Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Ahad, 3 Januari 2010

Ketua Menteri Melaka dan KBTBB berbasikal menyambut tahun 2010 bersama 500 peserta di Melaka

01.01.2010 merupakan tarikh keramat yang mungkin tidak akan dapat dilupakan oleh 65 orang peserta basikal tua dari KBTBB dan sekitar Melaka yang bersama-sama Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Ali Rustam (DAR) memeriahkan acara sambutan kedatangan tahun 2010. Acara sambutan tahun baru 2010 di Melaka disambut sederhana dengan percikan bunga api tepat jam 12:00 tengah malam di Dataran Taming Sari. Seperti yang telah dirancang, KBTBB telah berjaya menyampaikan sebuah basikal Raleigh ukuran 28" khas buat DAR (Datuk Ali Rustam) yang telah dilaksanakan oleh Pengerusi KBTBB iaitu Sdr. Alias diiringi oleh Penaung, Sdr. Zul dan Ketua Projek, Sdr. Ikhwan untuk dikayuh pada malam tersebut. Selang beberapa minit melangkah ke tahun baru 2010, KBTBB telah pun memulakan langkah awal melestarikan basikal tua bersama 500 peserta lain (pelbagai jenis basikal) mengetuai acara kayuhan bersama DAR dan Exco-exco Kerajaan Negeri Melaka di sekitar Bandaraya Melaka Warisan Dunia.

Bagi orang lain, mungkin ada yang lena dibuai mimpi indah atau hanya melopong di depan TV di rumah bersama keluarga atau berkeliaran tanpa haluan di malam tahun baru, merempit, melepak dan sebagainya, namun bagi KBTBB pula mereka telahpun memulakan usahanya melangkah setapak ke hadapan mengandakan usaha melestarikan basikal tua untuk negeri tercinta mereka iaitu Melaka. Permulaan paling manis untuk tahun 2010 disamping tersenyum gembira dengan kejayaan sepanjang tahun 2009 yang akan terus terpahat sebagai sejarah (track record) yang bakal dikenang oleh semua pencinta basikal tua di Malaysia. Kehadiran hampir 5000 pengunjung di Dataran Taming Sari berjaya menarik minat ramai untuk menyertai KBTBB pada acara yang akan datang. Pada malam itu, basikal tua menjadi tumpuan lensa kamera dan media massa kerana keunikkan dan kecantikkan yang penuh nostalgia klasiknya. - sila klik di sini untuk melihat foto-foto pada acara tersebut.

Ahli-ahli KBTBB menjadi tumpuan pada malam sabutan tahun baru 2010. Gambar dan cerita disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia di muka surat 9 pada keluaran Sabtu, 02.01.2010.

Datuk Seri Ali Rustam bangga mengayuh basikal Raleigh untuk mengetuai acara kayuhan berbasikal bersama rakyat yang disertai lebih 500 peserta di malam tahun baru. Keratan akhbar dari Sin Chew Daily (Edisi Melaka)pada Sabtu 02.01.2010.

Puan Azwa (wawa) dengan gaya klasik mengayuh basikal tuanya telah berjaya dirakam oleh lensa kamera wartawan Sin Chew Daily pada malam tahun baru 2010 di Melaka.

Cerita lanjut mengenai acara kayuhan basikal bersama Ketua Menteri Melaka yang disiarkan oleh akhbar Sin Chew Daily pada keluaran Sabtu 02.01.2010.

Akhbar China Press juga tidak ketinggalan membuat liputan mengenai acara kayuhan basikal pada malam sambutan tahun baru 2010 pada keluaran hari Sabtu 02.01.2010.

Sambungan cerita mengenai acara kayuhan bersama Ketua Menteri Melaka pada muka surat 4 akhbar China Press.

Gambar di atas - Datuk Ali Rustam (DAR) melambai semua pengunjung yang hadir, manakala Puan Azwa berkayuh santai mengiringi DAR bersama 65 peserta berbasikal tua/klasik sentiasa mendapat perhatian lensa media massa kerana kelainan dan keunikkan basikal dan kostum beliau.

