Basikal Melaka ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Ke-57. Semoga warisan basikal tua akan terus lestari dengan penuh sinergi. Bersama kita berjuang demi memartabatkan warisan dan budaya bangsa! - Admin Basikal Melaka

Isnin, 7 Februari 2011

KBTBB redah hujan sokong LTDL 2011 di Bandaraya Melaka

Melaka, 31 Januari 2011 – KBTBB bersama 30 ahlinya sanggup meredah hujan untuk memeriahkan acara perlepasan acara Le Tour De Langkawi (LTDL) 2011 peringkat ke 9, Melaka - Nilai, di hadapan Hang Tuah Mall. Lengkap berpakaian klasik dan unik mereka mengayuh basikal tua dari Batu Berendam seawal jam 7:00 pagi menuju ke Bandaraya Melaka untuk bersama-sama menyokong acara tersebut. Kehadiran KBTBB pada acara ini ialah sebagai simbolik mengibau nostalgia silam dan kewujudan basikal tua di Malaysia sebagai salah satu kenderaan tertua dan popular satu masa dahulu.

Kebanyakan ahli-ahli KBTBB mengenakan busana atau pakaian yang bersesuaian dengan zaman basikal tua itu digunakan untuk menghidupkan kembali warisan silam. KBTBB yang sering hadir menyokong setiap aktiviti dan acara kerajaan negeri Melaka membuktikan kelab ini serius dan bersungguh-sungguh untuk membantu merancakkan sektor pelancongan dan mempertahankan Bandaraya Melaka sebagai tapak warisan dunia yang diiktiraf UNESCO.

Walaupun ahli-ahli KBTBB basah kerana hujan yang turun tidak berhenti namun itu tidak pernah mematahkan semangat ahli-ahlinya untuk terus setia berada di hadapan Hang Tuah Mall untuk memastikan acara yang dirancang berjayanya. Menurut Pengerusi KBTBB, En. Alias Omar “Walaupun kami kelab basikal tua namun kebanyakkan ahli-ahli KBTBB adalah dari golongan muda. Golongan muda inilah yang memberikan nafas baru kepada kelab basikal tua untuk terus aktif dan diminati. Istimewanya hari ini kayuhan disertai oleh Adik Ayu Izzati dari Kuala Lumpur yang berumur 9 tahun dan En. Rahman dari Seremban sanggup hadir semata-mata mahu berkayuh bersama-sama kami (KBTBB)”.

Ringkasnya kehadiran basikal tua pada acara LTDL 2011 ini menjadi sejarah penting bahawa warisan silam tidak seharusnya dipinggirkan sebaliknya dihargai agar ianya seimbang dengan kemajuan dan kemodenan. KBTBB juga hadir untuk memberikan sokongan padu pada penganjuran LTDL 2011 yang secara tidak langsung mempromosikan pelancongan negeri Melaka dan Malaysia dan berharap pihak penganjur LTDL 2011 meneruskan acara ini setiap tahun dan kembali singgah ke Melaka - Admin KBTBB


Sila layari laman web rasmi Le Tour De Langkawi 2011 untuk melihat foto-foto menarik
http://ltdl.com.my/2011/photogallery/stage9/index.asp#

Isnin, 3 Januari 2011

KBTBB meraikan kedatangan 1.1.11 bersama 60 peserta mengelilingi Bandaraya Melaka

Batu Berendam – Kedatangan tahun baru 2011 dan tarikh 1.1.11 (Sabtu yg lalu) telah disambut dengan meriah oleh kira-kira 60 peserta-peserta dan pemilik-pemilik basikal tua dari negeri Melaka, Johor, dan Perak yang berkayuh bermula dari Batu Berendam mengelilingi Bandaraya Melaka sejauh 25km. Acara kayuhan basikal tua yang telah dianjurkan oleh Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB), Melaka telah disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat iaitu Melayu dan Cina serta pelbagai peringkat umur bermula dari umur 7 tahun sehingga 65 tahun. Mereka hadir memeriahkan acara demi cintakan warisan dan mempromosikan hobi basikal tua sebagai hobi yang unik dan sihat.

Siaran Akhbar mengenai Acara 1Citra, 1Jiwa, 1Ekspresi yang disiarkan oleh Akhbar Rasmi Melaka Hari Ini (MHI) pada 4 Januari 2011.

