Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Selasa, 24 Mei 2011

Selamat Pengantin Baru khas buat Sdr. Hafiz dan pasangannya

KBTBB ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Sdr. Hafiz dan pasangannya yang telah melangsungkan perkahwinan mereka pada Ahad, 22 Mei 2011 yang lalu. KBTBB bersama lebih 20 orang ahlinya hadir untuk mengiringi pasangan mempelai bagi memeriahkan suasana Majlis Perkahwinan mereka yang berlangsung di Melaka. Walaupun cuaca panas pada hari tersebut namun demi meraikan ahlinya KBTBB tetap hadir bersama basikal tua masing-masing sebagai tanda penghargaan/hadiah terhadap pasangan pengantin dan keluarga mereka.

KBTBB hadir ke Majlis Perkahwinan Sdr. Hafiz sebagai tanda penghargaan/hadiah istimewa buat beliau dan pasangan.

Sessi berfoto bersama Pengantin - Sdr. Hafiz ceria bersama basikal tua...

Mengabadikan kenangan seumur hidup bersama sahabat-sahabat basikal tua yang sentiasa menghargai persahabatan...

Pengantin lelaki membuat kejutan dengan mengayuh basikal tua dalam upacara "berarak" dengan diiringi lebih 20 ahli KBTBB pada Majlis Perkahwinan beliau...

Paluan kompang mengamatkan suasana pada Majlis tersebut dengan berlatar-belakangkan bunyi loceng basikal tua...

Penuh klasik dan nostalgia - basikal tua tetap di hati... Semoga pasangan mempelai kekal bahagia sehingga ke akhir hayat mereka...


...

Selasa, 10 Mei 2011

Informasi dan Tentatif Program 4H3M Acara K2N II - 3-6 Jun 2011, Bandung, Indonesia

Pengenalan K2N II
Pada tahun ini (2011) KBTBB dan KOSTI buat kali kedua akan bergabung menganjurkan Acara K2N Kali Ke 2 di Bandung, Indonesia sebagai acara lawatan balas KBTBB ke Indonesia. Acara K2N Kali Ke 2 ini adalah bertujuan untuk mempererat dan memperkukuhkan lagi persahabatan Basikal Tua serumpun di antara dua negara. Melalui perkongsian pengetahuan, pengalaman, warisan, kebudayaan, lawatan, aktiviti, dan sebagainya, Acara K2N Kali Ke 2 ini diharap mampu menyuntik semangat baru dan menyatukan komuniti Basikal Tua di Nusantara di masa hadapan.

Selain daripada itu peserta dari Malaysia akan berpeluang berkayuh bersama lebih 1000 (seribu) peserta Basikal Tua dari Indonesia dan dijangka akan mendapat liputan meluas dari media massa Indonesia. Acara K2N Kali Ke 2 ini akan dirasmi oleh Wali Kota Bandung dan dihadiri oleh Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia.

Siaran akhbar Melaka Hari Ini di muka hadapan (front-page) mengenai promosi K2N II ke bandung Indonesia pada Isnin 9 Mei 2011 yang lalu.

KBTBB kini dalam sessi promosi K2N II kepada seluruh warga negeri Melaka untuk bersama-sama menyertai acara yang penuh prestij dan diiktiraf Kerajaan Negeri Melaka.

Tujuan/Objektif
Melestari dan memartabatkan warisan Basikal Tua untuk generasi akan datang di samping mempererat dan memperkukuhkan lagi persahabatan Basikal Tua serumpun di antara Malaysia dan Indonesia.

Tema Acara K2N Kali ke 2
Bertemakan "Warisan Basikal Tua Memperkukuh Persahabatan Serumpun" diharapkan acara yang dilaksanakan akan dapat mencapai objektif dan matlamatnya untuk memperkukuh dan mempereratkan persahabatan dan hubungan kedua-dua negara.

Tarikh / Masa / Tempat
Acara ini dijangka akan diadakan pada 3 hingga 6 Jun 2011 (4 hari 3 malam) di mana acara kemuncaknya adalah pada 4 dan 5 Jun 2011 (Sabtu & Ahad). Acara K2N II akan diadakan Kota Kembang Bandung, Indonesia - Acara Kemuncak (Acara Kayuhan bersama 1000 peserta Indonesia - Ahad, 5 Jun 2011) akan berlangsung di Jalan Merdeka, Bandung.

Persahabatan antara Malaysia dan Indonesia telah terjalin pada acara Bandung Lautan Ontel 2010 - Sdr. Ikhwan mewakili Malaysia menyampaikan cenderahati pada Wali Kota Jakarta Selatan.