Isnin, 28 Disember 2009

Jemputan Acara Kayuhan Klasik di ambang 2010 eksklusif bersama Datuk Seri Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka)

Sebelum berlabuhnya tirai acara & aktiviti pada tahun 2009, KBTBB sempat merancang 1 lagi acara penutup dengan menjemput Datuk Seri Ali Rustam (DAR) untuk berkayuh bersama-sama ahli-ahli KBTBB bersempena sambutan tahun baru 2010 yang akan dilangsungkan di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Ayer Keroh, Melaka pada malam Khamis, 31hb Disember 2009. Jemputan yang dihantar sendiri oleh AJK KBTBB pada 19hb Disember yang lalu di kediaman rasmi beliau di Ayer Keroh, Melaka telah diterima sendiri oleh beliau dengan penuh rasa gembira. Melihat kelibat wakil KBTBB diruang tamu kediamannya DAR menyapa kami dengan berkata "Oooo...nie basikal tua yer?...Batu Berendam?...jemput-jemput...apa hal nie?". "Yer tuk...kami dari Batu Berendam..." jawab Sdr. Jebat. Kehadiran wakil KBTBB yang diketuai oleh Sdr. Ikhwan, Sdr. Jebat, Tok Penghulu, Chegu Sahaari , Wawa dan En. Ismail berjumpa DAR adalah untuk menyampaikan hasrat ahli-ahli KBTBB untuk berkayuh bersama-sama beliau pada malam tahun baru (2010).

Pada mesyuarat Jawatan Kuasa Induk Penyelarasan Acara Sambutan 2010 malam tadi (28hb Disember) di Seri Bendahara (Ayer Keroh Melaka), KBTBB akan mengetuai acara kayuhan pada malam 31hb Disember 2009 bersama semua Exco-exco Kerajaan dan VVIP mengiringi Ketua Menteri Melaka berkayuh di sekitar Bandaraya selepas jam 12:00 tengah malam. Acara penyerahan basikal tua sebagai Penghargaan 1 Dekad Pemerintahan Datuk Seri Ali Rustam pula akan diadakan di Dataran Taming Sari pada pukul 11:30 malam sejurus sebelum acara "Countdown 2010" seperti yang dipersetujui. Pihak penganjur juga akan mengadakan cabutan bertuah kepada sesiapa yang hadir berbasikal pada malam tersebut.

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka iaitu Datuk Zainal, acara pada malam tersebut akan dimeriahkan dengan menjemput lebih 1000 peserta berbasikal yang terdiri daripada belia, kelab-kelab basikal, agensi Kerajaan, syarikat swasta dan sebagainya untuk berkayuh bersama Ketua Menteri (DAR). Beliau juga berhasrat untuk mengumpulkan lebih 1500 peserta berbasikal pada malam tersebut sebagai acara permulaan Kempen Berbasikal Bersama Rakyat yang akan diperkenal dan dipromosikan oleh Kerajaan Negeri Melaka pada masa hadapan. Kepada semua sahabat-sahabat kami amat-amat berbesar hati untuk menjemput anda semua bersama-sama KBTBB memeriahkan acara pada malam 31hb Disember 2009.

Maklumat acara adalah seperti berikut:-

9:30 malam
Berkumpul di Pengkalan KBTBB di Batu Berendam untuk sesi taklimat.
9:40 malam
Berkayuh ke Bandaraya Melaka menuju ke Dataran Taming Sari dan berehat sebentar dan bergambar di Bangunan Merah.
11:00 malam
Persiapan untuk Majlis Penyerahan Basikal Tua untuk Ketua Menteri Melaka (DAR).
11:30 malam
Majlis Penyerahan dan Ucapan dari Ketua Menteri Melaka serta Cabutan Bertuah.
12:00 tengah malam
Acara pertunjukkan Bunga Api di hadapan Eyes on Malaysia.
12:10 tengah malam
Acara Kayuhan bersama Ketua Menteri Melaka (DAR) dimulakan. Berkayuh di sekitar Bandaraya Melaka sejauh 8km, laluannya akan ditentukan oleh Polis Trafik dan Marshall mengikut "route" yang akan dipersetujui DAR.
1:30 pagi
Penyampaian Sijil dan Tamat.

