lambuk di dalam bekas untuk diedarkan kepada penduduk di sekitar kampung Batu Berendam.

Ini dia "pengerak-utama" Program Salam Ramadhan KBTBB tak lain tak bukan Sdr. Jebat yang sentiasa memastikan KBTBB sentiasa seimbang menjalankan aktiviti selari dengan tuntutan dunia dan akhirat.

Menyampaikan sumbangan ikhlas khas buat penduduk di sekitar Batu Berendam terutamanya Warga Emas...Sdr. Jebat (NAib Pengerusi KBTBB) membuktikan keprihatinan KBTBB melalui program ini.

Setiausaha Kerja KBTBB iaitu Sr. Radzwan juga sempat meluangkan masanya menyumbangkan masa dan tenaga menjayakan Program Salam Ramadhan pada tahun ini.


KBTBB melalui Pengerusinya iaitu Abg Alias Omar sempat menyampaikan sumbangan bubur kepada Abg Rahman yang sanggup turun dari Senawang, Negeri Sembilan.
...

Khamis, 21 Julai 2011

KBTBB dan PECHAL bergabung memeriahkan acara kayuhan 2 kelab (K2K) di Melaka Bandaraya Warisan Dunia

Melaka – Bandaraya Melaka meriah lagi dihujung minggu dengan deringan loceng dan horn basikal tua apabila kehadiran sekumpulan peserta basikal tua seramai 80 orang memenuhi jalan di sekitar Jalan Jonker, Jalan Bendahara, dan sekitar A Famosa. Menariknya sejumlah 20 orang peserta terdiri daripada ahli-ahli Pemilik Basikal Tua Chaah, Labis & Segamat atau lebih dikenali sebagai PECHAL dari negeri Johor Darul Takzim. Terpersona dengan keunikan, keindahan, dan kebersihan negeri Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia, PECHAL kembali ke negeri ini buat kali kedua untuk berbasikal bersama Kelab Basikal Tua Batu Berendam Melaka (KBTBB).

Acara berbasikal mengelilingi Melaka setiap hujung minggu yang dianjurkan KBTBB membuktikan negeri Melaka kini merupakan lokasi paling strategik untuk acara berbasikal sambil berlibur. Memulakan kayuhan mereka dari Batu Berendam, acara pelepasan peserta flag-off telah disempurnakan oleh En. Gafar Othman selaku Pengerusi JKKK Batu Berendam tepat jam 8:00 pagi. Turut memeriahkan acara berbasikal pada hari tersebut ialah En. Roslan Mat Nong iaitu Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Ketua Menteri Melaka bersama En. Zulkifli Othman selaku Penaung KBTBB, mereka hadir bersama-sama mengayuh basikal tua mengiringi tetamu dari PECHAL, Johor mengililingi Bandaraya Melaka sejauh 16km.

PECHAL dan KBTBB sempat singgah di Kota A Famosa untuk mempamerkan koleksi basikal tua masing-masing kepada pengunjung yang hadir di situ. Ternyata deretan basikal tua yang dihias dengan aksesori seperti lampu antik, loceng, hiasan bendera dan sebagainya menarik perhatian pengunjung untuk bergambar. Ramai juga yang tertarik dengan pakaian dan busana yang dipakai oleh ahli-ahli KBTBB, gelagat peserta telah berjaya mencuit hati dan perasaan qurious (ingin tahu) lebih lanjut mengenai warisan basikal tua di Melaka. Turut hadir memberi sokongan pada acara kayuhan ini ialah Yang Berhormat Datuk Latiff bin Tamby Chik, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Melaka.

Peserta sempat singgah melawat Kampung Morten yang terletak di tepi Sungai Melaka untuk melihat keunikkan kampung warisan sebelum pulang menuju ke Batu berendam untuk Majlis Penutup acara.

Bersemangat memulakan kayuhan...

Usia bukan penghalang bagi Wak Tumirin dan isterinya mengayuh basikal...

Abg Alias Omar yang mengetuai acara K2K (Kayuhan 2 Kelab) menyelusuri Jalan Jonker...

Hukum pancung... kerana lambat hantar air minuman...

Sahabat PECHAL berketurunan cina sempat melawat Tokong Chen Hong Teng yang dibina pada tahun 1646

Turut hadir memberi sokongan pada acara kayuhan ini ialah Yang Berhormat Datuk Latiff bin Tamby Chik, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Melaka (berbaju hijau pucuk pisang)

Ibarat isi dan kuku... sehati dan sejiwa...

Wabak dan virus pakaian uniform tentera yang sering menjadi perhatian umum....

PECHAL yang semakin dikenali dan disegani....

Basikal tua jadi tarikan pelancong....

