Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Isnin, 6 Julai 2009

Ketibaan Mr. GB di Batu Berendam diberi sambutan meriah oleh KBTBB

Ketibaan Mr. GB ke Batu Berendam pada malam Sabtu 4hb Julai yang lalu telah diberikan sambutan yang meriah, ceria dan mesra oleh ahli-ahli KBTBB. Mr. GB yang dalam rangka MISI menawan Malaysia dengan berbasikal tua telah sudi untuk singgah bermalam di Batu Berendam. Undangan ke KBTBB tersebut telah disampaikan kepada beliau melalui Sdr. Ikhwan yang menemui beliau di Kota, Negeri Sembilan pada hari Sabtu petang yang lalu. Tepat jam 10.00 malam beliau tiba menaiki basikal tua jenis Raleigh 28" di KBTBB setelah diiringi oleh Sdr. Jebat yang telah menunggu beliau di Cheng, Melaka.

Setibanya di KBTBB, Mr. GB di bawa ke Restoran Kak Maya Karin @ Kak Illa untuk makan malam bersama ahli-ahli KBTBB. Beliau yang kelihatan masih bertenaga sempat menceritakan pengalaman yang dilaluinya selama 3 hari berkayuh. Kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya untuk berbual dan bertukar-tukar pendapat bersama ahli-ahli KBTBB pada malam itu antaranya Sdr. Alias, Sdr. Jebat, Pak Hassan, dan ramai lagi.

Keesokkannya Mr. GB diajak untuk bersama-sama KBTBB meronda Melaka untuk sesi Fotografi bersama Majalah *****. Walaupun hujan turun dengan lebat pada pagi itu, namun KBTBB tetap meneruskan acara tersebut. "Panas terik kita sanggup kayuh basikal...inikan pulak hujan...hujan ker ...panass ker...kayuh tetap kayuh" kata Pak Hassan. "Apa nak risau kita ada pasukan "paramedik" dah sekarang...doktor Norman dan Abg Dick Tracy ada..." kata Pak Hassan lagi.

Mr. GB pula dengan seloroh berkata "Ini bukan hujan...ini salji". Kami semua teruja dengan adanya Mr. GB sewaktu kayuhan. Setelah banyak tempat dilalui dan selesai bergambar kami semua pulang ke Batu Berendam. Di BB kami minum petang dan berbual-bual lagi dan sebelah malamnya untuk sesi perpisahan. Hari ini Mr. GB meneruskan perjalanan jelajahnya ke utara dan khabarnya sudah melepasi Jasin menuju ke Simpang Rengam. Selamat jalan dan semoga berjaya Mr. GB. Blog KBTBB sentiasa menunggu "update" perjalanan dari Mr. GB. - Admin KBTBB

Isnin, 29 Jun 2009

KBTBB dan blog BM (Basikal Malaya) terus bekerjasama melestarikan basikal tua

Pengerusi KBTBB, Sdr. Alias Omar menyampaikan cenderahati kepada Bloger Basikal Malaya, Sdr. Ikhwan atau lebih dikenali dengan nama Mykyocera sempena Majlis Sambutan Ulangtahun blog BM yang pertama sebagai menghargai usaha dan kerjasama beliau membangunkan KBTBB.

Kayuhan Nostalgia Malaya anjuran blog Basikal Malaya dan KBTBB tiba di Kg. Portugis mendapat sambutan penduduk setempat.

Ahli-ahli KBTBB yang sentiasa bersemangat dan ceria di sepanjang acara berlangsung dengan 1 Tujuan iaitu memartabatkan basikal tua.

Warisan yang diperjuangkan demi agama, bangsa dan negara. Basikal tua KBTBB kini dipersada Negara dan Nusantara.
--
Pasangan suami & isteri yang dikagumi iaitu Ikhwan & Azwa (kedua-duanya anak kelahiran Melaka), demi hobi mereka mencurah bakti dan memasyurkan negeri Melaka. Tak kenal maka tak cinta, itulah keunikannya pasangan ini.
--

Puan Azwa melayan para peserta menjamu selera dengan menu makan yang enak dan lazat setelah penat berkayuh.