Aktiviti-aktiviti / Program Utama
Antara aktivitti-aktiviti / program yang telah dirancang bersempena Acara K2N Kali Ke 2 adalah seperti berikut:

1. Mengadakan sesi lawatan sekitar Bandung dengan mengunjungi tempat-tempat bersejarah dan menarik seperti Gedung Sate, Muzium-muzium, Gua Jepun, Gua Belanda, Tangkuban Perahu dan sebagainya.

2. Majlis Perasmian Acara K2N Ke 2 oleh Wali Kota Bandung dan akan dihadiri oleh Kedutaan Besar Malaysia, peserta-peserta Alumni K2N (Pertama) dan tetamu jemputan.

3. Mengadakan Persembahan Kebudayaan dan bertukar-tukar cenderahati di antara perwakilan dari Malaysia dan Indonesia pada Malam Perasmian.

4. Mengadakan Acara Kayuhan 2 Negara (K2N) yang akan dihadiri oleh lebih 1000 ontelis (peminat Basikal Tua) Indonesia berkayuh bersama peserta-peserta dari Malaysia (sebagai acara kemuncak).

5. Mengadakan sidang akhbar dan sessi temubual serta publisiti untuk mempromosi dan mengangkat warisan Basikal Tua sebagai khazanah bernilai dan berharga bersama Media massa Indonesia.

Gedung Sate yang mejadi mercu-tanda Kota Kembang - Bandung, Indonesia


TENTATIF PROGRAM
ACARA KAYUHAN 2 NEGARA
KALI KE 2 (2011) 3-6 JUN 2011


HARI PERTAMA, JUMAAT - 3 JUN 2011

6:00 – 7:00 am
Pendaftaran - Peserta dari KBTBB berkumpul di LCCT
8:00 – 10:00 am
Perjalanan menaiki pesawat dari Malaysia menuju ke Jakarta, Indonesia menaiki Garuda Air
10:00 – 11:00 am
Tiba di Lapangan Terbang Soekarno Hatta Jakarta, Indonesia
11:00 – 1:00 pm
Menuju ke Bandung menaiki bas menuju ke Hotel dan check-in
1:00 – 2:15 pm
Solat Zohor dan makan tengahari
2:30 – 6:30 pm
Jalan-jalan cari barang basikal dan menemui kolektor-kolektor besar di sekitar Bandung
6:30 – 7:30 pm
Pulang ke Hotel. Solat maghrib dan makan malam
7:30 – 9:00 pm
Sessi Taklimat Acara K2N Kali Ke 2
9:00 pm
Rehat dan acara bebas
....
Pemandangan indah di Puncak Bandung, Indonesia yang mendamaikan

HARI KEDUA, SABTU - 4 JUN 2011

5:00 – 7:00 am
Wake-up Call dan Solat Subuh
7:00 – 8:00 am
Sarapan Pagi di Hotel
8:00 – 8:30 am
Perjalanan menuju Gedung Sate
8:30 – 10:00 am
Tiba di Gedung Sate dan sessi lawatan
10:00 – 12:30 am
Menuju ke Tangkuban Perahu untuk melihat aktiviti gunung berapi yang masih aktif
12:30 – 2:00 pm
Makan Tengahari dan Solat Zohor di Restoran Simpang Raya, Bandung
2:00 – 2:30 pm
Rombongan K2N menuju ke Jalan Dago
2:30 – 4:00 pm
Membeli cenderahati di sekitar Jalan Dago dan mencari barang-barang basikal
4:00 – 4:30 pm
Rombongan kembali ke hotel
4:30 – 6:00 pm
Solat Asar dan rehat
6:00 – 6:30 pm
Solat Maghrib. Rombongan KBTBB bersiap-siap menuju ke Saung Udjo untuk Acara Perasmian K2N Kali Ke 2.
6:30 – 7:00 pm
Kedatangan rombongan KBTBB dan alumni K2N Pertama dari Indonesia
7:00 – 7:15 pm
Kedatangan VVIP Wali Kota Bandung, Duta Besar Malaysia dan tamu undangan
7:15 – 7:25 pm
Ucapan dari Ketua Pelaksana / KOSTI mewakili Indonesia.
7:25 – 7:35 pm
Ucapan dari KBTBB mewakili Malaysia.
7:35 – 7:40 pm
Ucapan dari Wali Kota Jawa Barat
7:40 – 7:55 pm
Ucapan dari Duta Besar Malaysia di Indonesia.
7:55 – 8:00 pm
Majlis Perasmian Acara K2N Kali Ke 2 dengan membunyikan anglung bersama sama .
8:00 – 08:05 pm
Pembacaan doa
8:05 – 8:30 pm
Majlis Makan Malam dengan menu hidangan khas Sunda dengan diiringi musik khas Sunda
8:30 – 9:00 pm
Persembahan Khas dari KOSTI dan Club PSB Bandung
9:00 – 9:30 pm
Penyerahan Cenderahati untuk Wali Kota Bandung dari AJK Acara K2N Kali Ke 2 dan pertukaran cenderahati diantara KOSTI, KBTBB dan PSB
9.30 – 10.00 pm
Persembahan musik angklung dari Saung Udjo
10:00 – 10:30 pm
Kembali ke hotel dan berehat
....
Monumen Nasional (MONAS) yang menjadi mercu-tanda Bandaraya Jakarta

