Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Isnin, 24 Mei 2010

KBTBB menerima tajaan & sumbangan untuk menjayakan K2N

Melaka, 20hb Mei 2010 - KBTBB amat-amat berbesar hati dan bertuah kerana menerima tajaan dan sumbangan penaja-penaja dari sektor korporat bersempena Mesyuarat Penyelarasan K2N di MITC Ancasa Hotel Melaka bersama agensi-agensi kerajaan negeri (seperti Perbadanan Hang Tuah Jaya, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Pelancongan Negeri Melaka, Wakil Ahli Parlimen, Pegawai Khas Ketua Menteri dan sebagainya). KBTBB yang diwakili Ketua Projek K2N, Sdr. Ikhwanizam Ibrahim hadir bersama AJK K2N iaitu Sdr. Jebat (Naib Pengerusi), Sdr. Radzwan (Setiausaha 1), Dr. Norman & Sdr. Khalib (AJK) untuk menerima sumbangan tersebut. KBTBB ingin merakamkan sejuta penghargaan khas kepada Penaung KBTBB iaitu En. Zulkifli Osman kerana berjaya mendapatkan penaja-penaja dalam masa yang singkat.

KBTBB ingin merakamkan penghargaan khas buat penaja-penaja K2N terutamanya Syntax Valley Sdn Bhd, APM Builder (M) Sdn Bhd, Maysign Network Sdn Bhd, Lekas Bina Enterprise Sdn Bhd, dan Yayasan Melaka kerana talah sudi menghulurkan sumbangan untuk menjayakan K2N. Diharapkan usaha dan sokongan berterusan daripada syarikat dan sektor swasta akan dapat mempertahankan warisan basikal tua untuk tatapan generasi muda dengan adanya penganjuran pelbagai aktiviti di masa hadapan. TERIMA KASIH khas buat semua yang membantu & menyokong K2N - Admin KBTBB





...

Selasa, 27 April 2010

KBTBB menyumbangkan 16 buah basikal untuk dipamerkan di Muzium Pengangkutan Melaka

Bersempena Ulang Tahun ke 7 Melaka Bandaraya Bersejarah pada 15hb April 2010 yang lalu, KBTBB tidak ketinggalan memberikan sumbangannya di dalam menjayakan projek Muzium Pengangkutan yang telah diilhamkan oleh Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Ali Rustam untuk tatapan orang ramai yang melancong ke Melaka. Muzium Pengangkutan yang terletak berhampiran MITC ini telah dibuka secara rasminya oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) iaitu Datuk Abdul Aziz Abdul Ghani pada 15hb April yang lalu.

Pembukaan Muzium Pengangkutan mendapat liputan pihak Media seperti Metro, Berita Harian, China Press, Guan Ming dan Melaka Hari Ini.

Turut hadir pada Majlis Pembukaan tersebut ialah Pengurus Besar Perzim iaitu Tuan Haji Khamis Abas. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran semua pemilik-pemilik kenderaan dari Persatuan Motor Klasik Melaka, Persatuan Volkswagon Melaka, Kelab Basikal Tua Batu Berendam, Kelab Lambretta Melaka dan Persatuan Kereta Antik Melaka. Menurut Tuan Haji Khamis, pihaknya akan bekerjasama dengan persatuan yang terbabit untuk mengadakan aktiviti bulanan bagi memeriahkan lagi muzium tersebut dan mensasarkan lebih 5,000 pelawat sebulan.

Sijil Penghargaan yang diterima KBTBB adalah sebagai tanda pengiktirafan tidak ternilai terhadap warisan basikal tua di Negeri Melaka.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Abdul Aziz Abdul Ghani bersama VVIP diapit dari kiri oleh Sdr. Jebat (Naib Pengerusi KBTBB) dan kanan Abg Alias Omar (Pengerusi KBTBB).

Majlis Pembukaan dihadiri ramai pemilik kenderaan yang memberikan sumbangan kenderaan masing-masing untuk dipamerkan di Muzium Pengangkutan.