--

Sabtu, 20 Jun 2009

Jemputan Kayuhan Nostalgia Malaya sempena Ulang Tahun Pertama Blog Basikal Malaya

Salam sejahtera buat semua,
Di kesempatan ini KBTBB dan semua ahli-ahlinya ingin mengucapkan TAHNIAH kepada Sdr. Mykyocera (Ikhwan) kerana telah berjaya menerbitkan blog Basikal Malaya dan Selamat Menyambut Ulang Tahun Pertama...semoga blog BM lebih mantap dan terus sukses serta berjaya di masa hadapan.
...
Sebagai menghargai sokongan semua pihak terhadap blog beliau, KBTBB ingin memanjangkan undangan blog Basikal Malaya untuk menjemput semua sahabat-sahabat basikal tua untuk menyertai acara Kayuhan yang bertemakan "Nostalgia Malaya" dengan berpakaian ala-ala 40an - 60an. Blog Basikal Malaya dikhabarkan akan memilih basikal dan pakaian terbaik.
...
Acara tersebut akan diadakan pada hari Sabtu, 27hb Jun 2009 bermula jam 4:00 petang bertempat di Bengkel KBTBB dan akan berkayuh ke Bandar Melaka menuju ke Masjid Terapung di Bandar Hilir. Pada sebelah malamnya pula akan diadakan Majlis jamuan makan dan penyampaian hadiah untuk basikal dan pakaian terbaik bagi mereka yang menyertai acara pada hari tersebut.
...
Semua sahabat-sahabat basikal tua di Malaysia dan Nusantara dijemput untuk hadir untuk memeriahkan acara sambutan Ulang Tahun blog Basikal Malaya yang PERTAMA. Jumpa anda di sana! Admin KBTBB.
...
Untuk maklumat lanjut sila layari
...
Alamat KBTBB
Bengkel & Galeri KBTBB, 2743, Jalan Solok Pantai,
Bt. 4, Batu Berendam 75350 Melaka.
...
Hubungi kami
Pengerusi - Sdr. Alias 012-391 5613
Naib Pengerusi - Sdr. Aslizan 012 3161 785
Perhubungan Awam & Keahlian - Sdr. Jebat 017-639 7119
Media, Publisiti & Komunikasi - Sdr. Ikhwan 012-934 3953
....

Isnin, 8 Jun 2009

Satu lagi kejayaan untuk acara kayuhan Bumi Biru anjuran KBTBB

Apa yang penting BEKERJASAMA!

