Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Selasa, 20 Julai 2010

Malaysia harap sepeda eratkan jalinan persahabatan dengan Indonesia - Tribunnews.com

TRIBUNNEWS.COM, JAKARTA - Hadir dalam acara Konggres Sepeda Indonesia 2010, adalah suatu pengalaman berharga dan tidak terlupakan bagi Ikhwan Ibrahim, Ketua Projek, Kelab Basikal Tua Batu Berendam, Melaka, Malaysia. Dia berharap gelaran ini bisa dijadikan alat silaturahmi antara negaranya dan Indonesia. Datang sebagai wakil peninjau negeri jiran, Ikhwan mengakui bersepeda kali ini memunculkan kesan mendalam. "Kesan, sebenarnya persahabatan yang terjalin ini bukan baru. Saya sudah pun banyak mengikuti even-even di Indonesia, atas undangan sahabat-sahabat di Jakarta, di Bandung, Bali, dan saya lihat basikal ini sudah menjadi alat media yang menghubungkan Malaysia dan Indonesia," harapnya, saat ditemui Tribunnews.com, di Senayan, Jakarta, Minggu (18/7/2010).

Dia juga menyatakan kedepannya persahabatan ini akan dilanjutkan dalam pertemuan serupa di Malaysia. "Target saya, Insyaallah pada tahun depan kita akan adakan satu lagi acara kayuhan 2 negara, dengan Indonesia. Dan mereka sudah memantau wakil seramai 64 orang, dan untuk beramai-ramai berkayuh basikal tua di negeri Melaka," ujarnya. Seperti ditandaskannya, tahun depan dirinya bersama teman komunitas sepeda Malaysia hendak mengikat terus tali persahatan Indonesia dan Malaysia. "Pada tahun depan lagi kita merancangkan satu lagi acara yang melibatkan 2 negara ataupun lebih di Malaysia, insyaallah," tambahnya.

Laporan Wartawan Tribunnews.com, Andri Malau
http://www.tribunnews.com/2010/07/18/malaysia-harap-sepeda-eratkan-jalinan-persahabatan-dengan-indonesia

Jumaat, 9 Julai 2010

Tuan Yang Terutama (TYT) dan Ketua Menteri Melaka kayuh basikal tua bersempena Ulang Tahun ke-2 Melaka Bandaraya Warisan Dunia (UNESCO)

Basikal Tua yang diperjuangkan oleh KBTBB terus mendapat perhatian dan pengiktirafan pemerintah tertinggi Melaka. KBTBB sekali lagi telah diberi peluang oleh Kerajaan Negeri untuk bersama-sama memeriahkan Ulang Tahun Ke-2 sambutan pengiktirafan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia dari UNESCO pada 7hb Julai 2010 yang lalu. Tuan Yang Terutama (TYT) Yang DiPertua Negeri Melaka iaitu Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob diiringi Ketua Menteri Melaka iaitu YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan bersama 30 pembesar negeri yang terdiri dari wakil rakyat dan ketua jabatan telah mengayuh basikal di sekitar Bandaraya Melaka menemui rakyat dan komuniti Melayu, Cina, dan India. Admin akan mendapatkan lebih banyak cerita-cerita dan laporan akhbar mengenai acara yang telah berlangsung dengan penuh nostalgia dan klasik. Lihat sahaja pakaian yang dipakai oleh pembesar-pembesar negeri pada malam itu....

KBTBB kini memiliki koleksi basikal tua dari tahun 1930 ukuran frame 26" jenis Hercules milik Sdr. Ikhwan yang di bawa khas untuk acara malam tersebut bersama TYT di Melaka. Semua ahli pada malam itu berpakaian zaman-zaman 30an dan era Munsyi Abdullah.

Tuan Yang Terutama (TYT) Yang DiPertua Negeri Melaka iaitu Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob mengayuh basikal tua Raleigh Sport ukuran tayar 26 milik Puan Wawa kerana ringan dan selesa.