Untuk makluman semua, harga tiket bagi dewasa ialah RM10 seorang dan RM5 bagi kanak-kanak dan pelajar. Paling menarik ialah setiap keuntungan dari jualan tiket tersebut akan diagih-agihkan bersama persatuan-persatuan yang terbabit. Insyaallah KBTBB akan mempunyai sedikit sumber kewangan bulanan untuk menampung pelbagai kegiatan dan aktiviti untuk ahli-ahlinya di masa hadapan. Justeru itu kami menyeru agar sahabat-sahabat basikal tua dapat memberikan sokongan dan meluangkan masa untuk melawat dan melihat koleksi-koleksi kenderaan dan basikal tua yang dipamerkan.

...

Isnin, 26 April 2010

Maklumat Terkini: Pendaftaran PERCUMA untuk menyertai acara K2N

Sukacita dimaklumkan bahawa Penyertaan dan Pendaftaran ke acara K2N adalah PERCUMA!. AJK K2N sebulat suara mengambil keputusan untuk tidak mengenakan apa-apa bayaran untuk menyertai acara Kayuhan 2 Negara sila abaikan makluman mengenai bayaran yang telah dimaklumkan. Peserta akan diberikan Sijil Penyertaan dan Minuman sepanjang berlangsungnya acara tersebut oleh pihak penganjur. Jom kita sertai acara K2N beramai-ramai ! Khabarnya ramai kawan-kawan KBTBB sudah bersiap sedia dengan rombongan masing-masing untuk mengegarkan Melaka pada 6hb Jun untuk acara Kayuhan beramai-ramai yang bermula kira-kira jam 8:00 pagi di Bandaraya Melaka.

Maklumat selanjutnya sila lihat pada "booklet information" acara Kayuhan 2 Negara (K2N) yang telah disediakan oleh AJK K2N (Malaysia) untuk rujukan dan informasi lanjut.

Sebarang kemusykilan dan pertanyaan sila hubungi Sekretariat K2N di talian 017 6397119, 012 9343953, 012 3634465 atau e-mel ke K2N.Melaka@gmail.com
...

Selasa, 20 April 2010

Jom sertai acara K2N! Pendaftaran dibuka sekarang!

Seperti yang telah dijanjikan KBTBB berikut adalah maklumat-maklumat penting mengenai Acara Kayuhan 2 Negara yang bakal berlangsung pada 4, 5, dan 6 Jun 2010. Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke semasa melalui blog dan makluman kepada wakil-wakil setiap Kelab basikal tua mengikut negeri masing-masing.

Tentatif Program K2N

Hari Pertama : Jumaat, 4hb Jun 2010

8:15 – 8 :30 malam
Ucapan Selamat Datang dan Alu-aluan dari Pengerusi dan Penaung KBTBB

8:30 – 8:45 malam
Perwakilan dari KOSTI (Indonesia) diperkenalkan oleh Sekretariat Acara K2N

8:45 – 9:30 malam
Jamuan Makan Malam bersama ahli-ahli KBTBB dan perwakilan dari Malaysia & Indonesia (KOSTI)

9:30 – 10:30 malam
Persembahan Musik Dondang Sayang dari Negeri Melaka

10:30 –11:00 malam
Sesi Perkenalan di antara peserta-peserta K2N Malaysia dan Indonesia

11:00 –11:30 malam
Tayangan Video

11:30 malam
Majlis bersurai
...


Hari Kedua : Sabtu, 5hb Jun 2010

8:15 – 8:30 malam
Ketibaan Peserta dari KOSTI, Perwakilan dari Malaysia, Tetamu Jemputan dan VVIP

8:30 – 8:45 malam
Ketibaan YAB Datuk Seri Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka

8:45 – 8:55 malam
Ucapan Alu-aluan daripada Pengerusi & Penaung KBTBB mewakili perwakilan Malaysia

8:55 – 9:10 malam
Ucapan dari wakil KOSTI mewakili Indonesia

9:10 – 9:30 malam
Ucapan Majlis Perasmian Acara K2N oleh YAB Datuk Seri Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka

9:30 – 9:35 malam
Gimik Pembukaan - Majlis Perasmian K2N

9:35 – 9:40 malam
Majlis Penyampaian Cenderamata Kepada Semua Wakil & Kelab-kelab Basikal Tua Malaysia

9:40 – 9:45 malam
Bacaan doa

9:45 – 10:45 malam
Jamuan Makan Malam diiringi Persembahan Kebudayaan dari Malaysia & Indonesia

10:45 – 11:00 malam
Persembahan Khas dari KBTBB / KOSTI

11:00 – 12:30 malam
Night Ride – Berbasikal - Minum Teh Tarik
...