Sdr. Fadil menyampaikan surat jemputan rasmi kepada Datuk Seri Ali Rustam di kediamannya di Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka pada 19hb Disember 2009. Wakil KBTBB diwakili Sdr. Ikhwan, Sdr. Jebat, Chegu Shaari, Tok Penghulu, Sdr. Fadhil dan Wawa.

DAR meluangkan masa untuk bersama-sama wakil KBTBB berbincang dan diberi penerangan oleh Ketua Projek KBTBB, Sdr. Ikhwan tentang program dan aktiviti basikal tua di Melaka. Sdr. Ikhwan juga menyampaikan hasrat dan hajat ahli-ahli KBTBB untuk berkayuh basikal bersama DAR dan menyampaikan penghargaan sempena 1 Dekad Pemerintahan beliau.

Wakil KBTBB begitu serius mendengar pendapat dan nasihat daripada DAR mengenai KBTBB dan peranan yang boleh dilaksanakan bersama untuk kepentingan seluruh rakyat dan negeri Melaka. KBTBB kini mengalas tugas yang lebih berat dan mencabar untuk mempromosikan basikal tua dan budaya berbasikal di Melaka seperti yang dihasratkan oleh DAR.

Rabu, 23 Disember 2009

KBTBB Menerima Penghargaan dari wakil KOSTI dan KOBA sebagai tanda persahabatan 2 negara

KBTBB yang aktif berjuang memartabatkan basikal tua di Bandaraya Warisan Dunia - Melaka sering mendapat perhatian daripada semua pihak termasuk negara jiran kita Indonesia. Lawatan Sdr. Alex dari Jakarta ke Melaka pada 4hb-7hb Disember lalu begitu bermakna dan bersejarah bagi KBTBB kerana telah dapat mewujud dan menjalinkan persahabatan antara kedua negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Kunjungan beliau ke Melaka telah memberikan petanda baik untuk kedua-dua negara mengadakan jalinan dan memperkukuhkan komuniti basikal/sepeda tua di peringkat lebih tinggi. Sdr. Alex yang menjadi wakil KOSTI dan KOBA sudah pasti akan membawa pulang berita baik dan gembira ini untuk seluruh komuniti basikal/sepeda tua di Indonesia. Bagi KBTBB pula sudah tiba masanya untuk memperkasakan Kelab basikal tua yang dianggotai hampir 50 orang ahli ini untuk bergerak lebih progresif dan merancang acara yang lebih besar dan berkesan pada 2010.

Dalam masa yang singkat KBTBB sudah cukup bersedia dan matang untuk mengharungi cabaran yang lebih besar pada tahun 2010. Pada tahun ini (2009) sahaja lebih daripada 20 acara telah berjaya dilaksanakan oleh KBTBB untuk ahli-ahlinya. Mengambil sedikit pengalaman daripada KOBA, Sdr. Alex menyatakan bahawa ahlinya bermula dengan 30 orang ahli dan berkat usaha gigih mereka kini ahlinya melebihi 500 orang di Jakarta. Seperti juga KBTBB, Kelab ini dahulunya bergerak dengan 30 orang ahli dan tidak mustahil bakal mengikut jejak KOBA suatu hari nanti. KBTBB yang tidak pernah dikenali oleh komuniti basikal tua suatu masa dahulu, kini mampu bergerak aktif setanding kelab-kelab basikal tua yang telah lama wujud di Malaysia. Semuanya itu daripada hasil usaha berganda (result-oriented) dan bukanlah hanya dari kata-kata yang indah dan penuh propaganda. Kuncinya ialah kita harus BERANI BERUBAH dan membuat PEMBAHARUAN serta KELAINAN.