Ahli-ahli KBTBB segak berpakaian zaman dulu-dulu berbasikal beramai-ramai memeriahkan acara bersama 30 VVIP yang terdiri daripada Ketua Jabatan dan Wakil Rakyat

Yang Berhormat - Datuk-datuk (VVIP) bergaya bersama basikal tua masing-masing. Basikal tua kini telah mendapat tempat yang tinggi dan dinaiki pembesar negeri dalam acara yang unik ini.

Pemimpin berjiwa rakyat...Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengetuai rombongan berbasikal menuju Memorial Kemerdekaan untuk acara pelancaran dan perasmian diiringi ahli-ahli KBTBB dan YB-YB.

Liputan akhbar yang terkini dari China Press yang merupakan akhbar terpantas menyiarkan bahan cerita sambutan Ulang Tahun ke-2 Melaka Bandaraya Warisan Dunia.

Liputan akhbar The Star semalam 8hb Julai 2010
...

Rabu, 9 Jun 2010

Kejayaan Acara K2N hadiah buat semua pencinta basikal tua Nusantara

Tidak terungkap dengan kata-kata betapa indah dan manisnya apabila berjaya melaksanakan misi dan cabaran menganjurkan Acara K2N yang telah berlangsung 4-6 Jun 2010 yang lalu. Alhamdulillah dan sujud syukur kami kepada Allah S.W.T. kerana selama 6 bulan membuat persiapan akhirnya usaha dan lelah ini dibalas dengan kejayaan dan kemeriahan acara yang telah dihadiri lebih 250 peserta dari Indonesia dan seluruh Malaysia ke Melaka demi K2N. Alhamdulillah, segala aturcara dan program yang dirancang telah mengikut jadual dan tidak ada satupun yang tidak dilaksanakan. Tahniah dan syabas buat Ahli Jawatan Kuasa Acara K2N kerana memastikan semuanya mengikut apa yang telah dirancang terutamanya Sdr. Zulkifli Osman (Penaung), Sdr. Alias Omar (Pengerusi), Sdr. Jebat (Naib Pengerusi), Sdr. Radzwan, Chegu Shaari, Puan Wawa, Sdr. Khalib, Sdr. Baba, Tok Penghulu (Midi), Sdr. Najif, Sdr. Johari, Along Pomen, Rehan, Razak, Adik, Amran, Hafiz, Halimah, Mr. GB dan semua yang berada di barisan hadapan.
..
Sejuta PENGHARGAAN khas buat semua peserta yang telah hadir terutamanya sahabat-sahabat basikal tua dari Komunitas Sepeda Tua Indonesia. Tidak lupa buat seluruh tanahair dari utara sehingga ke selatan iaitu dari GETUAS, Basikal Klasik Pulau Pinang, Pemilik-pemilik basikal dari Negeri Perak (Taiping, Ipoh & Batu Gajah), Rock 7 & Anjung Sepeda Klasik dari Sijangkang, Port Swettenham Classic Bicycle (PSCB), Pemilik basikal dari Negeri Sembilan, Kelab Basikal Klasik Melaka, Pemilik-pemilik basikal dari Negeri Melaka, Kelab Basikal Klasik Muar, Pemilik Basikal Tua Chaah, Labis, Segamat (PECHAL), Kelab Sepeda Tua Johor Baharu, Pemilik-pemilik basikal dari Negeri Johor dan semua pemilik-pemilik basikal tua seluruh negara dan Indonesia.
..
Ucapan TERIMA KASIH ini juga ditujukan khas buat YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka kerana sudi hadir merasmikan Acara K2N. Terima kasih buat Bapak Widyarka Ryananta Wakil Kedutaan Indonesia di Malaysia, Mr. Tee dari APM Builder (yang menaja Makan Malam K2N), Sdr. Ghafar, Pengerusi JKKK Batu Berendam , Pak Dimas, Wakil Ketua Umum KOSTI, dan semua pihak Media yang hadir membuat liputan selama 3 hari acara ini berlangsung terutamanya Wartawan dari Melaka Hari Ini dan Utusan Malaysia. Tidak lupa buat Otai Ameng Semaggol yang datang sebagai perunding teknikal, Sahabat-sahabat KOSTI yang sentiasa membantu iaitu Sdr. Alex, Sdr. Fahmi, Sdr. Iwan Hatta, Bang Chandra, Ibu Sas, Mbak Nurul, Mega dan ramai lagi yang membantu melancarkan K2N.
..
Semuanya ini juga tidak akan sempura tanpa penglibatan dan bantuan daripada Menara Taming Sari Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Pelancongan Negeri Melaka, Polis DiRaja Malaysia - Cawangan Trafik dan semua pihak swasta (penaja-penaja) serta agensi kerajaan yang telah terlibat. Anggaplah kejayaan penganjuran ini adalah hadiah buat kita semua iaitu pencinta basikal tua Nusantara. Acara K2N ternyata telah berjaya "membakar" semangat anak-anak muda dan mempereratkan persahabatan 2 negara di Melaka. Pastinya, Acara K2N yang telah berlansung ini akan terpahat sebagai catatan memori dan sejarah terindah buat semua peserta-pesertanya.
....
"Tidak ada gading yang tak retak"... justeru itu kami ingin memohon ampun dan maaf sekiranya ada yang terkurang dan tersilap selama Acara K2N ini berlansung. Semoga persahabatan yang telah terjalin ini akan terus berkekalan dan bersama-samalah kita berdoa semoga bertemu lagi di acara yang seterusnya. Sesungguhnya Acara K2N ini bukanlah acara yang terakhir dan Insyaallah ianya merupakan langkah pertama untuk kita terus melestarikan hobi ini ke peringkat seterusnya. Insyaallah Admin KBTBB akan menyiarkan paparan Acara K2N yang berlangsung selama 3 hari itu tidak lama lagi. Sekian - TERIMA KASIH.
...