Hari Ketiga : Ahad, 6hb Jun 2010

7:00 – 7:30 pagi
Pendaftaran Peserta di Dataran Menara Taming Sari

7:30 – 7:45 pagi
Berkumpul di Dataran Menara Taming Sari sambil menanti ketibaan peserta dari Malaysia, VVIP dan Ketua Menteri Melaka

7:45 – 8:00 pagi
Ucapan daripada Perwakilan Malaysia & Indonesia

8:00 – 8:15 pagi
Ucapan daripada YAB Datuk Seri Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka

8:15 – 8:30 pagi
Flag-Off – Pelepasan rasmi peserta acara K2N

8:30 – 10:30 pagi
Mengelilingi Bandaraya Melaka (Jalan-jalan & tempat-tempat yang dilalui akan diumumkan kelak) Kayuhan dijangkakan sejauh 12km

10:30 – 11:30 pagi
Kayuhan Tamat di Menara Taming Sari, Jamuan Ringan & Sessi bersama Media di Menara Taming Sari

11:30 – 12:30 tengahari
Acara Penutup & Penyampaian Cenderamata

12:30am – 1:30 tengahari
Menyusuri Sungai Melaka menaiki bot

1:30 – 2:30 petang
Makan Tengahari dan bersurai
...


Syarat-syarat penyertaan ke Acara K2N

1. Peserta DIWAJIBKAN mendaftarkan nama masing-masing sebelum atau selewat-lewatnya 15hb Mei 2010 kepada Sekretariat Acara K2N.

2. Peserta dari Malaysia DIGALAKKAN membawa BASIKAL TUA masing-masing untuk menyertai acara kayuhan sepanjang acara K2N berlangsung.

3. Peserta yang tidak dapat membawa BASIKAL TUA masing-masing akan dikena bayaran RM35.00 untuk sewaan sebuah basikal tua oleh Sekretariat Acara K2N sebagai bayaran saguhati kepada pemilik asalnya.

4. Tempahan sewaan BASIKAL TUA hendaklah dimaklumkan selewat-lewatnya pada 20hb Mei 2010 kerana basikal yang disediakan adalah TERHAD.


5. Pendaftaran dan penyertaan peserta-peserta yang menyertai Acara K2N adalah PERCUMA dan peserta akan diberikan SIJIL PENYERTAAN & MINUMAN sepanjang acara kayuhan berlangsung.

6. Peserta dari Malaysia DIGALAKKAN memakai PAKAIAN BERTEMAKAN NOSTALGIA KLASIK 40an, 50, dan 60an untuk memeriahkan acara yang berlangsung.

7. Peserta-peserta diminta bersopan-santun, menghormati dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Acara K2N sepanjang acara berlangsung.

8. Sekretariat Acara K2N tidak bertanggungjawab di atas kecederaan dan kematian disebabkan kemalangan dan kecuaian diri sendiri. Peserta DINASIHATKAN agar sentiasa mematuhi arahan Sekretariat Acara K2N sewaktu berkayuh.

9. Sebarang pertanyaan dan kemusykilan silalah berhubung dengan Sekretariat Acara K2N di talian 017 6397119, 012 9343953, 012 3634465 atau e-mel ke
K2N.Melaka@gmail.com
...

Borang Pendaftaran Online ke Acara K2N


Nama Penuh
E-mel
No. Telefon
Alamat Penuh
Perlukan penginapan?

Perlukan basikal?

Akan menyertai...
Saiz baju
Saya bersetuju dengan syarat2 K2N

Image Verification
captcha
Please enter the text from the image:
[ Refresh Image ] [ What's This? ]


Powered byEMF Contact Form

Isnin, 5 April 2010

Acara Kayuhan 2 Negara: Membakar Semangat Baru...Mempererat Persahabatan Serumpun

Pengenalan
Acara Kayuhan 2 Negara atau singkatannya K2N adalah acara gabungan basikal tua yang pertama bakal diadakan di antara dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Acara yang bakal memberikan perubahan besar terhadap kemajuan dan perkembangan komuniti basikal tua di Nusantara tercetus hasil daripada ikatan persahabatan yang tulus ikhlas antara pencinta basikal tua dari kedua-dua negara. Kewujudan acara K2N berteraskan keyakinan, keberanian dan keinginan yang tinggi untuk melihat perubahan baru disamping merasa atmosfera berbeza sebenar dunia basikal tua. Basikal tua yang kini bersifat global dan universal telah mampu merentas sempadan negara untuk terus lestari dan merealisasikan harapan pencintanya.