HARI KETIGA, AHAD - 5 JUN 2011 (ACARA KEMUNCAK)

5:00 – 6:00 am
Wake-up Call dan Solat Subuh
6:00 – 6:30 am
Sarapan pagi dan bersiap ke lokasi Car Free Day Kota Bandung/lokasi Acara K2N Kali Ke 2 di Jalan Merdeka
6:30 – 7:00 am
Berkayuh menuju lokasi Acara K2N Kali Ke 2 di di Jalan Merdeka, Bandung.
7:00 – 7:05 am
Ketibaan rombongan KBTBB ke lokasi dan berkumpul dengan peserta dari Indonesia.
7:05 – 7:10 am
Ketibaan tetamu VVIP dan Ketua KOSTI Pusat.
7:10 – 7:20 am
Ucapan dari Wali Kota Bandung
7:20 – 7:30 am
Ucapan KBTBB Perwakilan dari Malaysia.
7:30 – 7:35 am
Flag-Off – Pelepasan Rasmi peserta Acara K2N Kali Ke 2 mengelilingi Kota Bandung oleh Wali Kota Bandung.
8:15 – 8:30 am
Istirehat dan minum
8:30 – 9:15 am
Meneruskan kayuhan dan kembali menuju Jalan Merdeka / lokasi Acara K2N Kali Ke 2
9:15 – 9:30 am
Kesemua peserta Acara K2N Kali Ke 2 tiba semula di Jalan Merdeka dan menamatkan kayuhan
9:30 – 10:00 am
Istirehat sambil membeli barang diklitikan (jualan) dan sessi bersama media massa Indonesia
10:00 – 10:30 am
Majlis Pertukaran cenderahati antara peserta dan kelab
10:30 – 11:00 am
Persembahan dari Club PSB Bandung
11:00 – 12:00 am
Hiburan, Cabutan Bertuah dan jualan barang-barang basikal tua
12:00 – 12:15 pm
Majlis Penutup Acara K2N Kali Ke 2
12:15 – 12:45 pm
Sessi bersama media massa Indonesia
12:45 – 1:00 pm
Solat Zohor. Makan tengahari dan check-out di Hotel
2:00 – 4:00 pm
Bertolak ke Bandaraya Jakarta menuju ke Hotel
4:00 – 5:30 pm
Check-in. Solat Asar dan rehat
6:30 – 7:30 pm
Solat Maghrib. Makan malam dan bersedia untuk Night Ride (Kayuhan Malam)
7:30 – 9:30 pm
Mengelilingi Bandaraya Jakarta dan melawat Kota Tua dan tempat bersejarah.
10:00 pm
Kembali ke hotel dan berehat
....

Bandaraya Jakarta yang pesat membangun

HARI KEEMPAT, ISNIN - 6 JUN 2011

5:00 – 7:00 am
Wake-up Call dan Solat Subuh
7:00 – 8:00 am
Sarapan pagi di hotel. Rombongan bersiap ke Tanah Abang untuk membeli cenderahati untuk di bawa pulang menaiki bemo
8:00 – 11:30 am
Rombongan KBTBB di bawa ke Tanah Abang untuk membeli cenderahati untuk di bawa pulang
11:30 – 12:30 am
Kembali ke hotel dan makan tengahari
12:30 – 1:30 pm
Solat Zohor. Check-out dan Bersiap sedia untuk pulang ke Malaysia
2:00 – 3:00pm
Rombongan KBTBB menuju ke Airport Bandung menaiki bas
3:00 – 3:45 pm
Rombongan KBTBB check in ticket dan pemeriksaan kastam
5:00 – 7:00 pm
Rombongan KBTBB terbang menaiki pesawat kembali ke Malaysia.
8:00 pm
Tiba di tanahair Malaysia.
....
* tertakluk pada pindaan dan maklumat terkini dari penganjur

