Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Ahad, 20 Disember 2009

Menghayati dan mendekati "Muzium Hidup" di Kampung Morten, Melaka

Kg. Morten yang terletak di tengah-tengah Bandaraya dan di pinggir Sungai Melaka dianggap sebagai "Muzium Hidup" kerana penduduknya masih mengekalkan warisan, senibina, cara hidup dan budaya sejak ianya dibuka pada tahun 1922. KBTBB sempat singgah membawa Sdr. Alex untuk bertandang di salah sebuah rumah warisan dan muzium yang dimiliki oleh Tuan Haji Ibrahim yang sering dilawati pelancong luar dan dalam negara. Kampung warisan yang mengambil bersempena nama seorang Inggeris yang bernama Joseph Frederik Morten yang pernah bertugas sebagai Pesuruhjaya Tanah Inggeris satu waktu dahulu kini dihuni oleh lebih 100 buah keluarga/rumah. Menurut sejarah awal kampung ini telah diterokai oleh Datuk Othman Md. Nor yang dahulunya nama kampung ini lebih dikenali sebagai Kampung Baru kerana kebanyakkan penduduknya berpindah dari Kampung Jawa.

Rumah warisan milik Tuan Haji Ibrahim menghimpunkan banyak koleksi antik seperti pakaian songket, perkakas dapur, katil, pinggan mangkuk, barang-barang hiasan dan sebagainya. Keunikkan senibina rumah yang ada di sini bercirikan senibina rumah Melaka dengan mengetengahkan identiti tradisonal yang dikekalkan originalitinya untuk ditatap oleh generasi akan datang. KBTBB sering membawa tetamu dan sahabat yang datang berkayuh untuk melihat sendiri bagaimana barang-barang lama dipulihara dan dipamerkan kepada pengunjungnya. Secara tidak langsung akan memberi idea dan cara untuk menghargai warisan bangsa yang tidak ternilai ini.

Rombongan KBTBB tiba di perkarangan rumah warisan milik Tuan Haji Ibrahim yang menghimpunkan banyak koleksi antik yang berharga.

Sdr. Sanim (NBT) mengiringi Sdr. Alex untuk sessi lawatan ke Kampung Morten.

Basikal tua disusun kemas di hadapan rumah Tuan Haji Ibrahim.

Melihat landskap dan hiasan bunga yang menghiasi rumah.

Pemilik rumah warisan, Tuan Haji Ibrahim begitu ramah memberikan penerangan dan berkongsi maklumat bersama pengunjung.

Pertemuan dua saudara antara dua negara pada sidang media (heheeee)...asalnya dua-dua dari Perkalongan tapi salah sorang dah berhijrah ke Malaysia.

Kenangan di Kampung Morten diabadikan dengan foto beramai-ramai.

5 Laksamana Melaka yang terbaharu bakal melestarikan dunia basikal tua pada 2010 dengan aksi "kesaktian" masing-masing.

Rabu, 16 Disember 2009

Lawatan ke Pasar Karat (pasar jualan antik) di Jonker Street, Melaka

Pasar Karat yang dibuka setiap hari Ahad pagi bermula seawal jam 7:00 pagi sehingga 12:00 tengahari sangat terkenal dan popular bagi "kaki dan kolektor antik". Pasar yang terletak di lorong kecil berhampiran Jonker Street menjadi tumpuan kolektor antik dari negeri Melaka, Johor, Singapura dan Kuala Lumpur. Pasar yang menjual pelbagai barangan antik seperti piring hitam, tembaga, porselin, pelita, buku-buku, perhiasan, permainan lama, uniform lama, jam, spare part basikal tua dan sebagainya menawarkannya dengan harga yang berpatutan dan murah. KBTBB sempat singgah membawa Sdr. Alex melihat dan meluangkan sedikit masa untuk memberi peluang kepada ahli-ahli membeli belah barangan antik untuk dijadikan koleksi masing-masing.