Bermula seawal 8:45 pagi peserta telah dilepaskan (flag-off) dengan rasminya oleh Pengerusi JKKK Batu Berendam iaitu En. Ghafar bin Othman bersama Penaung Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) iaitu En. Zulkifli bin Osman bertempat di hadapan pengkalan utama KBTBB. Peserta-peserta telah dibawa berkayuh mengelilingi Bandaraya Melaka oleh KBTBB dan berkesempatan mempamerkan koleksi basikal tua sebanyak 60 buah dari jenama Raleigh, BSA, Hercules, Norman, Phillips, Robinhood dan sebagainya dari tahun 1930an – 1960an di hadapan Stadhuys (Bangunan Merah). Kehadiran peserta-peserta basikal tua di situ telah menjadi tumpuan dan perhatian pelancong yang datang dari luar dan dalam negara.

Acara kayuhan yang bertemakan 1 Citra, 1 Jiwa dan 1 Ekspresi telah berlangsung dengan jayanya apabila peserta yang hadir memakai pakaian klasik dan unik bersama basikal tua masing-masing mengikut era dan zaman basikal tua itu dikeluarkan. Kehadiran puluhan basikal tua di Bandaraya Melaka pada hari Sabtu lalu bersempena tahun baru 2011 secara tidak langsung mengambarkan keunikan Bandaraya Melaka sebagai bandaraya berstatus Warisan Dunia yang diiktiraf UNESCO. Basikal tua menjadi bukti bahawa Melaka masih mengekalkan warisan dan budaya masyarakat setempatnya untuk tatapan pelancong yang datang.

Peserta berkesempatan bergambar di hadapan Memorial Kemerdekaan di Banda Hilir Melaka bersama basikal tua masing-masing.

Menurut En. Ghafar bin Othman iaitu Pengerusi JKKK Batu Berendam “Kelab Basikal Tua Batu Berendam telah berjaya mengharumkan nama negeri Melaka dan nama Batu Berendam dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang sepanjang tahun lalu (2010). Batu Berendam kini lebih dikenali kerana wujudnya KBTBB dengan aktiviti-aktivit basikal tua yang bukan sahaja melibatkan acara di peringkat negeri malah di peringkat negara”. Beliau yang hadir menyokong usaha KBTBB sempat menyampaikan amanat dan azam beliau untuk terus membantu KBTBB merancang acara yang lebih besar pada tahun baru ini.
...
“Pada tahun 2011 ini KBTBB sedang merancang untuk membawa ahli-ahlinya ke Bandung, Indonesia untuk meneruskan kempen dan lawatan balas Kayuhan 2 Negara (K2N) Malaysia – Indonesia pada April 2011 nanti…Insyallah”. Menurut En. Zulkifli Osman, Penanung KBTBB. Tambah beliau lagi “Dengan adanya sokongan dari semua pihak, kami yakin KBTBB akan melangkah lebih jauh lagi untuk mempromosikan Melaka dan hobi basikal tua ini ke peringkat ASEAN”. Menurut Zulkifli lagi acara yang bermula seawal hari pertama tahun baru 2011 mengambarkan semangat dan iltizam KBTBB untuk terus memperjuangkan warisan basikal tua di peringkat nasional dan antarabangsa.
...
Acara kayuhan yang tamat di pengkalan KBTBB telah diraikan dengan majlis penyampaian sijil dan makan tengahari yang ringkas. Dikesempatan ini KBTBB ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua peserta-peserta yang terlibat menjayakan acara kayuhan pada 1.1.11 yang lalu. Terutamanya terima kasih buat pemilik basikal tua yang datang dari Muar, Johor dan pemilik basikal tua dari negeri Melaka. Tidak lupa buat Sdr. Sanim dari PECHAL dan Sdr. GB dari Batu Gajah, Perak.
...
Ringkas kata Bak kata pepatah...tidak ada gading yang tak retak dan janganlah dijadikan perkara-perkara yang remeh sebagai kempen memburukkan KBTBB. Sebarang komentar itu biarlah konstruktif dan bukanlah sebaliknya. Kami berharap dengan kehadiran 2011 ini akan menjadi tahun yang terus cemerlang dan gemilang untuk kita bersama-sama menyambung perjuangan basikal tua ini ke peringkat yang lebih tinggi. Sebarang ketidak-puasan hati...KBTBB bersedia mendengarnya dengan hati yang terbuka. - Selamat Tahun Baru 2011 buat semua! - Admin KBTBB.
...