Isnin, 9 Mei 2011

KBTBB bersiap sedia ke Bandung (Indonesia) menjayakan Acara K2N Kali Ke 2

KBTBB bersama lebih 40 ahlinya dijangkakan akan terbang ke Indonesia untuk menjayakan Acara Kayuhan 2 Negara Kali Ke 2 di Bandung pada 3-6 Jun 2011 yang akan datang. KBTBB yang dijemput khas oleh Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI) melalui wakilnya Sdr. Ichwan Alex Setiawan akan bersama-sama buat kali ke 2 menjayakan acara ini. Pada tahun lalu seramai 65 peserta dari KOSTI hadir memeriahkan Acara Kayuhan 2 Negara yang pertama di Bandaraya Melaka dengan disertai lebih 200 peserta dari Malaysia. Acara K2N yang pertama telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka tercatat sebagai acara basikal tua yang PERTAMA pernah diadakan oleh kedua-dua negara (Malaysia dan Indonesia).

Dijangkakan lebih 1,000 ontelis dari Indonesia akan turut hadir menjayakan Acara Kayuhan 2 Negara di Kota Kembang (Bandung)...(Gambar ketika Acara Bandung Lautan Ontel 2010)

Pada Acara K2N II pada tahun ini KBTBB sekali lagi akan mencatat namanya sebagai Kelab PERTAMA dari Malaysia menjadi penganjur dan peserta menjayakan acara tersebut di Indonesia. Bagi KOSTI undangan ini adalah simbol kesinambungan dan persahabatan yang kukuh antara komuniti basikal tua di Malaysia dan Indonesia. Bertemakan "Warisan Basikal Tua Memperkukuh Persahabatan Serumpun" lawatan balas dari Malaysia pastinya akan membuka lembaran baru dan ikatan persahabatan yang berkekalan antara dua komuniti ini. Acara K2N II akan disertai lebih 1,000 peserta dari Indonesia dan akan disertai oleh Alumni K2N I dari Indonesia.

KBTBB melalui Ketua Projek K2N II iaitu Sdr. Ikhwan Ibrahim telahpun menjemput beberapa kelab basikal tua yang aktif di Malaysia untuk mengikuti acara yang akan berlangsung selama 4 hari 3 malam di Indonesia. Justeru itu kami ingin memohon agar peserta-peserta yang berminat dapat menghubungi Ketua Projek K2N II dengan SEGERA bagi urusan pendaftaran dan penyertaan kerana tempat adalah TERHAD. Acara K2N II ini akan dirasmikan oleh Wali Kota Bandung dan akan dihadiri oleh Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia. Acara yang bakal mendapat liputan meluas pihak media ini pasti akan memberikan impak dan kesan mendalam kepada seluruh peserta yang hadir ke Bandung. Justeru itu, kami sekali lagi menjemput semua yang berminat untuk menyertai KBTBB dalam acara yang penuh bersejarah ini.

Melalui Acara K2N II, KBTBB secara tidak langsung akan bertindak menjadi duta kecil Melaka/Malaysia di Indonesia untuk mempromosikan negeri dan negara kepada seluruh peserta yang hadir di sana nanti. Setelah berjaya menganjurkan banyak acara di peringkat negeri dan nasional kini tibalah masanya untuk KBTBB mengembangkan sayapnya ke peringkat yang lebih tinggi. Diharapkan usaha keras dan semangat "berani mati" ini akan menjadi contoh kepada semua kelab-kelab basikal tua yang ada di Malaysia. Kita jangan hanya jadi "jaguh kampung" tapi harus jadi "jagung ke peringkat dunia". Bak kata pepatah...kalau kail panjang sejengkal...jangan di duga lautan dalam - Admin KBTBB.

Kertas Kerja Acara K2N II yang telah dihasilkan oleh Ketua Projek KBTBB untuk mempromosikan acara K2N II di Bandung, Indonesia.

p/s : Pastinya acara bertukar-tukar pin dan cenderahati akan mengeratkan persahabatan serumpun. Sesungguhnya rugilah bagi mereka yang berhajat nak pergi...tapi tak pergi itu.

Rabu, 4 Mei 2011

220 peserta meriahkan Acara Kayuhan Terowong Masa 2011 di Pontian

Kelab basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) mewakili negeri Melaka hadir bersama 30 ahlinya menyertai dan memeriahkan Acara Kayuhan Terowong Masa yang telah dianjurkan oleh Kelab Basikal Klasik Johor pada 1 Mei 2011 yang lalu. Acara kayuhan yang berlangsung di Pontian, Johor tersebut telah berjaya menghimpunkan seramai 220 peserta dari 15 kelab-kelab basikal tua seluruh Malaysia termasuk 1 wakil dari Indonesia yang di wakili Sdr. Alex dari KOSTI.