Kepada semua pembaca dan pengunjung blog KBTBB terima kasih di atas sokongan padu anda semua! Terlalu banyak nama dan individu untuk dinyatakan. TERIMA KASIH kami ucapkan! KBTBB sentiasa menantikan kehadiran anda semua ke Batu Berendam, Melaka pada acara-acara seterusnya. Sekurang-kurangnya masyarakat dan orang luar tahu bahawa setidak-tidaknya ada 1 tempat dan negeri di Malaysia masih mempertahankan warisan basikal tua dan aktif dengan pelbagai aktiviti basikal tuanya. Negeri bertuah itu adalah MELAKA! Kerana di sini semuanya akan bermula...

Rombongan KBTBB selamat tiba di Pengkalan Utama KBTBB di Batu Berendam, Melaka.

Setibanya di Pengkalan, hidangan makan tengahari telah tersedia untuk semua peserta dan tetamu.

Selesai makan tengahari, Sdr. Alex sempat memberikan ucapan dan bercerita tentang pengalaman dan pendapat beliau mengenai basikal tua di negaranya. Beliau juga sempat memberikan nasihat dan kata-kata semangat untuk ahli-ahli KBTBB dan para tetamu.

Sessi soal jawab dan bertukar pandangan dan pengalaman antara Sdr. Alex dan ahli-ahli KBTBB.

Acara perpisahan - Sdr. Alex (KOSTI & KOBA) bertukar-tukar cenderahati dan penghargaan bersama Sdr. Alias (Pengerusi, KBTBB).

Sdr. Ikhwan (Basikal Malaya) juga menerima penghargaan atas usahanya memertabatkan basikal tua daripada Sdr. Alex yang mewakili KOSTI dan KOBA.

Menerima lencana penghargaan daripada KOBA sebagai tanda persahabatan antara kedua kelab/komuniti (KBTBB - KOBA).

Sdr. Ikhwan (Basikal Malaya) juga menerima lencana penghargaan daripada Sdr. Alex wakil KOBA.

Ahad, 20 Disember 2009

Menghayati dan mendekati "Muzium Hidup" di Kampung Morten, Melaka

Kg. Morten yang terletak di tengah-tengah Bandaraya dan di pinggir Sungai Melaka dianggap sebagai "Muzium Hidup" kerana penduduknya masih mengekalkan warisan, senibina, cara hidup dan budaya sejak ianya dibuka pada tahun 1922. KBTBB sempat singgah membawa Sdr. Alex untuk bertandang di salah sebuah rumah warisan dan muzium yang dimiliki oleh Tuan Haji Ibrahim yang sering dilawati pelancong luar dan dalam negara. Kampung warisan yang mengambil bersempena nama seorang Inggeris yang bernama Joseph Frederik Morten yang pernah bertugas sebagai Pesuruhjaya Tanah Inggeris satu waktu dahulu kini dihuni oleh lebih 100 buah keluarga/rumah. Menurut sejarah awal kampung ini telah diterokai oleh Datuk Othman Md. Nor yang dahulunya nama kampung ini lebih dikenali sebagai Kampung Baru kerana kebanyakkan penduduknya berpindah dari Kampung Jawa.

Rumah warisan milik Tuan Haji Ibrahim menghimpunkan banyak koleksi antik seperti pakaian songket, perkakas dapur, katil, pinggan mangkuk, barang-barang hiasan dan sebagainya. Keunikkan senibina rumah yang ada di sini bercirikan senibina rumah Melaka dengan mengetengahkan identiti tradisonal yang dikekalkan originalitinya untuk ditatap oleh generasi akan datang. KBTBB sering membawa tetamu dan sahabat yang datang berkayuh untuk melihat sendiri bagaimana barang-barang lama dipulihara dan dipamerkan kepada pengunjungnya. Secara tidak langsung akan memberi idea dan cara untuk menghargai warisan bangsa yang tidak ternilai ini.