Isnin, 31 Mei 2010

Maklumat Penting Acara Kayuhan 2 Negara pada Ahad 6hb Jun 2010

Acara K2N akan berlangsung hanya beberapa hari sahaja lagi, segala persiapan terakhir telah dan sedang giat dilakukan oleh Sekretariat K2N di Melaka. Semua yang dirancang setakat ini masih mengikut jadual seperti mana yang telah dirancang. YAB Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan hadir merasmi dan menyempurnakan "flag-off" peserta K2N seperti yang telah diumumkan penganjur. Berikut adalah maklumat-maklumat penting untuk makluman dan perhatian kepada peserta-peserta dan tetamu khas K2N. Peserta-peserta dan tetamu diminta hadir lebih awal ke tempat acara untuk mengelakkan sebarang kesulitan dan keciciran mengikuti acara K2N.

Maklumat Acara Kayuhan 2 Negara pada Ahad, 6hb Jun 2010

Tempat mula dan berakhir : Menara Taming Sari, Melaka (berhampiran Kapal Portugis)
Pendaftaran Peserta : Bermula 7:00 pagi - 7:30 pagi
Flag off (pelepasan) : 8:30 pagi oleh YAB Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam

Laluan :
Bermula dari Menara Taming Sari menuju - Jalan Merdeka, Jalan Parameswara, Jalan Kota, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Hang Jebat, Jonker Street,Lorong Hang Jebat, Jalan Kg. Kuli, Jalan Hang Kasturi, Jalan Tukang Emas, Jalan Lekiu, Jalan Kg. Pantai, Jalan Bunga Raya, Jalan Kg. Jawa, Jalan Kee Ann, Jalan Baru, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Hang Tuah, Jalan Tun Ali, Jalan Kg. Morten, Lorong Tun mamat 4, Jalan Tan Chay Yan, Jalan Tun Mutahir,Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Bendahara, Jalan Laksamana, Jalan Merdeka (Quayside) - Tamat di Menara Taming Sari.

Jarak Kayuhan : 12km

Ambil Perhatian : Peserta-peserta akan diiringi Polis Trafik dan Marshall K2N sepanjang perjalanan dan sessi lawatan serta peserta diminta mengikuti segala arahan dari pihak Sekretariat K2N.