Antara kelab dan pemilik basikal tua yang hadir ialah , Kelab Basikal Klasik Muar, Kelab Basikal Klasik Batu Pahat, Kelab Basikal Antik Benut, Kelab Basikal Klasik Kota Tinggi, PECHAL , Kelab Sepeda Tua Sijangkang, Kelab Basikal Klasik Pulau Pinang, Kelab Basikal Klasik Ipoh, Pemilik Basikal Klasik Kluang, Pemilik Basikal Klasik Segamat, Pemilik Basikal Klasik Pontian disamping Kelab Basikal Klasik Johor sendiri.

KBTBB yang hadir dengan busana klasik era Munsyi Abdullah, Kolonial Inggeris dan Portugis telah berjaya mencuit hati pengunjung-pengunjung dan peserta-peserta yang hadir di Dataran Pontian, Johor. Kebanyakkan peserta yang hadir turut mengenakan busana klasik dari era 60an, pakaian uniform seperti tentera, polis, bomba, tentera jepun dan pakaian tradisional. Peserta yang hadir pula terdiri dari golongan muda dan veteran dari pelbagai lapisan masyarakat seperti Melayu, Cina dan India telah berjaya memeriahkan acara.

Menurut Naib Pengerusi KBTBB iaitu En. Jebat Ramli kehadiran KBTBB sebagai kelab basikal tua/klasik pada acara seperti ini ialah bertujuan untuk mempromosikan keunikan dan kelainan yang ada di negeri Melaka yang kaya dengan nostalgia warisan silamnya. ”Kita hadir bukan sahaja untuk mengayuh basikal tua tetapi memperkenalkan budaya dan keunikan negeri Melaka dengan memakai pakaian klasik mengikut tema, kelainan ini membezakan KBTBB dengan kelab-kelab yang lain” tambah beliau lagi.

Acara yang bermula di Dataran Pontian telah membawa rombongan besar peserta menyusuri Jalan Taib, Parit Mesjid, Jalan Sekolah Arab dan berhenti berehat di tepi pantai berhampiran Pusat Perdagangan Pontian sebelum berakhir di tempat permulaan sejauh 12km. Acara Kayuhan Terowong Masa yang bertujuan untuk mengimbau sejarah dan melestarikan warisan basikal tua ini telah berjaya menarik penyertaan golongan generasi muda untuk menjadi generasi penyambung kepada warisan bernilai dan berharga ini.

Majlis penutup acara ini telah disempurnakan oleh Yang Mulia Tunku Datuk Hassan Ibni Almarhum Tunku Mohd Archibald dengan penyampaian cenderahati dan sijil penyertaan kepada semua peserta. KBTBB bersama AJK dan ahli-ahlinya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kelab Basikal Klasik Johor dan Kelab Basikal Antik Benut kerana telah berjaya menguruskan peserta dan acara kayuhan pada kali ini. Tahniah dan syabas buat semua yang terlibat. - Admin KBTBB





Sabtu, 23 April 2011

Kayuhan Terowong Masa (KTM) ke Pontian dan Misi K2N II ke Bandung & Jakarta, Indonesia

Untuk pengesahan - KBTBB bersama rombongannya akan ke Pontian, Johor pada Sabtu 30 April 2011 untuk menyokong Acara Kayuhan Terowong Masa (KTM2011) anjuran Kelab Basikal Tua Johor a.k.a. KSTJB. Walaupun hanya tinggal beberapa hari sebelum acara tersebut KBTBB masih membuka dan menerima penyertaan dari mana-mana pihak yang ingin menyertai acara tersebut dari negeri Melaka dan sekitarnya. Acara KTM2011 ini dijangka akan disertai lebih 200 peserta dari seluruh Malaysia berdasarkan maklumat dan risikan yang diperolehi oleh KBTBB. Bayangkanlah kemeriahannya... dan kerugian besar yang teramat bagi mereka yang gagal dan tidak dapat hadir. Fikirkanlah sendiri.

Justeru itu marilah kita beramai-ramai menyokong acara kayuhan KTM 2011 ini, tanpa inisiatif dan penganjuran acara/event hobi basikal tua seperti ini pasti hobi ini akan sepi dan sejuk bagi sesetengah kawasan dan negeri. Persoalannya - bagaimana nak ada "peminat baru" dan jadi "panas" kalau kelab yang adapun tidak mampu melakukan aktiviti untuk ahli-ahlinya apatah lagi nak menganjurkan acara besar seperti ini...maka jadilah ia hanya sebagai hobi "syok sendiri" dan "collect and see"... yang hancur bertambah hancur dan yang sepi bertambah sepi...renung-renungkanlah sahabat-sahabat basikal tua Malaysia sekalian. Apa-pun jumpa kami di sana dan kita kasi "gegar" Pontian dengan ekpresikan pakaian dan basikal tua masing-masing.