Isnin, 13 Disember 2010

Sertai KBTBB dalam Acara Kayuhan 1 Citra,1 Jiwa,1 Ekspresi bersempena 1.1.2011

Menjelang 1.1.2011 KBTBB ingin menjemput seluruh komuniti basikal tua sama ada kelab ataupun individu untuk bersama-sama memeriahkan 1 Acara Kayuhan basikal tua yang bertemakan 1 Citra, 1 Jiwa & 1 Ekspresi pada hari Sabtu (1.1.2011) yang akan bermula pada pukul 8:45 pagi di Pengkalan KBTBB (Bt. Berendam, Melaka) menuju ke Bandaraya Melaka bertujuan mempamerkan keunikan hobi & koleksi basikal tua sambil berlibur. Pastinya kehadiran basikal tua bersama pemiliknya akan menjadi tumpuan dan perhatian pelancong dalam dan luar negara terutamanya pada sambutan tahun baru 2011. Kayuhan yang akan diketuai oleh KBTBB akan mengelilingi Melaka dan berhenti di tempat-tempat tumpuan pelancong seperti Jonker Street, Bangunan Merah, A Famosa, Dataran Taming Sari, Kg. Morten dan sebagainya sejauh 25km.
...
Bersempena tahun 2011 marilah kita bersama-sama berusaha untuk terus melestarikan nostalgia basikal tua agar ianya terus kekal menjadi tatapan dan warisan untuk generasi yang akan datang. Walaupun masa dan tahun beredar dengan berhadapan arus kemodenan dan pembangunan yang pesat namun sejarah dan jasa basikal tua membangunkan negara seharusnya dikenang dan terus dipelihara. Hobi basikal tua telah berjaya menyatukan bangsa, mempereratkan persahabatan, memartabatkan warisan, dan kini terbukti ianya mesra alam, mengurangkan pemanasan global, menyihatkan, praktikal dan ekonomikal.
...
Berdepan tahun 2011, KBTBB akan berusaha dengan lebih gigih untuk merancang beberapa aktiviti-aktiviti yang menarik dan lebih berimpak/berkesan untuk semua peminat basikal tua tanahair. Bertepatan dengan tema yang di bawa KBTBB iaitu 1 Citra, 1 Jiwa dan 1 Ekspresi, kami ingin menyeru kepada semua peminat dan pengumpul basikal tua untuk bersama-sama tanpa mengira kaum, agama, idealogi, dan taraf/status untuk kita terus membakar semangat berjuang dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk memartabatkan basikal tua. KBTBB telah membuktikan bahawa dengan adanya penganjuran aktiviti dan kayuhan, hobi basikal tua terus relevan, bernyawa dan terus diminati. Jom sertai kami...bersama kita ekspresikan diri! - Admin KBTBB.
...
Rasional Tema Kayuhan
1 Citra merujuk kepada suatu imej yang beridentitikan budaya dan bangsa setempat. 1 Jiwa merujuk kepada penyatuan dan kekuatan kolaboratif (kerjasama) serta sehaluan. 1 Ekspresi merujuk kepada kebebasan meluahkan perasaan emosi dan jasmani dengan cara yang unik dan sihat.
...

Jumaat, 22 Oktober 2010

Kayuhan Melaka Maju 2010 berjaya mencatat rekod konvoi basikal terpanjang di dalam Malaysia Book of Records (MBR)

Pada Ahad 17 Oktober 2010 yang lalu KBTBB bersama lebih 40 ahli-ahlinya turun padang menyertai Kayuhan Melaka Maju 2010 yang telah diadakan di Sungai Rambai, Melaka. Walaupun majoriti peserta yang hadir adalah dari "geng-geng baju ketat" dan "geng-geng basikal moden" namun kehadiran basikal tua tetap unik dan hadir sebagai "penyeri" pada program hari tersebut. Pada dasarnya program Kayuhan Melaka Maju 2010 ini adalah satu program kerajaan negeri Melaka untuk melestarikan budaya berbasikal sebagai satu budaya yang sihat dan mengurangkan polusi serta mengeratkan silaturahim.