Tempat Rehat :
Kampung Morten - peserta akan diberikan minuman air mineral

Tempat-tempat yang akan dilalui :
Stadthuys, Christ Church, St. Francis Xavier's Church, St. Paul's Church, A'Famosa, Malacca Sultanate Palace, Dutch Graveyard, Independece Memorial, Jonker Street, Nyona & Baba Heritage, Hang Kasturi Mausoleum, Kampung Hulu Mosque, Cheng Hoon Teng Temple, Kampung Kling Mosque, Sri Poyatha Temple, Hang Jebat Mausoleum, St. Peter's Church

Acara Penamat & Penuntup :
Peserta-peserta yang berjaya menamatkan kayuhan diminta berkumpul di hadapan Menara Taming Sari untuk majlis penyampaian Sijil Penghargaan dan Majlis Penutup. Sila ambil perhatian kepada semua bahawa Sijil Penghargaan hanya akan diberikan kepada peserta yang mendaftarkan diri kepada Sekretariat K2N sebelum acara bermula. Sekretariat K2N tidak akan melayan mana-mana pihak yang tidak mendaftarkan diri untuk mendapatkan sijil tersebut.
...

Isnin, 24 Mei 2010

Larian Baton SUKMA XIII - DUN Bukit Baru diceriakan dengan kehadiran KBTBB

KBTBB sekali lagi mengotakan janjinya dengan membawa ahli-ahlinya untuk bersama-sama menyokong Larian Baton Sukan Malaysia (Sukma) XIII pada Ahad, 23hb Mei yang lalu yang bermula di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Larian baton yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Mohd. Ali Rustam telah dihadiri 1000 masyarakat berbilang kaum dengan jarak larian sejauh 23 kilometer bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru. Justeru, KBTBB telah dijemput oleh penganjur untuk bersama-sama turut serta menjayakan acara larian tersebut.

Tepat jam 9:30 pagi acara Larian Baton dimulakan di hadapan MBMB. KBTBB yang turun bersama hampir 40 orang ahli-ahlinya telah diberi penghormatan untuk berada di barisan hadapan konvoi untuk mengiringi peserta-peserta dan atlit larian baton pada hari tersebut. Walaupun cuaca hari itu agak panas namun sebagai sokongan terhadap Sukan Malaysia (Sukma) XIII, KBTBB telah berjaya menamatkan konvoi mengiringi Larian Baton tepat jam 1:00 tengahari di Ayer Keroh, Melaka. KBTBB berasa amat berbangga kerana telah diberi peluang dan kesempatan untuk bersama-sama memeriahkan acara tersebut serta berasa sangat bertuah kerana tidak selalu peluang sebegini diberikan kepada pemilik/kelab basikal tua di negeri-negeri lain.

Bagi KBTBB ini adalah satu penghormatan dan penghargaan terhadap komuniti basikal tua di Melaka khasnya dan Malaysia amnya kerana telah diberikan ruang dan peluang untuk membuktikan kemampuan dan sumbangan basikal tua kepada bangsa dan negara. Basikal tua kini melangkah setapak lagi ke hadapan dengan gemblengan dan sumbangan anak-anak muda bergandingan dengan orang-orang lama di dalam KBTBB demi memartabatkan basikal tua di bumi Hang Tuah. Itulah kunci sebenar kejayaan KBTBB hari ini. Basikal Tua...Warisan Generasi Muda.










KBTBB menerima tajaan & sumbangan untuk menjayakan K2N

Melaka, 20hb Mei 2010 - KBTBB amat-amat berbesar hati dan bertuah kerana menerima tajaan dan sumbangan penaja-penaja dari sektor korporat bersempena Mesyuarat Penyelarasan K2N di MITC Ancasa Hotel Melaka bersama agensi-agensi kerajaan negeri (seperti Perbadanan Hang Tuah Jaya, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Pelancongan Negeri Melaka, Wakil Ahli Parlimen, Pegawai Khas Ketua Menteri dan sebagainya). KBTBB yang diwakili Ketua Projek K2N, Sdr. Ikhwanizam Ibrahim hadir bersama AJK K2N iaitu Sdr. Jebat (Naib Pengerusi), Sdr. Radzwan (Setiausaha 1), Dr. Norman & Sdr. Khalib (AJK) untuk menerima sumbangan tersebut. KBTBB ingin merakamkan sejuta penghargaan khas kepada Penaung KBTBB iaitu En. Zulkifli Osman kerana berjaya mendapatkan penaja-penaja dalam masa yang singkat.