Kehadiran KBTBB di Pasar Karat mengamatkan suasana dengan memukau peniaga dan penggunjung dengan koleksi basikal tua masing-masing. Sempat juga beberapa peniaga antik mahu menawarkan basikal tua milik ahli-ahli KBTBB untuk di beli sebagai koleksi mereka. Walaupun matahari sudah mula memanah namun kerana asyik melihat barang antik kepanasannya sudah tidak lagi dirasa. Selesai membeli-belah ahli-ahli rombongan bergerak meninggalkan pasar tersebut untuk menuju pulang ke Batu Berendam sebelum singgah ke Kg. Morten untuk melihat Rumah Warisan Melaka milik Tuan Haji Ibrahim.

Sdr. Alex tidak melepaskan peluang melihat barang-barang antik yang dijual peniaga di pasar karat.

Barang-barang kaca nie macam mana pulak nak bawak balik naik basikal...moralnya kalau datang sini bawak troli bubuh dalam kereta.

Mr. GB dan Sdr. Alex sedang khusyuk melihat kereta tolak buatan England yang ditawarkan dengan harga yang murah...masalahnya macam mana nak angkut bawak balik beb?

Wahhh...Saddle Hercules dan Brooks pun ada dijual...murah pulak tuuu...kalau dah murah tunggu apa lagie...sapu jer lahhh.

Emmmm....macam menarik barang tu...takpe minggu depan aku datang bawak lori.

Lelong...lelong...loceng Lucas RM15.00 saper cepat dia dapat...1...2....3....aku punya.

Rombongan KBTBB bergerak meninggalkan Pasar Karat menuju ke Kg. Morten untuk melawat Rumah Warisan Melaka milik Tuan Haji Ibrahim.

Jalan ini basikal tua yang punya....KBTBB menuju ke Kg. Morten - Saksikan foto-foto seterusnya...layannnnnnn....

Jumaat, 11 Disember 2009

Acara Kayuhan Melaka - Jakarta : Lawatan ke Kota A Famosa (Yang Termasyur)

Tidak lengkap lawatan ke Bandaraya Warisan Dunia - Melaka sekiranya anda tidak mengunjungi Kota A Famosa yang bermaksud Yang Termasyur, kota yang terletak di Bandar Hilir ini hanya mengambil masa kira-kira 5 minit perjalanan dari Bangunan Merah. Kota paling bersejarah dan paling tua di Asia ini telah dibina oleh Portugis pada 1511 sebaik sahaja berjaya menawan Melaka. Sdr. Alex yang merupakan tetamu KBTBB telah di bawa dua kali melawat kota tersebut ketika lawatannya ke Melaka. Walaupun kota ini dianggap sudah biasa bagi segolongan kita namun masih ada lagi yang tidak mengetahui mengenai sejarah pembinaannya.

Kota yang dibina oleh Alfoso de Albuquerque ini telah mengambil masa 5 bulan untuk disiapkan. Ketika pembinaannya kota ini telah mengorbankan ramai buruh paksa dari keturunan Melayu akibat cuaca panas dan kebuluran. Kekuatan penentangan dan serangan orang-orang melayu ketika itu mengakibatkan Portugis terpaksa membina kota yang temboknya setebal 2.4 meter - 4.5 meter dan meletakkan 70 buah meriam untuk melindungi diri mereka. Siapa kata orang-orang Melayu lemah pada waktu itu? Sejarah membuktikkan walaupun kita pernah dijajah namun bangsa Melayu tetap hidup BERMARUAH memertahankan tanahairnya.

Hero jelajah Malaya iaitu Mr. GB berpose gile-gile bersama ahli-ahli KBTBB dan Sdr. Alex. Mr. GB sanggup datang memandu seorang dari Batu Gajah untuk bertemu Sdr. Alex di Melaka.

Otai Najif turut sama berkayuh bersama ahli-ahli yang lain. Ini merupakan kayuhan rasmi pertama beliau bersama KBTBB setelah masuk bergabung untuk mengukuhkan kedudukan KBTBB di Melaka.

Chegu Shaari (kiri) sudah mula menunjukkan "belangnya" untuk memperkasakan KBTBB dengan kepakarannya darisegi mentadbir dan membantu mengerakkan aktiviti-aktiviti untuk KBTBB.