Melalui program seumpama ini KBTBB melihatnya sebagai satu bentuk sokongan padu yang kolektif daripada pelbagai kelab-kelab basikal di negeri ini untuk merealisasikan satu program komuniti yang sihat disamping mencatat sejarah di dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai konvoi basikal terpanjang di Malaysia disertai 2,270 peserta sejauh 20.10km. Pastinya impian melihat usaha berbasikal seumpama ini tercatat di dalam Malaysia Book of Records (MBR) bukan lagi satu angan-angan "Mat Jenin" kerana KBTBB telah turut serta bersama-sama merealisasikannya :) dan ianya bukanlah suatu perkara yang mudah dan "enteng" serta bukan sekadar cakap-cakap kosong.

Tahun 2010 merupakan tahun yang amat bertuah bagi negeri Melaka kerana ia telah diiktiraf sebagai sebuah negeri yang maju melalui 5 aspek penting yang meliputi 32 indikator yang tidak melebihi sasaran terendah ditetapkan oleh OECD. Antaranya ialah berkaitan kadar inflasi, kadar pengangguran, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jangka hayat, kadar kematian dan kadar jenayah. Melaka dikira sebagai negeri maju selepas memenuhi lima aspek penting meliputi ekonomi, sosial, infrastruktur, alam sekitar dan pentadbiran.

Pengistiharan Melaka Maju 2010 telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi sidang video di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dibuat secara langsung terus ke Stadium Hang Jebat disaksikan kira-kira 50,000 orang termasuk Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Perisytiharan itu dibuat tepat pada jam 8.10 malam ini atau jam 2010, pada tarikh 20.10.2010.

Dengan pengiktirafan ini KBTBB akan sentiasa bersama-sama Kerajaan Negeri Melaka akan berusaha dan bekerja dengan lebih keras untuk memastikan Melaka terus maju dan masyhur melalui pelbagai kegiatan dan aktiviti berbasikal yang akan dirancang kelak. KBTBB juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur acara Kayuhan Melaka Maju 2010 semoga usaha-usaha berbasikal di negeri Melaka akan dapat diteruskan secara konsisten di masa hadapan. Pastinya KBTBB telah banyak mengutip pengalaman berharga dan berasa amat bertuah bernaung di bumi Melaka yang tercinta ini. - Admin KBTBB.

Rabu, 15 September 2010

Salam Aidilfitri - Maaf Zahir & Batin dan Selamat Menyambut Hari Malaysia

KBTBB dan seluruh ahli-ahlinya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Menyambut Hari Malaysia kepada seluruh sahabat-sahabat basikal tua tanahair. Sambil kita bergembira bersempena Syawal bersama sanak saudara marilah kita bangkit menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini sebagai simbolik taat setia dan cintakan Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing dan di mana sahaja. Sebagai sebuah negara yang Merdeka dan berdaulat kita seharusnya bersatu-padu, bersemangat, beradab, hormat-menghormati dan berusaha keras membangunkan negara ini ke arah yang lebih maju.

Dikesempatan ini KBTBB ingin menyampaikan Salam Aidilfitri daripada seluruh ahli-ahlinya kepada semua pembaca blog ini. Insyaallah KBTBB akan kembali aktif dengan pelbagai aktiviti basikal tua selepas menyambut lebaran ini. Justeru itu kami ingin memohon ampun dan maaf seandainya terdapat salah dan silap selama ini. Semoga kemeriahan Aidilfitri ini dimanfaatkan sepenuhnya tanpa melupakan hari yang paling bermakna bagi kita warga Malaysia iaitu Hari Malaysia 16 September - Admin KBTBB

...

Khamis, 2 September 2010

KBTBB tetap bersemangat menyambut Kemerdekaan Negara yang ke 53 di Melaka

Tepat detik 12:00 malam 31 Ogos 2010 yang lalu Melaka telah menyaksikan 30 jiwa patriotik yang kental hadir melaungkan "Medeka! Medeka! Merdeka!" di hadapan Jam Besar / Bangunan Merah, Bandar Hilir, Melaka. Walaupun tiada acara rasmi yang dianjurkan Kerajaan Negeri Melaka, namun atas prinsip dan semangat cintakan Malaysia KBTBB hadir mengayuh basikal tua masing-masing mengelilingi Negeri Melaka bersama Jalur Gemilang untuk menceriakan suasana diambang Merdeka pada malam 30 Ogos 2010 yang lalu.