Bersama BIRUkan BUMI Melaka yang tercinta


Misi kami terlaksana!
...
Batu Berendam, Melaka - 7 Jun 2009 yang lalu terlakar lagi satu cacatan sejarah untuk KBTBB kerana telah berjaya menganjurkan Acara Kayuhan Bumi Biru untuk ahli-ahlinya. Ternyata kayuhan kali ini mengamit penyertaan di kalangan ahli-ahli wanita yang bertambah menjadi 6 orang kesemuanya termasuk Puan Azwa (isteri kepada Sdr. Ikhwan) dan salah seorang dari ahli wanita tersebut berketurunan cina iaitu Puan Dorin. Kayuhan ini juga telah disertai oleh seorang ahli baru kami iaitu Dr. Norman yang mempunyai Kliniknya di sini. Justeru kami di KBTBB sebulat suara melantik beliau sebagai Doktor Panel bagi KBTBB dan bertanggungjawab memastikan kesihatan ahli-ahli berada ditahap yang cergas dan sihat.
...
Bermula jam 7:00 pagi semua ahli-ahli KBTBB telah mula berkumpul di hadapan bengkel & galeri KBTBB. Kehadiran Saudara Ajid & isterinya dari Johor Baharu telah menceriakan suasana pagi itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran Saudara Sanim yang baru pulang bercuti dari Sabah. Sudah pasti orang yang paling merindui beliau ialah Pak Hassan (Tukang) dan ternyata rasa tersebut tidak dapat disorok apabila mereka saling berpelukan (macam jejak kasih daaa). Tidak lama kemudian Pak Hassan pula tiba bersama Raleigh Sportnya, "Saper mulut kurang hajar kata aku pakai barang cina tu?" tanya Pak Hassan. "Kau sampaikan salam kenal aku kat dia, kalau nak tengok barang England mari sini (Bt. Berendam) aku tunjukkan, dah lama hidup ke diorang tu?" tambahnya lagi. Kami semua ketawa dan gelihati dengan gelagatnya yang berseloroh pada pagi itu. "Itu perangai budak tak sekolah tinggi Pak Hassan, dia tahu main barang jer kot, kayuh basikal ntah tau ntah tidak, nampak sangat diorg tu JAHIL pasal basikal!", kata Jebat. Kami semua ketawa terbahak-bahak dan Ajid pun tersenyum simpul malu-malu melihat reaksi kami.
......
Disebabkan diawal paginya hujan telah turun dengan lebat maka ada di kalangan ahli-ahli yang terlajak tidur justeru kami terpaksa menunggu ahli-ahli yang lewat tiba. Bagi kami ianya merupakan hujan RAHMAT kerana pada malam Sabtu kami telah berjaya membawa KBTBB dikenali satu Malaysia. "2 juta orang (penonton) saksikan kita di Majalah 3 malam tadi korang tau tak?" kata Saudara Ikhwan. "Telefon aku tak henti-henti terima call dan SMS ucap tahniah kat aku dan KBTBB... aku tidur pukul 2 pagi, weyyy mana diorang nie?", tambah beliau lagi. Tepat jam 8.00 pagi rombongan kami mula berangkat mengayuh basikal ke Bandar Melaka. Sebelum sampai ke persimpangan menuju ke bandar kami sempat singgah di sebuah restoran milik keluarga salah seorang daripada ahli KBTBB iaitu Saudara Eddie. Menurut Saudara Eddie restoran ini adalah milik datuknya yang dahulu pernah aktif di dalam hobi basikal ini dan difahamkan pernah menyimpan banyak koleksi-koleksi basikal tua dan barangan antik. Masih terdapat beberapa basikal tua, basikal posmen dan barangan antik di restoran tersebut yang menjadi tarikan penggunjung singgah ke sana.
....
Selesai minum teh tarik dan makan roti canai, perjalanan di teruskan melalui Jalan Peringgit merentasi Bukit China dan seterusnya menuju ke Majestic Hotel yang terletak di tebing Sungai Melaka berhadapan Kg. Morten. 20 minit berkayuh kami tiba di lokasi (CP1) iaitu Majestic Hotel yang merupakan salah satu hotel tertua di Melaka kira-kira jam 9.45 pagi. Kami berhenti berehat di tepi Sungai Melaka sambil membuat pemeriksaan terhadap kondisi basikal masing-masing. 15 minit kemudian perjalanan diteruskan dengan menyusuri laluan pejalan kaki di tepi tebing Sungai Melaka menuju ke Jalan Kampung Hulu. Kami melewati Masjid Kampung Hulu dan terus menuju ke Persimpangan Padang Nyiru (CP2).
...