Rasional penganjuran Acara K2N
Komuniti basikal tua yang wujud di Malaysia dan Indonesia perlu berani berubah (dare to change) dan mencipta kelainan (creative & inovative) untuk memberi lembaran dan semangat baharu yang penuh warna dan tenaga yang vibran (ceria) kepada basikal tua. Bagi komuniti basikal tua di Malaysia inilah detik dan masanya untuk kita bersama-sama bangkit berjuang untuk melestarikan basikal tua agar ia terus kekal relavan sepanjang zaman. K2N adalah medan perjuangan sebenar untuk membuktikan keberanian dan kesungguhan kita untuk mengorbankan keegoan, idealogi, masa, tenaga dan wang-ringgit demi hobi yang kita cintai. Dengan semangat 1Malaysia, marilah kita bersatu untuk mencipta lembaran sejarah baharu basikal tua untuk negara dan Nusantara!

Tema Acara K2N
Bertemakan "Membakar Semangat Baru...Mempererat Persahabatan Serumpun". Istilah Membakar Semangat Baru merujuk kepada idea baharu, keberanian dan kegigihan peserta-pesertanya untuk melakukankan transformasi dan perubahan terhadap komuniti basikal tua kedua-dua negara agar lebih proaktif dan progresif. Komuniti basikal tua Nusantara memerlukan suntikkan semangat dan pemikiran baharu, kreatif dan inovatif untuk terus maju. Istilah Mempererat Persahabatan Serumpun pula merujuk kepada hubungan persahabatan berlandaskan ketulusan dan kejujuran antara kedua-dua komuniti demi melestarikan basikal tua Nusantara. Secara ringkasnya tema Acara K2N boleh diterjemahkan sebagai usaha bersepadu dua negara yang mempunyai banyak nilai-nilai persamaan darisegi bahasa, budaya, agama, sejarah dan sebagainya bersatu di dalam menjayakan 1 acara. Pemilihan tema tersebut dilihat sangat bertepatan dengan senario dan perkembangan hubungan kedua-dua negara yang semakin baik, harmoni dan makmur.

Acara K2N mengariskan 7 Objektif Utama iaitu:

1. Menjalinkan hubungan rasmi dan persahabatan antara komuniti basikal tua di Malaysia dan Indonesia melalui wakil-wakil kelab dan komuniti.

2. Mengada/menganjurkan aktivit/acara kayuhan tahunan basikal tua secara kerjasama untuk memperluaskan komuniti dan melestarikan hobi basikal tua untuk kedua-dua negara.

3. Memperkenal dan mengenali dengan lebih dekat adat, budaya, dan warisan negara masing-masing disamping mempereratkan hubungan silaturahim serumpun.

4. Berukar-tukar pendapat dan idea untuk memberi pengalaman dan pengetahuan terbaharu kepada peserta dan generasi muda yang meminati basikal tua.

5. Bersama-sama mempromosikan cara hidup sihat dengan menyokong usaha menghijaukan bumi dengan mengurangkan pemanasan global melalui aktiviti berbasikal secara meluas.

6. Mempertahan dan mengekalkan basikal tua sebagai satu warisan sejarah yang tidak ternilai untuk tatapan generasi muda dan negara.

7. Mengadakan siri-siri lawatan dan kunjungan antara komuniti basikal tua bagi mengukuhkan ikatan persahabatan antara kedua-dua komuniti basikal tua di Malaysia dan Indonesia.



Siapa yang menganjurkan Acara K2N?
Acara K2N dianjurkan secara gabungan bersama antara Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB), Melaka dari Malaysia dengan Komuniti Sepeda Tua Indonesia (KOSTI) yang berpusat di Jakarta, Indonesia. KBTBB yang dianggotai seramai 50 ahli berdaftar merupakan satu-satunya kelab basikal tua yang bergerak aktif dan progresif melestarikan basikal tua disamping menganjurkan pelbagai aktivti dan kegiatan di peringkat Nasional. Manakala KOSTI pula mempunyai seramai 10,000 ahli dengan 450 buah kelab basikal tua yang bernaung dibawahnya memainkan peranan paling proaktif dan penting di dalam menyelaras dan menguruskan pelbagai acara basikal tua yang besar di Indonesia.