Rombongan KBTBB tiba di perkarangan rumah warisan milik Tuan Haji Ibrahim yang menghimpunkan banyak koleksi antik yang berharga.

Sdr. Sanim (NBT) mengiringi Sdr. Alex untuk sessi lawatan ke Kampung Morten.

Basikal tua disusun kemas di hadapan rumah Tuan Haji Ibrahim.

Melihat landskap dan hiasan bunga yang menghiasi rumah.

Pemilik rumah warisan, Tuan Haji Ibrahim begitu ramah memberikan penerangan dan berkongsi maklumat bersama pengunjung.

Pertemuan dua saudara antara dua negara pada sidang media (heheeee)...asalnya dua-dua dari Perkalongan tapi salah sorang dah berhijrah ke Malaysia.

Kenangan di Kampung Morten diabadikan dengan foto beramai-ramai.

5 Laksamana Melaka yang terbaharu bakal melestarikan dunia basikal tua pada 2010 dengan aksi "kesaktian" masing-masing.

Rabu, 16 Disember 2009

Lawatan ke Pasar Karat (pasar jualan antik) di Jonker Street, Melaka

Pasar Karat yang dibuka setiap hari Ahad pagi bermula seawal jam 7:00 pagi sehingga 12:00 tengahari sangat terkenal dan popular bagi "kaki dan kolektor antik". Pasar yang terletak di lorong kecil berhampiran Jonker Street menjadi tumpuan kolektor antik dari negeri Melaka, Johor, Singapura dan Kuala Lumpur. Pasar yang menjual pelbagai barangan antik seperti piring hitam, tembaga, porselin, pelita, buku-buku, perhiasan, permainan lama, uniform lama, jam, spare part basikal tua dan sebagainya menawarkannya dengan harga yang berpatutan dan murah. KBTBB sempat singgah membawa Sdr. Alex melihat dan meluangkan sedikit masa untuk memberi peluang kepada ahli-ahli membeli belah barangan antik untuk dijadikan koleksi masing-masing.

Kehadiran KBTBB di Pasar Karat mengamatkan suasana dengan memukau peniaga dan penggunjung dengan koleksi basikal tua masing-masing. Sempat juga beberapa peniaga antik mahu menawarkan basikal tua milik ahli-ahli KBTBB untuk di beli sebagai koleksi mereka. Walaupun matahari sudah mula memanah namun kerana asyik melihat barang antik kepanasannya sudah tidak lagi dirasa. Selesai membeli-belah ahli-ahli rombongan bergerak meninggalkan pasar tersebut untuk menuju pulang ke Batu Berendam sebelum singgah ke Kg. Morten untuk melihat Rumah Warisan Melaka milik Tuan Haji Ibrahim.

Sdr. Alex tidak melepaskan peluang melihat barang-barang antik yang dijual peniaga di pasar karat.

Barang-barang kaca nie macam mana pulak nak bawak balik naik basikal...moralnya kalau datang sini bawak troli bubuh dalam kereta.

Mr. GB dan Sdr. Alex sedang khusyuk melihat kereta tolak buatan England yang ditawarkan dengan harga yang murah...masalahnya macam mana nak angkut bawak balik beb?

Wahhh...Saddle Hercules dan Brooks pun ada dijual...murah pulak tuuu...kalau dah murah tunggu apa lagie...sapu jer lahhh.

Emmmm....macam menarik barang tu...takpe minggu depan aku datang bawak lori.

Lelong...lelong...loceng Lucas RM15.00 saper cepat dia dapat...1...2....3....aku punya.

Rombongan KBTBB bergerak meninggalkan Pasar Karat menuju ke Kg. Morten untuk melawat Rumah Warisan Melaka milik Tuan Haji Ibrahim.

Jalan ini basikal tua yang punya....KBTBB menuju ke Kg. Morten - Saksikan foto-foto seterusnya...layannnnnnn....