Pak Hassan (Tukang) ahli senior yang tidak pernah ketinggalan mengikuti setiap acara kayuhan yang diadakan semenjak penubuhan KBTBB.

Adik Amira yang pertama kali turun berkayuh bersama KBTBB tidak melepaskan peluang menimba pengalaman dan pengetahuan mengenai basikal tua walaupun beliau seorang gadis (wanita).

Tugas "Marshall" dilaksanakan dengan berkesan oleh Sdr. Amran yang sentiasa menjaga keselamatan ahli-ahli rombongan ketika di jalan raya.

Naib Pengerusi KBTBB, Sdr. Jebat kini memikul tanggungjawab yang besar dan beliau telahpun berjaya memimpin dan membawa KBTBB menjadi kelab basikal tua yang bergerak paling aktif di Malaysia sepanjang tahun 2009.

Sdr. Hafiz yang merupakan hero KBTBB yang paling kacak ini seorang yang pendiam tetapi mempunyai minat paling mendalam terhadap basikal tua.

KBTBB kini memikul tugas yang berat seberat meriam yang Abang-abang Askar nie pikul untuk menyasarkan impian dan matlamat untuk memartabatkan basikal tua untuk generasi muda.

Pengerusi KBTBB yang berkarisma tinggi sentiasa teliti di dalam melaksanakan tugasnya. Beliau menjadi pemimpin yang dihormati kerana sentiasa berlaku adil dan saksama di dalam melaksanakan tugasnya.


KBTBB menuju ke Pasar Karat berhampiran Jonker Street untuk membeli-belah barang-barang antik - Nantikan foto-foto seterusnya.

Rabu, 9 Disember 2009

Acara Kayuhan Melaka - Jakarta membuka lebaran baru silaturahim 2 negara

Melaka - 6hb Disember 2009. Di bumi bertuah ini terpahat 1 lagi sejarah buat KBTBB apabila Sdr. Ichwan Alex Setiawan pengurus dari KOSTI (Komunitas Sepeda Tua Indonesia) dan juga pengurus KOBA (Komunitas Ontel Batavia) sudi hadir memeriahkan acara kayuhan pada pagi Ahad lalu sebagai tanda persahabatan antara Melaka dan Jakarta. Sdr. Alex yang diundang menjadi tetamu istimewa bagi Sdr. Sanim (NBT), Sdr. Ikhwan (BM) dan KBTBB telah disambut oleh Ketua Projek KBTBB iaitu Sdr. Ikhwan dan isterinya (Puan Azwa) di LCCT pada Jumaat yang lalu dan di bawa menginap di sebuah resort di Port Dickson. Kehadiran Sdr. Alex di Batu Berendam secara tidak langsung telah menyuntik semangat KBTBB untuk terus aktif mempromosi dan memertabatkan basikal tua di Melaka. Beliau yang tampil berpakaian tradisional Bali ini sebenarnya seorang yang sarat dengan idea dan pengalaman serta berpengetahuan luas mengenai basikal tua di negaranya.


Sehari sebelumnya Sdr. Alex yang ditemani isterinya (Puan Yuli) dan anaknya (Rea) diiringi Sdr. Ikhwan dan isteri (Puan Azwa) sempat menghadiri Majlis Perkahwinan Sdr. Sanim di Semabok, Melaka. Sdr. Alex yang pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia kelihatan tidak kekok dan canggung bertemu sahabat-sahabat basikal tua di sini. Sesiapa yang bertemu beliau pasti akan tertawan dengan sikap dan rasa hormatnya kepada sesiapa sahaja. Justeru sesiapa yang mendekati beliau pasti merasa seolah-olah telah lama mengenali beliau kerana sifat hormat dan rendah dirinya itu. KBTBB berasa amat bertuah dengan kehadiran Sdr. Alex telah memberikan keyakinan dan semangat berganda untuk KBTBB terus mara ke hadapan.

