Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Khamis, 29 Ogos 2013

Gabungan Basikal Tua Malaysia Meriahkan Sambutan Kemerdekaan Negara Ke 56 di Kuala Selangor

Sukacitanya dimaklumkan bahawa Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) telah menjemput Basikal Melaka bersama ahli-ahli Gabungan Basikal Tua Malaysia untuk hadir memeriahkan Acara Sambutan Kemerdekaan Ke 56 di Kuala Selangor pada Jumaat, 30 Ogos 2013. Justeru itu, kami amat berbesar hati sekiranya ada sahabat-sahabat basikal tua yang berada di sekitar Negeri Selangor untuk bersama-sama hadir memeriahkan acara tersebut.


Kepada sahabat-sahabat yang berminat untuk turut serta sila hubungi Ketua Projek Gabungan Basikal Tua Malaysia iaitu Sdr. Ikhwan Ibrahim di talian 019-3041106 untuk mendapatkan maklumat lanjut. Acara Perarakan Konvoi Basikal Tua akan bermula jam 4:00 petang mengelilingi Bandar Kuala Selangor dan akan bertemu penduduk-penduduk sekitar untuk mengedar dan menghebahkan risalah sebagai simbolik untuk Sambutan Kemerdekaan Negara ke 56 yang akan berlangsung di Padang Merdeka, Pekan Lama, Kuala Selangor.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Majlis Daerah Kuala Selangor terutamanya kepada Tuan Haji Muhamad Fathir Bin Baharudin selaku Penyelaras Program Sambutan Kemerdekaan kerana sudi menjemput kami untuk bersama-sama memeriahkan acara tersebut. Semoga kehadiran warisan basikal tua dapat mengembalikan nostalgia kemerdekaan khas buat penduduk setempat di Kuala Selangor.

Selasa, 9 Julai 2013

Pengambaran "Sinimotor" terbitan RTM (TV1) bersama basikal tua berlangsung meriah di Melaka


Tanggal 07.07.2013 akan terpahat sebagai satu lagi kenangan manis yang tidak mungkin dapat dilupakan buat 30 peserta yang hadir menjayakan pengambaran "Sinimotor" terbitan RTM (TV1). Diketuai oleh Ketua Projek Basikal Melaka iaitu Sdr. Ikhwan Ibrahim basikal tua sekali lagi bakal muncul di kaca televisyen untuk ditonton oleh masyarakat di TV1 pada November 2013. Pada Ahad yang lalu kira-kira jam 9:00 pagi Sdr. Azrie dari RTM hadir bersama 3 lagi krew untuk membuat pengambaran khas mengenai Basikal Melaka yang melestarikan warisan basikal tua di Melaka dan di Malaysia.

Basikal Melaka berasa sangat bertuah dan sangat berbesar hati dengan kehadiran ahli-ahli KSTM dan Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis bersama Sdr. Rahim & Sdr. Ajis yang sudi hadir dari Selangor semata-mata mahu ikut serta. Tidak lupa Sdr. Rizal dari Segamat, Zaini Bomba, Sdr. Jebat Melaka, Otai Ijan (Kuda Kayu), Sdr. Mazulli, Sdr. Ikhwan dan sahabat-sahabat sudi yang hadir. Pengambaran yang memakan masa lebih 4 jam di sekitar Bandaraya Melaka dan Kampung Morten pastinya akan memberikan pengalaman berharga kepada semua yang terlibat. Bagi Basikal Melaka penampilan basikal tua untuk TV1 kali ini ada sedikit kelainan darisegi persembahan dan penceritaan.

Sdr. Rizal melihat bagaimana 2 kamera "wide angle"yang dipasangkan pada basikal dan helmet bagi tujuan pengambaran oleh krew pengambaran.

Basikal Tua dikayuh merentasi Jonker Street bersama 30 peserta. Alhamdulillah kayuhan dapat dilakukan dengan lancar tanpa sebarang gangguan lalu-lintas.

Ini dia anatara sahabat-sahabat Basikal Melaka yang sentiasa hadir memastikan basikal tua terus dikayuh dan mewarnai warisan sejarah di Melaka.

Lihatlah bagaimana cerianya wajah Sdr. Rizal dapat mengayuh basikal dengan uniform Jepun yang sudah sinonim dengan penampilan unik beliau.

Generasi muda juga kini meminati hobi basikal tua dan boleh dikatakan disetiap acara yang dianjurkan generasi muda akan hadir memberikan sokongan.