Bagi KBTBB misi seterusnya ialah untuk membawa ahli-ahlinya ke Bandung dan Jakarta, Indonesia untuk menjayakan Acara Kayuhan 2 Negara Kali Ke 2 (K2N II) anjuran KBTBB dan KOSTI. KBTBB yang secara rasmi dijemput oleh KOSTI ingin memanjangkan jemputan Acara K2N II ini kepada seluruh peminat basikal tua/klasik seluruh Malaysia dengan bayaran yang paling minimum. Acara yang akan berlangsung di Bandung pada 3-6 Jun 2011 ini akan disertai lebih 1,000 peserta dengan pelbagai acara menarik yang telah dirancang untuk meraikan peserta-peserta K2N I (alumni) dan K2N II.

Kepada sesiapa yang berminat hanya perlu memberikan nama penuh dan IC number untuk tujuan pendaftaran tiket kapal terbang ke Indonesia bersama bayaran deposit RM500. Inilah peluang seumur hidup yang tidak seharusnya dilepaskan oleh mana-mana individu yang cintakan basikal tua dan menimba pengalaman berharga berkayuh bersama 1,000 ontelis di Bandung. Peserta juga berpeluang melawat tempat-tempat menarik disamping membeli-belah terutamanya barang-barang basikal. Jadilah kumpulan PERTAMA mengukir sejarah untuk MALAYSIA dan bersama kita buktikan bahawa kita bukanlah hanya "jaguh kampung" Sekiranya ada yang berminat silalah hubungi terus Sdr. Ikhwan di talian 019 606 5575. Tempat adalah terhad. Maklumat terperinci mengenai K2N II akan disiarkan kelak - Admin KBTBB

Isnin, 18 April 2011

Mesyuarat Agung KBTBB Kali Ke 2 berjaya memperkukuh dan memperkasa kelab dan ahli-ahlinya

Sabtu 16 April 2011 - Mesyuarat Agung Kali Ke 2 KBTBB telah berlangsung dengan lancar dan berkesan di Balai Raya, Batu Berendam dengan dihadiri lebih 70% (melebihi 2/3) oleh ahli-ahli berdaftarnya. Perasmian Mesyuarat Agung tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi JKKK Batu Berendam iaitu En. Ghafar bin Othman. Turut hadir bersama-sama ialah Penaung KBTBB iaitu En. Zulkifli bin Othman yang sanggup bergegas meninggalkan Bandung (Indonesia) untuk turut serta dalam Mesyuarat tersebut. Sekalung TAHNIAH dan SYABAS khas buat semua Ahli Jawatankuasa KBTBB yang sentiasa berusaha dan bekerja keras untuk memastikan Mesyuarat Agung kali ini berjalan lancar seperti mana dirancang.

Tepat jam 9:15 malam Mesyuarat Agung Kali Ke 2 KBTBB dimulakan dengan bacaan doa oleh Tok Sidang dan Ucapan Pembukaan oleh Sdr. Jebat, Naib Pengerusi KBTBB yang mewakili Pengerusi KBTBB iaitu Sdr. Alias Omar yang tidak dapat hadir atas sebab urusan penting yang tidak dapat dielakkan. Dalam ucapannya beliau menyeru agar ahli-ahli kelab terus komited dan bersatu hati untuk membangunkan kelab ini agar terus aktif dan progresif. Banyak aktiviti yang bakal dirancang di masa hadapan memerlukan komitmen yang tinggi dikalangan ahli-ahli KBTBB. Selain daripada itu beliau meminta agar ahli-ahli terus memberikan sumbangan dan terus mempertahankan kelab ini untuk generasi muda yang akan datang.

Ahli-ahli KBTBB begitu fokus mendengar ucapan yang disampaikan pada Mesyuarat Agung Kali Ke 2 KBTBB.

Kiri - Sdr. Jebat mewakili Pengerusi KBTBB, Tengah - En. Zulkifli Othman (Penaung KBTBB), Kanan - En. Ghafar Othman (Pengerusi JKKK Batu Berendam)

Penaung KBTBB iaitu En. Zulkifli Othman dalam ucapannya pula meminta ahli-ahli untuk terus memperkasakan kelab ini agar terus dinamik dan maju ke hadapan. Beliau memuji barisan AJK KBTBB yang telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Kali Ke 2 ini dengan penyediaan dokumentasi dan risalah yang teliti dan lengkap. Beliau juga menyatakan bahawa pengurusan dan pentadbiran KBTBB adalah yang terbaik pernah ditemuinya selama beliau berkecimpung dan menerajui pelbagai persatuan dan kelab di Negeri Melaka. Menurut beliau lagi, KBTBB mempunyai cara pengurusan dan pentadbiran yang tersusun kerana dianggotai oleh AJK yang mampu menyahut cabaran dan sanggup berkorban masa dan tenaga. Beliau berjanji untuk memastikan KBTBB akan terus mendapat sokongan dari segi kewangan dan perhatian dari Kerajaan Negeri Melaka. Sebelum mengakhiri ucapannya beliau mencadangkan kepada Pengerusi JKKK iaitu En. Ghafar Othman agar mencalonkan 2 ahli KBTBB untuk menerima darjah/pingat dari TYT kerana sumbangan mereka terhadap basikal tua di Negeri Melaka.