Selesai sarapan pagi, satu sessi taklimat mengenai acara telah disampaikan oleh Sdr. Ikhwan (BM) diikuti dengan bacaan doa selamat daripada Chegu Shaari. Tepat jam 8:45 pagi rombongan KBTBB bertolak ke Bandaraya Melaka bersama Sdr. Alex dan rombongan. Paling manis kayuhan pada pagi Ahad lalu telah disertai lebih 30 peserta termasuk Mr. GB yang sanggup datang dari Batu Gajah, Perak dan Abg. Hamdan sekeluarga dari Labis, Johor. Kayuhan pada kali ini disertai 4 peserta wanita dan selebihnya peserta lelaki. Sepanjang perjalanan Sdr. Alex ditemani Sdr. Ikhwan dan Wawa sebagai jurupandu arah dan pemberi maklumat.

Rombongan KBTBB menuju ke Melaka melusuri Jalan Batu Berendam menuju ke pusat Bandaraya membawa tetamu dari Jakarta.

Sdr. Ikhwan (Basikal Malaya) sentiasa mengiringi Sdr. Alex disepanjang kayuhan dan memberikan banyak info dan maklumat kepada beliau.

Rombongan KBTBB sentiasa memastikan keselamatan ahli-ahlinya berada di tahap maksimum dan sentiasa berdisiplin serta berhati-hati sepanjang perjalanan.

Lampu merah. Berhenti sambil memastikan keaadaan basikal tua masing-masing berada di dalam keadaan baik dan tiada sebarang kerosakkan.

KBTBB tiba di Bangunan Merah iaitu di hadapan menara Jam Merah dan bersebelahannya terletak bangunan
Stadthuys yang telah di bina oleh orang Belanda sekitar 1650an.

Deretan basikal tua yang diletakkan di siar kaki di dataran Bangunan Merah menarik perhatian pelancong yang lalu lalang di situ.

Sdr. Alex begitu ramah dan mudah mesra dan sempat berkongsi ilmu bersama Adik Amira memberi tunjuk ajar mengenai basikal tua.

Haziq bersama adiknya Hazim datang dari Labis, Johor sanggup datang kerana minat kepada basikal tua dan telah merealisasikan hajat mereka untuk berkayuh bersama KBTBB di Melaka. Kayuhan pada kali ini mereka merupakan peserta termuda di kalangan ahli-ahli yang lain.

Group foto bersama Sdr. Alex sebagai kenang-kenangan yang bersejarah.

Sdr. Alex bersama orang-orang penting KBTBB - dari kiri Chegu Shaari, Hafiz, Ikhwan, Alex dan Abg Lias.

Sahabat baik - Sdr. Alex dan Sdr. Jebat bertukar budaya. Sdr. Jebat memakai tanjak milik Sdr. Alex sebagi simbolik mengenali budaya negara Indonesia.

Semua ahli rombongan mengangkat tangan sebagai tanda bersatu dan berjaya tiba di Bandaraya Melaka dengan selamat. Lokasi seterusnya di A Famosa...tungguuuuu...

Nantikan foto-foto seterusnya...Admin akan mengemaskini blog ini dengan foto-foto terbaharu. Sila kunjungi blog Wira-wiri Naik Sepeda untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai acara yang telah berlangsung sila klik di SINI.

Khamis, 19 November 2009

Jemputan Acara Kayuhan Silaturahim Melaka-Jakarta, 6hb Disember '09

KBTBB dengan sukacitanya ingin menjemput seluruh pencinta basikal tua tanahair untuk turut bersama-sama menjayakan satu Acara Kayuhan Silaturahim (persahabatan) bersama Sdr. Alex dari Jakarta (Indonesia) pada hari Ahad, 6hb Disember 2009, jam 8:30 pagi. Marilah kita bersama-sama membuka lembaran baru persahabatan di antara kedua negara yang berjiran agar hubungan yang baik dapat diteruskan dan dikekalkan bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan di rantau Nusantara. Sebagai rakan dan sahabat basikal tua/sepeda yang berpengkalan di tengah-tengah Semenanjung Malaysia, KBTBB ingin menjadi sahabat dan rakan strategik kepada semua pihak/kelab/individu/NGO untuk melestarikan basikal tua/sepeda ke peringkat antarabangsa.