Tepat jam 10.30 pagi kami kami tiba di CP2 iaitu Persimpangan Padang Nyiru. Ketibaan kami di CP2 sedikit menghampakan kerana ketiadaan burung merpati yang selalunya banyak berkumpul di situ. "Patutlah takde, diorang baru mesin rumput kat sini, bising kot...semua burung dah lari" kata Saudara Jebat. Walaupun tiada burung di situ kami tetap tidak melepaskan sessi bergambar beramai-ramai. 15 minit selepas itu kami mudik menongkah arus menuju semula ke tebing Sungai Melaka untuk menuju ke kawasan Bangunan Merah. Untuk melalui lorong pejalan kaki di tepi tebing sungai kami terpaksa mengangkat basikal masing-masing melalui tangga yang disediakan.
...
Pengalaman menyusuri Sungai Melaka melalui laluan tersebut ternyata menyeronokan kerana tiada kenderaan dibenarkan melalui lorong tersebut dan hanya dilewati beberapa pelancong pada pagi tersebut. Pemandangan indah Sungai Melaka dapat dihayati bersama ahli KBTBB sambil mengayuh basikal tanpa ada halangan. "Wahhh...bestlah bang lalu kat sini...line clear habis...tepi sungai pulak tu" kata salah seorang ahli KBTBB. Bot-bot pelancong yang lalu lalang sentiasa membunyikan hon apabila melihat kami dan kelihatan juga penumpang-penumpangnya turut melambai-lambaikan tangan ke arah kami.
...
Di hujung lorong pejalan kaki dengan berlatarbelakangkan Bangunan Merah, kami sempat bergambar di tepi Sungai Melaka beramai2 sambil berteriak "Apa yang penting?!..KERJASAMA!" laungan sebanyak 3 kali itu membuktikan bahawa KBTBB telah berjaya menganjurkan acara kayuhan Biru dengan adanya KERJASAMA berpasukan dan latihan bersama untuk merealisasikan sesuatu MISI atau ACARA.
...
Seterusnya kami berhenti berehat di hadapan kincir angin ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka (CP3) berhampiran Bangunan Merah dan deretan basikal tua KBTBB menjadi tarikan pelancong yang lalu lalang di situ. Sedang asyik berehat dan berbual-bual di situ tiba-tiba kami si tegur oleh seorang peminat basikal tua yang kebetulan berada di situ. Beliau ialah Sdr. Karim dari Muar, Johor. "Wahhhh...Tahniah...Tahniah semua! Malam tadi saya tengok anda semua di Majalah 3 memang hebat! Baguslah ada usaha sebegini...bagi basikal tua hidup kembali" katanya. Ternyata minat mendalam Sdr. Karim terhadap basikal tua dikongsi bersama ahli-ahli KBTBB, beliau tidak lokek memberitahu kami "lubok" dan kedai-kedai basikal lama yang masih beroperasi dan menjual barangan spare-part di Johor.
...
"Kalau nak datang Muar, telefon saya... nanti saya bawa saudara berjumpa kolektor dan kedai-kedai basikal di sana". Tambah beliau lagi. Walaupun pertemuan yang singkat ternyata banyak informasi yang dapat dikongsi bersama beliau. Terima kasih kami ucapkan kepada Sdr. Karim dan kalau datang Melaka lagi jemputlah singgah ke Bt. Berendam. Dari CP3 kami mudik semula menyelusuri ke "Pasar Karat" yang terletak di lorong berhampiran Jonker Street yang menjadi persinggahan seterusnya. Disebabkan rombongan kami tiba agak lewat di sana kira-kira jam 11:15 kebanyakkan penjual sudahpun mengemas barangan mereka, antara barang2 yang menarik dijual di sana ialah alat-alat ganti basikal tua, lampu porcelin, barangan tembaga, botol2 antik, pakaian askar, topi besi, dan macam-macam barangan antik yang dijual dengan harga yang berpatutan.
...
Selesai membeli belah kami meneruskan perjalanan ke Rumah Warisan di Kg. Morten iaitu di kediaman Tuan Haji Ibrahim (CP4) yang pernah kami kunjungi pada kayuhan "Jom Ronda Melaka" yang lalu. Ketibaan kami disambut mesra oleh Tuan Haji Ibrahim dan isterinya. "Ohhh...kamu semua nie yang keluar TV3 malam tadikan? Mana budak yang kayuh basikal suami-isteri tu?! Wahhh baguslah kamu semua nie." kata beliau. "Nie haaa diorang tu", kata Jebat. "Dulu datang tak ramai, sekarang dah ramai betul kamu semua yer...kalau macam nie..saya pun nak ikut sekalilah lain kali...", tambah Tuan Haji Ibrahim.
...
bersambung lagie....
...
Untuk melihat foto-foto menarik sila KLIK DI SINI foto-foto telah dirakam oleh Sdr. Ikhwan
....
Alamat KBTBB
Bengkel & Galeri KBTBB, 2743, Jalan Solok Pantai, Bt. 4, Batu Berendam 75350 Melaka.
...
Telefon
Pengerusi - Sdr. Alias 012-391 5613
Naib Pengerusi - Sdr. Aslizan 012 3161 785
Perhubungan Awam & Keahlian - Sdr. Jebat 017-639 7119
Media, Publisiti & Komunikasi - Sdr. Ikhwan 012-934 3953
....