Berehat sebentar di Bangunan Merah...

Baik punya slurrrpppp....cendol terbaik dunia...hanya di Melaka....

Tanda persahabatan antara 2 kelab basikal....KBTBB dan PECHAL ibarat abang-adik....semoga basikal tua menjadi jambatan persahabatan sejati...

Rabu, 20 Julai 2011

Majlis Tahlil KBTBB berlangsung penuh muhibah dan meriah

Batu Berendam - Majlis Tahlil bersempena kedatangan Ramadhan yang dianjurkan KBTBB pada Sabtu lalu ternyata dapat mempereratkan silaturahim dikalangan ahli-ahli, keluarga, penduduk kampung dan sahabat-sahabat basikal tua yang hadir. Dihadiri lebih 100 orang tetamu, Majlis diserikan dengan kehadiran oleh En. Roslan Mat Nong (Setiausaha, Kerajaan Negeri) En. Gafar Othman (Pengerusi JKKK) dan En. Zulkifli Othman (Penaung KBTBB) serta tetamu jemputan.

Majlis Tahlil yang bermula selepas solat Isyak telah berjaya mengumpulkan ahli-ahli keluarga KBTBB bersama penduduk kampung serta sanak-saudara. Turut hadir pada malam tersebut sahabat-sahabat dari PECHAL (Johor) yang tiba lewat sedikit. Menu asam pedas (daging tetel) menjadi santapan istimewa pada malam tersebut ternyata lazat dan menyelerakan, menyaksikan tetamu bertambah nasi sebanyak 2 kali! Diharapkan Majlis seumpama ini akan dapat diteruskan pada tahun-tahun yang mendatang. Tahniah dan syabas kepada AJK yang terlibat - Admin KBTBB .

Barisan kepimpinan KBTBB yang sentiasa komited memajukan kelab...mengimbangi urusan dunia dan akhirat.

Otai-otai basikal Melaka iaitu Otai Ijan dan Otai Chemek yang datang tanpa perlu "disembah" dan mereka hadir demi sokongan kepada KBTBB...

Tetamu-tetamu yang hadir bersama-sama menyempurnakan Majlis Tahlil KBTBB pada tahun ini...Alhamdulillah ramai yang hadir...Amin Ya Allah...

Mensyukuri rezeki dan nikmat yang dikurniakan Allah terhadap kelab yang dicintai... semuanya ini adalah anugerah dariNya...Alhamdulillah.

...

Rabu, 13 Julai 2011

Jemputan ke Majlis Tahlil KBTBB bersempena kedatangan Ramadhan Al-Mubarak 1432H pada Sabtu, 16 Julai 2011 jam 8:00 malam

KBTBB dan seluruh AJK dan ahli-ahlinya dengan sukacitanya ingin menjemput sahabat-sahabat basikal tua seluruh Malaysia untuk menghadiri Majlis Tahlil bersempena kedatangan Ramadhan Al-Mubarak 1432H tidak lama lagi. Majlis ini akan diadakan pada Sabtu, 16 Julai 2011 bermula jam 8:00 malam di Pengkalan KBTBB di Batu Berendam, Melaka. Semoga kehadiran sahabat-sahabat ke Batu Berendam dapat mengeratkan silaturahim sesama kita.
Sebagai sebuah kelab basikal tua yang bergerak aktif dengan pelbagai acara dan kegiatan basikal tua, KBTBB sentiasa mensyukuri nikmat dan rezeki yang kurniakan olehNya. Selama 3 tahun penubuhannya KBTBB tidak pernah putus menerima limpahan rezeki dan nikmat dariNya. Justeru itu, dengan adanya Majlis seumpama ini ia akan dapat mengimbangi tuntutan dunia dan juga tuntutan akhirat di kalangan ahli-ahlinya. Dikesempatan ini KBTBB ingin memanjatkan rasa syukur dan berdoa agar kita semua mendapat keberkatan dan kesejahteraan serta dikurniakan kesenangan dunia dan akhirat...Amin.
..
Insyallah pada keesokkan harinya Ahad, 17 Julai 2011, KBTBB dan Pemilik Basikal Tua - Chaah, Labis & Segamat (PECHAL) dari Johor akan mengadakan kayuhan persahabatan di antara 2 kelab (K2K) bersempena sambutan bulan Kemerdekaan Negara 2011 di sekitar Bandaraya Warisan Dunia bermula jam 7:30 pagi - 11:00 pagi. Acara kayuhan akan bermula di pengkalan KBTBB. Semua sahabat-sahabat dijemput hadir memeriahkan acara kayuhan tersebut dengan membawa Jalur Gemilang. Sekian untuk makluman.

...