Bagi menyempurnakan majlis En. Ghafar Othman dalam Ucapan Perasmiannya melahirkan rasa bangganya dengan pencapaian KBTBB kerana telah menaikkan nama dan imej Batu Berendam dan Negeri Melaka. Beliau melalui Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) akan memastikan KBTBB akan dibantu dan disokong agar terus maju di masa hadapan. Beliau juga berharap agar cadangan aktiviti K2N (Kayuhan 2 Negara) KBTBB ke Bandung dapat dilaksanakan dengan jaya dan berjanji akan membantu mendapatkan sumber kewangan untuk menampung kos aktiviti tersebut. Sebelum mengakhiri ucapannya beliau meminta agar KBTBB dapat melebarkan sayapnya dengan menarik penyertaan golongan muda untuk menyertai kelab ini.

Mesyuarat KBTBB dihadiri oleh "orang penting" Batu Berendam iaitu En. Zulkifli Othman (Penaung) dan En. Ghafar Othman (Pengerusi JKKK). Turut berada dibarisan hadapan ialah Sdr. Jebat yang mewakili KBTBB dan Pengerusinya.

En. Zulkifli Othman menerima cenderahati daripada KBTBB kerana kesudian beliau hadir memberikan sokongan dan khidmat nasihat berguna kepada kelab dan ahli-ahli.

En. Ghafar Othman yang sentiasa hadir menyokong KBTBB menerima cenderahati daripada KBTBB yang diwakili oleh Sdr. Jebat.

Apa-apa pun kita minum dulu... Walaupun sedang berehat untuk minum barisan AJK KBTBB masih berkesempatan mengadakan perbincangan untuk aktiviti yang akan datang bersama Penaung dan Pengerusi JKKK.

RINGKASAN MESYUARAT AGUNG KALI KE 2
Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB)
Sabtu 16 April 2011

Secara ringkasnya Mesyuarat Agung Kali Ke 2, KBTBB telahpun sebulat suara meluluskan usul-usul terdahulu dan usul-usul yang telah dibentangkan pada malam 16 April 2011 yang lalu. Sdr. Razwan (Setiausaha) telah dilantik oleh AJK KBTBB untuk bertindak sebagai Pengerusi Majlis untuk mempengerusikan perjalanan mesyuarat, usul-usul dan pembentangan penyata kewangan serta perbelanjaan. Ringkasannya adalah seperti berikut :-

Pembentangan Kewangan KBTBB
Sebagai kelab yang berdaftar KBTBB diwajibkan menghantar laporan kewangannya ke ROS sebagai memenuhi syarat-syarat persatuan/kelab yang berdaftar. Bendahari KBTBB iaitu Sdr. Jidi telah berjaya menjalankan tugasnya dengan cemerlang kerana mengurus dan mentadbir kewangan KBTBB dengan cara yang sistematik, berintegiriti, amanah, teliti dan berhemah. Sumber kewangan KBTBB kini semakin mengukuh dan stabil kini mampu untuk menampung aktiviti yang bakal dijalankan untuk ahli-ahlinya. Sepanjang tahun 2010 KBTBB telah berjaya menguruskan sejumlah RM28,000 untuk menjalan dan menjayakan aktiviti-aktiviti/acara-acara di peringkat negeri dan nasional untuk ahli-ahlinya. Di akhir pembentangan, ahli-ahli sebulat suara menerima dan meluluskan penyata kewangan KBTBB yang berakhir pada Disember 2010 yang lalu.

Usul Pindaan Keahlian - Ahli Biasa dan Status Ahli Muda/Ahli Bersekutu
Pada Mesyuarat Agung kali ini, Puan Rokiah telah mencadangkan agar Syarat-syarat Keahlian iaitu Ahli Biasa dipinda. Tujuan pindaan ini ialah untuk membolehkan lebih ramai penyertaan anak-anak Negeri Melaka menyertai KBTBB. Untuk Ahli Biasa beliau mencadangkan agar keahlian ini dilonggarkan dan diperluaskan untuk seluruh mukim dan penduduk yang menetap di dalam negeri Melaka. Mereka yang berminat boleh memohon menjadi ahli KBTBB dan berhak untuk mengundi dan bersuara. Sebelum ini keahlian KBTBB hanya di buka kepada penduduk yang tinggal di Mukim Batu Berendam sahaja manakala Status Ahli Muda/Bersekutu masih kekal tanpa sebarang pindaan. Ahli-ahli KBTBB sebulat suara menerima dan meluluskan pindaan ini untuk diajukan kepada ROS.