Selasa, 26 Mei 2009

JEMPUTAN: Kayuhan Bumi Biru sempena Pesta Sungai Melaka pada 7hb Jun 2009 jam 7:30 pagi

KBTBB dengan sukacitanya ingin menjemput rakan-rakan basikal tua yang berminat untuk menyertai satu acara kayuhan bertemakan "Bumi Biru" pada Ahad, 7hb Jun 2009 pada jam 7:30 pagi bermula di Batu Berendam, Melaka. Bersempena dengan cuti sekolah dan Pesta Sungai Melaka 2009, KBTBB telah merancang untuk mengadakan kayuhan menyelusuri Sungai Melaka melalui laluan pejalan kaki di tebing sungai tersebut bermula di sekitar Kg. Morten dan akan berakhir di Bangunan Merah.

Menariknya kayuhan anjuran KBTBB kali ini dilakukan di waktu pagi bermula jam 7:30 pagi. Kayuhan pada waktu pagi akan memberikan lebih keselesaan dan kesegaran kepada semua peserta yang berkayuh. Sebagai tanda simbolik dan sokongan cintakan "Sungai" peserta yang ingin turut serta digalakkan memakai baju T berwarna biru. Pastinya kayuhan kali ini akan memberikan satu lagi "kelainan" pengalaman berkayuh dengan mesej "Bumi Biru" untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya memulihara dan menjaga "sungai" untuk kepentingan bersama. Maklumat dan info selanjutnya akan diumumkan kelak - Admin KBTBB
...

Jumaat, 22 Mei 2009

Saksikan Kemunculan KBTBB di Majalah 3 pada Sabtu, 06.06.2009 - 9:00 mlm

Ada ucapan buat semua peminat basikal tua di Malaysia terutamanya untuk ahli-ahli KBTBB daripada Majalah 3. Jangan Luper baca yer.
Berita terkini dari KBTBB - Melaka, kira-kira pukul 3:30 petang semalam KBTBB telah berjaya mengadakan satu pengambaran bersama pengacara, krew dan penerbit Majalah 3 mengenai basikal tua. Alhamdulillah seperti yang dijanjikan Nurul Syuhada dan penerbit Majalah 3 Mazlin Nordin telah sampai tepat jam 3 di Batu Berendam. Pengambaran Majalah 3 kali ini dijangkakan akan memberikan sedikit kelainan darisegi persembahannya dengan visual dan laporan pengacara di lokasi sebenar. Pada hari tersebut, ahli-ahli KBTBB yang telah bersedia sejak dari tengahari telah menyambut kedatangan mereka di bengkel KBTBB dengan suasana gembira dan ceria.

Pengambaran tersebut telah berjalan dengan lancar dengan bantuan dan kerjasama daripada ahli-ahli KBTBB yang begitu komited dan mesra menjadikan pengambaran tersebut lebih menarik dengan aksi-aksi spontan. Satu lagi kenangan dan sejarah manis buat KBTBB. Menurut cerita dari Batu Berendam malam tadi, "Diorang (otai-otai) tidur malam tadi tak basuh tangan dan menggantung tangan mereka kerana bersalam dengan Nurul Syuhada :-)" kata Jebat. Paling penting nantikan kemunculan KBTBB di kaca televisyen anda pada hari Sabtu, 06-06-2009 jam 9.00 malam. - Admin KBTBB
Seperti yang dijanjikan untuk pengunjung setia blog KBTBB sila klik di SINI untuk melihat foto-foto semasa pengambaran bersama Majalah 3. Saksikan.