Kemerdekaan Negara ke 53 yang bertemakan "1Malaysia Menjana Transformasi" dilihat sebagai tema yang sangat bertepatan dengan inspirasi dan halatuju KBTBB selama ini. Dalam tempoh kurang 3 tahun KBTBB telah berusaha dan akan meneruskan "Transformasi" untuk kekal relevan memperjuangkan basikal tua di Malaysia dan Nusantara. Perkembangan hobi basikal tua di Malaysia juga kini sudah menampakkan kemajuan yang sangat positif dan sihat. Kehadiran generasi muda yang tampil dengan idea-idea kreatif yang baru dan segar telah menyuntik dan membakar semangat pencinta-pencinta basikal tua di seluruh tanahair.

Sdr. Jebat bangga bergambar bersama basikal tua yang dihiasi Jalur Gemilang bersama ahli-ahli KBTBB sebelum memulakan acara kayuhan di malam Merdeka baru-baru ini.

Dari kanan Sdr. Alias Omar, Tok Penghulu, Sdr. Fadhil dan Sdr. Jebat tetap bersemangat melaungkan "Merdeka!" sebagai tanda patriotik kepada perjuangan tokoh-tokoh Kemerdekaan Negara.

...

Rabu, 1 September 2010

Program Salam Ramadhan KBTBB kini memasuki tahun ke 2

28hb Ogos 2010 bersamaan 18 Ramadhan 1431H - KBTBB sekali lagi telah berjaya menganjurkan Program Salam Ramadhan buat 2 tahun berturut-turut dengan mengedarkan bubur lambuk di sekitar Kampung Batu Berendam, Melaka. Walaupun program pada tahun ini berlangsung sederhana namun jumlah bubur lambuk yang diagihkan meningkat daripada 180 bungkus tahun lepas kepada 250 bungkus tahun ini. Dengan sumber kewangan kelab yang semakin kukuh, KBTBB bersyukur kerana dapat meneruskan program amal ini untuk ahli-ahlinya dan penduduk setempat.

Program memasak bubur lambuk ini telah bermula seawal jam 10:30 pagi oleh pakar-pakar tukang masak bubur lambuk yang telah bersedia dengan ramuan istimewa unik yang lain daripada bubur lambuk yang biasa. Sdr. Jebat selaku Ketua Program Salam Ramadhan telah mengetuai program ini dengan dibantu oleh ahli-ahli dan orang-orang kuat KBTBB. Tepat jam 3:00 petang bubur lambuk yang dimasak KBTBB telah tersedia untuk diedarkan.

Sebagai simbolik nostalgia lama, bubur lambuk dengan pelekat bermesej mula diedarkan dengan menggunakan 2 buah basikal tua disekeliling kampung. Walaupun cuaca terik dan panas sehingga ke petang namun berkat kesungguhan serta niat untuk beramal KBTBB telah berjaya mengedarkan kesemua bubur lambuk yang telah dimasak dan dibungkus. Kira-kira jam 5:30 petang KBTBB selesai dan berjaya menamatkan program yang telah dirancang. Salam Ramadhan buat semua pembaca blog KBTBB - Admin

Abang Joe sedang mengisi bubur lambuk di dalam bakul sebelum diedarkan menaiki basikal tua.


Ini dia pakar masak bubur lambuk yang mengacau dengan cara "blues"...slow and steady brader.


Along (berbaju merah) membantu mengisi bubur lambuk di dalam bungkusan yang sebelum diedarkan dibantu oleh Sdr. Razak (baju biru)


Abg. Yusop juga menyumbangkan tenaganya membantu menjayakan Program Salam Ramadhan untuk KBTBB walaupun beliau baru menyertai KBTBB.


Stiker bermesej "Salam Ramadhan - Semoga Silaturahim Terus Berkekalan" ditampalkan pada bungkusan bubur lambuk sebagai tanda Silaturahim.


Tok Penghulu (Abg Midi) menyampaikan bubur lambuk pertama kepada Pengerusi KBTBB iaitu Sdr. Alias Omar sebelum mengedarkannya seluruh kampung.


2 buah basikal tua digunakan untuk mengedarkan bubur lambuk pada tahun ini. Sdr. Jebat (baju belang) mengetuai Program Salam Ramadhan tahun ini.


Prihatin - Sdr. Khalib menyampaikan bubur lambuk KBTBB kepada Warga Emas di Kampung Batu Berendam.


Inilah jasa basikal tua kepada bangsanya... biar dihambat kemodenan dan kemajuan basikal tua terus berjasa kepada bangsanya. KBTBB akan tetap memperjuangkan basikal tua untuk generasinya.
...