Kiri - Sdr. Razwan mempengerusikan Mesyuarat Agung KBTBB, Tengah - Sdr. Jidi membentangkan penyata kewangan KBTBB 2010 dengan teliti, Kanan - Sdr. Ikhwan membakar semangat ahli-ahli dengan usul K2N ke Indonesia

Usul Misi Kayuhan 2 Negara (Malaysia & Indonesia) Bandung-Jakarta pada 3-6 Jun 2011

Pembentangan usul Misi Kayuhan 2 Negara (K2N) telah dilaksanakan oleh Sdr. Ikhwan yang bertindak selaku Ketua Projek K2N. Beliau menyatakan bahawa misi K2N ini sangat penting bagi KBTBB yang kini bukan sahaja kelab basikal tua yang mewakili Negeri Melaka tetapi mewakili negara (Malaysia). Ahli-ahli dirayu untuk turut serta menyertai acara yang akan berlangsung di Bandung pada 3-6 Jun dengan memberikan nama dan no kad pengenalan serta passport bagi tujuan pendaftaran peserta. Beliau berhasrat untuk membawa kesemua ahli-ahli KBTBB ke Indonesia sebagai menghargai usaha dan kerja keras mereka membantu menjayakan K2N pertama pada tahun lalu (2010). Ahli-ahli KBTBB bersetuju sekiranya ada kekosongan penyertaan ini bolehlah dibuka kepada sesiapa yang berminat dengan syarat ahli-ahli KBTBB haruslah didahulukan. Bagi peserta luar (bukan ahli) mereka dikehendaki membayar seluruh kos dan perbelanjaan ke Bandung. Ahli-ahli KBTBB sebulat suara menerima dan meluluskan usul ini.

PENUTUP
Sdr. Jebat mewakili Pengerusi KBTBB memohon sekali lagi kepada ahli-ahli supaya terus menyokong dan mempertahankan kelab ini. Beliau meminta mana-mana pihak atau individu yang sentiasa mencari kelemahan dan kesalahan KBTBB supaya berani tampil dan berdepan dengan mana-mana AJK KBTBB. Beliau juga meminta agar "sikitul-sikitul" (pengkhianat) yang sering membuat fitnah dan cerita-cerita rekaan supaya menghentikan perbuatan mereka kerana KBTBB bukanlah sebuah kelab "main-main" dan "olok-olok". KBTBB telah membuktikan kemampuan dan kejayaannya membangunkan kelab ini untuk ahli-ahlinya. Sebelum mengakhiri mesyuarat, beliau meminta ahli-ahli terus menyokong dan meyakini barisan AJK KBTBB untuk terus memimpin dan bersama-sama terus maju serta mencipta lebih banyak kejayaan yang besar di masa hadapan.

Selasa, 5 April 2011

Jemputan Mesyuarat Agung KBTBB Kali Ke-2 pada 16 April 2011

PEMBERITAHUAN PENTING - Perhatian kepada semua ahli-ahli berdaftar KBTBB. Satu Mesyuarat Agung KBTBB Kali Ke-2 akan diadakan pada hari Sabtu, 16 April 2011 pada pukul 9:00 - 11:00 malam bertempat di Balai Raya, Kg. Batu Berendam, Melaka. Justeru itu semua ahli-ahli KBTBB yang berdaftar dijemput dan menghadirkan diri pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan untuk kita bersama-sama menjayakan Mesyuarat Agung kali ke-2 ini. Agenda Mesyuarat Agung akan diedarkan melalui surat jemputan yang akan diedarkan tidak lama lagi.

Sebarang cadangan dan penambah-baikkan terhadap Kelab dapatlah disampaikan semasa Mesyuarat Agung yang bakal berlangsung nanti. Pada Mesyuarat Agung kali ini AJK 2010 yang telah dilantik akan membentangkan aktiviti yang telah dijalankan bersama penyata kewangan dan perbelanjaan selama setahun (tahun lalu). Sebagai sebuah Kelab yang berdaftar marilah kita bersama-sama terus menyokong dan mempertahankan KBTBB yang kita cintai ini agar menjadi contoh kepada kelab-kelab yang lain - Sekian, harap maklum - Admin KBTBB