Untuk makluman, Sdr. Alex merupakan seorang anak muda yang berjuang melestari dan menyebarkan "virus" basikal tua di negaranya. Beliau juga merupakan salah seorang yang bertanggungjawab mewujudkan blog basikal tua yang terkenal dan popular iaitu Wira-wiri Naik Sepeda (Wiwinaked) http://sepeda.wordpress.com . Bagi kebanyakkan blogger nama beliau tidak perlu diperkenalkan lagi kerana beliau sentiasa memberikan komentar dan menyokong komuniti basikal tua yang ada di Nusantara terutamanya Indonesia dan Malaysia. Kehadiran Sdr. Alex ke Malaysia adalah diatas undangan Sdr. Sanim (Nostalgia Basikal Tua) dan Sdr. Ikhwan (Basikal Malaya) untuk menghadiri Majlis Perkahwinan Sdr. Sanim yang akan berlangsung pada hari Sabtu, 5hb Disember 2009 di Melaka dan berlibur (melancong) ke Malaysia.

Peluang berkayuh dan berjumpa dengan beliau sememangnya tidak seharusnya dilepaskan oleh semua pihak untuk bersama-sama bertukar pendapat dan pengalaman serta pengetahuan mengenai basikal tua. KBTBB amat-amat berbesar hati untuk menerima kehadiran Sdr. Alex ke Batu Berendam, Melaka dan sudah tidak sabar untuk berkayuh bersama-sama dengan beliau. Maklumat dan aturcara kayuhan seperti di bawah. Sebarang pertanyaan silalah hubungi wakil KBTBB seperti yang tertera di blog ini.

Aturcara Acara Kayuhan pada
Ahad, 6hb Disember 2009:-


7:45 pagi
Persediaan (last check-up) dan sarapan pagi sponsored by KBTBB & Basikal Malaya
8:00 pagi
Berkumpul di Batu Berendam (pengkalan operasi KBTBB), Melaka untuk sessi taklimat perjalanan dan keselamatan.

8:30 pagi
Bertolak ke Bandaraya Warisan Dunia - Melaka.
9:15 pagi
Sarapan pagi dan berehat di Restoran (to be confirm)
9:15 pagi - 11:00 pagi
Melawat tempat-tempat bersejarah sekitar Bandaraya menaiki basikal masing-masing.

11:00 pagi - 12:00 t/hari
Singgah bershopping di Pasar Karat berhampiran Jonker Street.
12:00 t/hari
Kembali pulang ke Batu Berendam (pengkalan operasi KBTBB)
....


Sekian Untuk Makluman.

Basikal Tua...Warisan Generasi Muda
Admin KBTBB

Isnin, 9 November 2009

KBTBB menerima 15 keahlian baru dan mengsasarkan 50 keahlian berdaftar menjelang 2010

Batu Berendam - Ahad, 8hb November 2009 terpahat 1 lagi catatan sejarah manis buat KBTBB apabila menerima penyertaan ahli-ahli baru seramai 15 orang dari Batu Berendam. Penyerahan borang keahlian baru disampaikan oleh Sdr. Khalid dan Sdr. Najif (kiri) kepada Pengerusi KBTBB iaitu Sdr. Alias dan Sdr. Jebat (kanan) sambil disaksikan oleh Penaung KBTBB (Sdr. Zul). Upacara penyerahan yang diadakan secara ringkas ini dihadiri oleh barisan AJK KBTBB dan ahli-ahlinya serta ahli-ahli baru. 1 majlis suai-kenal untuk meraikan kemasukkan ahli-ahli baru ini telah diadakan oleh KBTBB sebagai 1 usaha mengukuh dan merapatkan silaturahim dikalangan ahli-ahlinya. Menurut Pengerusi KBTBB, kelab basikal tua yang berpengkalan di Batu Berendam ini meletakkan sasaran untuk mengumpulkan seramai 50 ahli berdaftar menjelang 2010.