Isnin, 4 Mei 2009

Catatan perjalanan KBTBB untuk acara "Jom Ronda Melaka" pada 2hb Mei 2009

Sila Klik pautan untuk melihat Foto Album "Jom Ronda Melaka"


Salam Sejahtera dan Selamat Hari Pekerja buat semua sahabat tidak kira di mana anda berada.

Bersempena cuti panjang bersempena Hari Pekerja yang lalu KBTBB telah mengadakan satu acara kayuhan "Jom Ronda Melaka" pada hari Sabtu, 2hb Mei 2009 bermula dari Kg. Batu Berendam sehingga ke Kg. Morten. Bertemakan warna HIJAU sebagai simbolik cintakan alam sekitar dan anti-pemanasan global, ahli-ahli KBTBB telah memakai baju berwarna hijau sebagai tanda sokongan. Walau pun tidak ramai yang dapat menyertainya tetapi acara ini tetap meriah dan berlansung dengan jayanya. Berikut adalah catatan KBTBB sepanjang 24km perjalanan tersebut.

Check Point (CP)

CP1-Masjid Kampung Hulu, CP2-Bangunan Merah dan Jam Besar, CP3-Menara Taming Sari, C4-Muzium Perzim , C5-A Famosa dan Banda Hilir , C6-Kg. Morten

3:30 petang - Ahli-ahli KBTBB berkumpul di Warung de Kampung, Batu Berendam dan mendengar taklimat dari Ketua Projek.

3:35 petang - KBTBB bergerak menuju ke Check Point 1 (CP1) iaitu Masjid Kampung Hulu yang terletak berhampiran kawasan Jonker Street. Perjalanan menuju ke CP1 melalui Jalan Batu Berendam dan Jalan Peringgit. Sampai di persimpangan Hotel Ramada KBTBB menyelusuri Jalan Munsyi menuju ke Jonker Street. Jalan sedikit sesak kerana cuti panjang.

3:50 petang - Tiba di CP1 (Masjid Kampung Hulu ) dan KBTBB berehat sebentar sambil berfoto dihadapan Masjid tersebut dan meneruskan perjalanan menuju CP2 iaitu Bangunan Merah dan Jam Besar. KBTBB menyelusuri Jonker Walk dengan perlahan kerana laluan begitu sesak dengan kenderaan.

4:10 petang - Tiba di hadapan Bangunan Merah dan Jam Besar dan berehat sambil minum cendol mamak di tepi sungai Melaka. Di CP2 suasana sesak dengan pelancong asing dan seperti biasa basikal-basikal ahli KBTBB menjadi tumpuan lensa kamera. Sambil minum cendol KBTBB disajikan dengan persembahan dondang sayang dan demo permainan gasing oleh KekWa yang kebetulan membuat persembahan di situ.

4:50 petang - KBTBB sempat bergambar Persimpangan Padang Nyiru berhampiran Public Bank sebelum Bangunan Merah yang menjadi tempat burung-burung merpati berkumpul di sekeliling air pancut macam kat Europ. Selesai bergambar KBTBB terus menuju ke CP3 iaitu Menara Taming Sari.

5:00 petang - Tiba di perkarangan Menara Taming Sari (CP3). Kerana terlalu ramai orang dan pelancong di sana KBTBB terpaksa meletakkan basikal di pinggir CP3. Di CP3 KBTBB membuat pemeriksaan pada basikal masing-masing dan seperti biasa pomen KBTBB Sdr. Along sentiasa membantu membaiki kerosakkan dan masalah basikal dengan cepat dan cargas. Setelah selesai KBTBB menuju ke CP4 iaitu Muzium Perzim yang terletak berhampiran A Famosa.