KBTBB ingin merakamkan penghargaan khas buat penaja-penaja K2N terutamanya Syntax Valley Sdn Bhd, APM Builder (M) Sdn Bhd, Maysign Network Sdn Bhd, Lekas Bina Enterprise Sdn Bhd, dan Yayasan Melaka kerana talah sudi menghulurkan sumbangan untuk menjayakan K2N. Diharapkan usaha dan sokongan berterusan daripada syarikat dan sektor swasta akan dapat mempertahankan warisan basikal tua untuk tatapan generasi muda dengan adanya penganjuran pelbagai aktiviti di masa hadapan. TERIMA KASIH khas buat semua yang membantu & menyokong K2N - Admin KBTBB





...

Selasa, 27 April 2010

KBTBB menyumbangkan 16 buah basikal untuk dipamerkan di Muzium Pengangkutan Melaka

Bersempena Ulang Tahun ke 7 Melaka Bandaraya Bersejarah pada 15hb April 2010 yang lalu, KBTBB tidak ketinggalan memberikan sumbangannya di dalam menjayakan projek Muzium Pengangkutan yang telah diilhamkan oleh Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Ali Rustam untuk tatapan orang ramai yang melancong ke Melaka. Muzium Pengangkutan yang terletak berhampiran MITC ini telah dibuka secara rasminya oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) iaitu Datuk Abdul Aziz Abdul Ghani pada 15hb April yang lalu.

Pembukaan Muzium Pengangkutan mendapat liputan pihak Media seperti Metro, Berita Harian, China Press, Guan Ming dan Melaka Hari Ini.

Turut hadir pada Majlis Pembukaan tersebut ialah Pengurus Besar Perzim iaitu Tuan Haji Khamis Abas. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran semua pemilik-pemilik kenderaan dari Persatuan Motor Klasik Melaka, Persatuan Volkswagon Melaka, Kelab Basikal Tua Batu Berendam, Kelab Lambretta Melaka dan Persatuan Kereta Antik Melaka. Menurut Tuan Haji Khamis, pihaknya akan bekerjasama dengan persatuan yang terbabit untuk mengadakan aktiviti bulanan bagi memeriahkan lagi muzium tersebut dan mensasarkan lebih 5,000 pelawat sebulan.

Sijil Penghargaan yang diterima KBTBB adalah sebagai tanda pengiktirafan tidak ternilai terhadap warisan basikal tua di Negeri Melaka.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Abdul Aziz Abdul Ghani bersama VVIP diapit dari kiri oleh Sdr. Jebat (Naib Pengerusi KBTBB) dan kanan Abg Alias Omar (Pengerusi KBTBB).

Majlis Pembukaan dihadiri ramai pemilik kenderaan yang memberikan sumbangan kenderaan masing-masing untuk dipamerkan di Muzium Pengangkutan.

Untuk makluman semua, harga tiket bagi dewasa ialah RM10 seorang dan RM5 bagi kanak-kanak dan pelajar. Paling menarik ialah setiap keuntungan dari jualan tiket tersebut akan diagih-agihkan bersama persatuan-persatuan yang terbabit. Insyaallah KBTBB akan mempunyai sedikit sumber kewangan bulanan untuk menampung pelbagai kegiatan dan aktiviti untuk ahli-ahlinya di masa hadapan. Justeru itu kami menyeru agar sahabat-sahabat basikal tua dapat memberikan sokongan dan meluangkan masa untuk melawat dan melihat koleksi-koleksi kenderaan dan basikal tua yang dipamerkan.

...