Terkini keahlian KBTBB dimaklumkan telah berjumlah 42 orang dan hanya memerlukan 8 keahlian baru untuk mengenapkan angka 50. Menurut orang kuat KBTBB iaitu Sdr. Jebat, KBTBB sangat-sangat optimis dan yakin bahawa angka 50 itu bakal dicapai menjelang 2010. Manakala Penaung KBTBB iaitu Sdr. Zul pula berpendapat dengan adanya pertambahan ahli dari masa ke semasa akan memudahkan KBTBB untuk bergerak lebih progresif untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang akan dirancang dan dilaksanakan di masa hadapan. Beliau selaku Penaung KBTBB juga berjanji akan sentiasa membantu KBTBB dari semua sudut termasuk darisegi ekonomi/kewangan dan nasihat serta pandangan ke arah memajukan kelab basikal tua ini.

Bagi Sdr. Ikhwan (BM) pula beliau berpendapat bahawa sudah tiba masanya KBTBB berubah ke arah yang lebih progresif dan positif. Kemasukkan ahli-ahli baru yang menyertai KBTBB perlu diterima dengan sepenuh hati dan niat yang ikhlas. Beliau juga menegaskan bahawa KBTBB adalah sebuah kelab yang dinamik dan sentiasa mengutamakan kebajikan dan kepentingan semua ahli-ahlinya. Kunci utama kemajuan dan kestabilan KBTBB mengukuhkan kelab ini adalah kerana ahli-ahlinya yang bersatu-hati dan mempunyai minda yang matang dan terbuka. Beliau juga amat-amat berbesar hati dengan kemasukkan ahli-ahli baru yang sebenarnya mereka adalah kawan-kawan lama basikal tua yang tidak bergerak sebagai Kelab Basikal tetapi sebagai kumpulan sederhana dari Batu Berendam, Melaka.

Sebagai penutup Pengerusi KBTBB iaitu Sdr. Alias meminta ahli-ahlinya menjaga kepentingan dan nama baik KBTBB serta meminta mana-mana ahli yang mempunyai permasalahan menyelesaikan sebarang masalah di meja rundingan. Bagi beliau KBTBB mempunyai peraturan dan perlembagaan kelab yang perlu dipatuhi oleh semua ahli-ahlinya. Sdr. Alias juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan pandangan dan idea yang bernas sepanjang mesyuarat dan majlis ini berlangsung. Majlis disempurnakan dengan penerimaan borang kemasukkan ahli-ahli baru dan majlis jamuan makan malam yang telah ditaja oleh En. Zul iaitu Penaung KBTBB.

Sdr. Jebat mempengerusikan Mesyuarat khas KBTBB untuk memberikan penerangan dan menyelesaikan isu-isu berbangkit.

Penaung KBTBB iaitu Sdr. Zul menyampaikan ucapan dan pandangan beliau mengenai kemasukkan ahli-ahli baru ke KBTBB.

Kehadiran ahli-ahli baru untuk Majlis Penyerahan Borang dan sessi suai kenal disambut dengan penuh gembira oleh ahli-ahli KBTBB yang lain.

Sdr. Jebat kini diberi tanggungjawab yang lebih berat setelah mempamerkan prestasi dan komitmen yang tinggi membantu mentadbir dan memajukkan KBTBB. Beliau kini membantu Pengerusi setelah dilantik oleh ahli-ahli KBTBB menjadi Naib Pengerusi setelah jawatan itu dikosongkan baru-baru ini.

Sdr. Ikhwan (BM) tidak pernah jemu dan penat bersama KBTBB. Beliau sentiasa bersemangat memberikan nasihat dan pandangan serta bertindak mengetuai banyak projek-projek dan aktiviti-aktiviti untuk KBTBB. Terkini beliau akan merancang 1 lagi projek khas untuk KBTBB.

Seperti kelaziman setiap majlis KBTBB akan sentiasa ada jamuan makan. Alhamdulillah KBTBB dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah dan sentiasa mendapat tajaan dan sponsor. Untuk majlis kali ini jamuan makan ditaja oleh Sdr. Zul (Penaung KBTBB). Terima Kasih Daun Keladi...En. Zul.

Basikal Tua...Warisan Generasi Muda
Admin KBTBB