Siapa yang menyokong Acara K2N?
Acara K2N ini disokong sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Melaka, Wakil-wakil Rakyat, Agensi-agensi Kerajaan Negeri, Anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Ali Rustam. Disamping itu pihak Media cetak seperti Utusan, Kosmo, Berita Harian, Metro, China Press, The Star, NST, Melaka Hari Ini dan sebagainya juga akan bersama-sama membuat liputan. Disamping media penyiaran seperti RTM, TV3, Astro dan sebagainya akan turut diundang memeriahkan acara. Selain daripada itu blog rasmi K2N iaitu Wira-wiri Naik Sepeda dan Basikal Malaya disamping KSTJB dan NBT akan bersama-sama mempromosikan acara K2N sebagai media penyampai rasmi.

Bila dan di mana Acara K2N akan diadakan?
Secara rasminya Acara K2N akan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad iaitu pada 5hb dan 6hb Jun 2010. Acara kemuncaknya ialah Majlis Makan Malam pada Sabtu, 5hb Jun 2010, jam 8:00 malam di QuaySide yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka. Acara kayuhan rasmi K2N pula pada hari Ahad, 6hb Jun 2010 bermula 7:30 pagi yang akan dilepaskan oleh Ketua Menteri Melaka. Acara rasmi K2N akan diadakan di sekitar Bandar Hilir / Bangunan Merah dan akan bermula di Dataran Taming Sari. Negeri bertuah Melaka dipilih menjadi tuan rumah kerana negeri ini sangat terkenal dengan lokasi-lokasi menarik dan bersejarah serta telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai "Tapak Warisan Dunia". Melaka juga kini telah mendapat gelaran sebagai negeri 1Malaysia kerana menghimpunkan pelbagai adat, budaya dan warisan yang ada di Malaysia sebagai salah satu produk pelancongan menarik kepada dunia luar. K2N juga secara tidak langsung dapat mempromosikan sektor pelancongan negeri Melaka kepada negara jiran kita iaitu Indonesia.

Bersambung....untuk pelbagai informasi penting dan PENDAFTARAN ke acara K2N.
...

Rabu, 31 Mac 2010

KBTBB tampil memeriahkan Karnival 1Malaysia 1Media di MITC, Melaka

Pada 27 & 28hb Mac 2010 yang lalu KBTBB telah diundang untuk turut serta memeriahkan Karnival Komunikasi 1Malaysia dan 1Media anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya di perkarangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka. Majlis yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka ini telah dikunjungi hampir 10,000 pengunjung khusunya di kalangan pelajar (generasi muda).

KBTBB yang memulakan kempen mempromosikan basikal tua di tahun 2010 di kalangan generasi muda melihat penglibatan proaktif kelab basikal tua dengan menyertai pameran usaha sama di kalangan semua pihak ini merupakan pelan tindakan (action plan) paling strategik. KBTBB yang sentiasa disokong oleh sahabat Media yang setia iaitu Utusan & Kosmo telah bersama-sama selama 2 hari berada di Karnival tersebut untuk melestarikan basikal tua di kalangan pelajar-pelajar dan pengunjung yang hadir (80% adalah generasi muda).

Disamping itu, terdapat banyak organisasi Media yang lain hadir memeriahkan acara Karnival tersebut antaranya RTM, TV3, Astro, NTV7, Skop Production, Metrowealth, TV9, Hot.FM, Bernama, Utusan, Kosmo dan banyak lagi. Kehadiran KBTBB mempamerkan basikal tua secara tidak langsung mempromosi dan memperkenalkan basikal tua kepada organisasi Media yang hadir. Pendedahan (exposure) sedemikian diharapkan akan memudahkan KBTBB untuk bekerjasa dengan pihak Media pada acara-acara dan projek-projek yang akan dirancang di masa hadapan.

Paling penting "Basikal tua...Warisan Generasi Muda". KBTBB bergerak selangkah lagi ke hadapan untuk terus berjuang memartabatkan basikal tua untuk pencinta dan peminatnya. Terima kasih kepada pihak UiTM keran sudi mengundang KBTBB dan Insyaallah KBTBB akan hadir pada Karnival di tahun hadapan. - Admin KBTBB

Karnival Komunikasi 1Malaysia 1Media yang disertai KBTBB dikunjungi 10,000 pengunjung di MITC, Ayer Keroh, Melaka.