Sdr. Zaini Bomba dan Otai Lim hadir beraksi dengan basikal kesayangan masing-masing.

Krew pengambaran mengunakan kenderaan pacuan 4 roda (4WD) untuk mendapatkan sudut rakaman yang terbaik.

Kehadiran Sdr. Ikhwan bukan sahaja sebagai Ketua Projek tetapi juga sebagai ketua yang memastikan laluan dan keselamatan peserta-peserta sentiasa di tahap maksimum.

Ini dia wirawati dari Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis yang hadir menyokong Basikal Melaka atas dasar persahabatan dan cintakan basikal tua.

Otai Ijan dah kelihatan macam ET atas helmet pun dah ada kamera...."koo adeer?"...

Jalan Bendahara merupakan laluan yang wajib bagi peserta-peserta kayuhan basikal tua apabila hadir ke Banda Hilir Melaka.

Peserta-peserta kayuhan mengabadikan memori sebagai kenang-kenangan berkayuh bersama dan menjayakan pengambaran "Sinimotor" RTM (TV1).

Seperti biasa...kalau basikal tua ada...maka akan adalah peminat yang datang menyerbu... bergambar sampai pengsan...inilah kemeriahan yang tidak dapat diperolehi di mana-mana selain Melaka :)

Abg Bomba dah kepenatan kerana kayuh basikal yang berat muatan... lain kali bawak basikal biasa kalau tak nak berat bang....habis dah nama pun basikal bomba... jangan marah yer...

Kalau sudah ke Melaka memang tidak lengkap kalau tak berkayuh ke Kampung Morten dan lokasi ini sangatlah sesuai bagi tujuan pengambaran.

Ini dia scene pergaduhan Wong Fei Hong dan Drunken Master di hadapan rumah Melaka berhampiran Sungai Melaka... dua-dua bergaduh tanpa ada pendarahan luaran.

Temubual bersama Sdr. Ikhwan mengenai aktiviti dan perancangan Basikal Melaka di masa hadapan.

Sebagai sebuah komuniti kecil Basikal Melaka sentiasa memikirkan langkah strategik untuk menarik lebih ramai generasi muda meminati basikal tua. Itulah usaha yang dilakukan.

Wakil wirawati Basikal Melaka menceritakan pengalaman berharganya menyertai banyak acara yang dianjurkan oleh Basikal Melaka...

Ini dia tentera Jepun (Sdr. Rizal) sedang menceritakan mengenai aksesori dan jenis-jenis basikal yang dimiliki ahli-ahli Basikal Melaka.

Pelakon utama dari Kelab Basikal Klasik jalan Khamis sedang berlatih dan menghayati watak... ternyata beliau memang boleh jadi "star" satu hari nanti :)
Salah satu babak - pertemuan hero utama berhadapan tentera Jepun yang baru masuk kampung cari anak dara...dan merampas radio.

Babak meminta pertolongan daripada Wong Fei Hong dan Drunken Master untuk mencari sesuatu....cerita penuh kena tengoklah rancangan "Sinimotor" beb :)

Selesai lah sudah pengambaran bersama TV1... tak tahulah lepas nie TV mana pulak lagi yekkk... Jaga-jaga....jangan maraaaah Che' Salmah :) Glamour youuu....

Jumaat, 14 Jun 2013

Basikal Melaka kembali beraksi menjayakan pengambaran "Sarapan" TV3 di Bandar Hilir

MELAKA - Pada 12 Jun 2013 (Rabu) yang lalu Basikal Melaka bersama Kelab Sepeda Tua Melaka telah bersama-sama menjayakan "shooting" untuk rancangan "Sarapan" terbitan TV3 di Bandar Hilir, Melaka. Pihak TV3 yang diwakili Cik Ain selaku Penerbit rancangan telah memberikan taklimat ringkas bersama Sdr. Ikhwan (Basikal Malaya). Tepat jam 4:00 petang pengambaran aktiviti basikal tua mula dijalankan dengan menggunakan 2 juru-kamera. Kehadiran peserta-peserta yang berpakaian klasik dengan mengayuh basikal tua membuatkan team/krew TV3 sangat teruja. 

Abg Kamera sedang memberikan arahan pengambaran kepada semua peserta-peserta basikal tua... Kayuhan kali ini disertai hampir 20 orang peserta dengan kehadiran 3 peserta wanita. Manakala geng2 lelaki pula menonjolkan pakaian "military" dan klasik.