5: 20 petang - Tiba di Muzium Perzim (CP4) dan sempat bergambar di hadapan keretapi. Tanpa melengahkan masa KBTBB terus menuju ke CP5 iaitu A Famosa dan Banda Hilir iaitu tempat tumpuan utama pelancong di Melaka.

5:30 petang - KBTBB telah tiba di A Famosa dan Banda Hilir (CP5) dan berlegar sekeliling kawasan mencari "port" yang sesuai untuk berehat dan bergambar. KBTBB juga berkesempatan menghabiskan masa di Muzium Memorial Kemerdekaan yang terletak berhampiran A Famosa. Selesai bergambar dan berehat KBTBB terus menuju ke CP6 iaitu Kg. Morten yang menjadi CP terakhir acara "Jom Ronda Melaka". Perjalanan ke CP6 melalui Jalan Bunga Raya, Jalan Kg Jawa, Jalan Munsyi, Jalan Hang Tuah dan singgah sebentar di Up-Town Melaka untuk melihat suasana pinggir sungai Melaka.

6:00 petang - Berehat sebentar di restoran mamak di pinggir Jalan Hang Tuah pekena teh tarik sambil berbual dan bertukar-tukar pendapat mengenai perkembangan basikal tua di Malaysia. Selesai minum teh tarik KBTBB menuju ke Kg. Morten (CP6) dengan menyelusuri jalan yang bersebelahan sungai Melaka.

6:15 petang - Tiba CP terakhir iaitu di rumah warisan/muzium milik Hj. Ibrahim di Kg. Morten. Ahli-ahli KBTBB menghabiskan masa bertanyakan soalan-soalan mengenai koleksi antik dan hiasan serta rekabentuk rumah beliau. Hj. Ibrahim berhasrat untuk memiliki semula basikal BSA yang pernah dikayuh sewaktu zaman mudanya. Menurut beliau basikal BSA miliknya telah di"punah"kan oleh anaknya setelah beliau tidak menggunakannya lagi. KBTBB mengabadikan pengalaman dan kenangan dengan bergambar di hadapan rumah beliau.

6:45 petang - KBTBB beredar dan berkayuh pulang dari Kg. Morten menuju Warung de Kampung Batu Berendam untuk acara seterusnya iaitu jamuan makan malam dan DONDANG SAYANG - Live!.

7:25 malam - Tiba di Warung de Kampung Batu Berendam dan ahli-ahli KBTBB berehat sambil membersihkan badan dan solat Maghrib.

8:30 malam - Acara jamuan makan malam bermula dengan persembahan dondang sayang yang diketuai dan dipimpin oleh Pakcik Baharin yang pernah menjuari pentandingan Dondang Sayang peringkat nasional. Syahdunya muzik klasik dendangannya.

9:30 malam - Dondang Sayang dan joget lambak. Chewahhh...cak pung...cak punggg...

12:00 malam - Bersurai dan balik rumah sambil senyum sampai tertidur :)

KBTBB ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli-ahli yang terlibat terutamanya AJK KBTBB, Tuan Warung de Kampung, sponsor-sponsor dan tidak lupa kepada Sdr. Ikhwan yang sentiasa menyokong setiap aktiviti yang dianjurkan KBTBB. Bagi yang tidak dapat menyertai, Insyaallah KBTBB akan sentiasa meneruskan acara-acara seumpama ini di masa hadapan. Khabarnya sudah ada orang sudi sponsor "Dondang Sayang" dan jamuan makan untuk acara akan datang. Terima Kasih daun keladi..kalau boleh sponsor lagi - Admin KBTBB.

Untuk menyaksikan foto-foto menarik sila klik "Jom Ronda Melaka" - Foto-foto milik Sdr. Ikhwan dari blog BM. Hakcipta Terpelihara sebarang penerbitan semula harus mendapatkan kebenaran beliau.