KBTBB hadir mempamerkan basikal tua koleksi ahli-ahlinya bergabung di gerai Utusan dan Kosmo demi melestarikan basikal tua di kalangan generasi muda.


Kebanyakan pengunjung Karnival yang hadir adalah di kalangan anak-anak muda dan pelajar yang sememangnya perlu didedahkan dengan warisan bangsa (basikal tua).


Gerai myTV3 yang terletak di hadapan gerai Utusan dan Kosmo yang disertai KBTBB.


Astro juga tidak ketinggalan hadir memeriahkan Karnival.


TV9 juga hadir.


Hot.FM juga ada... panggilan hangiiittttt....


Ini yang paling best...Karnival-karnival jugak tapi permainan tradisional masih tetap tidak dilupakan oleh generasi muda...masih ingat bagaimana main "tenteng"? Bila kali terakhir kita main permainan ini?
....

Isnin, 1 Mac 2010

Basikal Tua menghiasi ruangan Horizon di akhbar Kosmo keluaran 27hb Februari 2010 (Sabtu)

Hati siapa yang tidak "berbunga-bunga" apabila melihat wajah masing-masing terpampang di dada akhbar Kosmo di ruangan Horizon yang ditulis dan diolah dengan jujur oleh Sdr. Ammar Jazlan Mad Lela pada keluaran Sabtu, 27hb Februari yang lalu. Impaknya, KBTBB menerima banyak ucapan SMS (Tahniah) dari sahabat-sahabat seluruh Malaysia kerana sekali lagi telah berjaya memaparkan basikal tua untuk hidangan pembaca dan peminat basikal tua tanahair. Penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga buat Sdr. Ammar (penulis) dan akhbar Kosmo yang sanggup membuat liputan dan menulis mengenai Acara Kayuhan Putrajaya Ke 2 (AKP2) di ruangan Horizon.

Paparan tersebut sekaligus telah mengangkat martabat dan melestarikan basikal tua untuk tatapan jutaan pembacanya serta peminat basikal tua.
Kepada yang tidak berpeluang mendapatkan akhbar tersebut, KBTBB ingin berkongsikan penulisan Sdr. Ammar mengenai pandangan dan perspektifnya mengenai basikal tua.

HORIZON
Memori zaman bercinta


Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my

KEPADA yang pernah mendengar lagu dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Hidup Sederhana (Basikal Tua) yang sering berputar di corong-corong radio sekitar tahun 80-an, lagu itu mengembalikan ingatan para peminatnya terhadap basikal tua. Basikal cukup penting sebagai pengangkutan utama masyarakat di kampung-kampung dan desa.

Ketika itu, mereka yang memiliki basikal jenama Raleigh, New Hudson, Birmingham Small Arms (BSA), Hercules, Robinhood sudah dianggap mewah dan tergolong dalam kelompok orang berada. Seiring perubahan zaman dan perkembangan ekonomi, peranan basikal semakin terhakis dengan kemunculan pengangkutan moden yang lebih pantas dan selesa seperti kereta dan motosikal.

Kehadiran basikal-basikal moden di pasaran menyebabkan basikal dianggap sebagai ketinggalan zaman, tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang mewah dan bernilai. Di sebalik sentimen tersebut, basikal tua sebenarnya mempunyai kelompok peminatnya tersendiri. Kesukaran mendapatkan basikal-basikal yang dikeluarkan sekitar tahun 40-an hingga 70-an menyebabkan ia dianggap hobi yang mewah kerana harganya boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit.

Pada masa yang sama, alat-alat gantinya juga sukar diperoleh di negara ini dan adakalanya terpaksa diimport. Bagaimanapun, minat mendalam dan nilai estetikanya membuatkan peminat basikal itu sanggup mengeluarkan belanja besar bagi tujuan itu.

Bermula dengan koleksi peribadi individu, minat itu mula dikongsi dalam jaringan yang lebih besar melalui penubuhan beberapa kelab basikal tua di seluruh negara. Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) di Melaka, Kelab Rock 7, Anjung Sepeda Klasik dan Port Swettenham Classic Bicycle (PSCB), Port Klang, Pemilik Basikal Tua Chaah-Labis (PECHAL) dan Kelab Sepeda Tua Johor Bahru (KSTJB) di Johor adalah antara kelab yang popular.