Ready for take...3...2...1....action! Nampak sangat geng2 basikal dah lama tak kayuh...semua mcm dah tak balance...lutut pun dah karat... Bandar Hilir sekali lagi menyaksikan kebangkitan basikal tua Melaka  terus aktif dan masih bersemangat.

Sdr. Hisham pengacara rancangan Sarapan sedang menemubual Sdr. Ikhwan mengenai aktiviti dan perkembangan hobi basikal tua di Melaka.

Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat Basikal Melaka terutamanya Sdr. Ikhwan, Sdr. Jebat, Zaini Bomba, Kuda Kayu (Otai Ijan), Rizal San, Fadly UiTM, Sdr. Hafiz, Aboy KSTM dan anak-anak buah.

Ini dia otai-otai Basikal Melaka yang sentiasa padu memberikan sokongan... pantang ada kayuhan kalau dijemput insyaallah mereka akan hadir bersama-sama.

Abg Mazulli dan Sdr. Hisham mengabadikan kenangan mereka bersama basikal tua....turut kelihatan Sdr. Hafiz memakai songkok tinggi 1Malaysia beliau yang unik.
Abang-abang kamera yang sentiasa bersedia dan fokus merakamkan aksi-aksi basikal tua sekitar lokasi pengambaran.
Basikal tua tetap dikayuh walau apa pun yang terjadi... basikal kalau tak dikayuh lama2 berkarat... badan pun sakit-sakit sebab dah lama tak berpeluh...apa pun hati mau baik baru otak pun jadi baik...perangai pun ikut sekali jadi baik bro...

Basikal tua akhirnya berjaya menakluki kota A-Famosa... Biarpun kami semua berpakaian pelik namun lensa kamera tidak pernah berhenti berkelip setiap kali kami berada di sini.

Apa pun kami nak jerit kuat-kuat...."Hiduuuuup basikal tuaaaa....!" maka berakhirlah sessi pengambaran pada hari ini. Tunggu sahaja hari siaran rancangan ini beberapa minggu lagi pada hari Ahad, jam 9:00pagi di TV3. Saksikan SARAPAN!

Sabtu, 16 Mac 2013

80 Peserta Wakil Malaysia ke Bandoeng Laoetan Onthel III ke Indonesia pada 23-24 Mac 2013


Basikal Melaka bersama 80 peserta dari perwakilan kelab-kelab basikal tua dan pemilik basikal tua Malaysia akan terbang ke Bandung untuk mengikuti Acara Bandoeng Laoetan Onthel III yang akan berlangsung pada 23 & 24 Mac 2013. Acara 3 tahun sekali yang dianjurkan oleh Paguyuban Sapedah Baheula Bandoeng (PSBB) West Java Indonesia ini bakal menghimpunkan ribuan peminat basikal tua  di seluruh Indonesia dengan pelbagai acara yang menarik.

Sehingga kini lebih 6000 peserta telahpun mendaftar untuk hadir dan tidak mustahil angka 10,000 bakal dicatatkan pada BLO III 2013. Selain itu gerai jualan barang-barang basikal juga telah mencecah 300 gerai disamping beberapa acara dan simposium basikal tua yang pasti memberikan kelainan dan keunikan yang luar biasa kepada tetamu BLO.

Atas nama persahabatan serumpun - Basikal Melaka melalui Ketua Projek iaitu Sdr. Ikhwan Ibrahim telah dijemput untuk menghadiri acara BLO III yang bukan sahaja dihadiri oleh peserta seluruh Indonesia tetapi juga dari Malaysia, England, Perancis dan Belanda dengan membawa pakar-pakar basikal tua ternama seperti Mr. Alain Charles Albin Cuvier (France), Otto Beajoun (Nederland), Andre Koopmans (Nederland),Jos Rietveld (Nederland), Theo de Kogel and wife (Nederland), Colin Kirsch (U.K), Mr. Ralph A. Boreham (U.K). 

Untuk maklumat lanjut bolehlah layari 
http://blo2013psbb.wordpress.com/

Khamis, 3 Januari 2013

200 Peserta sertai Kayuhan Santai ke Bandar Diraja Klang pada 2.12.2012

Acara Kayuhan Santai ke Bandar Diraja Klang anjuran Port Swettenham Classic Bicycle (PSCB) yang telah berlangsung pada 2 Disember 2012 telah berjaya menarik penyertaan 200 peserta dari Johor, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak. Acara yang dianjurkan PSCB dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang dan Polis Di Raja Malaysia Cawangan Klang merupakan acara penutup basikal tua bagi tahun 2012 yang akan dikenang sebagai acara penutup yang terbaik.