Jumaat, 11 Disember 2009

Acara Kayuhan Melaka - Jakarta : Lawatan ke Kota A Famosa (Yang Termasyur)

Tidak lengkap lawatan ke Bandaraya Warisan Dunia - Melaka sekiranya anda tidak mengunjungi Kota A Famosa yang bermaksud Yang Termasyur, kota yang terletak di Bandar Hilir ini hanya mengambil masa kira-kira 5 minit perjalanan dari Bangunan Merah. Kota paling bersejarah dan paling tua di Asia ini telah dibina oleh Portugis pada 1511 sebaik sahaja berjaya menawan Melaka. Sdr. Alex yang merupakan tetamu KBTBB telah di bawa dua kali melawat kota tersebut ketika lawatannya ke Melaka. Walaupun kota ini dianggap sudah biasa bagi segolongan kita namun masih ada lagi yang tidak mengetahui mengenai sejarah pembinaannya.

Kota yang dibina oleh Alfoso de Albuquerque ini telah mengambil masa 5 bulan untuk disiapkan. Ketika pembinaannya kota ini telah mengorbankan ramai buruh paksa dari keturunan Melayu akibat cuaca panas dan kebuluran. Kekuatan penentangan dan serangan orang-orang melayu ketika itu mengakibatkan Portugis terpaksa membina kota yang temboknya setebal 2.4 meter - 4.5 meter dan meletakkan 70 buah meriam untuk melindungi diri mereka. Siapa kata orang-orang Melayu lemah pada waktu itu? Sejarah membuktikkan walaupun kita pernah dijajah namun bangsa Melayu tetap hidup BERMARUAH memertahankan tanahairnya.

Hero jelajah Malaya iaitu Mr. GB berpose gile-gile bersama ahli-ahli KBTBB dan Sdr. Alex. Mr. GB sanggup datang memandu seorang dari Batu Gajah untuk bertemu Sdr. Alex di Melaka.

Otai Najif turut sama berkayuh bersama ahli-ahli yang lain. Ini merupakan kayuhan rasmi pertama beliau bersama KBTBB setelah masuk bergabung untuk mengukuhkan kedudukan KBTBB di Melaka.

Chegu Shaari (kiri) sudah mula menunjukkan "belangnya" untuk memperkasakan KBTBB dengan kepakarannya darisegi mentadbir dan membantu mengerakkan aktiviti-aktiviti untuk KBTBB.

Pak Hassan (Tukang) ahli senior yang tidak pernah ketinggalan mengikuti setiap acara kayuhan yang diadakan semenjak penubuhan KBTBB.

Adik Amira yang pertama kali turun berkayuh bersama KBTBB tidak melepaskan peluang menimba pengalaman dan pengetahuan mengenai basikal tua walaupun beliau seorang gadis (wanita).

Tugas "Marshall" dilaksanakan dengan berkesan oleh Sdr. Amran yang sentiasa menjaga keselamatan ahli-ahli rombongan ketika di jalan raya.

Naib Pengerusi KBTBB, Sdr. Jebat kini memikul tanggungjawab yang besar dan beliau telahpun berjaya memimpin dan membawa KBTBB menjadi kelab basikal tua yang bergerak paling aktif di Malaysia sepanjang tahun 2009.

Sdr. Hafiz yang merupakan hero KBTBB yang paling kacak ini seorang yang pendiam tetapi mempunyai minat paling mendalam terhadap basikal tua.

KBTBB kini memikul tugas yang berat seberat meriam yang Abang-abang Askar nie pikul untuk menyasarkan impian dan matlamat untuk memartabatkan basikal tua untuk generasi muda.

Pengerusi KBTBB yang berkarisma tinggi sentiasa teliti di dalam melaksanakan tugasnya. Beliau menjadi pemimpin yang dihormati kerana sentiasa berlaku adil dan saksama di dalam melaksanakan tugasnya.


KBTBB menuju ke Pasar Karat berhampiran Jonker Street untuk membeli-belah barang-barang antik - Nantikan foto-foto seterusnya.