Penyatuan minat itu antara lain menjadi objektif penganjuran Acara Kayuhan Putrajaya kedua (AKP2) oleh KBTBB di sekitar Putrajaya baru-baru ini. Program kali kedua yang dianjurkan itu berjaya menghimpunkan seramai 84 peserta seawal usia sembilan tahun sehingga 61 tahun melibatkan beberapa kelab basikal tua di negara ini. Menariknya, setiap peserta yang memakai pakaian bertemakan tahun 50-an dan 60-an itu berjaya menarik perhatian pengunjung termasuk pelancong asing.

Biarpun dalam keadaan panas terik, namun setiap peserta begitu bersemangat melaksanakan kayuhan sejauh 15 kilometer (km) yang bermula dari Dataran Putra, Putrajaya. Antara lokasi menarik yang dilalui adalah seperti Istana Kehakiman, Monumen Alaf Baru, Jambatan Sri Wawasan, Jambatan Seri Saujana sebelum kembali semula ke Masjid Putrajaya.

Pengarah projek, Ikhwanizam Ibrahim berkata, program itu diadakan sebagai kesinambungan Acara Kayuhan Putrajaya 1 yang diadakan pada 26 Januari tahun lalu. "Tahun lalu kami berjaya mengumpulkan seramai 30 peserta iaitu meningkat hampir tiga kali ganda. "Ini membuktikan basikal tua mempunyai peminatnya yang tersendiri tanpa mengira usia," katanya yang merupakan salah seorang ahli yang aktif merancang pelbagai program untuk KBTBB.

Ikhwanizam yang ditemani isterinya, Azwa Md. Sarif, 34, berkata, program itu bertujuan menghidup dan melestarikan nostalgia lama basikal tua di kalangan masyarakat seperti juga motosikal dan kereta klasik.

Nostalgia silam
"Aktiviti itu bukan sekadar hobi pada masa lapang semata-mata, sebaliknya mendedahkan mereka kepada kegiatan riadah yang sihat dan sewajarnya diamalkan. "Pada masa yang sama ia dapat menjaga alam sekitar dan jika dilaksanakan secara meluas sudah tentu dapat mengurangkan pemanasan global," ujarnya yang berasal dari Lubok China, Melaka. Ikhwanizam menjelaskan, pemilihan Putrajaya adalah sebagai simbolik antara pertembungan sejarah silam dan arus pemodenan sejajar dengan slogan KBTBB iaitu Basikal Tua...Warisan Generasi Muda.

Bagi Shahruni Subari, 55, aktiviti yang diadakan itu sedikit sebanyak mengembalikan nostalgia silam yang pernah dilalui satu ketika dahulu. Memiliki basikal Raleigh (ukuran tayar 26) keluaran tahun 40-an atau lebih dikenali sebagai basikal posmen, Shahruni berkata, dia berbangga kerana dapat mempertahankan tradisi berkenaan sehingga hari ini. "Sejak kecil, basikal sudah sebati dalam hidup saya, malah itulah antara pengangkutan utama masyarakat khususnya di kampung saya di Sijangkang, Banting, Selangor satu ketika dahulu. "Dulu bukan semua orang berduit hendak beli kereta atau motosikal, maklumlah rata-ratanya hanya kerja kampung. "Jadi apabila hendak ke mana-mana selalunya dengan berbasikal sahaja," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Shahruni memberitahu, dia juga pernah berulang-alik sejauh 20 km dari rumahnya ke tempat kerja di Pelabuhan Klang dengan basikal. "Selama empat tahun bekerja di situ, itulah rutin saya setiap hari lagi pun ketika itu umur baru awal 20-an, masih muda dan bertenaga lagi. "Selepas itu barulah saya mengumpul duit dan membeli motosikal untuk ke tempat kerja, kalau rasa nak kayuh basikal saya akan pusing di sekitar kampung sahaja, bagaimanapun lama-kelamaan minat itu hilang begitu sahaja," katanya yang kesal kerana tidak menyimpan basikal itu satu ketika dahulu.