Sekalung Tahniah buat PSCB yang diketuai Sdr. Along dan ahli-ahlinya kerana telah berusaha keras bagi memastikan acara Kayuhan Santai ini berjaya. Khabarnya pihak MPK berhasrat untuk menjadikan acara kayuhan ini sebagai acara tahunan di Klang kerana sambutan dan sokongan yang ditunjukan sangat-sangat menggalakan. Tahniah juga buat Kelab Sepeda Tua Melaka (KSTM) yang diketuai Sdr. Aboy kerana membawa rombongan basikal tua mewakili Melaka dengan sokongan padu dari Koplakers Malaya yang diketuai Sdr. Jebat bersama Sdr. Zaini, Lim, Tok Penghulu, Otai Izan, dan Sdr. Ikhwan & Isteri (dari Basikal Malaya).

Acara kayuhan mengelilingi Bandaraya Klang sejauh 16km diiringi MPK dan polis trafik. Apa yang menarik pada kali ini ialah penyertaan golongan muda dan kanak-kanak yang bertambah kerana acara tersebut jatuh pada hari cuti persekolahan. Peserta-peserta yang hadir ada yang membawa anak-anak mereka berkayuh bagi memupuk minat terhadap basikal tua. Turut hadir memeriahkan acara adalah peserta-peserta dari Kelab Basikal Klasik Muar, PECHAL, Kelab Basikal Tua Taman Putra (NS), Kelab Basikal Tua Jalan Khamis, Kelab Basikal Klasik Kg. Kundang, Kelab Sepeda Klasik Kinta dan lain-lain.

Selesai acara kayuhan peserta-peserta yang hadir dihidangkan dengan Nasi Lemak Sambal Kayu Api (NLSKA) yang ditaja oleh Along sekeluarga.Untuk makluman NLSKA yang dijual Sdr. Along adalah nasi lemak yang paling terkenal dan tersedap di Klang iaitu di daerah Pandamaran. Kalau tak percaya bolehlah mencubanya sendiri. Semoga selepas ini lebih banyak kelab-kelab basikal klasik/tua memberanikan diri untuk membuat acara kayuhan. Untuk itu TAHNIAH sekali lagi kami ucapakan kepada PSCB kerana sudi mengundang Basikal Melaka dan sekutunya untuk hadir ke acara tersebut. - Admin Basikal Melaka

Terukir senyuman... 2 peserta muda (aweksss) yang menceriakan acara Kayuhan Santai
...
Menarik... Otai Atai (kiri) dari Banting melihat Basikal Bomba milik Sdr. Zaini Melaka
...
Berehat sebentar... Rombongan peserta berhenti berehat di bangunan bersejarah di Bandaraya Klang

Puas Berkayuh... Adalah menjadi satu kerugian bagi mereka yang sengaja atau malas untuk hadir ke acara basikal... inilah kepuasan sebenar :)

Bergaya... Inilah tempatnya peserta ini mengekspresi dirinya... ada event/acara pakai macam nie barulah world class beb...di kiri tu Abg Ali Terra Rossa, Abg Adi (Polis Kundang) dan Otai Along taukey besau NLSKA dan Pengerusi PSCB
...
Bagus!... Ini macam barulah TERBAIK... Naib Yang Di Pertua MPK memberikan isyarat bagus sebagai tanda sokongan terhadap basikal tua. Turut hadir Sdr. Ikhwan (Basikal Malaya) dan pemilik basikal bomba iaitu Sdr. Zaini Melaka

Rapatkan barisan... Sebahagian peserta yang hadir menyokong acara yang dianjurkan PSCB... 

Kenangan... Acara Kayuhan Santai yang bakal dikenang sebagai acara penutup basikal tua di Malaysia pada tahun 2012...Tahniah PSCB!

Di mana ada basikal tua di situlah adalah penjual barang-barang basikal tua... murah dibeli...mahal ditengok aja yaa...
...

Isnin, 5 November 2012

Perhimpunan Basikal Klasik Terbesar (MBR 2012) bukti basikal tua masih bernilai


MELAKA 19 Sept. - Usaha segelintir peminat basikal tua di negara ini yang sanggup menghabiskan wang beribu ringgit demi hobi menyimpan barangan lapuk yang wujud sejak tahun 1890-an membuktikan ia mempunyai nilai tersendiri.

Basikal tua atau basikal klasik yang mampu mengembalikan nostalgia kepada 'orang lama' ini kini semakin diminati bukan sahaja di kalangan orang tua malah golongan muda dan remaja untuk memilikinya. Kegilaan para peminat dan pengumpul basikal klasik tua itu bukan sahaja kepada basikalnya tetapi barangan aksesori seperti lampu dinamo, loceng, beg buatan England dan aksesori lain yang semakin sukar ditemui. Memiliki basikal tua yang masih berfungsi dengan baik dan lengkap dengan pelbagai aksesori itu menjadi kebanggaan bagi pemiliknya kerana barangan klasik tersebut mempunyai pelbagai cerita menarik di sebaliknya.

Antaranya, ia pernah digunakan pemilik generasi terdahulu semasa zaman penjajahan Jepun dan Inggeris serta menjadi kenderaan utama kakitangan kerajaan pada zaman sebelum merdeka seperti polis, guru, tentera dan posmen dalam urusan kerja harian mereka. Usaha meneruskan legasi itu semakin berkembang dengan adanya pelbagai aktiviti yang dijalankan kelab-kelab basikal tua di seluruh negara untuk memperkenalkannya kepada orang ramai serta generasi masa kini yang mungkin tidak pernah melihat basikal tua.

Peminat basikal tua pelbagai kelab dari seluruh negara sering berkumpul untuk mengadakan aktiviti berbasikal serta pameran di kawasan-kawasan yang menjadi tarikan pelancong pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Jumlah peminatnya yang semakin ramai menjadikan hobi tersebut tambah menarik dan sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang berpeluang melihatnya dengan lebih dekat. Buktinya, baru-baru ini, seramai 460 peminat basikal tersebut telah berjaya dikumpulkan dalam Perhimpunan dan Perarakan Basikal Klasik Terbesar di negara ini.

Perhimpunan terbesar itu diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh dan mendapat pengiktirafan dalam dalam Malaysia Book of Records (MBR). Perhimpunan anjuran Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) dengan kerjasama pasar raya Mydin MITC itu berjaya mengumpulkan 20 buah kelab basikal tua dari seluruh negara. Lebih meriah, perhimpunan itu turut disertai seramai 25 peserta jemputan dari Pekan Baru, Riau, Indonesia.

Antara kelab yang terlibat termasuklah KBTBB; Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis; Kelab Basikal Klasik Kg. Kundang; Kelab Sepeda Tua Felda Chemplak; Kelab Sepeda Klasik Kinta dan Kelab Sepeda Tua Johor Bahru. Turut serta, Port Swettenham Classic Bicycle; Kelab Sepeda Tua Kota Tinggi; Kelab Basikal Tua Muar; Kelab Basikal Champion Melaka; Kelab Basikal Klasik Pulau Pinang; Kelab Basikal Adtec Batu Pahat dan Pemilik Basikal Klasik Muar.

Kebanyakan basikal tua yang berjaya dikumpulkan pada perhimpunan itu adalah buatan England sekitar tahun 1920-an hingga 1970-an daripada jenama terkenal seperti Raleigh, Hercules, Robinhood, Phillips, British Small Arms (BSA), Sunbeam, Triumph, New Hudson, Rudge dan sebagainya. Lebih menarik, para peserta perhimpunan hadir dengan penuh semangat dan memakai pakaian klasik bertemakan 'Perjuangan Kemerdekaan' serta menghiasi basikal mereka dengan Jalur Gemilang selain pelbagai aksesori mengikut kreativiti tersendiri.

Program itu turut dimeriahkan dengan pertandingan Basikal Beragam Terbaik, Pakaian Terbaik, Pengurusan Kelab Terbaik serta penghargaan kepada Peserta Paling Veteran dan Peserta Paling Muda. Program itu diadakan dalam usaha untuk menghargai para peminat basikal tua yang memperjuangkan nostalgia serta warisan klasik tersebut.

Acara bersejarah itu juga secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada semua peserta bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman menarik mengenai hobi tersebut.
Orang ramai dan masyarakat juga berpeluang mengenal dan melihat dengan lebih dekat koleksi basikal klasik pelbagai jenama yang pernah wujud di negara ini pada era sebelum dan selepas merdeka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20120920/ws_03/Perhimpunan-klasik-basikal-tua#ixzz2BJfdP5oH 

Untuk melihat liputan media yang lebih menyeluruh sila layari http://basikalmalaya.wordpress.com - ikhsan dari blog Basikal Malaya.