Shahruni memberitahu, antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan ketika itu ialah jatuh cinta pandang pertama dengan isterinya, Siti Hamrah Ghazali, 54, sekitar penghujung tahun 70-an. "Masa itu saya sedang berkayuh basikal di kawasan kampung sebelum terserempak dengannya. Dari situ kami mula berkenalan dan akhirnya menjadi rapat sebelum memutuskan untuk berkahwin," katanya mengimbau kenangan silam.

Kata Shahruni, minatnya mula bercambah terhadap basikal tua selepas menganggotai Kelab Rock 7 yang ditubuhkan di kawasan itu beberapa tahun lalu. "Saya beli basikal ini pada harga RM100. Ketika itu keadaannya agak menyedihkan hanya tinggal rangka dan berkarat di sana sini. "Disebabkan minat mendalam, saya membelanjakan RM800 untuk membaik pulihnya semula, kebanyakan alat-alat gantinya diperoleh di sekitar bandar Klang, walaupun terdapat alat ganti yang tidak sama seperti yang reka bentuk asal, namun bagi saya ia sudah memadai," ujarnya.

Sanggup berhabis wang
Penglibatannya dalam kelab itu kata Shahruni memberinya peluang bertemu dan bertukar-tukar pandangan dengan peminat-peminat basikal tua di samping menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan. "Selain AKP2 ini, saya juga pernah berkayuh bersama ahli kelab ke Morib membabitkan perjalanan sejauh 40 km, selepas ini kami bercadang untuk berkayuh ke Bagan Lalang yang jaraknya jauh 100 km," katanya.

Bagi N. Karuppiah, 42, beliau kini memiliki koleksi 12 basikal tua daripada jenama terkenal seperti Raleigh, Hercules, Raleigh (ukuran tayar 26), Hercules (perempuan) dan Columbia. Lelaki yang menetap di Johor Bahru itu berkata, beliau sememangnya meminati barangan antik termasuk basikal tua sejak kecil, namun tidak berpeluang melakukannya kerana komitmen terhadap tugas dan keluarga.

Kata Karuppiah, minatnya untuk memiliki basikal tua timbul selepas melihat seorang warga emas berusia 72 tahun mengayuh basikal terbabit ketika bekerja sebagai penyelia di pasar raya di Bukit Batok, Singapura pada 2003. "Hati saya begitu tertarik melihatnya mengayuh basikal jenis Hercules sebelum memberanikan diri untuk bertanyakan harganya. "Tanpa diduga beliau bersetuju menjualnya pada harga 60 dolar Singapura (RM144), disebabkan terlalu teruja saya mengayuh basikal itu sejauh 20 km sehingga ke pusat pemeriksaan kastam di Tambak Johor," kata Karuppiah.

Ujarnya, sejak itu beliau semakin bersemangat dan mula menjelajah ke seluruh negara sehingga ke kawasan-kawasan kampung bagi mendapatkan koleksi basikal tua yang diidam-idamkan. "Apa yang pasti kebanyakan basikal yang ditemui sudah terlalu uzur dan terpaksa dibaik pulih untuk kembali seperti asal, malah sehingga kini saya sudah membelanjakan hampir RM16,000 untuk kerja baik pulih dan membeli alat ganti.

"Bayangkan tempat duduk kulit jenama Brook mungkin mencecah RM300 hingga RM500 di pasaran itu belum termasuk lampu seperti lampu karbaid, lampu minyak tanah dan sebagainya yang adakalanya mencecah sehingga RM700 sebuah. "Tidak hairanlah hobi ini agak mahal, namun ia tetap berbaloi kerana bukan mudah untuk mendapatinya pada zaman ini," jelasnya yang aktif menyertai aktiviti kayuhan bersama ahli-ahli Kelab Speda Tua Johor Bahru sebelum ini.

Bagi Amirul Afiq Ezafel Rafique Hassan, 16, minat terhadap basikal tua bermula selepas melihat ayah dan pak ciknya terlibat di dalam beberapa siri konvoi berbasikal sebelum ini. Dia yang kini memiliki basikal Raleigh Sport 1960 mengakui bahawa dirinya lebih teruja mengayuh basikal tua berbanding basikal-basikal moden lain kerana nilai sejarahnya yang tersendiri.

"Selain saya dan adik-beradik yang lain, Amirah Aqilah, 14 dan Amir Uzair Afiq, 9, juga menunjukkan minat yang sama. Jika berkesempatan kami semua akan berkonvoi bersama-sama ayah dan menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan di seluruh negara," katanya.